[Mukhtar Al-Syanqithi] Ibadat yang digalakkan pada 10 Awal Zulhijjah

| |



[Diterjemah, diringkas dan dipermudah oleh Al-Akh Abulwafaa dari jawapan Shaikh Muhammad Mukhtaar As Shinqeetiyy yang dipaparkan oleh saudara Abu Zaid di Multaqa Ahl Al Hadeeth]

Soalan: 

Adakah kelebihan 10 hari awal bulan Zhulhijjah dikhususkan pada siangnya sahaja ? Apakah jenis-jenis ibadat yang digalakkan semasa itu?


Jawapan:

10 hari di bulan Zhulhijjah memiliki keutamaan yang besar dan Allah menyebutnya untuk menggalakkan ibadah di dalamnya. Di antara yang mengukuhkan galakan beribadat pada waktu ini ialah sabda Nabi:



قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ ». فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَىْءٍ »


“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan seperti pada hari-hari 10 ini (iaitu 10 hari awal bulan Zulhijjah). Para sahabat baginda bertanya: Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut) ? Ujar Baginda : Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.”

Ini menunjukkan kelebihan sepuluh hari tersebut dan kelebihan 10 hari di bulan Zhulhijjah ini mencakupi siang dan malamnya. Bertolak dari hadith ini sebahagian ‘Ulamaa’ berpendapat bahawa 10 hari di bulan Zhulhijjah lebih utama dari 10 hari akhir di bulan Ramadhaan. Mengatakan bahawa 10 hari di bulan Zhulhijjah lebih utama dari 10 hari akhir bulan Ramadhaan adalah benar kecuali bagi malam Lailatul Qadar dan ini adalah suatu kekhususan.

Pada 10 hari ini, Allah diingati pada siang dan malam, ketaatan kepadaNya, berada dalam kecintaanNya dan keridhaanNya diperbanyakkan. Berbakti kepada ibu-bapa, menyambungkan silaturrahim, bersedekah, berbuat baik kepada manusia, bercakap yang baik dan ma’ruuf, menghilangkan kesusahan orang dan menutup keaiban orang, semua ini adalah disukai oleh Allah. Di samping itu hendaklah memperbanyakkan menghafal Al Qur’aan, menuntut ilmu serta lain-lain amalan saaleh pada siang dan malam 10 hari di bulan Zhulhijjah ini. Melazimi kebaikan pada hari-hari ini memberikan ganjaran melebihi pada hari-hari selainnya. 

Yang lebih utama sepertimana yang telah disebutkan ialah mempergandakan amalan-amalan ketaatan yang paling disukai Allah seperti berbakti kepada kedua ibu-bapa, menghubungkan rahim, berdoa, memohon ampun dan jika mereka telah meninggal dunia bersedeqah untuk mereka. 

Seorang sahabat berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya ibuku telah mati. Bolehkah aku bersedeqah untuknya ? Nabi menjawab: “Ya.” 

Bersedeqah untuk ibu bapa yang telah mati, beristighfar untuk mereka, mendoakan rahmat untuk mereka dan meminta Allah agar melapangkan mereka di dalam kubur pada hari-hari mulia ini adalah antara amalan saaleh yang memasukkan kegembiraan pada kedua orang tua. Jika mereka hidup maka keperluan-keperluan mereka hendaklah ditunaikan, berada bersama-sama mereka dalam sebaik-baik keadaan, menghubungkan rahim, menziarahi ibu bapa saudara dan menghubungkan sanak-saudara dan kaum kerabat.

Begitu juga hendaklah menuntut ilmu, menziarahi ‘Ulamaa’, mengulangkaji ilmu, menghafal Al Qur’aan dan Sunnah, memperbanyakkan kebaikan serta mencari amalan yang paling banyak pahalanya dan disukai di sisi Allah. Semua orang melakukan mengikut apa yang dimudahkan Allah baginya. Bagi orang kaya maka keutamaan untuk dia bersedeqah, menahan kesedihan anak-anak yatim, mempercukupkan para balu adalah lebih tinggi baginya. Dia berbuat demikian dengan mengharap pahala dari Allah sehingga Allah memberkati dia pada harta, rezeki, amalan dan ajalnya. 

Selain itu seseorang itu hendaklah menjaga apa-apa yang datang dari Al Qur’aan dan As Sunnah seperti bertakbir. Dalam menanggapi firman Allah dalam Surah Al Hajj ayat 28, sebahagian ‘Ulamaa’ berkata bahawa hari-hari tersebut merujuk kepada 10 hari awal Zhulhijjah dan ‘Ulamaa’ telah sepakat tentang kelebihan zikir pada hari-hari tersebut. Adalah para Salaf dan sahabat memperbanyakkan takbir pada hari-hari tersebut. Ibn ‘Umar biasa memasuki pasar sedang orang-orang di pasar sibuk dengan jual beli lalu bertakbir sehingga bergetar pasar daripada laungan takbir beliau yang diikuti oleh laungan takbir oleh mereka yang berada di pasar. Maka hendaklah kita menjaga perkara-perkara baik ini dan amalan-amalan Saaleh yang mendekatkan diri kepada Allah Jalla wa ‘Alaa. Kita memohon kepada Allah yang Maha Besar, pemilik ‘Arasy yang mulia agar membantu kita untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadanya dengan baik.



sumber asal: http://www.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&t=2088





Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 5:10 AM. Filed under .

0 comments for "[Mukhtar Al-Syanqithi] Ibadat yang digalakkan pada 10 Awal Zulhijjah"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign