Penjelasan Status Hadith Fadhilat Tidurnya Puasawan

| |





Penjelasan Status Hadith Fadhilat Tidurnya Puasawan
oleh: Muhammad Fathi Ali Ibrahim Al-Sakandariy

Hadith - hadith berkenaan fadhilat tidurnya puasawan datang dari beberapa sahabat dan kesemuanya ma'lul (cacat). 

Lafaz Pertama

الصائم في عبادة و إن كان راقدا على فراشه

Orang yang berpuasa itu tetap dalam ibadah meskipun dia tidur di atas tempat tidurnya

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Tamaam Al-Raazi dalam kitabnya Al-Fawaa'id (no.1109) dari Salmaan bin Aamir ad-Dhabbi, Al-Dailami dalam Musnad Al-Firdaus (no.3824) dari Anas dengan lafaz yang sedikit berbeza [1]

Status:

Tak Sahih, dicacatkan oleh ramai ahli ilmu semisal Imam Al-Munawi, Al-Albani dan lain-lain.

1- Jalur Salmaan bin Aamir ad-Dhabbi: 

Padanya terdapat Yahya bin Abdullah bin Al-Harith bin Zajaaj dan Abu Bakr Muhammad bin Harun bin Muhammad bin Bakkar bin Bilal, biodata mereka tidak jumpai dlm kitab-kitab rijal. Juga Hasyim bin Abi Hurairah Al-Himsi, dia tidak dikenal [2]

Kata syaikh Al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin Al-Albani tentang hadith ini: “Dhaif” [3]

2- Jalur Anas:

Padanya terdapat Muhammad bin Ahmad bin Suhail. Tentangnya kata Imam Al-Zahabi dalam “Al-Dhu’afa”: kata Al-Uqailiy: seorang yang memalsukan hadith [4]

Hadith ni di-dhaif-kan oleh Al-Munawi dalam Fayd Al-Qadir Sharh Al-Jami` Al-Saghir , beliau mengutip kata Al-Uqailiy di atas. Juga di-dhaif-kan oleh Al-Albani, kata nya “Dhaif” [5]


Lafaz kedua

نوم الصائم عبادة ، وصمته تسبيح ، وعمله مضاعف ، ودعاؤه مستجاب ، وذنبه مغفور

Tidurnya orang yang berpuasa itu dianggap ibadah, dan diamnya merupakan tasbih, dan amalnya (diganjari) berlipat ganda, dan doanya mustajab, sedang dosanya diampuni

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (no. 3937) dari Khalaf bin Yahya Al-‘Abdi dari ‘Anbasah bin Abd Al-Wahid Al-Qursyi… dengan lafaz seperti diatas. 

Juga dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (no. 3938), Al-Khalal dalam Al-Majalis Al-Ashrah (no. 40) dari Sulaiman bin ‘Amr… dengan lafaz yang sedikit berbeza seperti dibawah:
نوم الصائم عبادة ، وسكوته تسبيح ، ودعاؤه مستجاب ، وعمله متقب}

Juga dikeluarkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (no. 3939), Ibn Shaahiin dalam Al-Targhib fi Fadhail Al-A’mal (no. 142) dari Abu Muadz Ma’ruf bin Hassaan dari Ziyaad Al-‘Alam… dengan lafaz yang sedikit berbeza seperti dibawah:
نوم الصائم عبادة ، وصمته تسبيح ، ودعاؤه مستجاب ، وعمله مضاعف}

Ketiga-tiga jalur dan rawi diatas (‘Anbasah bin Abd Al-Wahid Al-Qursyi, Sulaiman bin ‘Amr , Ziyaad Al-‘Alam) adalah dari ‘Abd Al-Malik bin ‘Umair dari ‘Abdullah bin Abi Aufa dari Nabi secara marfu’

Status:

Tak Sahih bahkan Palsu, kesemua jalurnya berlegar sekitar rawi-rawi pendusta dan matruk. Bahkan hadith ini telah di-I’lal-kan (dicacatkan) oleh Imam Al-Baihaqi sendiri.

Kesemua jalur hadith ini cacat, 

Jalur pertama: 

Dari Khalaf bin Yahya Al-‘Abdi dari ‘Anbasah bin Abd Al-Wahid Al-Qursyi dari ‘Abd Al-Malik bin ‘Umair dari ‘Abdullah bin Abi Aufa

Pada jalur ini adanya Khalaf bin Yahya Al-‘Abdi, iaitu Al-Qadhi, dia merupakan pemalsu hadith. 

Kata Imam Abu Hatim tentangnya:

متروك الحديث كان كذابا (Matruk Al-Hadith, sepertinya Pendusta) [6]

Kata Ibn Hajar tentangnya: 

كذبه أبو حاتم(Abu Hatim menyatakan dia adalah pendusta hadith) [7]

Jalur kedua:

Dari Abu Muadz Ma’ruf bin Hassaan dari Ziyaad Al-‘Alam dari ‘Abd Al-Malik bin ‘Umair dari ‘Abdullah bin Abi Aufa

Jalur ketiga:

Dari Sulaiman bin ‘Amr dari ‘Abd Al-Malik bin ‘Umair dari ‘Abdullah bin Abi Aufa

Kedua-dua jalur diatas di-I’lal-kan oleh Imam Al-Baihaqi sendiri setelah mengeluarkan hadith ini, kata Al-Baihaqi [8] :

معروف بن حسان ضعيف وسليمان بن عمرو النخعي أضعف منه

“Ma’ruf bin Hassaan dia Dhaif, manakala Sulaiman bin ‘Amr Al-Nakahie pula lebih Dhaif dari beliau”

Bahkan kata Imam Ibn ‘Adiy tentang Ma’ruf bin Hassaan, iaitu Abu Muadz Al-Samarqandi: 

معروف بن حسان السمرقندي يكنى أبا معاذ منكر الحديث
“Ma’ruf bin Hassaan Al-Samarqandi, iaitu Abu Muadz, dia Munkarul Hadith” [9]

Bahkan kata Imam Abu Hatim tentangnya: “مجهول (Tidak Dikenali)” [10]

Berkenaan Sulaiman bin ‘Amr, iaitu Abu Daud Al-Kufi Al-Nakhaie pula, dia merupakan pemalsu hadith.

Kata Imam Al-Bukhari tentangnya: 

سليمان بن عمرو الكوفي أبو داود النخعي معروف بالكذب
“Sulaiman bin ‘Amr Al-Kufi Abu Daud Al-Nakhaie, dia dikenali dengan berdusta dalam hadith” [11]

Kata Imam Yahya ibn Ma’in tentangnya:

أبو داود النخعي ليس بشيء يكذب يضع الحديث
“Abu Daud Al-Nakhaie tiada apa-apa (iaitu lemah), dia pendusta, memalsukan hadith” [12]

Kata Imam Ibn Hibban pula:

رجلا صالحا في الظاهر إلا أنه كان يضع الحديث
“secara zahirnya dia kelihatan soleh, kecuali dia memalsukan hadith” [13]

Kata Ibn Hajar tentangnya: 

سليمان بن عمرو أبو داود النخعي الكذاب
“Sulaiman bin ‘Amr Abu Daud Al-Nakhaie pendusta hadith” [14]

Lafaz ketiga

نوم الصائم عبادة ونفسه تسبيح ودعاؤه مستجاب

Tidurnya orang yang berpuasa adalah ibadah, dan nafasnya adalah tasbih, dan doanya adalah mustajab

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah Al-Auliya’ (no. 5/83), dari Abu Zur’ah Ahmad bin Musa Al-Makki dari ‘Ali bin Harb dari Ja’far bin Ahmad bin Bahrom dari ‘Ali bin Al-Hasan dari Abu Taybah[16] dari Kurz bin Wabroh dari Al-Rabi’ bin Khaitham dari ‘Abdullah ibn Mas’ud

Status:

Dhaif , di-dhaif-kan antaranya oleh syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani [15] dan syaikh Abu Umar Usamah Al-‘Utaibiy [17]

Pada hadith ini terdapat beberapa kecacatan:

1- Abu Taybah (‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani)

Kata Imam Yahya ibn Ma’in tentangnya: 

أبو طيبة ضعيف – Abu Taybah, dia dhaif” [18]

Kata syaikh Usamah Al-‘Utaibiy tentangnya: 

عابد ضَعِيْفٌ، عِنْدَهُ مناكير
“dia merupakan ‘Abid (ahli ibadah), tetapi dhaif dalam hadith, padanya hadith-hadith munkar” [19]


2- Kurz bin Wabroh Al-Harithi

Kata syaikh Usamah Al-‘Utaibiy tentangnya: 

مشهور بالعبادة والزهد، وَرَوَى أحاديث منكرة
“terkenal dengan sebagai ahli ibadah dan zuhud, tetapi meriwayatkan hadith-hadith munkar” [20]

3- Silsilah Abu Taybah dari Kurz bin Wabroh

Abu Taybah sangat dikenali dengan banyak meriwayatkan hadith-hadith dhaif dan munkar daripada Kurz bin Wabroh,

Kata Imam Ibn ‘Adiy setelah membawakan hadith-hadith Abu Taybah dari Kurz bin Wabroh:

وهذه الأحاديث لكرز بن وبرة يرويها عنه أبو طيبة وهي كلها غير محفوظة وأبو طيبة هذا كان رجلا صالحا ولا أظن أنه كان يتعمد الكذب ولكن لعله كان يشبه عليه فيغلط

“Dan hadith-hadith ini oleh Kurz Bin Wabroh meriwayatkannya daripadanya Abu Taybah, dan ia - kesemuanya - adalah tidak terpelihara. (dhaif). Dan Abu Taybah ini adalah seorang lelaki yang soleh, dan saya tidak fikir bahawa dia sengaja berdusta. Tetapi mungkin dia terkeliru dan dia tersilap.” [21]


4- Abu Zur’ah Ahmad bin Musa Al-Makki:

Imam Al-Khatib Al-Baghdadi ada memuatkan tarjamah (biodata) beliau dalam Tarikh Baghdad (rawi no. 2581, 5/148), dan membawa sebuah hadith munkar yang Abu Zur’ah Al-Makki riwayatkan [22]

Namun Al-Khatib tidak memberi apa-apa komentar “jarh” atau “ta’dil” kepada beliau. [23]

5- ‘Ali bin Harb Al-Istrabazi:

Imam Al-Jurjani ada membuat tarjamah tentang beliau dalam Tarikh Jurjan (rawi no. 1255, m/s 533), namun tidak ditemui sebarang “jarh” atau “ta’dil” tentang beliau [24]

6- Ja’far bin Ahmad bin Bahrom Al-Bahiliy:

Imam Al-Jurjani ada membuat tarjamah tentang beliau dalam Tarikh Jurjan (rawi no. 1083, m/s 521), namun tidak ditemui sebarang “jarh” atau “ta’dil” tentang beliau [25]

Lafaz keempat

نوم الصائم عبادة ونفسه تسبيح

Tidurnya orang yang berpuasa adalah ibadah, dan nafasnya adalah tasbih

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Al-Jurjani dalam Tarikh Jurjan (1/370), dari Abu Zharr Ibrahim Al-Dhibbaabi dari Ja’far bin Muhammad Al-Naisaburi dari ‘Ali bin Salamah Al-‘Amiriy dari Muhammad bin Ja’far bin Muhammad bin ‘Ali bin Al-Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib dari ayahnya dari atuknya dari Nabi secara Mursal [26]

Status:

Dhaif, hadith ini Mursal dan Mursal adalah daripada jenis dhaif. Bersama-sama itu padanya Muhammad bin Ja’far yang diperkatakan, dan dua perawi dibawahnya tidak dikenal [27] 

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar:

محمد بن جعفر بن محمد بن علي الهاشمي الحسني عن أبيه تكلم فيه
“Muhammad bin Ja’far bin Muhammad bin `Ali Al-Haasyimii Al-Husni dari ayahnya padanya diperkatakan” [28]

Hadith ni turut di-dhaif-kan oleh syaikh Al-Albani [29]


Lafaz kelima


الصائم تسبيح ونومه عبادة ودعاؤه مستجاب وعمله مضاعف


Orang yang berpuasa itu dianggap dalam keadaan bertasbih, dan tidurnya merupakan ibadah, dan doanya mustajab, dan amalnya (diganjari) berlipat ganda.

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Abi Thahir Ibn Abi Al-Saqr [30] dalam Masyyakhah (no. 46, jil. 1, m/s 118-119) dari Al-Rabi’ bin Badr dari `Auf Al-`Araabi dari Abi Al-Mughirah Al-Qawwaas dari Abdullah Ibn `Umar

Status:

Dhaif, bahkan Munkar. 

Kata Al-Iraqi dalam Takhrij Al-Ihya':

في أمالي ابن منده من رواية ابن المغيرة القواس عن عبد الله بن عمر بسند ضعيف

"dalam `Amali Ibn Mandah dari riwayat Ibn Al-Mughirah Al-Qawwaas [31] dari `Abdullah bin Umar dengan sanad dhaif"


Kata syaikh Dr. Hatim Al-Syarif tentang hadith ni: 

إسناده شديد الضعف واللفظ مع ذلك منكر

“isnadnya syadidu dh-dha`f (lemah yang parah) dan lafaz bersama padanya munkar” [32]

Kata syaikh Usamah Al-`Utaibiy pula:

إِسْنَادُهُ ضَعِيْفٌ جداً آفته الربيع بن بدر: مَتْرُوكٌ، وَأَبُو المغيرة القواس عِنْدَهُ مناكير

“isnadnya dhaif jiddan (sangat lemah) penyakitnya ialah Al-Rabi’ bin Badr dia Matruk, dan Abu Al-Mughirah Al-Qawwaas padanya Manaakiir” [33]

Pada hadith ini adanya:

1- Al-Rabi’ bin Badr:

Dia di-dhaif-kan oleh ramai nuqqad semisal Yahya Ibn Ma’in, Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Nasaie dan lain-lain

Kata Yahya ibn Ma’in: ” ضعيف ليس بشىء -Dhaif, tiada apa” [34]

Kata Al-Nasaie: “متروك- Matruk (ditinggalkan)” [35]

2- Abu Al-Mughirah Al-Qawwaas:

Kata Abu Zur’ah nama beliau tidak diketahui. Padanya diperselisihkan (مختلف فيه), kata Yahya bin Said Al-Qattan beliau di-dhaif-kan oleh Sulaiman Al-Taimi, bahkan beliau lebih buruk daripada Abdullah bin Syaqiq, namun Yahya ibn Ma’in menyatakan beliau Thiqah. [36]

Syaikh Usamah Al-‘Utaibiy menyimpulkan beliau:

أَبُو المغيرة القواس عِنْدَهُ مناكير

“Abu Al-Mughirah, padanya manaakir (munkar)” [37]

sekian, 

Muhammad Fathi Ali Ibrahim Al-Sakandariy
Hadrah Al-Bahriah, 
Iskandariah, Mesir
14 Ramadhan 1431H



------------------------- Nota Kaki:

[1] Lafaz yang disebutkan adalah lafaz jalur Salman, sedang lafaz jalur Anas berbunyi:الصائم في عبادة وإن كان نائما على فراشه

[2] Sebagaimana yang disebut oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Dhaifah,no. 653

[3] Dalam Silsilah Al-Dhaifah,no.653

[4] Disebutkan oleh Al-Munawi sejurus mengeluarkan hadith ni dalam kitabnya Fayd Al-Qadir Sharh Al-Jami` Al-Saghir , no.5125

[5] Dalam Dhaif Al-Jami’, no.3530

[6] Rujuk: Al-Jarh wa Al-Ta’dil, rawi no. 1697 (3/372)

[7] Rujuk: Lisaan Al-Miizaan, rawi no. 1665 (2/405)

[8] Dalam Syu’ab Al-Iman, ketika mengomentari hadith no. 3939

[9] Rujuk: Al-Kaamil fi Al-Dhu’afa, rawi no. 1805 (6/325)

[10] Rujuk: Al-Jarh wa Al-Ta’dil, rawi no. 1490 (8/322)

[11] Rujuk: Al-Tarikh Al-Kabir, rawi no. 1853

[12] Rujuk: Al-Jarh wa Al-Ta’dil, rawi no. 576 

[13] Rujuk: Al-Majruuhiin, rawi no. 416

[14] Rujuk: Lisan Al-Miizaan, rawi no. 332

[15] Nama rawi: Abu Taybah (أبي طيبة) sebagaimana yang disebut oleh syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Dhaifah (no. 4696), namun semasa mengkaji hadith ini saya mendapati dalam sesetengah cetakan kitab menyebut Abu Zabyah (أبي ظبية), dan dalam kitab Hilyah Al-Auliya’ yang ada pada saya cetakan Dar Al-Kitab Al-‘Arabi (5/83) menyebut Abu Zabyah. Setelah mengkaji lanjut saya mendapati Abu Taybah atau Abu Zabyah adalah perawi yang sama, dan nama beliau yang tepat ialah ‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani. Dalam buku ini saya memilih untuk menggunakan nama Abu Taybah kerana nama itu yang lebih masyhur dalam kitab-kitab rijal.

Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Dhaifah (no. 4696) menyatakan bahawa nama Abu Taybah dalam sanad ini ialah Abdullah bin Muslim Al-Marwazi dan dakwaan syaikh Al-Albani ini padanya keraguan, tidak tepat (fihi nazor) dan saya berpendapat syaikh Al-Albani telah tersilap, kerana Abdullah bin Muslim Al-Marwazi bukanlah ma’ruf meriwayatkan hadith dari Kurz bin Wabroh, akan tetapi yang benar dan tepat namanya ialah Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani, kerana dia lah yang ma’ruf dan dikenali meriwayatkan hadith dari Kurz bin Wabroh. 

Buktinya, kata Imam Ibn ‘Adiy : “عن أبي طيبة عن كرز بن وبرة الحارثي عن الربيع بن خثيم عن عبد الله بن مسعود - dari Abu Taybah dari Kurz bin Wabroh Al-Harithi dari Al-Rabi’ bin Khathim (atau Al-Khaitham) dari ‘Abdullah bin Mas’ud” (rujuk: Al-Kamil fi Al-Dhu’afa, tarjamah Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Jurjani, rawi no. 1403, 5/257, bahkan Imam Ibn ‘Adiy menyebutkan banyak riwayat Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman dari Kurz bin Wabroh dalam Al-Kamil). 

Bahkan kata Imam Al-Jurjani:“أبو طيبة عيسى بن سليمان الدارمي الجرجاني كان من العلماء والزهاد روى عن كرز بن وبرة – Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani merupakan kalangan ‘ulama dan merupakan daripada kalangan orang-orang zuhud, dia meriwayatkan hadith dari Kurz bin Wabroh” (rujuk: Tarikh Jurjan, tarjamah Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Jurjani, rawi no. 492, 1/285), kata Imam Al-Jurjani lagi: ” أبو عبد الله كرز بن وبرة الحارثي... روى عنه أبو طيبة عيسى بن " سليمان الدارمي الجرجاني –Abu ‘Abdillah Kurz bin Wabroh Al-Harithi…meriwayatkan daripadanya hadith oleh Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani” (rujuk: Tarikh Jurjan, Tarjamah Abu ‘Abdillah Kurz bin Wabroh Al-Harithi , rawi no. 618, 1/336).

Juga kata Imam Al-Zahabi: “كرز بن وبرة الحارثي... حدث عنه أبو طيبة عيسى بن سليمان الدارمي - Kurz bin Wabroh Al-Harithi… meriwayatkan daripadanya Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi” (rujuk: Siyar ‘Alam Al-Nubala’, Tarjamah Abu ‘Abdillah Kurz bin Wabroh Al-Harithi, rawi no. 20). Berdasarkan penjelasan dalam kitab-kitab rijal diatas, maka jelaslah bahawa yang tepat dan terpelihara Abu Taybah dalam sanad ini ialah Abu Taybah ‘Isa bin Sulaiman Al-Darimi Al-Jurjani. Perbincangan saya bersama sahabat-sahabat tentang rawi ini boleh dilihat di pautan: www.al-fikrah.net/inde...mp;t=16005

[16] Dalam Silsilah Al-Dhaifah, ketika membahaskan hadith no. 4696, kata beliau: “isnad ini dhaif”

[17] Dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب , kata beliau: “isnadnya gelap, dan pada setengahnya perawi-perawi yang dhaif”

[18] Rujuk: Al-Kamil fi Al-Dhu’afa’, rawi no. 1403

[19] Dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب

[20] Dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب

[21] Rujuk: Al-Kamil fi Al-Dhu’afa’, rawi no. 1403 (5/257)

[22] Seperti yang dijelaskan oleh syaikh Usamah Al-‘Utaibi dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب

[23] Bahkan saya tidak menjumpai “jarh” atau “ta’dil” tentang beliau dalam mana-mana kitab Rijal.

[24] Bahkan saya tidak menjumpai “jarh” atau “ta’dil” tentang beliau dalam mana-mana kitab Rijal.

[25] Bahkan saya tidak menjumpai “jarh” atau “ta’dil” tentang beliau dalam mana-mana kitab Rijal.

[26] Namun kata syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Dhaifah (no. 4696): “ secara Marfu’ ”! , kata-kata Al-Albani ini fihi nazor (padanya ada keraguan, tidak tepat), yang benar terpelihara dan tepat ialah sanad hadith ini Mursal, ia terhenti pada Muhammad bin `Ali bin Al-Husain (tabi’in pertengahan, atuk kepada Muhammad bin Ja’far). Maka hadith ini Mursal dan bukannya Marfu’ seperti dakwaan Al-Albani, dan beliau telah tersilap. 

[27] Iaitu Ja’far bin Muhammad Al-Naisaburi dan ‘Ali bin Salamah Al-‘Amiriy tidak ditemui tarjamah mereka, bahkan kata Al-Albani: “aku tidak mengetahui keduanya” (Silsilah Al-Dhaifah, no. 4696)

[28] Lisan Al-Miizaan, rawi no. 348 (5/103)

[29] Dalam Silsilah Al-Dhaifah, no. 4696

[30] Iaitu Ibnu Mufleh al-Lakhmiy

[31] yg sebetulnya Abu Al-Mughirah Al-Qawwaas

[32] Dalam tahqiqnya keatas kitab Masyyakhah Abi Thahir Ibn Abi Al-Saqr, hadith no. 46

[33] Dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب

[34] Rujuk: Tahzib Al-Kaamal , rawi no. 1854 (9/65)

[35] Rujuk: Tahzib Al-Kaamal , rawi no. 1854 (9/65)

[36] Al-Jarh wa Al-Ta’dil, rawi no. 2203 (9/439)

[37] Ketika menghukum hadith yang sedang dibincangkan ini, dalam bukunya تحقيق الصواب في أن دعاء الصائم مستجاب
 





sekian dikongsi, moga bermanfaat.

Al-Akh / Abu Ismaaeel 
Muhammad Fathi `Ali Al-Malizy Al-Sakandariy
17 Muharram 1431H / 23 Disember 2010






Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:44 PM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan Status Hadith Fadhilat Tidurnya Puasawan"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign