Salah faham hadith malam Al-Qadr: Bulan terbit seperti belahan mangkuk
Gambar hiasan sahaja : gerhana
Salah faham hadith malam Al-Qadr:
Bulan terbit seperti belahan mangkuk
Bulan terbit seperti belahan mangkuk
oleh: Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Tabib al-Sakandary
1- Sesetengah pencerita-pencerita samada dalam ceramah mereka, buku mereka atau blog mereka,apabila mereka menggambarkan sifat sebelum berlakunya malam Al-Qadr, mereka menyebut bahawa pada malam itu Bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, sesetengah menyebut seperti belahan kelopak mata.
2- Mereka menyandarkannya kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah seperti dibawah:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال تذاكرنا ليلة القدر عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال أيكم يذكر حين طلع القمر وهو مثل شق جفنة ؟
Terjemahan: Dari Abu Hurairah katanya "kami teringat akan malam Al-Qadr disisi Rasulullah SAW, maka Beliau SAW pun bersabda: "Siapakah antara kalian yang teringat ketika Bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah?"
Hadith ini Sahih dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya (no: 1170, Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut)
3 - Dalam hadith menyebut perkataan Syiqq Jafnah. Perkataan Syiqq bermaksud "separuh" atau "belahan"
4 - Manakala perkataan Jafnah, setelah disemak beberapa kamus dan rujukan saya mendapati Jafnah boleh memberi pelbagai maksud. Ia boleh memberi erti : (bekas, bekas simpanan air, kurma, mangkuk, mangkuk sup, kelopak mata, bulu mata, lelaki yang mulia, bekas pedang). Dan saya mendapati dalam sesetengah buku dan tulisan-tulisan dalam internet, terdapat sebahagian penulis menterjemahnya sebagai "bekas simpanan air" dan "kelopak mata".
5- Syaikh Muhammad Fua'd Abd al-Baqi dalam komentarnya keatas Sahih Muslim menyebut:
ش ( شق جفنة ) الشق هو النصف والجفنة القصعة
Terjemahan: "Penjelasan (syarah): (Syiqq Jafnah) , al-Syiqq itu ialah separuh dan al-Jafnah itu mangkuk"
(Sahih Muslim, Muslim bin al-Hajjaj, (8/66), tahqiq Muhammad Fua'd Abd al-Baqi, ta'liq hadith no. 1170, Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut)
6- Dan terjemahan untuk perkataan Syiqq yang bernaksud "separuh" apabila dinisbahkan kepada Bulan ia lebih tepat diterjemah sebagai "belahan" sebagaimana yang digunakan dalam ayat 1 Surah al-Qamar dibawah:
اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ
Terjemahan: "Telah hampir saat (kedatangan hari Qiyamah) dan terbelahlah (wansyaqqa) Bulan"
7- Manakala perkataan Jafnah, setelah saya membuat beberapa semakan, maka saya mendapati terjemahan yang tepat untuk perkataan Jafnah ialah "mangkuk" atau "bekas berbentuk bulat", dan inilah terjemahan yang menepati maskud hadith. Adapun terjemahan-terjemahan lain seperti yang pernah diterjemah oleh sesetengah penulis seperti "bekas simpanan air" atau "kelopak mata" ianya merupakan terjemahan yang mengelirukan serta lari daripada konteks hadith.
8- Ini lebih jelas apabila kita melihat kepada gambar fasa Bulan sebagaimana yang telah diambil oleh pakar Astronomi dibawah:
Sila perhatikan gambar fasa Bulan pada nombor 6, 7 dan 8 , tidakkah ia menunjukkan Bulan itu kelihatan seperti "belahan mangkuk" atau "separuh bekas berbentuk bulat"? maka inilah terjemahan yang lebih tepat serta menepati maksud hadith.
9- Adakah dalam hadith diatas tadi Nabi SAW telah memberitahu akan sifat khusus malam Al-Qadr kepada para sahabat? jawabnya tidak!
10- Kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini:
و ( الجفنة ) ... قال القاضي : فيه إشارة إلى أنها إنما تكون في أواخر الشهر ؛ لأن القمر لا يكون كذلك عند طلوعه إلا في أواخر الشهر
Terjemahan: "Dan (jafnah - iaitu belahan mangkuk atau separuh bekas berbentuk bulat) ... kata al-Qaadhi : padanya isyarat bahawa ianya (iaitu al-Qadr) itu berlaku pada akhir-akhir Bulan, kerana Bulan tidak muncul (tidak terbit) sedemikian rupa (iaitu Bulan tidak terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat) kecuali pada akhir-akhir bulan" [Nota : al-Qaadhi ialah Imam al-Qaadhi Iyadh]
(Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi, (8/66), Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut)
11- Berdasarkan penjelasan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh diatas, maksud kenyataan Nabi SAW dengan "Bulan muncul (terbit) seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat)" itu bukanlah petunjuk khusus akan sifat malam Al-Qadr, akan tetapi ia adalah petunjuk umum sahaja. Iaitu Nabi SAW memberitahu para sahabat bahawa malam Al-Qadr itu berlaku pada akhir-akhir bulan Ramadhan, kerana Bulan tidaklah terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat) melainkan pada malam-malam akhir setiap bulan secara umumnya.
12 - Ini lebih jelas apabila kita melihat kepada gambar fasa Bulan sebagaimana yang telah kita lihat sebelum ini sebagaimana dibawah, kali ini sila perhatikan fasa Bulan pada akhir-akhir bulan:
Sila perhatikan gambar fasa Bulan pada akhir-akhir bulan iaitu pada nombor 7 dan 8 , tidakkah ia menunjukkan Bulan itu kelihatan seperti "belahan mangkuk" atau "separuh bekas berbentuk bulat"? maka inilah yang dimaksudkan Nabi SAW dengan Bulan kelihatan seperti "separuh mangkuk" atau "separuh bekas berbentuk bulat" iaitu wajah bulan ketika akhir-akhir bulan untuk setiap bulan, tidak mengira samada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan sebagainya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Qadhi Iyadh sebelum ini dengan katanya: "Bulan tidak muncul (tidak terbit) sedemikian rupa (iaitu Bulan tidak terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat)) kecuali pada akhir-akhir bulan"
13- Ini lebih jelas apabila kita meneliti uslub (cara , kaedah) jawapan yang Nabi SAW berikan, kita akan dapati bahawa Nabi SAW menjawab pertanyaan Abu Hurairah dan para Sahabat dengan soalan iaitu soal Nabi SAW kembali kepada Abu Hurairah dan para Sahabat: "Siapakah antara kalian yang teringat ketika Bulan muncul (terbit) seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat)?", memberi indikasi bahawa Nabi SAW bertanya Sahabat siapakah antara mereka yang ingat bilakah Bulan itu terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat)? jawapan untuk soalan Nabi SAW ini ialah "pada akhir-akhir bulan" (sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Qadhi Iyadh sebelum ini).
14- Maka jika ada Sahabat yang ingat bilakah Bulan itu terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat) maka secara automatiknya mereka akan tahu bahawa Bulan itu hanya terbit sedemikian rupa hanya pada malam-malam akhir setiap bulan, dan untuk malam Al-Qadr itu bulannya ialah bulan Ramadhan.
15- Dengan kata lain, Nabi SAW ingin para Sahabat berfikir dengan hanya memberi 'clue' dan tidak menjawab secara 'direct' dengan jawapan "pada akhir-akhir bulan Ramadhan". Disini terdapat satu lagi faedah bahawa antara cara untuk seseorang guru mengajar muridnya ialah bukan dengan hanya memberi suap jawapan secara 'direct' tetapi juga dengan cara bertanya kembali soalan agar si murid itu berfikir untuk mendapat jawapannya, dengan ini si guru telah melatih muridnya berfikiran kritis serta 'independent' , dan bukan hanya suka 'makan suap'. [Nota: guru disini ialah Nabi SAW, dan para Sahabat ialah murid]
16- Ini lebih jelas apabila telah thabit daripada Nabi SAW dalam hadith yang Sahih bahawa Baginda SAW telah lupa akan bilanya malam Al-Qadr itu secara khusus, dan Beliau SAW menganjurkan para sahabat mencarinya pada malam-malam akhir ramadhan, terutamanya malam 10 akhir Ramadhan, lebih khusus lagi pada malam-malam yang ganjil.
Sebagaimana sabda Baginda SAW:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Terjemahan: "Carilah malam Al-Qadr pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadhan"
(Dikeluarkan oleh Muslim, no. 1916, daripada `Aishah r.ha)
Dan juga sabda Baginda SAW pada tempat yang lain:
تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان
Terjemahan: "Carilah malam Al-Qadr pada malam ganjil daripada 10 malam akhir Ramadhan"
(Dikeluarkan oleh al-Bukhari, no. 2017, juga daripada `Aishah r.ha)
17 - Nabi SAW menyuruh dalam hadith-hadith diatas agar kita "mencari" malam Al-Qadr, bukanlah bermaksud mencarinya dengan menilik dan melihat langit, merasa suhu cuaca panas atau sejuk dan sebagainya. Mencari itu adalah dengan melakukan ibadah berterusan agar tidak leka dan akhirnya terlepas Al-Qadr apabila ia berlaku, bukan mencari petanda-petanda malam Al-Qadr, apabila telah menjumpai petanda maka barulah hendak mula beribadah!
18- Satu perkara yang perlu diketahui, tiada sebarang petanda khusus akan sifat malam Al-Qadr dalam hadith yang Sahih, riwayat yang datang dalam hal ini umpama malam itu bersih, bulan bersinar, sunyi, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk, tiada bintang, tidak berawan, tiada hujan, tiada angin, langit bewarna merah dan lain-lain semuanya lemah dan tidak terlepas daripada kecacatan!
19- Antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas secara marfu':
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر : ليلة سمحة طلقة ، لا حارة ولا باردة ، تصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء
Terjemahan: "Sesungguhnya Rasul SAW berkata pada malam Al-Qadr: "malam Al-Qadr adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu sejuk, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan"
(Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (no. 2192), dan didhaifkan oleh Ibn Khuzaimah sendiri katanya "إن صح الخبر فإن في القلب من حفظ زمعة -sekiranya ia sahih, sesungguhnya aku mengesyaki (dalam hatiku) akan (kelemahan) hafalan Zam'ah". Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (3/1360) serta Fadha'il al-Awqat (no. 50) dan didhaifkannya sendiri, berkata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: "في إسناده ضعف - pada isnadnya kelemahan"), dan katanya lagi: " ضعيف - Dha'if "
20- Antaranya juga ialah sebagaimana yang datang daripada Jabir bin `Abdillah secara marfu' , bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:
و هي لية طلقة بلجة لا حارة و لا باردةو زاد الزيادي : كأن فيها قمرا يفضح كواكبها و قالا : لا يخرج شيطانها حتى يضيء فجرها
Terjemahan : "...dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak pula sejuk" Dan menambah al-Ziyadi (perawi) akan lafaz "seakan-akan dalamnya ada Bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan tidak keluar sampai terbit fajar"
(Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasarul Mukhtasar (no. 2190), hadith ini Dha'if. Penyakitnya perawi bernama: Fudhail bin Sulaiman. Berkata Yahya ibn Ma'in tentangnya : "ليس بثقة - Tidak Thiqah". Berkata Abu Hatim: "ليس بالقوى - Tidak Kuat, Lemah". Dan berkata Abu Zur'ah tentangnya: "لين - Layyin / Lemah"). Berkata Syaikh Dr. Mustafa al-`Azhami akan hadith ini dalam tahqiqnya atas kitab Ibn Khuzaimah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut): " إسناده ضعيف - Isnadnya Dha'if "
21 - Antaranya juga ialah sebagaimana yang datang daripada `Ubadah bin al-Somit secara marfu' , bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:
إِنَّ أَمَارَةَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ أَنَّهَا صَافِيَةٌ بَلْجَةٌ كَأَنَّ فِيهَا قَمَرًا سَاطِعًا سَاكِنَةٌ سَاجِيَةٌ لَا بَرْدَ فِيهَا، ولَا حَرَّ وَلَا يَحِلُّ لِكَوْكَبٍ أَنْ يُرْمَى بِهِ فِيهَا حَتَّى تُصْبِحَ، وَإِنَّ أَمَارَتَهَا أَنَّ الشَّمْسَ صَبِيحَتَهَا تَخْرُجُ مُسْتَوِيَةً لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ مِثْلَ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَحِلُّ لِلشَّيْطَانِ أَنْ يَخْرُجَ مَعَهَا يَوْمَئِذٍ
Terjemahan: "Tanda-tanda malam Al-Qadr adalah malam yang terang sepertinya Bulan terang, tenang, sunyi, tidak sejuk, tidak panas, tidak dihalalkan bagi bintang-bintang untuk dilemparkan pada malam itu hingga pagi, dan tanda-tandanya adalah di pagi harinya Matahari terbit sejajar,tidak mempunyai sinar seperti Bulan pada malam purnama, dan tidak halal bagi Syaitan untuk keluar pada saat itu"
(Dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 22765), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi) kerana Khalid bin Ma'dan tidak pernah sama sekali mendengar daripada `Ubadah bin al-Somit, kata Imam Abu Hatim dalam al-Marasil (1/11(183)) : " خالد بن معدان لم يصح سماعه من عبادة بن الصامت - Khalid bin Ma'dan tidak sahih mendengarnya daripada `Ubadah bin al-Somit". Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih). Bahkan matannya juga bermasalah padanya Gharabah, kata Imam Ibn Kathir: " في المتن غرابة - pada matannya Gharabah (keganjilan)" (Tafsir al-Qur'an al-`Azhim, Ibn Kathir, 8/466, tahqiq Muhammad `Asyur dan rakan-rakan, Dar al-Sya'b, Mesir)
22- Antaranya juga ialah sebagaimana yang datang daripada Ibn Mas'ud secara marfu' menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya berkenaan malam Al-Qadr seperti dibawah:
عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ: أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَتَى لَيْلَةُ الْقَدْرِ ؟ قَالَ: " مَنْ يَذْكُرُ مِنْكُمْ لَيْلَةَ الصَّهْبَاوَاتِ ؟
Terjemahan: "dari Abi `Ubaidah dari Abdullah bin Mas'ud bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata; "bilakah terjadinya malam Al-Qadr? maka Nabi SAW bersabda: "Siapakah antara kalian yang ingat akan malam yang berwarna merah-kemerahan itu?"
(Dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 3565), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi) kerana Abi `Ubaidah - iaitu anak kepada Ibn Mas'ud - tidak pernah sama sekali mendengar hadith daripada Ayahnya, kerana ketika Ibn Mas'ud wafat usia Abu `Ubaidah masih sangat kecil. Berkata Syu'bah dari `Amru bin Murrah katanya: "سألت أبا عبيدة بن عبد الله : هل تذكر من عبد الله شيئا ؟ قال : لا - aku bertanya kepada Abu `Ubaidah bin `Abdullah - bin Mas'ud - : "adakah kamu mendengar (balajar hadith, mendengar hadith) dari `Abdullah - bin Mas'ud - walau sedikit? jawab Abu `Ubaidah: Tidak pernah" (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231). Berkata al-Tirmizi tentangnya: "لا يعرف اسمه ، و لم يسمع من أبيه شيئا - Tidak diketahui namanya, dan tidak pernah sama sekali mendengar dari Ayahnya walau sedikit " (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231). Dan berkata al-Tirmizi lagi: "سألت محمد بن إسماعيل ... : قلت له : أبو عبيدة ما اسمه ؟ فلم يعرف اسمه ، وقال : هو كثير الغلط - aku bertanya kepada Muhammad bin Ismail (iaitu Imam al-Bukhari), kataku padanya: "Abu `Ubaidah siapakah namanya? Al-Bukhari menjawab tidak diketahui namanya, dan kata al-Bukhari lagi: dia banyak ghalat (silap dalam meriwayatkan hadith)" (`Ilal al-Tirmizi al-Kabir, no. 109). Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih)
23 - Petunjuk yang Sahih cuma petunjuk selepas malam Al-Qadr itu telah berlalu iaitu antaranya Matahari terbit dengan tidak terlalu menyilau sebagaimana yang digambarkan oleh Ubay bin Ka'ab katanya:
وأمارتها أن تطلع الشمس في صبيحة يومها بيضاء لا شعاع لها
“.. dan tanda-tandanya adalah matahari terbit di pagi hari dengan cerah namun tidak ada cahaya Matahari menyengat”.
(Dikeluarkan oleh Muslim, no: 762, Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut)
24 - Maka untuk mendapatkan malam Al-Qadr, mahu tidak mahu seseorang itu perlu beribadah pada kesemua 10 malam akhir Ramadhan! terutama pada malam ganjil. Kerana petunjuk yang Sahih hanyalah petunjuk setelah malam Al-Qadr itu telah berlalu.
Sekian, moga bermanfaat walau dengan manfaat yang sedikit.
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Tabib al-Sakandary
Iskandariah, Mesir
23 Ogos 2011M / 23 Ramadhan 1432H / 11.44 pagi
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 10:08 AM. Filed under
Takhrij
.