Penjelasan Status Hadith Menyakiti Kafir Zimmi
Penjelasan Status Hadith Menyakiti Kafir Zimmi
Matan:
من آذى ذميا فقد آذاني
"Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka dia juga menyakiti diriku”
Takhrij:
Ibn Taimiah (Majmu’ al-Fatawa, 28/6530), Ibn al-Qayyim (al-Manar al-Munif, 98)
Status:
Batil, tiada asalnya dengan lafaz ini. Namun maknanya benar. Hadith dengan lafaz “من آذى ذميا فقد آذاني - sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka dia juga menyakiti diriku” ini tiada asalnya, kata Ibn Taimiah: “Dusta kepada Nabi SAW”, dan berkata Ibn al-Qayyim: “Batil“.
Yang wujud ialah dengan lafaz : “من آذى ذميا فأنا خصمه يوم القيامة - sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka aku adalah musuhnya pada hari qiyamah“ dikeluarkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4/34) dari jalur al-`Amash dari Abi Sufyan dari Jabir dari Nabi SAW secara marfu’ dan berkata al-Khatib al-Baghdadi sendiri ia adalah hadith munkar, manakala kata Imam Ahmad bin Hanbal dalam Tanqih Tahqiq al-Ta’liq (2/267): “tiada asalnya (iaitu tiada sanad yang sahih walaupun satu)”.
Saya katakan: hadith dengan lafaz pertama tiada asalnya, dan hadith dengan lafaz kedua diatas adalah dhai’f. Namun maknanya benar serta bertepatan dengan hadith-hadith lain yang sahih berkenaan ahli zimmah. Antaranya ialah hadith yang dikeluarkan al-Bukhari dalam kitabnya al-Sahih bahawa Nabi SAW bersabda: “مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا – Siapa yang membunuh orang kafir yang telah mengikat perjanjian (mu'ahid) dengan pemerintahan muslimin, ia tidak dapat mencium bau harum syurga, padahal bau harum syurga itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun“.
Dengan itu berkata Syaikh Ahmad Syakir berkenaan hadith ini dalam tahqiqnya atas al-Ba'ith al-Hathith (2/457) : “بهذا اللفظ لا أصل له ولكن ورد معناه بأسانيد لا بأس بها – tiada asal dengan lafaz ini, akan tetapi maknanya ada wujud (datang) dengan isnad-isnad yang tidak mengapa (iaitu diterima)“.
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 5:57 AM. Filed under
Takhrij
.