[Siri 1] Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Fathi al-Sakandary

| |




Gambar: manuskrip Manzumah Baiquniyyah

Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah [Siri 1] 
Oleh: Abu Ismail Muhammad Fathi Ali al-Sakandary al-Tabib


Pengenalan kepada Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah:

Al-Manzumah al-Baiquniyyah adalah syair sebanyak 34 rangkap, ia ditulis sebagai pengenalan ringkas kepada mereka yang tidak mempunyai sebarang asas langsung berkenaan ilmu hadith. Dengan format yang ringkas, tetapi skop yang luas syair ini menjadi satu pengenalan yang ideal kepada mereka yang hanya sekadar ingin mengintai keindahan ilmu hadith yang luas ini, juga sesuai sebagai pengenalan awal kepada mereka yang berkeinginan untuk mendalami ilmu ini dengan mendalam kelak. 

Syair ini mencakup pelbagai topik istilah-istilah ilmu hadith, baik yang mudah seperti Sahih, Hasan, Dha'if, ataupun yang lebih mendalam seperti Marfu', Maqtu', Mursal, Gharib, Mutawatir dan banyak lagi. Ditambah pula rima indah yang dihasilkan oleh syair ini memudahkan sesiapa saja untuk menghafalnya, sekaligus menjadikan syair ini satu permulaan yang baik bagi seseorang yang ingin mendalami ilmu hadith sebelum berpindah kepada buku-buku yang lebih mendalam seperti al-Tabsirah wa al-Tazkirah atau masyhur dikenali dengan nama Alfiyyah karya al-Iraqi, atau Nukhbatul Fikar karya al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, atau Mugizoh karya al-Zahabi, ataupun Ulum al-Hadith karya Ibn al-Solah. 

Tidak banyak maklumat yang diketahui akan identiti penulis syair ini, ataupun bila ia ditulis, yang hanya diketahui dengan pasti ialah nama pena penulis iaitu al-Baiquni, ia diambil dari bait-bait hujung syairnya apabila beliau menyebut "Manzumat al-Baiquni". Namun, terdapat sesetengah ulama berpendapat bahawa nama sebenar penulis syair ini adalah Taha bin Muhammad bin Futuh, sesetengahnya pula berpendapat nama sebenarnya ialah `Umar bin Muhammad bin Futuh. Dan mereka berpendapat syair ini berkemungkinan ditulis sekitar 1080 Hijrah. 

Perkara ini tidaklah pelik, kerana dalam sejarah tamadun kesarjanaan Islam sememangnya terdapat beberapa karya ilmiah yang tidak diketahui siapa penulisnya dengan pasti, namun ia tetap menjadi rujukan yang popular dikalangan para penuntut ilmu dan ulama. Maka benarlah kata si bijak pandai: "Lihatlah kepada apa yang ditulis, dan bukan kepada siapa yang menulis". Ini semua menunjukkan keikhlasan hati para ulama terdahulu yang menulis semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan bukannya untuk mendapat kemasyhuran nama serta pujian manusia. 

Dan syair Baiquniyyah ini adalah salah satu daripadanya, walaupun identiti penyair tidak diketahui secara pasti, namun hasil karya syairnya mempunyai nilai yang tinggi. Bahkan mungkin disebabkan keikhlasan hati si penulis syair inilah, yang menulis semata-mata kerana Allah SWT dan bukan untuk kemasyhuran menyebabkan syair beliau tersebar dengan sangat meluas keseluruh pelusuk dunia, hingga ia menjadi rujukan ramai, dihurai ramai para ulama serta dipelajari zaman berzaman oleh semua para penuntut ilmu hadith. 

InsyaAllah, saya akan mensyarahkan rangkap-rangkap syair ini sekadar mampu, berbekalkan sedikit ilmu yang telah saya pelajari dari guru-guru saya. Moga usaha ini mendapat ganjaran serta diberkatiNya. 


Rangkap #1 matan Baiquniyyah: Muqaddimah (Pendahuluan)

أَبْـدَأُ بِالحَمْـدِ مُـصَلِّياً علـى * مُحَمَّــدٍ خَيْرِ نَبيِّ أُرْسِـلا
Aku memulai dengan pujian dan selawat ke atas * Muhammad Nabi terbaik yang pernah diutus

Syarah Fathi al-Sakandary:

Penyair memulakan syair dengan menyebut (بِالحَمْـدِ) iaitu dengan pujian, iaitu pujian kepada Allah Jalla wa `Ala Tuhan semesta alam. Sebagaimana Allah SWT memulakan kitabnya dengan menyebut (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ - segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam). 

Demikianlah apabila seseorang menyebut al-Hamd ia bermaksud Hamdulillah (segala puji bagi Allah), jika seseorang menyebut Basmalah maka ia bermaksud Bismillah (dengan nama Allah), jika Hawqala maka ia bermaksud La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah (tiada daya melainkan dengan Allah). 

Kemudian penyair sambung dengan selawat, iaitu selawat ke atas junjungan mulia al-Nabi al-Mustafa Abul Qasim Muhammad al-Qurashi al-Hashimi al-Makki al-Madani, iaitu Muhammad bin `Abdillah bin `Abd al-Muthalib bin Hasyim bin `Abd al-Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Ghalib bin Fihr. 

Dan sebaik-baik selawat adalah sebagaimana yang diajarkan sendiri oleh Baginda SAW yang biasa kaum muslimin membacanya ketika tasyahud akhir solat, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majid”, dikenali dengan selawat Ibrahimiah. Manakala seburuk-buruk selawat ialah pelbagai selawat bid'ah ciptaan kaum sufi dan tariqat. 

Kemudian kata penyair bahawa Baginda Muhammad SAW adalah sebaik-baik Nabi yang pernah di utus, ini kerana Baginda SAW adalah sebaik manusia, bapa serta penutup para Nabi dan Rasul sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab (ayat 40): 

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍ۬ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَـٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمً۬ا

"Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup segala Nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". 

Rangkap #2 matan Baiquniyyah: Bilangan Jenis Hadith

وذِي مـن أقــسـام الحـديـث عِـدِّة * وكــلُّ واحِــدٍ أتـــى وحَـــدهّ 
Dan ini adalah daripada bilangan pembahagian hadith * Dan setiap satunya datang dengan hadnya

Syarah Fathi al-Sakandary:

Penyair menyambung rangkap seterusnya dengan (وَذي - dan ini) iaitu merujuk kepada jenis-jenis hadith, dan kata-katanya (أقــسـام الحـديـث - pembahagian hadith) menunjukkan bahawa perkataan (حـديـث - hadith) yang disebut merujuk kepada maksud istilah, dan bukannya bahasa (lughawi). 

Apakah itu istilah? kalimat 'Istilah' bermaksud satu lafaz yang disepakati oleh kelompok tertentu berkenaan sesuatu perkara. Contohnya: para fuqaha' telah bersepakat dalam menggunakan lafaz 'Wajib', 'Mustahab', 'Haram' , ' Makruh' dengan maksud tertentu yang difahami oleh para fuqaha' sesama mereka. Kesemua cabang ilmu mempunyai 'Istilah' nya yang tersendiri, iaitu satu lafaz khas yang difahami oleh sesama mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Satu istilah yang sama boleh difahami secara berbeza oleh mereka yang berlainan kelompok. 

Contohnya: istilah "Khabar" difahami oleh sekelompok ahli hadith sebagai apa-apa sahaja yang dinisbahkan kepada Nabi SAW atau selain Nabi SAW, baik dari segi perkataan atau perbuatan, ringkasnya ia merangkumi Hadith dan Athar. Namun bagi ahli nahu (bahasa) pula, istilah "Khabar" bermaksud satu bahagian daripada Jumlah Ismiyyah, iaitu Jumlah Ismiyyah bagi mereka terbahagi kepada "Mubtada'" dan "Khabar". Ini jelas berbeza dengan pemahaman ahli hadith, walaupun istilahnya sama iaitu "Khabar". Tidak dinafikan adalah wajib bagi para penuntut ilmu mengetahui perbezaan makna istilah ini, agar tidak berlaku salah faham apabila membaca tulisan-tulisan para ulama'.

Sebagaimana yang diketahui perkataan "hadith" dari segi bahasa `arab (lughawi) disisi ahli nahu (bahasa) memberi maksud "ungkapan seseorang" atau "percakapan seseorang", namun dari segi istilah ia bermaksud: "apa yang dinisbahkan kepada Baginda Nabi SAW sama ada dari segi percakapannya, atau perbuatannya, atau persetujuannya , atau sifatnya atau sirahnya". Maka apa sahaja yang disandarkan atau dinisbahkan kepada Baginda Nabi SAW maka ia adalah hadith dari segi istilah disisi ahli hadith. 

Manakala kata-katanya (عِـدِّة - bilangan) menunjukkan isyarat penyair bahawa disana terdapat banyak pembahagian atau jenis hadith. Dan ini adalah benar sekali, bahkan kata guru kami Syaikhna al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary asal jenis hadith itu berjumlah 32 jenis, bahkan kata Syaikh al-Muhaddith Thariq `Awadallah pula ia mencecah ratusan jenis! 

Sesetengah jenis hadith yang sangat banyak itu berkait dengan sifat matan, iaitu seperti: al-Marfu', al-Mauquf, al-Mursal, al-Maqtu dan sebagainya. Dan sesetengahnya pula berkait dengan sifat isnad, iaitu seperti: al-`Ali, al-Nazil, al-Mausul, al-Munqathi' , al-Mu'allaq dan lain-lain. Manakala sesetengahnya pula berkait dengan kedua-dua sifat matan dan isnad, seperti: Sahih, Dha'if , Maudhu'. Kita akan jelaskan setiapnya apabila sampai rangkap yang berkaitannya nanti insyaAllah. 

Melihat kepada banyaknya jenis hadith ini, untuk memudahkan amali maka para ulama hadith Salaf al-Mutaqaddimin (iaitu ulama hadith yang hidup pada zaman kegemilangan kajian hadith iaitu hingga 300 Hijrah) telah menghimpun setiap jenis hadith itu kepada dua kelompok, iaitu : 1- Sahih dan 2- Dha'if. Maka menjadilah pembahagian hadith kepada hanya dua jenis kelompok besar. Jenis-jenis hadith seperti Maudhu' (Palsu), Muttarib, Mursal, Munqathi' , Munkar, Syaz dan sebagainya termasuk dibawah kelompok hadith Dha'if, dengan Maudhu' adalah jenis yang paling teruk antara kesemua jenis hadith-hadith Dha'if tersebut. 

Seseorang mungkin bertanya, "bagaimana pula dengan hadith Hasan?". Sebenarnya disisi huffaz Salaf al-Mutaqaddimin mereka tidak pernah menjadikan "Hasan" sebagai satu istilah khusus dalam pembahagian hadith. Walaupun perkataan "Hasan" untuk hadith ini wujud dalam ungkapan al-Syafi'i (204H), `Ali ibn al-Madini (234H), Ahmad bin Hanbal (241H), al-Bukhari (256H) , Ya`qub bin Shaibah (262H), Abu Zur`ah al-Razi (264H), Abu Hatim al-Razi (277H), al-Tirmizi (279H ) dan lain-lain, namun mereka menggunakan perkataan "Hasan" lebih kepada maksud bahasa dan bukannya istilah. 

Ini amat jelas apabila kita dapat melihat para huffaz Salaf al-Mutaqaddimin biasa menggunakan perkataan "Hasan" ini untuk hadith Sahih, atau Dha'if, atau Munkar, atau Gharib, ataupun Maudhu' dan sebagainya. Tiada seorangpun para huffaz hadith Salaf al-Mutaqaddimin pernah memberi definisi khusus akan maksud "Hasan" yang mereka gunakan, kecuali al-Tirmizi seorang sahaja yang memberi definisi khusus untuk perkataan "Hasan" yang beliau gunakan dalam kitabnya "al-Jami‘ al-Mukhtasar min al-Sunan Rasulillah Wa Ma‘rifatu al-Sahih wa al-Ma‘lul wama ‘Alayhi ‘Amal" yang lebih masyhur dikenali sebagai Jami' atau Sunan al-Tirmizi. Dan perkataan "Hasan" disisi beliau secara khusus dalam Jami'nya bermaksud "Dha'if". Kita akan jelaskan secara terperinci maksud "Hasan" disisi huffaz Salaf al-Mutaqaddimin ini dalam rangkap hadith "Hasan" nanti insyaAllah. 

Kemudian datang zaman al-Khattabi (388H), dalam kitabnya Ma'alim al-Sunan beliau mula membahagikan hadith kepada 3 jenis iaitu: 1- Sahih, 2- Hasan, dan 3- Dha'if. Katanya: "اعلموا أن الحديث عند أهله على ثلاثة أقسام حديث صحيح وحديث حسن وحديث سقيم - ketahuilah, bahawa sesungguhnya hadith disisi ahlinya terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu hadith Sahih, hadith Hasan dan juga Saqim (iaitu Dha'if)". Namun pembahagian seperti yang disebut al-Khattabi ini tidak pernah dibuat oleh para huffaz hadith Salaf al-Mutaqaddimin sebelum beliau. Bahkan kata al-Hafiz al-Iraqi: " ولم أر من سبق الخطابى إلى تقسيمه ذلك - dan tidak pernah sama sekali sesiapapun sebelum al-Khattabi membahagikan sedemikain rupa" [rujuk: komentar al-Iraqi dalam al-Taqyid wa al-Idhah, dinukil dari kitab Ulum al-Hadith karya Ibn Solah tahqiq Thariq `Awadallah, 1/59]

Kemudian datang pula Ibn al-Solah (643H), beliau mula cuba untuk mendefinisikan dan memformulakan istilah "Hasan" dalam kitabnya Ulum al-Hadith atau lebih dikenali sebagai Muqaddimah Ibn al-Solah, dan definisi serta formula itu lah yang terkenal sehingga hari ini dalam kitab-kitab mustolah moden yang ringkas-ringkas, ini akan kita jelaskan secara teperinci bila tiba masanya nanti insyaAllah. 

Seterusnya penyair menyambung dengan menyebut (وكــلُّ واحِــدٍ أتـــى وحَـــدهّ - dan setiap satunya datang dengan hadnya), perkataan (وحَـــدهّ - dengan hadnya) bermaksud dengan definisinya. Iaitu setiap istilah jenis hadith itu datang dengan definisi mereka yang unik serta tersendiri.


.........Bersambung (Tbc), insyaAllah

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:27 PM. Filed under .

0 comments for "[Siri 1] Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Fathi al-Sakandary"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign