Penjelasan Status Hadith Kelebihan Puasa 'Arafah

| |






|| Penjelasan Status Hadith Kelebihan Puasa 'Arafah ||

Hadith popular berkenaan kelebihan (fadhilat) puasa pada hari 'arafah, datang dengan jalur dari sekelompok (jamaah) sahabat antaranya Abi Qatadah (dan ini tidak tepat), Qatadah bin al-Nu'man, 'Umar al-Khattab, 'Aishah, Sahl bin Sa'ad, Ibn 'Abbas, Zaid bin al-Arqam, 'Abdullah bin 'Umar. Namun kesemua jalur ini tidak terlepas daripada cacat cela, Dha'if serta tidak dapat dinaikkan darjatnya. 

A) Kritikan Sanad:

1) Jalur yang paling kuat ialah jalur yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Jami'nya al-Sahih, iaitu daripada 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah secara marfu', hadith ini Dha'if, baginya banyak kecacatan antaranya:

  1- Putus (inqitha') antara 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani dan Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi) sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (5/198). Bahkan kata al-Tirmizi "Hasan" iaitu Dha'if (al-Jami' al-Mukhtasar, 749) begitu juga Ibn 'Adiy dengan mengutip kalam al-Bukhari (al-Kamil Fi Dhu'afa' al-Rijal, 5/347).

  2- Mutaba'ah daripada Harmalah bin Iyaas (atau Iyaas bin Harmalah) tidak dapat menampung kelemahan jalur ini, baginya ittirab (goncang) serta ikhtilaf (percanggahan ) yang amat berat sehingga tidak dapat ditarjih dan ditinggalkan, berkata al-Bukhari selepas menyebut ikhtilaf bagi jalur ini "Tidaklah Sahih isnadnya" (al-Tarikh al-Kabir, 3/68), serta berkata al-Daraquthni selepas menjelaskan jalur-jalurnya "Ianya Muttarib, tidaklah dihukum baginya dengan apapun" (al-'Ilal, 6/151).

  3- Sekiranya seseorang berkata 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani mendengar daripada Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi), maka jalur ini tetap Dha'if kerana putusnya juga! Disebabkan Abu Qatadah dalam jalur ini bukanlah Abu Qatadah al-Ansari yang merupakan seorang Sahabi, namun ia sebenarnya adalah Abu Qatadah al-'Adawi yang merupakan daripada kalangan Tabi'in. 

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Ma'in katanya "semua riwayat daripada Ibn Sirin, dan juga riwayat para Basrah daripada Abi Qatadah, maka ianya adalah Abu Qatadah al-'Adawi", sungguh Ibn Ma'in merupakan sang pencerah!! Maka jalur ini Dha'if kerana kedua-dua 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani serta Harmalah yang meriwayatkan hadith ini adalah orang Basrah, maka Abi Qatadah adalah al-'Adawi bukannya al-Ansari. 

2) Jalur 'Umar al-Khattab, dikeluarkan antaranya oleh Abu Ya'la dalam Musnadnya (144), iaitu daripada 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah, jalur ini juga Dha'if baginya putus (inqitha') kerana 'Abdullah bin Ma'bad tidak pernah mendengar daripada 'Umar sebagaimana yang dijazamkan Abu Zur'ah dalam al-Marasil (524).

3) Jalur Qatadah bin al-Nu'man juga Dha'if kerana dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha'if. 

4) Jalur 'Aishah juga Dha'if kerana putus antara 'Atha al-Khurasani dan 'Aishah, ianya juga datang dengan riwayat yang bersambung (mausul) namun Dha'if tidak terlepas daripada para rawi Munkarul Hadith serta Majhul. 

5) Jalur Sahl bin Sa'd juga Dha'if, baginya dua rawi yang Dha'if

6) Jalur Ibn 'Abbas juga Dha'if dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha'if. 

7) Jalur Zaid bin al-Arqam juga Dha'if bahkan musalsal (bersamsung-sambung) dengan para rawi yang Dha'if dan Matruk. 

8) Akhirnya jalur Ibn 'Umar juga Dha'if, baginya perawi Munkarul Hadith. 

B) Kritikan Teks (Matan): 

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, isnad setiap jalur hadith ini tidak terlepas daripada cacat cela, dan ianya Dha'if tidak dapat dikuatkan. Selain masalah sanad, hadith ini juga bermasalah pada teksnya iaitu lafaz "diampunkan dosa-dosa setahun sebelum serta setahun selepasnya".

Lafaz ini secara zahir seolah menetapkan keampunan dosa-dosa yang bakal dilakukan pada tahun akan datang, ini ajaib!! Perkara sebegini hanya benar bagi Nabi yang ma'sum, manakala manusia lain yang berbuat dosa maka tidaklah ditetapkan keampunan, tidak diampun melainkan setelah bertaubat memohon keampunan. 

Lihatlah kita kepada hadith kelebihan bulan paling mulia Ramadhan, yang baginya malam umpama 1000 bulan, disebut dalam hadith Sahih dengan kesepakatan huffaz "sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu", dalam lafaz lain menyebut "sesiapa yang mendirikan malam al-Qadr dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu". 

Bagaimana mungkin puasa 1 hari pada hari 'arafah ini kelebihannya melebihi puasa Ramadhan yang difardhukan selama 30 atau 29 hari, serta disebutkan baginya bulan maghfirah (keampunan)??! Serta bagaimana mungkin puasa 'arafah ini kelebihannya melebihi bersolat malam dalam malam al-Qadr, yang Nabi serta isteri-isterinya berjaga malam di masjid dalam tempoh-tempoh 10 hari akhir??! 

C) Fiqh al-Hadith: 

Telah jelas kepada kita bahawa tiada hadith Sahih berkenaan kelebihan (fadhilat) berpuasa pada hari 'arafah, hadithnya Dha'if serta Munkar matan (teks)nya. Namun tidaklah menjadi kesalahan serta tidaklah dihukumi bid'ah mereka yang berpuasa pada hari 'arafah, kerana telah thabit Sahih dianjurkan memperbanyak amalan pada 10 hari awal Zulhijjah dan ia termasuklah berpuasa, disamping bertakbir, serta bertahmid, dan hari 'arafah termasuk 1 hari dalam hari-hari 10 awal Zulhijjah. 

Dengan itu dianjurkan membanyak amal termasuklah salah-satunya dengan berpuasa pada hari 'arafah, hanya saja kelebihan yang disebutkan dalam hadith yang popular "diampunkan dosa-dosa satu tahun lalu serta mendatang" tidaklah Sahih. Suka saya mengulang ungkapan para guru-guru saya, "fiqh bagi sesuatu hadith itu lebih luas daripada tashih (penilaian Sahih) serta tad'if (penilaian Dha'if)", dan kaedah umum ini adalah perkara yang perlu jelas difahami. 

Fathi al-Sakandary 
8 Zulhijjah 1435H / 3 Oktober 2014M
Iskandariah, Mesir.

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:42 AM. Filed under , .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign