Penjelasan Status Hadith-Hadith Gugurnya Kewajipan Solat Jumaat bagi yang telah bersolat 'Eid pada pagi Jumaat
|| Penjelasan Status Hadith-Hadith Gugurnya Kewajipan Solat Jumaat bagi yang telah bersolat 'Eid pada pagi Jumaat ||
Pertama: Hadith Abu Hurairah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ))
Dari Abu Hurairah dari Nabi saw bahawa baginda berkata: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat
Takhrij:
Dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (1073), Ibn Majjah (1311), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa (302) dan lainnya, kesemuanya dari jalur Baqiyyah bin al-Walid telah mengkhabarkan kami Syu'bah dari al-Mughirah al-Dhabbiyyi dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Abi Hurairah.
Status:
Saya katakan hadith ini Munkar. Telah tafarrud (menyendirinya) Baqiyyah meriwayatkannya dari Syu'bah, sedangkan tiada satupun ashab Syu'bah lain membawa riwayat ini.
Sesungguhnya telah tersilap Baqiyyah dalam menyatakannya ia dari Syu'bah, dan sesungguhnya hadith ini bukanlah dari Syu'bah pun!
Hadith ini diingkari oleh jamaah huffaz hadith Salaf semisal al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Hatim, al-Imam al-Daraquthni.
Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanad yang Sahih dalam al-Tarikh bahawa berkata al-Imam Ahmad:
"Telah diberitakan kepadaku bahawa Baqiyyah meriwayatkan dari Syu'bah dari Mughirah dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Abi Hurairah berkenaan dua 'eid (solat 'eid dan solat jumaat) yang berlaku dalam hari yang sama, dari mana Baqiyyah mengambil perkara ini!!!". Al-Imam Ahmad mengingkari riwayat ini dengan seingkar-ingkarnya.
Berkata al-Imam al-Daraquthni "hadith ini Gharib dari hadith Mughirah, tiada yang meriwayatkannya selain Syu'bah bahkan ianya juga Gharib dari Syu'bah! Tiada yang meriwayatkannya dari Syu'bah selain Baqiyyah.."
Bahkan berkata al-Imam Ibn 'Abdil Barr dalam al-Tamhid (272/10):
"Hadith ini tidak diriwayatkan dari Syu'bah walaupun dari seorang yang thiqah dari kalangan ashabnya (muridnya) yang huffaz, sebaliknya ia diriwayatkan oleh Baqiyyah bin al-Walid, dan ia bukanlah hadith Syu'bah pun asalnya! Baqiyyah meriwayatkan hadith ini dari ahli negerinya iaitu Syam dan baginya kelemahan, kebanyakan ahli ilmu (ahli hadith) menDhaifkan riwayat Baqiyyah yang beliau riwayat dari orang-orang Syam dan selainnya, dan baginya hadith-hadith Munkar! Dan beliau Dhaif tidak dibuat hujah"
Kedua: Hadith Abdullah bin Abbas
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)).
Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”.
Takhrij:
Dikeluarkan oleh Ibn Majjah (1311), telah menceritakan kami Muhammad bin al-Musoffa al-Himsi telah menceritakan kami Baqiyyah telah menceritakan kami Syu'bah telah menceritakanku Mughirah al-Dhabbiyyi dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Ibn 'Abbas secara marfu'.
Status:
Saya katakan hadith ini Munkar! Telah tersilap Ibn Majjah dalam meriwayatkan hadith ini sebagai hadith Ibn 'Abbas, yang benar ia adalah hadith Abi Hurairah dan statusnya adalah Munkar sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary:
"Demikian membawanya Ibn Majjah dengan sanad ini dari Ibn 'Abbas, dan ia silap! Sanad yang betulnya ialah sebagaimana yang dikeluarkan Abu Daud dengan sanad dari Abi Hurairah, dan ia adalah sebagaimana yang telah dijelaskan secara rinci sebelum ini bahawa ia adalah muttarib munkar matan"
Ketiga: Hadith Zaid bin Arqam
مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: (مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ)
Mu’awiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam: Pernahkah kamu meyaksikan dua hari ‘eid yang bertepatan pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid kemudian Baginda memberikan rukhshah (kelonggaran) bagi solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), maka solatlah.”
Takhrij:
Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (372/4), al-Darimi (1612), al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (438/1), Ibn Majjah (1310), al-Bazzar dalam Musnad al-Mua’ll (4337), Abu Daud (1070), al-Nasaie (194/3), Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (1474), kesemuanya dari jalur Israil telah menceritakan kami Uthman bin al-Mughirah dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii katanya “daku melihat Mu’awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam…- seperti di atas - ”
Status:
Saya katakan hadith ini Dha’if Munkar! Baginya beberapa kecacatan:
1- Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii adalah Majhul.
Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary: “walaupun Iyas merupakan kalangan majhul dari tabi’in yang memungkinkan riwayatnya diterima dengan qarain dan husn zhan, namun bagi hadith ini ia tidak menepati syarat untuk menerimanya kerana matannya munkar, menyalahi usul serta bertentangan dengan hadith yang thabit dari al-Nu’man bin Basyir yang menyatakan Nabi SAW tetap melaksanakan Jumaat walaupun ‘eid pada hari Jumaat”
2- Bersama-sama dengan Majhulnya Iyas, beliau juga tefarrud (menyendiri) membawa riwayat ini dari Mua’wiyah bin Abi Sufyan.
Hadith ini telah diDha’ifkan oleh para huffaz Salaf, antaranya oleh Ibn Khuzaimah sendiri dengan katanya “In Sahha l-Khabar / إن صح الخبر (jika benarlah khabar ini sahih / Jika benar khabarnya).
Perlu diketahui bahawa bentuk lafaz syak “In Sahha l-Khabar” ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Ini adalah manhaj/ metod yang digunakan oleh Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya, iaitu apabila beliau menyebut "In Sahha l-Khabar" dalam Kitab Sahihnya ia menunjukkan bahawa hadith itu Dha‘if di sisinya.
Juga diDhaifkan oleh al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (1052) dengan membawa kata Ibn al-Munzir katanya: “ini tidaklah thabit, sesungguhnya Iyas adalah Majhul”.
Keempat: Hadith 'Abdullah bin 'Umar.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ))
Dari Ibn 'Umar katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh”
Takhrij:
Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majjah (1302), Ibn 'Adiy dalam al-Kamil (456/6), Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq Fi Ahadith al-Khalaf (797), dari jalur Jubarah bin al-Mughallas telah menceritakan kami Mindal bin 'Ali bin 'Abdul 'Aziz bin 'Umar dari Nafi' dari Ibn 'Umar secara marfu'
Juga dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir (435/12591/12) dari jalur Said bin Rasyid al-Simak telah menceritakan kami 'Atha bin Abi Rabah dari Ibn 'Umar secara marfu' dengan sediiit beza lafaz.
Status:
Saya katakan hadith ini Dhaif, bahkan Maudhu' Batil! Baginya beberapa penyakit:
1- Kedua-dua Jubarah dan Mindal adalah Dhaif. Jubarah lebih parah dhaifnya antara keduanya.
Bahkan Jubarah banyak mendustakan hadith sebagaimana yang dijelaskan al-Imam Yahya Ibn Ma'in, al-Imam Ahmad bin Hanbal serta al-Imam Abu Zur'ah.
2- Said bin Rasyid adalah muttaham, berkata al-Imam Ibn Ma'in tentangnya "tiada nilainya", berkata pula al-Imam al-Bukhari serta al-Imam Abu Hatim "Munkarul hadith", bahkan berkata al-Nasaie "Matruk al-Hadith".
Hadith ini diDhaifkan oleh para huffaz semisal al-Imam Ajmad bin Hanbal, al-Imam Ibn 'Adiy, Ibn Majjah dan lainnya. Bahkan berkata guru saya Syaikhul hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary "batil".
Fiqh al-Hadith:
Bagaimana dengan hukum solat Jumaat pada hari `Eid? sesetengah fuqaha' berpendapat bahawa bagi mereka yang telah pergi menunaikan solat `Eid tidak wajib lagi untuk pergi melaksanakan solat Jumaat.
Pendapat ini amat lemah, kerana tiada satupun dalil Sahih yang menyatakan bolehnya meninggalkan solat Jumaat sekiranya telah melakukan solat `Eid, semua hadith dalam hal ini kesemuanya cacat diingkari oleh para huffaz hadith Salaf. Bahkan berkata Imam Ibn ‘Abdil Barr:
“Tidaklah boleh bagi seorang muslim berpendapat gugurnya kefardhuan (kewajipan) solat Jumat – apabila jatuh ‘Eid pada hari Jumaat - , sedang Allah ‘Azza Wa Jalla telah wajibkan kepadanya dengan kataNya: {bermaksud- Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat)}, tidaklah Allah dan RasulNya bezakan hari ‘Eid atau selainnya dari segi hujah kewajipannya, maka bagaimana mungkin seseorang berpendapat gugurnya solat Jumaat...tiadalah baginya sebarang hadith – yang menggugurkan kewajipan solat Jumaat apabila jatuh pada hari ‘Eid – melainkan ia dikritik dengan kecacatan disisi para ahli ilmu dalam hadith (iaitu para ahli hadith)” [Rujuk: al-Tamhid, 10/277]
Dengan itu berkata Imam Ibn Hazm:
“Apabila berhimpunnya hari ‘Eid pada hari Jumaat, tidak dapat tidak mestilah solat untuk ‘Eid, kemudian solat untuk Jumaat pula, tidaklah sahih akan athar-athar yang menyalahi hal ini” [Rujuk: al-Muhalla, 3/303]
Dalam hal ini terdapat 4 hadith marfu’ dan beberapa athar yang mauquf, kesemuanya adalah Dha’if dan cacat, bahkan Munkar. Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan secara terperinci oleh guru kami Syaikhuna al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary dalam kitabnya "al-Lum'ah Bi Bayan Anna Solat al-`Eid La Tujzi `An Solah al-Jumu'ah", dan juga oleh guru kami Syaikhuna al-Muhaddith ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim al-Misri dalam kitabnya “Tahsil Maa Faat al-Tahdis Bimaa Qila La Yasih Fihi Hadith”. Yang rajih ialah solat `Eid itu wajib dan solat Jumaat juga kekal wajib.
~ Dr. Fathi al-Sakandary ~
Jazakallah khoir...
Cuma nak tanya pendapat imam Ahmad dalam masalah ni...
Jazakallah khoir...
Cuma nak tanya pendapat imam Ahmad dalam masalah ni...
@ abu faaiziddin
Hukum solat jumaat di hari raya
*Telah mengabarkan kepada kami [Muhammad bin Basysyar] dia berkata; telah menceritakan kepada kami [Yahya] dia berkata; telah menceritakan kepada kami ['Abdul Hamid bin Ja'far] dia berkata; telah menceritakan kepadaku [Wahb bin Kaisan] dia berkata; "Pada masa Ibnu Zubair, pernah terjadi dua hari raya (hari raya & Jum'at) dalam satu hari. Ibnu Zubair mengakhirkan keluar untuk shalat 'Id agak siang, lalu ia keluar dan menyampaikan khutbah dengan khutbah yang lama. Kemudian ia turun dan mengerjakan shalat. Pada hari itu ia tidak mengerjakan shalat Jum'at bersama manusia. Hal tersebut diceritakan kepada [Ibnu Abbas], dan dia mengatakan bahwa Ibnu Zubair sudah melakukan sesuai dengan Sunnah."(HR Nasaie 1592)-sahih
**Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Tharif Al Bajali telah menceritakan kepada kami Asbath dari Al A'masy dari Atha' bin Abu Rabah dia berkata:
Ibnu Zubair shalat bersama kami pada hari raya di hari jum'at, di awal hari, kemudian kami berangkat untuk melaksanakan shalat jum'at, namun dia tidak keluar untuk mengimami kami, akhirnya kami shalat sendiri-sendiri, ketika itu Ibnu Abbas sedang berada di Thaif, setelah datang, kami sampaikan hal itu kepadanya, dia menjawab: "Dia (Ibnu Zubair) benar telah melaksanakan sunnah."(HR Abu Daud 905-sahih)
Terdapat Khilaf para ulama mazhab berkenaan isu ini, dan masing-masing mempunyai hujah
1) Jumhur (Maliki, Hanafi, Syafie) yang mewajibkan solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya kerana berdalilkan dari al-Quran Surah Jumuah, 9 (al-Mughni: (2/358))
Namun begitu dari Imam Syafie berpendapat bahawa gugur solat Jumaat kepada ahli bawadi dan awali iaitu golongan yang tinggal jauh di pedalaman, ini menyukarkan mereka untuk kembali semula melaksanakan solat Jumaat sepertimana yang telah difatwakan oleh Saidina Uthman dan dinyatakannya oleh Imam al-Bukhari (Majmu’: 4/320).
2) Imam Ahmad berpendapat tidak wajib untuk solat jumaat (berdalilkan 2 dalil saya sebutkan di atas) bagi orang bandar/luar bandar yang telah menghadiri solat sunat hari raya tapi wajib solat zuhur. Menurut Mazhab Hambali perintah menunaikan solat jumaat tetap meliputi orang yang melakukan solat sunat hari raya, cuma diizinkan untuk tidak menunaikannya apabila dikehendakinya. Jika ia menghadiri solat jumaat maka itu lebih disukai dan sebagai perbuatan menghindari khilaf di kalangan umat. Manakala imam masjid wajib mengadakansolat jumaat untuk meraikan orang yang tidak hadir solat sunat hari raya (Al-Bahuti dalam Kashaf al-Qina')
*,**2 dalil ini walaupun sahih tapi masih terbuka kepada perdebatan ulama kerana ada yang menyatakan perkataan ibnu abbas kepada ibnu zubair “menepati sunnah” itu berkemungkinan besar merujuk kepada sunnah khulafa ar-rasyidin bukannya Nabi SAW seperti dinaqalkan oleh ibnu khuzaimah dari jalur Wahab bin Kaisan daripada Ibn Zubair dalam Sahihnya. Sementelah itu Ibnu taimiyah berpendapat amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas bahawa perbuatan meninggalkan solat jumaat pada hari raya itu betul dari segi sunnah (Fatawa al-Kubra 2/366).
Kesimpulan
1) Jika hari raya jatuh hari jumaat, maka ada pilihan untuk tidak hadir solat jumaat jika TELAH menghadiri solat sunat hari raya dan wajib menunaikan dengan solat zuhur. Jika ada keperluan untuk mendapatkan rukhsah (seperti tak sempat, jauh, musafir dan lain2) ataupun tidak.
2) Tetapi kalau hendak hadir untuk solat jumaat juga walaupun telah menghadiri solat sunat hari raya, maka itu lebih baik Tapi pendapat jumhur paling kuat. Islam itu luas.
Waallahu ’alam