Siri 1: Istilah Hasan disisi Al-Bukhari
Istilah Hasan Disisi Al-Bukhari
SIRI 1:
Pendahuluan
Sebagaimana yang pernah kita jelaskan sebelum ini, istilah Hasan adalah satu istilah yang telah digunakan oleh para huffaz salaf sejak zaman berzaman, ia bukanlah satu istilah yang hanya bermula pada zaman Imam Al-Tirmizi (279H), namun sebenarnya ia telah digunakan oleh para huffaz sebelum Imam Al-Tirmizi (279H) lagi seperti Imam al-Syafie (204H), Imam Ali ibn Al-Madini (234H), Imam Ahmad b. Hanbal (241H), Imam Al-Bukhari (256H), Imam Ya`qub b. Shaybah (262H), Imam Abu Zur`ah Al-Razi (264H), Imam Abu Hatim Al-Razi (277H) dan lain-lain
Dan istilah Hasan ini adalah satu istilah yang paling memeningkan untuk para penulis kitab mustolah untuk memberikannya definisi yang khusus lagi tepat. Hal ini diperakui oleh Imam Al-Zahabi, sehingga beliau berputus asa untuk mencipta satu formula yang khusus untuk istilah ini. Sehingga berkata al-Zahabi dalam kitabnya al-Mugizoh 'tiada satu kaedah - formula dan definisi - yang satu yang dapat menghimpunkan kesemua hadith-hadith hasan di dalamnya"
Kenapa ia susah? kerana para huffaz salaf tidak mempunyai satu metod yang khusus dan jelas untuk istilah ini, bahkan mereka menggunakan istilah Hasan ini untuk hadith-hadith yang pelbagai ragam samada dengan maksud - Sahih, Dhaif, Maudhu', Munkar, Gharib, Hasan sebagaimana pemahaman Al-Mutaakhirin - dan sebagainya.
Bahkan kata syaikh Thariq 'Awadullah dalam bukunya Syarhu Lughotul Muhaddith:
''seperti yg telah dinyatakn (sblm ini) - bahawa istilah ''hasan'' digunakan (oleh imam-imam hadith salaf) keatas banyak jenis hadith-hadith antaranya: hadith yang diterima (maqbul) secara umumnya, samada ia sahih dari jenis yang tinggi atau yang rendah daripadanya, dan juga digunakan (istilah hasan) ini untuk hadith-hadith yang gharib, munkar dan maudhu''
Malah pembahagian Hasan kepada Hasan Li Zhatih dan Hasan Li Ghairih juga tidak dikenal oleh para huffaz Salaf, istilah Hasan Li Zhatih dan Hasan Li Ghairih hanya bermula pada zaman Ibn Al-Solah apabila beliau cuba untuk mendefinisikan dan memformulakan istilah Hasan dalam kitabnya Ma'rifat Anwaq Al-Hadith atau lebih dikenali sebagai Muqaddimah Ibn Al-Solah, dan definisi serta formula itu lah yang terkenal sehingga hari ini dalam kitab-kitab mustolah moden yang ringkas-ringkas.
Namun, pembahagian Hasan kepada Hasan Li Zhatih dan Li Ghairih oleh Ibn Al-Solah ini tidak dipersetujui oleh semua pengkaji hadith samada sezaman beliau atau selepasnya, malah sesetengah mereka mengkritik Ibn Al-Solah kerana mencipta pembahagian seperti itu.
Namun bagi kita, apa yang dilakukan oleh Ibn al-Solah bukanlah suatu yang salah, bahkan ia adalah suatu usaha yang sangat mulia untuk memudahkan orang awam dan para penuntut ilmu pada zamannya untuk memahami kajian hadith. Walaubagaimanapun, kita sebagai penuntut ilmu perlu mengetahui hakikat sebenar istilah 'Hasan' disisi huffaz Salaf supaya kita tidak tersalah faham, dan tidak tersalah mengaplikasikan istilah 'Hasan' sebagaimana yang diformulakan dan didefinisikan oleh Ibn al-Solah kepada istilah 'Hasan' yang digunakan oleh para huffaz sebelum beliau seperti al-Tirmizi, Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim dan lain-lain, kerana penggunaannya amatlah berbeza sama sekali. Pemahaman ini penting agar kita tidak tersilap dalam amali kajian hadith.
Dahulu kita pernah jelaskan bahawa istilah Hasan bagi Imam Al-Tirmizi dalam kitab Al-Jami'nya secara khusus adalah bermaksud dhaif, pendapat yang didokong oleh ramai para ulama hadith seperti Al-Tharifi, Dr. Basyar Awwad, Dr. Mustafa Al-Muhammadi dan lain-lain, dan pendapat ini disokong dengan bukti-bukti yang pelbagai, bahkan turut dimasukkan dalam perbincangan tesis PHD sebagai contoh tesis Dr. Mustafa Al-Muhammadi. Lanjut berkenaan istilah-istilah Imam Al-Tirmizi dalam kitab Jami'nya, bolehlah merujuk kepada buku saya "Pengenalan kepada Sunan Al-Tirmizi dan Manhajnya" yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman Ansarul-Hadis.
InsyaAllah kali ini, kita akan cuba menjelaskan secara ringkas apakah maksud Hasan oleh Imam Al-Bukhari pula, iaitu guru kepada Imam Al-Tirmizi.
Imam Al-Bukhari telah menggunakan istilah Hasan ini dalam kitab-kitab beliau selain Al-Sahih, misalnya terdapat nukilan-nukilan daripada Al-Bukhari dalam menggunakan istilah Hasan ini dalam kitab-kitab beliau seperti Al-Tarikh Al-Kabir, Al-Tarikh Al-Saghir, Al-Dhu'afa' Al-Saghir, Juz' Al-Qairaat Khalaf Al-Imam, Juz' Raf-yadayn, Khalaq 'Af'al Al-'Ibad dan lain-lain. Malah ia juga turut terdapat dalam nukilan-nukilan anak murid beliau Al-Tirmizi samada dalam kitab Jami'nya atau kitab Al-'Ilal Al-Kabir.
.......bersambung, insyaAllah
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 12:53 PM. Filed under
Mustolah
.