Status hadith ganjaran mati syahid
Solan (dari shoutbox):
--------------------------- Jawapan:
Matan Hadith:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للشهيد عند الله ست خصال يغفر له في أول دفعة ويرى مقعده من الجنة ويجار من عذاب القبر ويأمن من الفزع الأكبر ويوضع على رأسه تاج الوقار الياقوتة منها خير من الدنيا وما فيها ويزوج اثنتين وسبعين زوجة من الحور [ العين ] ويشفع في سبعين من أقاربه
Terjemahan:
"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Orang yang mati syahid di sisi Allah mempunyai enam keutamaan; dosanya akan diampuni sejak darahnya tertumpah pada pertama kali pertempuran, diperlihatkan tempat duduknya di Syurga, terhindar daripada siksa kubur, diberi keamanan daripada merasa ketakutan yang besar pada saat dibangkitkan daripada kubur, diberi mahkota kemuliaan yang satu permata darinya lebih baik dari dunia seisinya, dinikahkan dengan tujuh puluh dua bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari keluarganya."
Takhrij Ringkas:
Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad dalam Musnad (no. 17221) dan Al-Tirmizi dalam Jami' Al-Mukhtasar (no. 1663) . Juga dikeluarkan oleh Ibn Majah (no.2799) tetapi tanpa lafaz "tujuh puluh dua bidadari".
Status Hadith:
Hadith ini adalah Sahih. Disahihkan antaranya oleh Imam Abu 'Isa Al-Tirmizi sendiri, kata beliau: "Sahih Gharib". Dalam sesetengah manuskrip menyebut "Hasan Sahih Gharib", namun yang tepat ialah "Sahih Gharib" sebagaimana yang terdapat dalam manuskrip Jami' Al-Tirmizi riwayat Imam Al-Karrukhi, iaitu naskhah manuskrip kitab Jami' Al-Tirmizi yang tertua dan yang paling tepat.
Istilah 'Sahih Gharib' ini adalah tashih (pensahihan hadith) disisi Imam Al-Tirmizi, istilah ini kebanyakannya Al-Tirmizi gunakan pada hadith-hadith yang tidak bersangkutan hukum, dan hadith ganjaran syahid ini adalah bukan hadith hukum. Istilah ini adalah tahap tashih yang paling rendah daripada Imam Al-Tirmizi berbanding kata-kata beliau seperti "Hasan Sahih" dan "Sahih".
Lebih lanjut berkenaan manhaj (metod) serta lafaz-lafaz tashih (pensahihan hadith) dan tad'if (pendha'ifan hadith) oleh Imam Al-Tirmizi dalam kitab Jami'nya, boleh dirujuk dalam buku saya bertajuk "Pengenalan kepada Sunan Al-Tirmizi dan Manhajnya" - buku boleh didapati secara percuma di pautan ini : http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/01/pengenalan-kepada-sunan-al-tirmizi.html
Hadith ini juga dinilai Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dalam tahqiqnya atas Jami' Al-Tirmizi (no.1663 ).
Tambahan lafaz 72 Bidadari:
Tambahan lafaz ini terdapat dalam matan hadith yang direkod oleh Imam Al-Tirmizi dan Imam Ahmad bin Hanbal, dan ianya adalah Sahih, disahihkan oleh Imam Al-Tirmizi dengan katanya "Sahih Gharib".
wallah hu 'alam.
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 3:43 PM. Filed under
Takhrij
.