Tahzir Imam Ahmad untuk hadith-hadith Gharib

| |







Tahzir Imam Ahmad untuk hadith-hadith Gharib
Ditulis oleh: Muhammad Fathi Alial-Sakandary
Dibawah seliaan: Muhammad Anwaruddin al-Falanjazi

Berkata Imam Ahmad bin Hanbal:

شر الحديث: الغرائب التي لا يُعملُ بها ولا يُعتمدُ عليها

Terjemahan: "Seburuk-buruk hadith - ialah -, hadith-hadith Gharib yang tidak diamalkan dan tidak berpegang dengannya" [Rujuk: Syarh Lughotul Muhaddith, Thariq Iwadullah, hal. 322]

Saya berkata: kenyataan Imam Ahmad bin Hanbal ini jelas, hadith yang Gharib sanadnya (satu jalan) atau Gharib matannya (pelik matannya) yang tidak diamalkan fuqaha' secara umumnya, secara umumnya ia tidak diamalkan -tidak para sahabat, tidak para tabi'in dan tidak para atba' al-tabi'in-, sungguh ia adalah seburuk-buruk hadith.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal lagi:

"لا تكتبوا هذه الأحاديث الغرائب فإنّها مناكير، وعامّتها عن الضعفاء "

Terjemahan: "janganlah kamu semua menulis hadith-hadith yang gharib, kerana ia adalah hadith-hadith yang munkar dan secara umumnya adalah dari mereka-mereka yang dhaif" [rujuk: Tadrib al-Rawi, al-Suyuthi, 2/182]

Saya berkata: kenyataan Imam Ahmad ini memberi isyarat bahawa kebanyakan dan secara umumnya hadith-hadith yang Gharib sanadnya atau matannya, kebanyakannya adalah hadith-hadith yang Munkar iaitu padanya berlaku silap, dan secara majoritinya ia diriwayatkan oleh mereka-mereka yang lemah, dan hadith-hadith Gharib yang seperti ini adalah hadith Gharib yang tidak diamalkan oleh para fuqaha' secara umumnya, secara umumnya ia tidak diamalkan baik fuqaha' dari kalangan  para sahabat, para tabi'in dan  para atba' al-tabi'in. 

Namun disana terdapat segelintir kecil hadith-hadith Gharib yang diterima kerana tidak berlaku silap padanya (tidak munkar) walaupun sanadnya lemah iaitu dhaif khafif (isnadnya dhaif khafif dan tidak munkar), dan hadith-hadith Gharib seperti ini diamalkan isi kandungannya oleh para fuqaha' baik dari kalangan para sahabat, para tabi'in dan para atba' al-tabi'in. Hadith-hadith Gharib yang diterima ini antaranya boleh kita jumpai dalam kitab al-Jami' al-Mukhtasar karya Imam Abu 'Isa Muhammad bin Saurah al-Tirmizi, dimana beliau ada menghimpunkan sejumlah hadith-hadith Gharib (samada sahih atau dhaif isnadnya, yang semuanya tidak munkar) yang diamalkan oleh fuqaha' Salafus Soleh.

Dan berkata Imam Ahmad bin Hanbal lagi:

إذا سمعت أصحاب الحديث يقولون : هذا الحديث غريب أو فائدة ، فاعلم أنه خطأ أو دخل حديث في حديث ، أو خطأ من المحدث ، أو ليس له إسناد ، وإن كان قد روى شعبة ، وسفيان

Terjemahan: "apabila kamu mendengar ashabul hadith (iaitu nuqqad hadith) berkata: "hadith ini gharib" atau "faidah", ketahuilah bahawa sesungguhnya ia adalah hadith yang silap, atau masuk hadith dalam hadith, atau kesilapan dari muhaddith (iaitu perawi), atau tiada isnad padanya (iaitu tiada isnad yang kuat) walaupun hadith itu (engkau dapati pada zahirnya sanadnya) ia diriwayatkan oleh Syu'bah dan Sufyan" [rujuk: Al-Kifayah, hal. 225]

Saya berkata: kenyataan Imam Ahmad bin Hanbal ini adalah satu tahzir yang syadid untuk hadith-hadith yang telah dinilai dan diisytiharkan sebagai 'Gharib' oleh para ahli hadith, iaitu apabila kita mendapati sesuatu hadith yang kelihatan zahir sanadnya baik dari segi rantaian perawinya, sehingga kita dapati zahir sanad itu diriwayatkan oleh para Syuyukh Thiqaat yang dikenali hanya mengambil hadith-hadith dari perawi yang thiqah dan hadithnya sahih umpama Imam Syu'bah dan juga Imam Sufyan sekalipun,tetapi apabila para huffaz dan nuqqad hadith mengisytiharkan ia sebagai 'Gharib' maka ketahuilah bahawa hadith itu adalah silap, telah berlaku kesilapan padanya, walaupun jika zahir sanadnya kelihatan dari Syu'bah dan Sufyan tetapi sebenarnya ia silap dan bukannya hadith-hadith Syu'bah dan Sufyan.

Namun jika hadith itu jumpa dan kita lihat zahir sanadnya Gharib (satu jalan) tetapi tiada pengisytiharan dari para nuqqad secara jazam ia sebagai 'Gharib' maka ia belum tentu hadith itu silap, apatah lagi apabila ia datang dari rantaian perawi-perawi yang thiqaat. Akan tetapi apabila hadith yang Gharib itu kita dapati ia datang dari rantaian perawi-perawi yang lemah, atau apabila isi kandungan (matannya) bercanggah dengan usul, bercanggah dengan fatwa sahabat, tabi'in dan atba' al-tabi'in, ke'Gharib'an nya itu adalah satu qarain (petunjuk) yang kuat bahawa ia adalah hadith yang silap serta munkar, dan ia adalah hadith yang lemah.

Kesimpulan: kesemua kenyataan Imam Ahmad bin Hanbal diatas ini adalah satu tahzir (peringatan) bahawa seseorang perlulah berhati-hati dengan hadith-hadith yang Gharib, kerana kebanyakan dan majoritinya adalah hadith-hadith yang lemah serta tidak diamalkan fuqaha' Salaf, kecuali segelintir kecil sahaja yang sahih diterima dan diamalkan fuqaha' Salaf, atau dhaif khafif tetapi tidak munkar yang diamalkan isi kandungannya oleh fuqaha' Salaf (kebanyakannya adalah hadith-hadith fadhail yang tidak bersangkutan hukum, dan hadith-hadith sebegini boleh didapati dalam kitab al-Jami' karya Imam al-Tirmizi). Gharibnya (datang dengan satu jalan) sesuatu hadith bukan memberi erti secara automatis ia dhaif dan tertolak, tetapi ia adalah satu qarain (petunjuk) bahawa ia berkemungkinan lemah dan tertolak.


sekian, 
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi Al-Sakandary



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 12:12 PM. Filed under .

0 comments for "Tahzir Imam Ahmad untuk hadith-hadith Gharib"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign