[Siri 1] Ringkasan "Syamail al-Nabiyyi lil-Imam al-Hafiz Abu Isa al-Tirmizi, tahqiq Dr. Mahir Yasin al-Fahl"

| |





Rak buku ku: ditengah-tengah - Syamail al-Nabiyyi, tahqiq Dr. Mahir Yasin al-Fahl





[Siri 1]
Ringkasan "Syamail al-Nabiyyi lil-Imam Abu Isa al-Tirmizi,
tahqiq Dr. Mahir Yasin al-Fahl"
oleh: Abu Ismaaeel, Muhammad Fathi Ali Ibrahim Al-Sakandariy




Manhaj Ringkasan:


A) Ringkasan pada kitab Syamail al-Nabiy:

1- Saya akan membuang seberapa boleh sanad-sanad yang panjang sebelum sahabat

2- Untuk setiap hadith, saya akan sebutkan nama sahabat yang meriwayatkan hadith itu

3- Saya akan sebutkan nama 'bab'

4- Kemudian sebutkan hadith-hadith dibawah setiap 'bab' mengikut susunan yang terdapat dalam kitab asal


B) Ringkasan pada komentar Dr. Mahir Yasin al-Fahl, Abul Harith:

5- Komentar Dr. Mahir Yasin al-Fahl akan saya ringkaskan dengan membuang komentar yang panjang

6- Saya hanya menyebutkan kesimpulan status hadith sahaja.

7- Muqaddimah Dr. Mahir Yasin al-Fahl yang panjang sebanyak 8 halaman, saya abaikan dan buang kesemuanya.

8- Muqaddimah Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf yang panjang sebanyak 4 halaman, turut saya abaikan dan buang kesemuanya.

9- Sekiranya saya tidak bersetuju dengan Dr. Mahir Yasin al-Fahl, saya akan nyatakan komentar dan kritikan saya.

10- Apabila saya menukilkan kalam Dr. Mahir Yasin al-Fahl, saya mulakan dengan menyebut: "Berkata Syaikhuna Abul Harith". 

11- Apabila saya ingin membuat komentar saya sendiri, maka saya mulakan dengan menyebut: "Berkata Abu Ismaeel".

12- Edisi yang saya gunakan ialah edisi cetakan Dar al-Gharb al-Islami,Tunis, tahqiq Dr. Abul Harith Mahir Yasin al-Fahl, 2008M


C) Komentar fiqh hadith Syaikhul Hadith Maulana Zakaria al-Kandahlawi: 

13- Guru saya yang mulia - Syaikhuna Tuan Hassan Tuan Lah, akan menambah komentar fiqh hadith daripada Syaikhul Hadith Maulana Zakaria al-Kandahlawi apabila dirasakan perlu. 

14- Apabila Syaikhuna Tuan Hassan Tuan Lah ingin membuat komentar, maka beliau akan mulakan dengan menyebut: "Berkata Sayyid Hassan"


Abu Ismaaeel, Muhammad Fathi Ali Ibrahim Al-Sakandariy
Hadrah Al-Bahriah, 
Iskandariah, Mesir
9 Jamadil Akhir 1432H / 12 Mei 2011M




1) باب ما جاء في خلق رسول الله صلى الله عليه وسلم - Bab berkenaan Sifat Tubuh Rasulullah SAW:


Hadith no. 1 


عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عن أنس بن مالك أنه سمعه يقول : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ليس بالطويل البائن ولا بالقصير ولا بالأبيض الأمهق ولا بالآدم ولا بالجعد القطط ولا بالسبط بعثه الله تعالى على رأس أربعين سنة فأقام بمكة عشر سنين
وبالمدينة عشر سنين وتوفاه الله على رأس ستين سنة
 [1] وليس في رأسه ولحيته عشرون شعرة بيضاء

Rabi'ah bin 'Abdirrahman dari Anas bin Malik, sesungguhnya beliau (Rabi'ah) mendengarnya (Anas) berkata: "Rasulullah SAW mempunyai tubuh yang sedang-sedang, tidak tinggi dan tidak pendek, tidak terlalu putih dan tidak pula gelap, rambutnya tidak erinting dan tidak juga lurus. Allah mengutus baginda ketika berusia empat puluh tahun, baginda tinggal di Makkah selama sepuluh tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun. Allah mewafatkan baginda ketika berusia enam puluh tahun [1], pada kepala serta janggut baginda terdapat tidak lebih dari dua puluh helai rambut yang berwarna putih (uban)"


Berkata Syaikhuna Abul Harith: 

"Isnadnya Sahih. Mengeluarkan penulis kitab (iaitu Imam al-Tirmizi) dengan matannya serta isnadnya dalam kitab al-Jami' (3623), dan katanya ((Hasan Sahih))..." 

[1] Berkata Syaikhuna Abul Harith: 

"Al-Mahfuz (yang terpelihara): ialah sesungguhnya Nabi SAW wafat pada umur 63 tahun, adapun kata-kata perawi ((على رأس ستين سنة - pada 60 tahun)) adalah riwayat yang syadz, dan telah mensahihkan al-Bukhari akan riwayat yang menyebut 63 tahun..." 


Berkata Abu Ismaaeel: 

"Apa yang disebut oleh Syaikhuna Dr. Mahir diatas adalah benar, iaitu riwayat yang terpelihara ialah Baginda SAW wafat pada umur 63 tahun, dan inilah pendapat yang arjah (terkuat). 

Berkenaan tahun wafat Baginda SAW ini, terdapat riwayat yang menyebut 63 tahun, iaitu riwayat Ibn 'Abbas,'Aishah, Mu'awiyah dan salah satu riwayat dari Anas, dan terdapat riwayat yang menyebut 60 tahun iaitu salah satu riwayat Anas. Iaitu riwayat Rabi'ah dari Anas menyebut 60 tahun manakala riwayat al-Zubair bin 'Adiy dari Anas pula menyebut 63 tahun. 

Dan yang terpelihara dan asoh (lebih tepat) dari Anas ialah riwayat al-Zubair bin 'Adiy dari Anas yang menyebut 63 tahun, sebagaimana kata al-Hafiz Ibn Hajar: " وهو أصح من قول ربيعة - dan ianya adalah asoh (lebih tepat) dari riwayat Rabi'ah" (rujuk: Ithaf al-Mahrah al-Khairah bi Zawaid al-Masanid al-'Asyrah, Abu Fadhl Ibn Hajar al-Asqalani, hadith no. 1091, tahqiq Markaz Khidmah al-Sunnah wa al-Sirah, seliaan Dr. Zuhair al-Nasir, cetakan Majma' al-Malik Fahd li-Thiba'ah al-Mushaf al-Syarif (Madinah), 1994M, rujuk juga komentar Syu'aib al-Arnaouth dalam tahqiq Jami' al-Tirmizi, hadith no. 39951(6/218), cetakan Dar al-Risalah al-'Alamiah,2009M)

Ini kerana riwayat Anas yang menyebut 63 tahun ini menepati riwayat sahabat-sahabat lain berkenaan umur wafatnya Baginda SAW, dan ia juga adalah pendapat Sa'id bin Musayyab,'Amir al-Sya'bi,Abi Ja'far Muhammad bin 'Ali, 'Abdullah bin 'Uqbah, al-Qasim bin 'Abdulrahman, al-Hasan al-Basri, 'Ali bin al-Husain dan lain-lain (rujuk: kenyataan Syu'aib al-Arnaouth dalam tahqiq Musnad Ahmad ketika mengomentari hadith no. 1846, cetakan Mu'assasah al-Risalah,2001M)" 



Berkata Sayyid Hassan: 

"1. mengenai ketinggian baginda, ada riwayat lain (antaranya dari Hind bin Abi Halah) yang mengatakan jika bersama orang ramai, kelihatan baginda adalah yang paling tinggi. Ini bukanlah ketinggian fizikal, tapi kelihatan tinggi kerana mukjizat yang baginda miliki. Baginda kelihatan tinggi dari sudut 'kamalat maknawiyah' (kesempurnaan maknawi) dan tinggi dari sudut 'suurah zahiri' (rupa zahiriah).

2. Kenyataan baginda menetap di Makkah selama 10 tahun selepas Nubuwwah, maka usia ketika kewafatan ialah 60 tahun. Ini berlawanan pula dengan riwayat lain yang menyatakan baginda menetap di Makkah selama 13 tahun, maka usia baginda ialah 63 tahun. Kemudian ada riwayat lain yg menyatakan usia baginda ialah 65 tahun.

Bagaimana kita akan menyelesaikan kecelaruan tersebut?

a. menetap di Mekah 10 tahun dan usia 60 tahun:
Tiga tahun adalah tempoh nubuwwah, adapun 10 itu adalah tempoh kerasulan. Maka 3 tahun itu tidak dihitung.

b. menetap di Mekkah 13 tahun dan usia baginda 63 tahun: Lazim bangsa arab, mereka tidak mengambil kira angka kecil atau pecahan, mereka hanya ambil puluhan saja. Maka Anas bin Malik hanya sebut puluhan (atau dalam bahasa inggeris, 'round-up to the whole numbers')

c. Usia baginda 65 tahun, ini kerana bangsa arab akan kira tahun kelahiran dan tahun kewafatan sebagai satu tahun yg berasingan, maka usia baginda adalah 63 tahun, dicampur dgn 1 tahun kelahiran dan 1 tahun kewafatan, maka jadi 65 tahun.

Namun, pendapat yang paling sahih, usia baginda ialah 63 tahun dan 13 tahun baginda menetap di Mekkah (rujuk: ta`aliq Maulana Zakariyya, syaikhul hadith, Khasa'il Nabawi, syarah syama'il Termidzi)"
 



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 2:44 PM. Filed under .

0 comments for "[Siri 1] Ringkasan "Syamail al-Nabiyyi lil-Imam al-Hafiz Abu Isa al-Tirmizi, tahqiq Dr. Mahir Yasin al-Fahl""

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign