Maksud Istilah: (La Asla Lahu) atau (La Isnada Lahu)
La Asla Lahu (لا أصل له) atau La Isnada Lahu (لا إسناد له)
Bagi mereka yang membaca kitab-kitab hadith, terkadang kita akan menemui seseorang Ahli Hadith itu berkata "La Asla Lahu (لا أصل له)" atau "La Isnada Lahu (لا إسناد له)" untuk sesuatu hadith itu, tahukah kita apakah maksudnya?
Istilah ini difahami dan digunakan oleh Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin berdasarkan maksud zahir perkataan itu sendiri, iaitu "La Asla Lahu (لا أصل له)" bermaksud “Tiada sumber asalnya" iaitu tidak diketahui sumber hadith itu, manakala "La Isnada Lahu (لا إسناد له)" bermaksud “Tiada isnad padanya" iaitu tidak diketahui isnad hadith itu, dan demikian itu adalah sebagaimana pemahaman dan penggunaan Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin.
Walau bagaimanapun penggunaan istilah “La Asla Lahu – لا أصل له“ dan “La Isnada Lahu - لا إسناد له“ ini di sisi Ahli Hadith Al-Mutaqaddimin daripada kalangan para imam-imam huffaz hadith semisal Imam Abu Hatim, Imam Abu Zur‘ah, Imam Yahya Ibn Ma‘in, Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan lain-lain adalah berbeza daripada penggunaan dan pemahaman Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin.
Bagi para imam huffaz hadith Al-Mutaqaddimin, maksud istilah ini ialah sebagaimana yang akan saya jelaskan dibawah:
لا أصل له (La Asla Lahu / Tiada Asal padanya):
Kata Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah: “لا أصل له (La Asla Lahu / Tiada Asal padanya):...Ketahuilah, sesungguhnya tidak dimaksudkan dengan kata-kata mereka (para ahli hadith salaf): “La Asla Lahu / لا أصل له ” menafikan adanya sanad, akan tetapi yang dimaksudkan mereka adalah ialah nafi kepada hadith itu asal untuk dibuat “rujukan” padanya, iaitu: tempat dikeluarkan hadith itu (dengan sanad) yang sahih, atau sanad yang boleh dibuat hujjah, yang boleh dijadikan rujukan (untuk hujah)” (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427)
Apa yang dikatakan oleh Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah adalah benar, bahkan bukti dalam hal ini sangat banyak, antara contohnya ialah hadith di bawah, kata Imam Ibn Abi Hatim:
سألت أبي عن حديث رواه كثير بن هشام عن كلثوم ابن جوشن عن أيوب السختياني عن نافع عن ابن عمر قال قال رسول الله التاجر الصدوق الأمين المسلم مع الشهداء يوم القيامة قال أبي هذا حديث لا أصل له وكلثوم ضعيف الحديث
“Aku telah bertanya kepada ayahku tentang hadith yang diriwayatkan oleh Kathir bin Hisyam daripada Kalthum Ibn Jausyani daripada Ayyub Al-Sakhtiyani daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar katanya, telah bersabda Nabi: {Peniaga muslim yang jujur lagi amanah akan bersama para Syuhada' pada hari Qiyamah}, kata ayahku tentang hadith ini: {hadith ini tiada asal padanya, dan Kalthum adalah Dha‘if Al-Hadith}” (rujuk: ‘Ilal Ibn Abi Hatim, hadith no. 1156)
Perhatikan pada hadith di atas, Imam Abu Hatim tetap menggunakan istilah “لا أصل له – Tiada Asal Padanya” untuk hadith tersebut, sedangkan hadith ini memang diketahui asal sumbernya dan diketahui sanadnya, malah hadith ini ditanya kepada Imam Abu Hatim dengan sanad, bahkan Imam Abu Hatim sendiri mengkritik rawi sanad hadith tersebut dengan katanya “Kalthum adalah Dha‘if Al-Hadith”. Malah Imam Ibn Majah mengeluarkan hadith ini dengan sanad yang sama dalam Sunannya (no. 2139).
لا إسناد له (La Isnada Lahu / Tiada Padanya Isnad):
Kata Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah: “ لا إسناد له (La Isnada Lahu / Tiada Padanya Isnad): Ia adalah seperti kata-kata mereka (para ahli hadith salaf): “La Asla Lahu / لا أصل له ”, tidaklah dimaksudkan ia menafikan adanya sanad, akan tetapi ia memaksudkan tiada sanad yang soleh (baik) untuk dibuat hujah, sanad yang boleh berpegang dengannya” (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427)
Apa yang dikatakan oleh Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah adalah benar, bahkan bukti dalam hal ini sangat banyak, antara contohnya ialah Imam Ahmad telah ditanya tentang beberapa sanad hadith yang berbunyi {ما بين المشرق والمغرب قبلة - antara timur dan barat adalah arah qiblat}, kemudian jawab Imam Ahmad {ليس له إسناد - Tiada Isnad Padanya}, sedangkan hadith ini sanadnya sangat banyak!, malah hadith ini ditanya kepada Imam Ahmad dengan sanad, dan sanadnya memang diketahui, Imam Ahmad mengetahui sanadnya. (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427, Masa’il Al-Imam Ahmad ‘An Abi Daud, hal. 300).
Contoh yang lain ialah, kata Imam Al-Ajri:
سألت أبا داود عن حديث معاوية بن معاوية في الصلاة على الجنازة ؟ فقال: ليس له إسناد
“Aku telah bertanya kepada Abu Daud berkenaan hadith Mu‘awiyah bin Mu‘awiyah dalam solat ke atas jenazah? Jawab Abu Daud: {Tiada Padanya Isnad}” (rujuk: Su’alat Al-Ajri Li Abi Daud, no. 1391)
Perhatikan pada hadith di atas, Imam Abu Daud tetap menggunakan istilah “ليس له إسناد – Tiada Padanya Isnad” untuk hadith tersebut, sedangkan hadith tersebut memang diketahui sanadnya, malah hadith ini ditanya kepada Imam Abu Daud dengan sanad!
Berdasarkan penjelasan dengan contoh-contoh yang dibawakan diatas, maka jelaslah bagi kita bahawa terdapat perbezaan Manhaj antara Ahli Hadith Al-Mutaqaddimin dan Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin dalam penggunaan istilah "La Asla Lahu (لا أصل له)" atau "La Isnada Lahu (لا إسناد له)" ini dengan perbezaan yang ketara.
Oleh itu menjadi satu hal yang amat penting untuk kita sebagai penuntut ilmu, apabila menemui seseorang Ahli Hadith itu berkata "La Asla Lahu (لا أصل له)" atau "La Isnada Lahu (لا إسناد له)" , penting untuk kita memastikan dahulu siapakah yang sedang berkata, adakah daripada kalangan Al-Mutaqaddimin? atau daripada kalangan Al-Muta’akhkhirin? jika daripada kalangan Al-Mu'assirin adakah beliau sedang gunakan sebagaimana penggunaan Al-Mutaqaddimin? atau penggunaan Al-Muta’akhkhirin? hal ini penting supaya kita dapat benar-benar memahami apakah maksud sebenar yang diinginkan, dan mengelak berlakunya salah faham dalam memahami kenyataan seseorang Ahli Hadith.
Sekian dikongsi, moga bermanfaat
Abu Ismaaeel Fathi
22 Julai 2011 / 21 Sya'ban 1432H
Iskandariah
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 3:57 PM. Filed under
Mustolah
.