Penjelasan Status Hadith: Haram Neraka Bagi Yang Gembira Masuknya Ramadhan

| |








Dikongsikan disini sebahagian daripada petikan isi buku saya "Hadith-Hadith Cacat Puasa", hadith no. 10, halaman 59 - 61 . Dalam buku ini saya berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin hadith-hadith cacat berkenaan puasa, dan telah siap jilid pertama sebanyak 142 halaman yang telah selesai disemak oleh guru saya, sekarang saya sedang berusaha menyambung  jilid kedua dan dijangka akan mula disemak pada pertengahan Ramadhan 1432H, secara keseluruhannya setakat ini buku ini (jilid pertama dan jilid kedua) telah mencecah lebih 200 halaman, alhamdulilLah. Saya bercadang untuk mencetaknya atas cadangan para sahabat, moga dimudahkanNya urusan.




Hadith no. 10: 

#         Matan Hadith:


من فرح بدخول رمضان حرّم الله جسده على النيران


Sesiapa gembira masuknya bulan Ramadhan, maka Allah SWT mengharamkan jasadnya daripada neraka

#         Takhrij:

Hadith ini tidak wujud dalam mana-mana kitab Matan Hadith. Ia hanya dijumpai dalam kitab Durrat Al-Nasihin karya Syaikh ‘Uthman bin Hasan bin Ahmad Al-Syakir Al-Khubawi (hal. 7)[1] tanpa sanad dan tanpa sumber[2].

#         Status:

Palsu.

Kata Dr. Ahmad Lutfi Fathullah[3]:

“Maudhu‘/ Palsu. Melihat lafaz dan kandungan hadith ini, ia mempunyai ciri-ciri hadith palsu, iaitu satu amalan kecil yang menjanjikan pahala yang begitu besar. Alasan kedua adalah hadith ini tidak dijumpai dalam kitab-kitab hadith yang mu‘tabar, termasuk dalam kitab-kitab yang mengandungi hadith-hadith dha‘if, maka hadith ini dapat digolongkan sebagaimana yang dikenali dalam istilah ilmu hadith dengan “la yu‘raf lahu aslun” atau “la asla lahu [4] (tidak diketahui sumber asalnya), ini akan menyebabkan hadith itu dihukumi palsu. Oleh karena itu, hadith ini adalah palsu karena sebab di atas”




[1] Sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Ahmad Lutfi dalam tahqiqnya ke atas Durrat Al-Nasihin.

[2] Saya mendapati hadith palsu ini telah tersebar dalam media internet dengan agak meluas, dan terdapat laman-laman web yang menyatakan hadith ini sebagai “riwayat Al-Bukhari” atau “riwayat Muslim”, sungguh ini adalah dusta kepada Imamain Al-Bukhari dan Muslim, bahkan ia adalah dusta kepada Baginda Nabi! Moga Allah menyelamatkan kita semua.

[3] Dalam tahqiqnya ke atas kitab Durrat Al-Nasihin - iaitu tesis PHD beliau-, sebahagian isi kitab ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Indonesia dengan tajuk Hadits-hadits Lemah & Palsu dalam kitab Durratun Nasihin, hal. 75

[4] La Asla Lahu (لا أصل له) atau La Isnada Lahu (لا إسناد له): Istilah ini difahami oleh Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin sebagai “Tiada sumber asalnya/ tidak diketahui sumbernya” atau “Tiada sumber isnad padanya/ tidak diketahui isnadnya”, sebagaimana penggunaan oleh Dr. Ahmad Lutfi ini ia adalah berdasarkan pemahaman dan penggunaan Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin. 

Walau bagaimanapun penggunaan istilah “La Asla Lahu – لا أصل له“ dan “La Isnada Lahu - لا إسناد له“ di sisi Ahli Hadith Al-Mutaqaddimin daripada kalangan para imam-imam huffaz hadith semisal Imam Abu Hatim, Imam Abu Zur‘ah, Imam Yahya Ibn Ma‘in, Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan lain-lain adalah berbeza daripada penggunaan dan pemahaman Ahli Hadith Al-Muta’akhkhirin. Bagi para imam huffaz hadith Al-Mutaqaddimin, maksud istilah ini ialah sebagaimana yang akan saya jelaskan dibawah:

لا أصل له (La Asla Lahu / Tiada Asal padanya):

Kata Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah: “لا أصل له (La Asla Lahu / Tiada Asal padanya):...Ketahuilah, sesungguhnya tidak dimaksudkan dengan kata-kata mereka (para ahli hadith salaf): “La Asla Lahu / لا أصل له ” menafikan adanya sanad, akan tetapi yang dimaksudkan mereka adalah ialah nafi kepada hadith itu asal untuk dibuat “rujukan” padanya, iaitu: tempat dikeluarkan hadith itu (dengan sanad) yang sahih, atau sanad yang boleh dibuat hujjah, yang boleh dijadikan rujukan (untuk hujah)” (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427)

Apa yang dikatakan oleh Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah adalah benar, bahkan bukti dalam hal ini sangat banyak, antara contohnya ialah hadith di bawah, kata Imam Ibn Abi Hatim:

سألت أبي عن حديث رواه كثير بن هشام عن كلثوم ابن جوشن عن أيوب السختياني عن نافع عن ابن عمر قال قال رسول الله التاجر الصدوق الأمين المسلم مع الشهداء يوم القيامة قال أبي هذا حديث لا أصل له وكلثوم ضعيف الحديث

“Aku telah bertanya kepada ayahku tentang hadith yang diriwayatkan oleh Kathir bin Hisyam daripada Kalthum Ibn Jausyani daripada Ayyub Al-Sakhtiyani daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar katanya, telah bersabda Nabi: {Peniaga muslim yang jujur lagi amanah akan bersama para Syuhada' pada hari Qiyamah}, kata ayahku tentang hadith ini: {hadith ini tiada asal padanya, dan Kalthum adalah Dha‘if Al-Hadith}” (rujuk: ‘Ilal Ibn Abi Hatim, hadith no. 1156)

Perhatikan pada hadith di atas, Imam Abu Hatim tetap menggunakan istilah “لا أصل له – Tiada Asal Padanya” untuk hadith tersebut, sedangkan hadith ini memang diketahui asal sumbernya dan diketahui sanadnya, malah hadith ini ditanya kepada Imam Abu Hatim dengan sanad, bahkan Imam Abu Hatim sendiri mengkritik rawi sanad hadith tersebut dengan katanya “Kalthum adalah Dha‘if Al-Hadith”. Malah Imam Ibn Majah mengeluarkan hadith ini dengan sanad yang sama dalam Sunannya (no. 2139).

 لا إسناد له (La Isnada Lahu / Tiada Padanya Isnad):

Kata Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah: “ لا إسناد له (La Isnada Lahu / Tiada Padanya Isnad): Ia adalah seperti kata-kata mereka (para ahli hadith salaf): “La Asla Lahu / لا أصل له ”, tidaklah dimaksudkan ia menafikan adanya sanad, akan tetapi ia memaksudkan tiada sanad yang soleh (baik) untuk dibuat hujah, sanad yang boleh berpegang dengannya” (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427)

Apa yang dikatakan oleh Syaikh Al-Muhaddith Tariq ‘Iwadullah adalah benar, bahkan bukti dalam hal ini sangat banyak, antara contohnya ialah Imam Ahmad telah ditanya tentang beberapa sanad hadith yang berbunyi {ما بين المشرق والمغرب قبلة - antara timur dan barat adalah arah qiblat}, kemudian jawab Imam Ahmad {ليس له إسناد - Tiada Isnad Padanya}, sedangkan hadith ini sanadnya sangat banyak!, malah hadith ini ditanya kepada Imam Ahmad dengan sanad, dan sanadnya memang diketahui, Imam Ahmad mengetahui sanadnya. (rujuk: Syarh Lughah Al-Muhaddith, Abi Mu‘az Tariq ‘Iwadullah, hal. 427, Masa’il Al-Imam Ahmad ‘An Abi Daud, hal. 300). 

Contoh yang lain ialah, kata Imam Al-Ajri:

سألت أبا داود عن حديث معاوية بن معاوية في الصلاة على الجنازة ؟ فقال: ليس له إسناد

 “Aku telah bertanya kepada Abu Daud berkenaan hadith Mu‘awiyah bin Mu‘awiyah dalam solat ke atas jenazah? Jawab Abu Daud: {Tiada Padanya Isnad}” (rujuk: Su’alat Al-Ajri Li Abi Daud, no. 1391)

Perhatikan pada hadith di atas, Imam Abu Daud tetap menggunakan istilah “ليس له إسناد – Tiada Padanya Isnad” untuk hadith tersebut, sedangkan hadith tersebut memang diketahui sanadnya, malah hadith ini ditanya kepada Imam Abu Daud dengan sanad!





Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 3:11 PM. Filed under .

2 comments for "Penjelasan Status Hadith: Haram Neraka Bagi Yang Gembira Masuknya Ramadhan"

  1. جزاكم الله خيرا

  2. Terima kasih banyak share. Penat cari hadis ni. Haha.

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign