Penjelasan status hadith: sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari

| |







Dikongsikan disini sebahagian daripada petikan isi buku saya "Hadith-Hadith Cacat Puasa", hadith no. 12, halaman 63 - 65 . Dalam buku ini saya berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin hadith-hadith cacat berkenaan puasa, dan telah siap jilid pertama sebanyak 142 halaman yang telah selesai disemak oleh guru saya, sekarang saya sedang berusaha menyambung  jilid kedua dan dijangka akan mula disemak pada pertengahan Ramadhan 1432H, secara keseluruhannya setakat ini buku ini (jilid pertama dan jilid kedua) telah mencecah lebih 200 halaman, alhamdulilLah. Saya bercadang untuk mencetaknya atas cadangan para sahabat, moga dimudahkanNya urusan.


Hadith no. 12:

#         Matan Hadith:


من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له


Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum waktu fajar maka tiada puasa baginya (tidak sah).

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 26500), Abu Daud (no. 2454), Al-Tirmizi (no. 730), Al-Nasa’i dalam Al-Kubra (no. 2640, 2641, 2643), Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (no. 7696, 7697, 7698, 7701, 7778, 7826), Al-Darimi dalam Sunan (hadith no. 1698) dan lain-lain dangan lafaz yang sedikit berbeza, semuanya daripada jalan Hafsah.



#         Status:

Hadith daripada Hafsah berkenaan wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini Tidak Sahih kepada Nabi SAW . Ia dicacatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i, Al-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadith.[1]

Kata Imam Al-Bukhari:

 وغير المرفوع أصح / dan yang tidak marfu‘[2] lebih tepat”[3] .

Kata Imam Al-Tirmizi:

سألت محمد بن إسماعيل البخاري عن هذا الحديث فقال "هذا حديث خطأ الصواب فيه عن عبد الله بن عمر قوله

“Aku bertanya kepada Muhammad bin Isma‘il Al-Bukhari berkenaan hadith ini, jawab beliau “Hadith ini silap, yang benar dan terpelihara ia adalah kata-kata ‘Abdullah Ibn ‘Umar”[4]

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar"Berlaku khilaf akan bersambung atau tidaknya hadith ini, dan yang rajih adalah tidak bersambung kepada Nabi (mauquf)[5] sebagaimana tarjih Al-Tirmizi dan Al-Nasa’i”[6]

Kata Dr. Yusuf Al-Qaradawi“Hadith ini memang diperselisihkan marfu‘ dan mauqufnya, namun cukuplah bagi kita bahawa Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Nasa’i, Al-Tirmizi, dan Ibn Abi Hatim yang mentarjih dan membenarkan ke-mauqufannya”[7]

Menurut Syaikh Al-
Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi[8], yang terpelihara ialah niat boleh dilakukan pada siang hari dan adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu siang.

Bagi masalah mereka yang tidak tahu pada malamnya bahawa esok adalah Ramadhan maka dia boleh mula berniat pada siang hari setelah mengetahui ia Ramadhan, dan bagi sesiapa yang makan maka wajiblah berhenti (menahan daripada makan) dan berpuasa setelah mengetahui dan tidak perlu qadha’ sebagaimana dalam hadith ketika puasa ‘Asyura diwajibkan dalam Sahihayn.

Ini menguatkan qaul Imam Malik yang mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Imam Abu Hanifah yang membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari.

Jumhur Fuqaha’ berpendapat niat adalah wajib pada setiap malam berhujahkan hadith Hafsah ini, namun sebagaimana yang telah dijelaskan ia adalah tidak sahih kepada Nabi SAW. Fuqaha’ seperti ‘Atha’, Zufar, Al-Zuhri tidak mengharuskan niat untuk berpuasa, mereka seperti berpendapat bahawa puasa Ramadhan cukup dengan semata-mata menahan diri, bererti ia berpuasa.

Kata Dr. Yusuf Al-Qaradawi lagi: “Bagi mereka yang mengamalkan hadith di atas, maka waktu niat baginya adalah sebelum fajar, sedangkan bagi mereka yang tidak berpegang dengan hadith di atas, boleh saja berniat sebelum atau sesudah fajar (apabila telah siang) sebagaimana mazhab Abu Hanifah yang membolehkan niat di lakukan sehingga tengah hari”[9]





[1] Untuk pendetailan kata-kata Huffaz berkenaan hadith ini rujuk: Athar ‘Ilal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl.

[2] Marfu‘: sanadnya sampai kepada Nabi

[3] Sebagaimana dalam kitabnya Al-Tarikh

[4] Dalam Sunannya

[5] Hadith Mauquf: hadith yang sanadnya terhenti kepada Sahabat, tidak sampai kepada Nabi

[6] Fathu l-Bari: 142/4

[7] Fiqh Al-Siyam, 105

[8] Dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة

[9] Fiqh Al-Siyam, 105



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 11:27 PM. Filed under .

4 comments for "Penjelasan status hadith: sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari"

  1. Assalamualaikum, Ustaz Fathi.

    Dr. Yusuf al-Qaradhawi ulama mazhab Hanafi ya?

  2. wa'alaikumussalam,

    al-Imam Dr. Yusuf al-Qaradawi adalah al-Allamah, Mujtahid pada zaman kita dan beliau tidak terikat dgn mana-mana mazhab, kecuali mazhab al-Qur'an dan al-Sunnah al-Sahihah.

    Allah hu'alam

  3. maaf off topic. saya nak bertanya tentang status hadith. Ada yg quote di facebook.

    “Sesungguhnya setiap hari Jum’at arwah orang-orang yang beriman datang ke langit dunia vertikal dengan rumah mereka. Masing-masing mereka memanggil dengan suara yang sedih sambil menangis: Wahai keluargaku, wahai anak-anakku, wahai ayahku, wahai ibuku, wahai keluargaku, sayangi kami semoga Allah menyayangi kalian dengan apa yang telah dihadiahkan kepada kami. Celakalah kami, hisab (perhitungan) dibebankan pada kami, sementara yang memanfaatkan orang lain. (Jami’ul Akhbar: 169)

    Apa status hadith ini?
    apa status buku ini?
    adakah buku ini dikenal sbg buku primer himpunan hadith yg kurang terkenal seperti al mustadrak?

  4. Hadith diatas adalah hadith palsu, dan kitab Jami’ul Akhbar atau nama penuhnya Jami'ul Akhbar fi Idhohil Istibshor adalah bukan kitab hadith yg muktabar, bahkan ia sebenarnya adalah kitab syi'ah, ia adalah kitab hadith syi'ah

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign