Penjelasan status hadith: doa berbuka puasa, adakah yang sahih?

| |





Bismillah, AhamdulilLah..wa ba'd. 

Seorang sahabat yang mulia, al-Akh Muhammad Azizi - وفقه الله - telah bertanya saya berkenaan doa khusus berbuka puasa, soal beliau seperti dibawah: 


----------------- Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmatulLah, saya akan cuba menjawab soalan saudara Muhammad Azizi sebaiknya termampu berdasarkan sedikit ilmu yang diberi olehNya, insyaAllah. 

Berkenaan hadith doa berbuka puasa yang khusus, terdapat dua hadith yang datang (warid) dari Baginda Nabi SAW iaitu: 

Lafaz pertama: 


اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت / Allahumma Laka Shumtu Wa `Ala Rizqika Aftartu

Terjemahan: Ya Allah keranaMu aku berbuka puasa dan atas rezqi dariMu aku berbuka. 

Sesetengah lafaz menyebut "Bismillah" dihadapan. 

Sesetengah lafaz pula berbunyi: لَكَ صُمْتُ , وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ / Laka Shumtu Wa `Ala Rizqika Aftartu fa Taqabbal Minni Innaka Antas Aami'ul `Alim 

Sesetengah lafaz berbunyi:  اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ / Allahumma Laka Shumtu Wa `Alaika Tawakkaltu Wa `Ala Rizqika Aftartu

Hadith semisal ini dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (no. 2358), al-Baihaqi dalam al-Kubra (no. 8392) dan lain-lain dari Husaym dari Husain dari Muadz bin Zahrah dari Nabi SAW, dan lajur ini dhaif kerana: 

1- Sanadnya putus, Muadz bin Zahrah (sesetengah menyebut Muadz Abu Zahrah) adalah seorang Tabiin, maka jalur ini Mursal dan Mursal adalah daripada jenis hadith dhaif. Bahkan sesetengah nuqqad mengkategorikan Muadz bin Zahrah ini sebagai Atba' al-Tabiin, antaranya Ibn Hibban. 

2- Berkata Imam al-Bukhari berkenaan jalur Husain dari Muadz bin Zahrah: "معاذ أبو زهرة . قال حصين حدثت عنه ، مرسل - Muadz Abu Zahrah, meriwayatkan Husain darinya, Mursal" [al-Tarikh al-Kabir, 1/227], dan Mursal adalah daripada jenis hadith yang dhaif. 

Hadith semisal ini juga dikeluarkan antaranya oleh al-Tabarani dalam al-Awsat (no. 7549) dan lain-lain dari Ismail bin Amru al-Bajali dari Daud al-Zibriqan dari Syu'bah dari Thabit al-Bunani dari Anas dari Nabi SAW secara marfu', dan jalur ini juga dhaif kerana: 

1- Ismail bin Amru al-Bajali, dia adalah perawi yang dhaif, di-dhaif-kan oleh ramai nuqqad antaranya al-Daraquthni, Ibn `Adiy dan lain-lain. 

2- Ismail bin Amru al-Bajali juga, disamping dia adalah seorang yang dhaif, dia juga tafarrud (menyendiri) dalam meriwayatkan hadith ini dari Daud al-Zibriqan dari Syu'bah, ini menambahkan lagi kelemahan lajur ini. 

3- Daud al-Zibriqan, dia adalah seorang yang matruk sebagaimana kata Ya'qub bin Syaibah dan Abu Zur'ah, bahkan al-Jauzajani menyatakan dia seorang yang pendusta. 

4- Daud al-Zibriqan, disamping dia adalah seorang yang matruk bahkan dinilai sebagai pendusta oleh sesetangah nuqqad, dia juga tafarrud (menyendiri) dalam meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah, ini menambahkan lagi kelemahan lajur ini. 

5- Berkata Imam al-Tabarani berkenaan jalur ini: "لم يرو هذا الحديث عن شعبة إلا: داود بن الزبرقان، تفرد به إسماعيل بن عمرو -  tidak ada sama sekali orang yang meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah melainkan Daud al-Zibriqan, menyendirinya Ismail bin Amru" [al-Awsat, no. 7549]

6- Syu'bah adalah Kibar al-Huffaz, maka dimanakah murid-murid Syu'bah yang lain yang thiqah dalam meriwayatkan hadith ini? mengapa ia perlu hanya datang bersendirian dari mereka yang dhaif, matruk bahkan tertuduh dusta? 

7- Daripada poin kedua, keempat, kelima dan keenam diatas, maka jelas menunjukkan bahawa hadith ini adalah hadith yang Gharib, dan kata Imam Ahmad bin Hanbal: 

"لا تكتبوا هذه الأحاديث الغرائب فإنّها مناكير، وعامّتها عن الضعفاء "

Terjemahan: "janganlah kamu semua menulis hadith-hadith yang gharib, kerana ia adalah hadith-hadith yang munkar dan secara umumnya adalah dari mereka-mereka yang dhaif" [rujuk: Tadrib al-Rawi, al-Suyuthi, 2/182]

Dan berkata Imam Ahmad bin Hanbal lagi:

إذا سمعت أصحاب الحديث يقولون : هذا الحديث غريب أو فائدة ، فاعلم أنه خطأ أو دخل حديث في حديث ، أو خطأ من المحدث ، أو ليس له إسناد ، وإن كان قد روى شعبة ، وسفيان

Terjemahan: "apabila kamu mendengar ashabul hadith (iaitu nuqqad hadith) berkata: "hadith ini gharib" atau "faidah", ketahuilah bahawa sesungguhnya ia adalah hadith yang silap, atau masuk hadith dalam hadith, atau kesilapan dari muhaddith (iaitu perawi), atau tiada isnad padanya (iaitu tiada isnad yang kuat) walaupun hadith itu (engkau dapati pada zahirnya sanadnya) ia diriwayatkan oleh Syu'bah dan Sufyan" [rujuk: Al-Kifayah, hal. 225]

8- Disamping Gharib isnadnya , ia juga dhaif. 


Hadith semisal ini juga dikeluarkan antaranya oleh al-Tabarani dalam al-Kabir (no. 12552) dan lain-lain dari jalur Yusuf bin Qays al-Baghdadi dari Abd al-Malik bin Harun bin `Antarah dari Ayahnya dari Datuknya dari Ibn Abbas secara marfu', dan jalur ini juga dhaif kerana: 

1- `Abd al-Malik bin Harun, dia adalah seorang yang Matruk,Munkarul Hadith bahkan dikatakan pendusta, berkata al-Bukhari tentangnya: Munkarul Hadith [Tarikh al-Awsath, no. 1287], berkata Ibn Ma'in tentangnya: Kazab [al-Jarh wa al-Ta'dil, 1748], dan kata Abu Hatim: Matruk al-Hadith [al-Jarh wa al-Ta'dil, 1748]

Hadith semisal ini juga dikeluarkan antaranya oleh Ibn Hajar dalam al-Mathalib al-`Aliyah  (no. 31074 ) dari jalur Abd al-Rahim bin Waqid dari Hammad bin Amru dari al-Sarri bin Khalid dari Ja'far bin Muhammad dari Ayahnya dari Datuknya dari `Ali secara marfu,  dan jalur ini juga dhaif kerana: 

1- `Abd al-Rahim bin Waqid, dia dhaif, didhaifkan oleh al-Khatib al-Baghdadi sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi [al-Dhua'fa wal Matrukin, no. 1919]

2- Hammad bin Amru , dan dia adalah Matruk, Dhaif, Munkarul Hadith, berkata al-Bukhari tentangnya: Munkarul Hadith [Tarikh al-Awsath, no. 1397], berkata Abu Hatim: Dhaif al-Hadith [al-Ilal, 2035], dan berkata al-Nasaie: Matruk al-Hadith [Lisan al-Mizan, no. 1420]

3- al-Sarri bin Khalid , dia adalah seorang yang majhul, tidak dikenal, dan berkata al-Azdi dia tidak dibuat hujah [Lisan al-Mizan, no. 3362]

Maka dengan ini jelaslah, hadith berbuka puasa dengan lafaz (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت / Allahumma Laka Shumtu Wa Ala Rizqika Aftartu) dan semisalnya adalah dhaif, jalur Muadz bin Zahrah adalah Mursal Dhaif, dan jalur Anas pula Gharib dan Dhaif, jalur Ibn Abbas juga dhaif dan padanya rawi yang matruk,  jalur Ali juga dhaif dan padanya rawi yang matruk, dan hadith-hadith semacam ini tidak dapat dikuatkan, bahkan ia telah di-dhaif-kan oleh Imam Abu Daud (al-Marasil, 203), al-Nawawi (al-Majmu', 6/632), al-Haithami (Majma' al-Zawaid, 3/159), Ibn Qayyim (Zaad al-Ma'ad, 2/49) dan lain-lain huffaz. Bahkan berkata Ibn Qayyim berkenaan hadith ini: tidak thabit / لا يثبت [Zaad al-Ma'ad, 2/49]

Lafaz kedua: 

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله / Zhahabazh Zhaama wabtallatil `uruqu wa tsabatal ajru insyaAllah

Terjemahan: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah kerongkong /urat-urat, dan telah tetap ganjaran/pahala, InsyaAllah

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (no. 2357), al-Nasaie dalam al-Kubra (2/255), al-Daraquthni (2/985), al-Bazzar (no. 5395) dan lain-lain dari Ali bin al-Hasan dari al-Husain bin Waqid dari Marwan bin Salim al-Muqaffaq dari Ibn Umar dari Nabi secara marfu'. 

Dan hadith ini juga dhaif bahkan gharib, padanya gharabah sanad dan matan, juga padanya jahalah rawi. 

1- Kata Imam al-Bazzar sejurus mengeluarkan hadith ini: "وهذا الحديث لاَ نعلمُهُ يُرْوَى عَن النَّبِيّ صَلَّى الله عَلَيه وَسَلَّم إلاَّ مِن هذا الوجه بهذا الإسناد - hadith ini tidak diketahui akan ia diriwayatkan dari Nabi SAW melainkan dari wajah ini dengan isnad ini" [Musnad, no. 5395]

2- Bahkan Imam Ibn Mandah menyatakan dengan jelas bahawa hadith ini Gharib, katanya: " هذا حديث غريب لم نكتبه إلا من حديث الحسين بن واقد  - hadith ini Gharib, tidak ditulis melainkan dari hadith al-Husain b. Waaqid" [Tahzib al-Kamal, 27/391]

3- Imam al-Daraquthni juga menyatakan hal yang sama berkenaan gharibnya hadith ini, katanya: "تَفَرَّدَ بِهِ الْحُسَيْنُ بْنُ وَاقِدٍ وَإِسْنَادُهُ حَسَنٌ - menyendiri hadith ini oleh al-Husain b. Waaqid, dan isnadnya ''hasan'" [Sunan, 2/185]

4- Daripada poin pertama, kedua dan ketiga diatas, maka jelas menunjukkan bahawa hadith ini adalah hadith yang Gharib, dan kata Imam Ahmad bin Hanbal: 

"لا تكتبوا هذه الأحاديث الغرائب فإنّها مناكير، وعامّتها عن الضعفاء "

Terjemahan: "janganlah kamu semua menulis hadith-hadith yang gharib, kerana ia adalah hadith-hadith yang munkar dan secara umumnya adalah dari mereka-mereka yang dhaif" [rujuk: Tadrib al-Rawi, al-Suyuthi, 2/182]

Dan berkata Imam Ahmad bin Hanbal lagi:

إذا سمعت أصحاب الحديث يقولون : هذا الحديث غريب أو فائدة ، فاعلم أنه خطأ أو دخل حديث في حديث ، أو خطأ من المحدث ، أو ليس له إسناد ، وإن كان قد روى شعبة ، وسفيان

Terjemahan: "apabila kamu mendengar ashabul hadith (iaitu nuqqad hadith) berkata: "hadith ini gharib" atau "faidah", ketahuilah bahawa sesungguhnya ia adalah hadith yang silap, atau masuk hadith dalam hadith, atau kesilapan dari muhaddith (iaitu perawi), atau tiada isnad padanya (iaitu tiada isnad yang kuat) walaupun hadith itu (engkau dapati pada zahirnya sanadnya) ia diriwayatkan oleh Syu'bah dan Sufyan" [rujuk: Al-Kifayah, hal. 225]

5- Seseorang mungkin berkata, bahawa hadith ini adalah Hasan, sebagaimana kata Imam al-Daraquthni akan hadith ini:"إِسْنَادُهُ حَسَنٌ -  isnadnya ''hasan'" [Sunan, 2/185]. 

Saya katakan, adakah Hasan yang dimaksudkan Imam al-Daraquthni itu sama seperti yang difahami oleh mustolah moden? adakah ia bermaksud hadith yang pertengahan antara Sahih dan Dhaif, yang diriwayatkan oleh yang thiqah tetapi kurang dhabitnya sebagaimana yang dijelaskan dalam buku-buku mustolah moden yang ringkas? saya katakan tidak!

Perlu diketahui bahawa lafaz 'Hasan' disisi huffaz Salaf tidak sama seperti yang difahami al-Mutaakhkhirin, 'Hasan' disisi huffaz Salaf adalah lebih luas maksudnya, telah masyhur bagi sesiapa yang mengkaji istilah 'Hasan' disisi huffaz salaf bahawa makna 'Hasan' bagi mereka adalah luas dari al-Mutaakhkhirin , kadangkala istilah 'Hasan' itu digunakan dengan maksud Gharib, kadangkala ia adalah untuk lafaz hadith semata iaitu "Hasan al-Lughawi" dimana lafaz hadith itu baik namun ia dhaif, kadangkala ia juga digunakan dengan maksud Munkar, dan kadangkala ia bermaksud dhaif yang ringan, dan kadangkala ia bermaksud sahih.  

Kata Syaikh Thariq 'Iwadullah - antara kibar muhaddith di Mesir - : "bahawa istilah ''hasan'' digunakan (oleh imam-imam hadith salaf) keatas banyak jenis hadith-hadith antaranya: hadith yang diterima (maqbul) secara umumnya, samada ia sahih dari jenis yang tinggi atau yang rendah daripadanya, dan juga digunakan (istilah hasan) ini untuk hadith-hadith yang gharib, munkar dan palsu" [rujuk: Al-Madkhal Ila Ilmi al-Hadith, Abi Muadz Thariq bin 'Awadullah, hal. 85]

Maka tidaklah tepat untuk kita menyatakan bahawa 'Hasan' yang digunakan al-Daraquthni untuk hadith ini adalah menunjukkan ia adalah hadith yang diterima al-Daraquthni sebagai hadith yang di-ithbat-kan sebagai sabda Nabi SAW, bahkan qarain-qarain menunjukkan sebaliknya, bahkan istilah 'isnadnya hasan' secara khusus yang digunakan oleh al-Daraquthni jika dikaji ia secara majoritinya bermaksud "al-Tafarrud" dan "al-Gharabah". 

Kata Fadhilah al-Syaikh Abdul Aziz al-Tharifi berkenaan maksud istilah "isnadnya hasan" disisi Imam al-Daraquthni, katanya al-Tharifi:  

قول الدارقطني في سننه : إسناده حسن ، لا يعني به الاصطلاح المعروف ؛ بل يقصد التفرد والغرابة ، ولذلك أمثلة كثيرة تتضح لمن اطلع على سننه 

Terjemahan: "kata-kata al-Daraquthni dalam kitab Sunannya dengan "isnadnya hasan", bukanlah memberi maksud sebagaimana yang dikatahui dan difahami istilah yang masyhur (dalam kitab-kitab mustolah moden), bahkan ia bermaksud al-Tafarrud dan al-Gharabah, dan padanya contoh-contoh yang banyak yang menjelaskan hal ini bagi mereka yang biasa mengkaji sunannya" [Syarah al-Muharrar, al-Tharifi] 

6- Disamping tafarrudnya rawi untuk hadith ini, dan Gharibnya hadith ini, hadith ini juga padanya terdapat perawi yang majhul, kata Syaikh Muqbil Hadi al-Wadi'e berkenaan hadith ini: "الحديث ضعيف، لأنه يدور على مجهول الحال - hadith ini dhaif,kerana ia berlegar sekitar perawi yang Majhul al-Hal"  [al-Mustadrak, tahqiq Muqbil Hadi al-Wadie, 1/ 583]

Pada sanad hadith ini terdapat perawi bernama Marwan bin Salim al-Muqaffaq (sesetengah menyebut al-Mufaqqaq), dan dia Majhul. Imam Abu Hatim ketika menjelaskan biodata Marwan Maula Hind : "مروان المقفع روى عن ابن عمر حديثاً مرفوعاً، روى عنه حسين بن واقد، ولا أدري هو مروان مولى هند أم غيره؟ - Marwan al-Muqaffaq meriwayatkan dari Ibn Umar satu hadith yang marfu', yang diriwayatkan darinya oleh Husain bin Waqid, dan tidak diketahui adakah dia ini Marwan Maula Hind atau tidak?" [ al-Jarh wa al-Ta'dil , 8/271] , kata-kata Imam Abu Hatim ini menunjukkan bahawa Marwan al-Muqaffaq bukan seorang yang dikenali, tidak masyhur (Majhul al-Hal) dan dia berbeza dengan Marwan Maula Hind yang dikenali thiqah.

Bahkan Marwan al-Muqaffaq yang diperselisihkan dan tidak diketahui identitinya secara tepat ini pula tidak diketahui langsung meriwayatkan hadith-hadith dari Ibn Umar atau lain-lain sahabat melainkan dari hadith ini sahaja! dan tidak diketahui akan al-Husain bin Waqid meriwayatkan darinya melainkan ini sahaja! 

Imam Ibn Hajar menyimpulkan Marwan al-Muqaffaq sebagai "Maqbul" [Taqrib al-Tahzib, no. 6569], iaitu memerlukan kepada pengikut dalam isnad, jika menyendiri maka dia adalah sebenarnya "Majhul al-Hal" , dan Imam al-Zahabi menyebut beliau sebagai: "وُثّق - wussiqa" [al-Kashif, al-Zahabi] dan istilah  "وُثّق - wussiqa" ini bukanlah bermaksud seseorang perawi itu thiqah disisi al-Zahabi tetapi ia adalah untuk mereka yang dinilai thiqah dengan tauthiq yang tidak muktabar. Bahkan Imam al-Zahabi sendiri antara yang turut mengingkari hadith ini, berkata  Ibn Al-Ajmi dalam tarjamah Marwan bin Salim: "استنكر عليه الذهبي هذا الحديث - mengingkari al-Zahabi akan hadith ini" [Al-Kashf al-Hathith, 419]. 

Dan syaikh Syu'aib al-Arnaout dan Dr. Basyar `Awwad Ma'ruf telah menjelaskan lagi kedudukan sebenar Marwan al-Muqaffaq ini dalam Tahrir Taqrib al-Tahzib, kata mereka: 

 بل: مجهول الحال,فقد تفرد بالرواية عنه اثنان فقد
وقد استغربه الحافظ أبو عبدالله بن منده...

Terjemahan: "Bahkan: dia sebenarnya adalah Majhul al-Hal , sesungguhnya telah menyendiri padanya dengan dua orang saja yang mengambil darinya...dan sesugguhnya telah menyatakan dia sebagai gharib (ganjil) oleh al-Hafiz Abu Abdullah bin Mandah" [Tahrir Taqrib al-Tahzib, 2/362] , maka jelaslah disini bahawa kedudukan sebenar Marwan al-Muqaffaq adalah seorang yang Majhul. 

Dan berkata syaikh Abdullah al-Sa'd: 

أن في ثبوت هذا الحديث نظر، ويمكن أن يُعلّ بعلتين
1. غرابة إسناده ومتنه
2. جهالة راويه

Terjemahan: "sesungguhnya ke-thabitan hadith ini padanya keraguan, dan bolehlah sesunguhnya ia cacat dengan dua kecacatan: 1) gharabah isnad dan matannya, 2) jahalah rawinya 

Maka dengan ini jelaslah bahawa hadith dengan lafaz (ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله Zhahabazh Zhaama wabtallatil `uruqu wa tsabatal ajru insyaAllah) juga adalah hadith yang dhaif,  kerana gharabah sanad dan matannya, juga kerana jahalah rawinya. Hadith ini telah didhaifkan oleh para huffaz salaf semisal Imam  Abu Abdullah ibn Mandah (395H) , juga didhaifkan oleh ramai ahli hadith masa kini semisal syaikh Muqbil Hadi al-Wadi'e, syaikh Umar al-Muqbil, syaikh Abdulrahman al-Faqih, syaikh Abdullah al-Sa'd, syaikh Abdul Aziz al-Tharifi dan lain-lain. Bahkan  Imam Ibn Qayyim menyebutkan hadith ini dengan Sighah Tad'if / Tamridh: "وروي عنه..." [Zaad al-Ma'ad, 2/29] , dan juga ia diingkari oleh Imam al-Zahabi [Al-Kashf al-Hathith, 419]

Kesimpulan: 

Pada saya yang rajihnya ialah kedua-dua hadith yang dibincangkan diatas adalah dhaif, dan saya suka memetik kenyataan syaikh Dr. Umar al-Muqbil, katanya:

حسب بحثي في رسالتي الماجستير ( زوائد السنن الأربع على الصحيحين في أحاديث الصيام ) لم يثبت في الباب شيء في المرفوع عن النبي ، والأسانيد فيها ضعف ليس بالشديد  ,لكن الذي يظهر لي أن الأمر مشهور عند السلف جداً  


Terjemahan: "Berdasarkan kajian ku dalam tesis M.A ku yang bertajuk (Zawaid al-Sunan al-Arbaq `Ala al-Sahihain fi Ahadith al-Siyam) kesimpulannya tiada hadith marfu' kepada Nabi SAW yang thabit dalam bab ini walaupun sedikit, dan isnad-isnad padanya terdapat kelemahan dengan kelemahan yang tidaklah berat , akan tetapi yang jelas bagi ku sesungguhnya amalan ini (iaitu membaca doa ketika berbuka ini) adalah sangat masyhur disisi Salaf" 

Fiqh al-Hadith:

Walaupun hadith-hadith ini kesemuanya tidak thabit dan dhaif, namun ia hanyalah doa, dan tidak bersangkut hal hukum-hakam dan lafaz doa itu tidak bercanggah dengan mana-mana asas umum dalam syariat Islam, maka beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan) dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. 

Perlu diketahui bahawa manhaj para huffaz salaf dalam berinteraksi dengan hadith-hadith doa secara khusus ialah: hadith-hadith doa walaupun ia tidak thabit dari segi naqal (tak sahih), hukum beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan), selagimana isi kandungan doa itu tidak bertentangan dengan asas-asas umum agama, dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.

Imam Ibn Khuzaimah (311H) dalam kitab beliau Mukhtasarul Mukhtasar, dalam bab al-Manasik, telah menerangkan kecacatan ('illah) satu hadith yang mengandungi doa. Namun , sejurus selepas itu beliau berkata hadith doa ini sekalipun tidak 'thabit' dari segi naqal namun ia mubah (boleh) diamalkan. Isyarat yang sama dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi, Imam `Abdulrahman ibn Mahdi dan lain-lain.

Antara sebab bolehnya beramal dengan hadith-hadith doa yang dha`if ini ialah kerana lafaz doa adalah bersifat bebas dan tidak terikat sepertimana lafaz zikir yang ma'thur dari Nabi SAW. Maka berdoa dengan menggunakan lafaz hadith-hadith doa yang dha`if adalah lebih utama daripada menggunakan lafaz doa yang bersifat bebas, bahkan tanpa sanad langsung. Walaubagaimanapun, sekiranya dalam sesuatu perkara itu telah mempunyai hadith doa yang sahih, maka beramal dengan hadith doa yang sahih itu sudah tentu lebih utama daripada beramal dengan hadith doa yang dha`if. 

Apatah lagi berkenaan kedua-dua hadith doa berbuka puasa ini, sekalipun saya telah nyatakan bahawa yang rajihnya kedua-dua adalah dhaif, namun ia adalah dhaif yang tidak terlalu berat, hingga terdapat sebilangan ahli ilmu yang agak tasahul dan menaik taraf kedua hadith ini kepada Hasan , yang pasti janganlah kita tidak berdoa ketika berbuka puasa kerana waktu itu adalah waktu mustajabnya doa, kata syaikh al-Uthaimin: 

والدعاء المأثور : ( اللهم لك صمت ، وعلى رزقك أفطرت ) ، ومنه أيضاً : قول النبي عليه الصلاة والسلام : ( ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله ) ، وهذان الحديثان وإن كان فيهما ضعف لكن بعض أهل العلم حسنهما ، وعلى كل حال فإذا دعوت بذلك أو بغيره عند الإفطار فإنه موطن إجابة 

Terjemahan: "Dan doa yang ma'thur (yang datang dengan riwayat bersanad) untuk berbuka ialah: (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت Allahumma Laka Shumtu Wa `Ala Rizqika Aftartu) dan daripanya juga sabda Nabi SAW (ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله Zhahabazh Zhaama wabtallatil `uruqu wa tsabatal ajru insyaAllah) , dan sekalipun kedua-dua hadith ini pada keduanya terdapat kelemahan, akan tetapi terdapat sesetengah ahli ilmu menilainya hasan (manaik taraf kepada hasan) keduanya, apapun secara keseluruhannya jika berdoa dengannya (dengan salah satu daripada dua doa ini) atau doa yang lain-lain ketika berbuka, sesungguhnya ia adalah waktu mustajabnya doa" [Majmu' Fatawa , al-Uthaimin, 341]


Allah hu'alam , Allah jua yang Maha Mengetahui
Abu Ismail Muhammad Fathi Ali al-Maliziy al-Sakandary
Iskandariah, 16 Julai 2011, 15 Sya'ban 1432H 
3:13 petang





Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 9:37 AM. Filed under .

3 comments for "Penjelasan status hadith: doa berbuka puasa, adakah yang sahih?"

  1. artikel telah diupdate pada 19 julai 2011 , jam 8 malam waktu iskandariah dengan tambahan details penjelasan status untuk hadith pertama : Allahumma laka sumtu,

    1- dengan lafaz berbunyi : لَكَ صُمْتُ , وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ / Laka Shumtu Wa `Ala Rizqika Aftartu fa Taqabbal Minni Innaka Antas Aami'ul `Alim dari Ibn Abbas,

    2- dengan lafaz berbunyi: اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ / Allahumma Laka Shumtu Wa `Alaika Tawakkaltu Wa `Ala Rizqika Aftartu dari Ali

  2. Saya biasanya niat sebelum buka dgn bacaan sejak diajar dari kecil oleh ibu bapa dgn bacaan "Allahhumlakasumtu wabika amantu wa 'ala rizkika aftharthu birahmatikaya arhama rahimin".

    Soalan...perlukah diubah lafaz bacaan tsb...

  3. buat saudara/i ; rxh@wmj , saya akan cuba menjawab soalan entum sebaiknya termampu dengan sedikit ilmu yg diberiNya insyaAllah.

    Berkenaan dgn soalan entum itu, adakah entum maksudkan niat ? atau yg entum maksudkan sebenarnya ialah doa?

    Jika niat maka ia sebenarnya hanya lintasan dalam hati, kata Imam al-Nawawi (antara fuqaha mazhab al-syafie yang masyhur): "niat bererti maksud, iaitu keinginan (lintasan) yang ada dalam hati" [rujuk: Fathul Bari, 1/19], dan untuk berbuka puasa tidak memerlukan utk menyebut sebarang lafaz niat di mulut utk berbuka , tetapi cukup dgn lintasan di hati dan dirinya sedar dia memang berbuka.

    Lafaz niat yang ada dalam mazhab al-syafie ialah untuk melakukan haji dan umrah sebagaimana yang terdapat dlm hadith Sahih, dan juga lafaz niat untuk memulakan solat (tiada hadith sahih, tetapi terdapat riwayat sahih dari perlakuan Imam al-Syafie sendiri yang zahirnya kelihatan beliau melafazkan niat solat, namun pendapat yang kuatnya ialah tiada lafaz niat sebelum solat tetapi cukup dengan lintasan hati), selain daripada haji, umrah dan solat tiada lafaz niat dalam mazhab al-Syafie, tetapi hanya dilintaskan dalam hati.

    Maka saya kira yang entum maksudkan sebenarnya ialah lafaz berdoa sblm berbuka, dan bukannya lafaz niat.

    Jika ia dibaca sebagai doa, maka lafaz doa yg entum amalkan diatas berbunyi:

    "Allahhumlakasumtu wabika amantu wa 'ala rizkika aftharthu birahmatikaya arhama rahimin"

    Lafaz doa ini tiada asalnya dari hadith Baginda SAW, ia tidak wujud dalam hadith Nabi SAW baik hadith yg sahih, atau dhaif atau palsu sekalipun, maka ia adalah bacaan doa yang tiada asalnya dan tiada sanadnya.

    Akan tetapi maknanya adalah baik dan tidak bercanggah dengan asas-asas umum agama, maka tidak menjadi masalah untuk beramal dengannya dengan syarat:

    1 - tidak menyandarkan dan tidak meng-ithbat-kan bacaan doa ini kepada Nabi SAW

    2- tidak mempolarkan bacaan doa ini hingga orang awam menjadi keliru dan menyalah fahami bahawa ia adalah doa yang datang dari hadith Nabi SAW sedangkan ia tiada asal langsung dari hadith Nabi SAW

    walaubagaimanapun, adalah lebih baik bahkan sangat baik jika bacaan doa ini entum tinggalkan sahaja, sebaliknya beramal dengan bacaan doa yang mempunyai asal bahkan bersanad hingga kepada Baginda SAW, walaupun sanad itu sanad yang agak lemah, itu lebih baik dari beramal dengan doa yang tiada sanad langsung.

    Antara lafaz doa yang saya syorkan yang boleh diamalkan, dan ia datang dari hadith yang bersanad ialah:

    (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت / Allahumma Laka Shumtu Wa `Ala Rizqika Aftartu)

    ataupun

    (ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله - Zhahabazh Zhaama wabtallatil `uruqu wa tsabatal ajru insyaAllah)

    walaupun kedua-dua lafaz doa ini sanadnya adalah lemah/dhaif, namun ia mempunyai asalnya dalam hadith dan ia datang kepada kita dengan bersanad, walaupun sandaran asal itu lemah, iaitu sanad itu lemah, beramal dengan dua lafaz doa ini jauh lebih baik dari lafaz yang entum biasa amalkan yg tidak mempunyai sanad langsung dan tiada asalnya langsung.

    Dan doa-doa yang datang dengan sanad yang lemah/dhaif ini boleh diamalkan dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.

    Dan yang penting jangan lupa untuk membaca doa yang sahih dari Nabi SAW ketika hendak makan sebagaimana yang diriwayatkan dalam al-Sahihain, iaitu menyebut "Bismillah" , amalan yang sahih ini jangan dilupa.

    Allah hu'alam

New comments are not allowed.
Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign