Penjelasan status hadith: khutbah Nabi apabila masuknya Ramadhan

| |











Dikongsikan disini sebahagian daripada petikan isi buku saya "Hadith-Hadith Cacat Puasa", hadith no. 2, halaman 12 - 15 . Dalam buku ini saya berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin hadith-hadith cacat berkenaan puasa, dan telah siap jilid pertama sebanyak 142 halaman yang telah selesai disemak oleh guru saya, sekarang saya sedang berusaha menyambung  jilid kedua dan dijangka akan mula disemak pada pertengahan Ramadhan 1432H, secara keseluruhannya setakat ini buku ini (jilid pertama dan jilid kedua) telah mencecah lebih 200 halaman, alhamdulilLah. Saya bercadang untuk mencetaknya atas cadangan para sahabat, moga dimudahkanNya urusan.






Hadith no. 2:

#         Matan Hadith:



خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال:« أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم، شهر مبارك، شهر فيه ليلة خير من ألف شهر، جعل الله صيامه فريضة، وقيام ليله تطوعا، من تقرب فيه بخصلة من الخير، كان كمن أدى فريضة فيما سواه، ومن أدى فيه فريضة كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه، وهو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة، وشهر المواساة، وشهر يزداد فيه رزق المؤمن، من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار، وكان له مثل أجره من غير أن ينتقص من أجره شيء »، قالوا: ليس كلنا نجد ما يفطر الصائم، فقال: « يعطي الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة، أو شربة ماء، أو مذقة لبن، وهو شهر أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، من خفف عن مملوكه غفر الله له، وأعتقه من النار، واستكثروا فيه من أربع خصال خصلتين ترضون بهما ربكم، وخصلتين لا غنى بكم عنهما، فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم: فشهادة أن لا إله إلا الله، وتستغفرونه، وأما اللتان لا غنى بكم عنهما: فتسألون الله الجنة، وتعوذون به من النار، ومن أشبع فيه صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة »


Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Sya‘ban dan beliau bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya bulan yang agung telah menaungi kalian, bulan yang diberkati, bulan yang di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, Allah menjadikan berpuasa padanya satu kewajiban, dan mendirikan malamnya sebagai amalan sunat. Barangsiapa yang mendekatkan diri di dalamnya dengan suatu bahagian daripada kebaikan, adalah sama seperti orang yang menunaikan perkara yang fardhu pada bulan selainnya, dan barangsiapa yang melaksanakan di dalamnya sesuatu yang fardhu, adalah sama seperti orang yang melaksanakan 70 amalan fardhu pada bulan selainnya. Dan ia adalah adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu ganjarannya adalah syurga. Dan ia adalah bulan simpati, dan bulan yang ditambahkan di dalamnya rezeki orang kepada mu’min dalamnya. Barangsiapa memberikan makanan berbuka di dalamnya kepada orang yang berpuasa, ia menjadi pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka, dan baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun daripada pahalanya.” Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, tidaklah semua kami memiliki makanan untuk orang yang berpuasa berbuka?”. Maka bersabda Rasulullah SAW: “Allah SWT memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa dengan sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Dan ia adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahayanya, Allah SWT akan mengampuni dosanya dan membebaskannya daripada neraka. Dan perbanyakkanlah di dalamnya daripada empat perkara: Dua perkara kalian redha kepada Allah SWT dalam keduanya dan dua perkara yang jangan ada rasa cukup daripada keduanya. Adapun dua perkara yang kalian redha kepada Allah dalam keduanya adalah kesaksian bahwa tidak ada Tuhan kecuali Allah, dan kalian memohon keampunan-Nya. Adapun dua perkara yang jangan ada rasa cukup daripada keduanya adalah kalian memohon kepada Allah syurga dan kalian berlindung dengan-Nya daripada api neraka. Barangsiapa mengenyangkan orang yang berpuasa di dalamnya, Allah SWT akan memberi minum kepadanya daripada air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak akan berasa haus sehingga dia memasuki syurga”.

#         Takhrij:

Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahih[1]nya (hadith no.1887), Al-Baihaqi dalam Syu‘ab Al-Iman (hadith no. 3608)

#         Status:

Hadith ini Tidak Sahih, bahkan Munkar. Ia dinilai Dha‘if oleh Jama‘ah Huffaz Hadith Salaf sejak kurun ke-3 Hijrah lagi!

Antaranya ia dinilai Dha‘if oleh:


1- Imam Ibn Khuzaimah (311H):

Imam Ibn Khuzaimah sendiri telah mendha‘ifkan hadith ini dalam Kitab Sahihnya (hadith no. 1780), kata Imam Ibn Khuzaimah:

In Sahha l-Khabar / إن صح الخبر (jika benarlah khabar ini sahih / Jika benar khabarnya)”,

Perlu diketahui bahawa bentuk lafaz syak “In Sahha l-Khabar” ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Ini adalah manhaj/ metod yang digunakan oleh Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya, iaitu apabila beliau menyebut "In Sahha l-Khabar" dalam Kitab Sahihnya ia menunjukkan bahawa hadith itu Dha‘if di sisinya[2].


2- Imam Abu Hatim Al-Razi (277H):

Hadith ini juga dinilai Tidak Sahih oleh Imam Abu Hatim dalam ‘Ilal Ibn Abi Hatim (hadith no. 733), kata Imam Abu Hatim:
هذا حديث منكر / hadith ini Munkar ”[3].

3- Imam Al-‘Uqaili (322H):

Hadith ini juga didha‘ifkan oleh imam Al-‘Uqaili dalam kitabnya Al-Dhu‘afa’ (no. 17), kata Al-‘Uqaili:
“tiada padanya jalan yang thabit / ليس له طريق يثبت



[1] Nama sebenar kitab ini ialah Mukhtasarul Mukhtasar

[2] Perkataan “In Sahha l-Khabar (إن صح الخبر)” ini adalah lafaz syak dan ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Saya telah bertanya kepda Syaikh Al-Muhaddith Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni, adakah kesemua hadith dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah adalah sahih di sisi Imam Ibn Khuzaimah? Jawab Syaikh Hatim:

كل أحاديث صحيحه صحيحة عنده: إلا من صرح هو فيه بغير ذلك، أو شكك في صحته، أو أعلن التوقف فيه، أو قدم متنه على إسناده، لأنه كثيرا ما يشير إلى الضعف بمثل هذا التصرف

“Semua hadith dalam kitab beliau Al-Sahih, adalah Sahih di sisi beliau, kecuali apabila beliau sendiri menjelaskan bahawa ia tidak sahih, atau beliau syak akan kesahihannya, atau bila beliau menyatakan yang beliau tawaqquf dalam menilainya, atau beliau mendahulukan matan daripada isnadnya. Ini kerana beliau sering kali mengisyaratkan kedha‘ifan (sesuatu hadith) dengan cara ini”

[3] Hadith Munkar: maksud hadith Munkar di sisi ahli hadith terkemudian (Al-Muta’akhkhirin) ialah: “apa yang diriwayatkan rawi yang dha‘if yang menyanggahi dan menyalahi yang thiqat”, ini adalah definisi hadith Munkar di sisi Al-Muta’akhkhirin. Bagi para imam dan ahli hadith yang awal (Al-Mutaqaddimin) pula mereka tidak mengehadkan maksud hadith Munkar seperti Al-Muta’akhkhirin, akan tetapi bagi Al-Mutaqaddimin ia adalah lebih luas, iaitu setiap hadith yang tidak diketahui akan sumbernya, tidak kira sama ada rawi yang tafarrud (bersendirian) itu thiqah atau soduq atau dha‘if, sama ada tafarrudnya rawi itu bersama-sama mukhalafah atau tidak, iaitu dengan kata lain maksudnya sesungguhnya padanya berlaku kesilapan atau tidak terpelihara atau tidak diikuti (khata’, waham, ghayr mahfuz, gharib, la yutaba’ahu ‘alayhi ahad), seperti kata Imam Ahmad “yuhdath bi ahadith manakir laysa lahu asl”, kata Imam Al-Bukhari “hadith laysa bi ma‘ruf Munkar al-hadith”, dan antara ibarat-ibarat lain yang digunakan oleh Al-Mutaqaddimin untuk Munkar adalah seperti “haza khata’”, “haza waham”, “haza ghayr mahfuz”, “haza ghayr sahih”, “gharib”, “wa la yasybih”, “la yathbut”, “la yasih”, dengan itu Munkar pada Al-Mutaqaddimin adalah lebih umum daripada Al-Muta’akhkhirin, dan ia lebih dekat kepada makna al-lughawi iaitu “ghayr ma‘ruf/ tidak di ketahui”, iaitu padanya adanya berlaku kesilapan.

Contohnya kata Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kamil (1/292): “Dan hadith ini bersendirian padanya Isma‘il bin ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, dan ia hadith Munkar daripada hadith Al-Zubaidi, Ibn ‘Ayyasy telah mengambil hadith Al-Zubaidi ke atas hadith Ibn Sam‘an dan dia telah tersilap. Al-Zubaidi thiqah dan Ibn Sam‘an pula dha‘if”. Jika dilihat pada kata-kata Ibn ‘Adi ini dapat diketahui bahawa beliau menggunakan istilah “Munkar” ke atas apa yang telah bersendirian padanya Ibn ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, kerana tidak diketahui hadith ini daripada hadith-hadith Al-Zubaidi, rawi yang meriwayatkannya daripadanya telah silap kerana telah memasukkannya hadith Ibn Sam‘an.

Contoh lain pula ialah kata Imam Al-Nasa’i (8/319): “Hadith ini Munkar, telah silap padanya Abu Al-Ahwas Salam bin Sulaym, sesungguhnya tidak diketahui seorang pun yang mengikutinya padanya Al-Ahwas daripada kalangan ashab Simak bin Harb… dan kata Ahmad bin Hanbal: “Abu Al-Ahwas telah silap pada hadith ini”. Jika kita lihat di sini Abu Al-Ahwas adalah seorang yang thiqah mutqin! Akan tetapi Imam Al-Nasa’i tetap menggunakan istilah “Munkar” ke atas hadithnya yang ada silap padanya. Dan contoh-contoh lain semisal ini sangat banyak. 

Munkar adalah sebahagian daripada ‘Illah (kecacatan) pada hadith dan hadith itu tidak sahih.

(lanjut rujuk: 1- Mu'jam Musthalahatil Hadithi wa 'Ulumihi, Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi, hal. 57, cetakan Dar al-Nafaes, 'Amman, Jordan, 2009M , 2- Nazarat Jadidah Fi ‘Ulum Al-Hadith, Dr. Hamzah Al-Malibari, hal. 32, 200-210, Dar Ibn Hazm, 2003M, 3-  Al-Buhuth Al-Mukhtasarah, Dr. Hamzah Al-Malibari, cetakan Multaqa' Ahl Hadith (Al-Buhuth Al-Mukhtasarah ini merupakan himpunan kertas kerja pembentangan syaikh Al-Malibari di Algeria, besempena Multaqa' Al-Dauliy lil-Sunnah Al-Nabawiyyah pada 13,14,15 Mac 2010 di bandar Qistantinah (Konstantin/Constantine), Algeria) 4- Athar Ikhtilaf Al-Asanid wa Al-Mutun Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, hal. 465, 5- Syarh Lughotul Muhaddith, Thariq 'Iwadullah, hal.406 &  410, 6- Al-Syadz wa Al-Munkar wa Ziyadah Al-Thiqah, Dr. Mustafa Al-Muhammadi, di bawah seliaan Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf, hal. 80)






Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 9:08 AM. Filed under .

2 comments for "Penjelasan status hadith: khutbah Nabi apabila masuknya Ramadhan"

  1. X sangka hadis ini mungkar..... -Imran

  2. namun itulah yang telah dikatakan oleh paea huffaz salaf semisal al-Imam al-Hujjah al-Jihbiz Abu Hatim al-Razi , antara imam yang pakar `ilal hadith.

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign