Penjelasan Status Hadith: Larangan Mempelajari Ilmu Untuk Menyombong, Berbangga, Serta Memilih-Milih Majlis

| |





Larangan mempelajari ilmu untuk menyombong, berbangga, serta memilih-milih majlis ilmu untuk bermegah 
Oleh: Muhammad Fathi Ali al-Tabib

Matan:

لا تعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولا تماروا به السفهاء ولا تخيروا به المجالس فمن فعل ذلك فالنار النار

Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis (iaitu memilih-milih majlis ikmu yang hebat dan gah dengan niat bermegah dengannya, supaya manusia memandang tinggi dirimu kerana menghadirinya). Sesungguhnya sesiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka, dia akan masuk ke dalam neraka.

Takhrij:

Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majah (no. 254), Ibn Hibban (no. 77) dari Jabir secara marfu’

Status:

Sahih, kesemua rijalnya thiqah dan merupakan rijal al-Sahih. Sesetengah melemahkan riwayat ini kerana Ibn Juraij dan Abu al-Zubair yang `an`anah.

Saya katakan: Ibn Juraij adalah seorang yang thiqah faqih, dan `an`anah perawi thiqah yang mudallis adalah asalnya diterima kecuali terbukti dia melakukan tadlis secara pasti. Manakala Abu al-Zubair bukanlah mudallis, hanya saja beliau tertuduh mudallis. Beliau adalah dari kalangan huffaz yang thiqah, berhujah akannya oleh Muslim, dan telah membuat tarajim akannya oleh ramai huffaz mutaqaddimin semisal al-Bukhari, Ibn Abi Hatim tanpa disebutkannya sebagai mudallis, hanya saja dikalangan mutaakhkhirin telah tersilap menyifatkannya sebagai mudallis.

Imam Muslim berhujah dengannya dan telah memasukkan riwayat beliau dalam kitabnya al-Sahih dengan banyak termasuk yang `an`anah dan kesemuanya sahih, bahkan al-Daraquthni yang telah membuat kritikan akan Sahih Muslim pun tidak mengkritik riwayat-riwayat Abu al-Zubair dalamnya. Begitu juga al-Tirmizi, Ibn Hibban, Ibn Khuzaimah, Abu Daud, Ibn al-Jarud dan lain-lain huffaz Salaf mensahihkan dan berhujah dengan hadith-hadithnya.

Tambahan pula Abu al-Zubair adalah daripada ahli hijaz, dan bukanlah mazhab ahli hijaz itu akan tadlis, berkata al-Syafie: "dan tidak sama sekali diketahui akan tadlis di negara kami, baik dari mereka yang melaluinya, tidak juga yang mendudukinya..." (Rujuk: al-Risalah, 1/378), dan berkata al-Hakim: "sesungguhnya ahli hijaz itu...bukanlah mazhab mereka akan tadlis" (Rujuk: Ma'rifat `Ulum al-Hadith, 1/111).

Allah hu'alam
Abu Ismail / Muhammad Fathi Ali al-Maliziy al-Tabib
Iskandariah / Mesir / 4 Oktober 2011

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:02 PM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan Status Hadith: Larangan Mempelajari Ilmu Untuk Menyombong, Berbangga, Serta Memilih-Milih Majlis"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign