Penjelasan status hadith: kaitan ilmu & amal - Ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum

| |




Kaitan Ilmu dan Amal
Oleh: Abu Ismail Muhammad Fathi Ali

Matan hadith:

العلم- إمام العمل والعمل تابعه -

Ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum

Takhrij:

Dikeluarkan antaranya oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (1/127), Ibn Abdil Bar dalam Jami’ Bayan al-`Ilm wa Fadhlihi (no. 202) dan lain-lain.

Status:

Palsu isnad, hasan (baik) serta benar maknanya. Merupakan potongan daripada sebuah hadith panjang yang masyhur dari Muadz bin Jabal berkaitan keutamaan ilmu. Diriwayatkan secara marfu’ (bersambung kepada Nabi SAW) dan juga mauquf (terhenti kepada Muadz sendiri), yang rajih ialah ia mauquf kepada Muadz. Kata Ibn Qayyim: “diriwayatkan secara marfu’ kepada Nabi SAW namun riwayat yang mauquf lebih tepat” (Rujuk: Madarij al-Salikin, 4/134).

Saya katakan: yang terpelihara ialah ia mauquf sebagaimana yang disebut oleh Ibn Qayyim dan ramai huffaz termasuk Ibn Abdil Bar, namun isnadnya tidak thabit bahkan palsu.

Penyakitnya ialah:

1- `Abdulrahim bin Zaid al-`Ammi seorang yang matruk bahkan pendusta hadith sebagaimana yang dijazamkan oleh Ibn Ma’in (Rujuk: al-Taqrib, 1/504)

2- Begitu juga ayahnya Zaid al-`Ammi seorang yang dha’if (Rujuk: al-Taqrib, 1/274)

3- Musa bin Muhammad al-Qurasyi al-Dimyati, kata Ibn Hibban : “tidak halal meriwayatkan darinya, dia mendustakan hadith”, dan berkata Ibn `Adiy: “mencuri hadith”, juga dikatakan sbg pendusta oleh Abu Zur’ah dan Abu Hatim (Rujuk: Lisan al-Mizan, no. 422)

4- Tidak cukup dengan masalah perawinya, isnadnya juga berlaku ikhtilaf antara marfu’ dan mauquf

5- Riwayat yang mauquf diriwayatkan oleh al-Ajurry dalam Akhlak al-`Ulama (42/31-21) dan juga Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (1/127), dan pada isnadnya terdapat Nuh bin Abi Maryam seorang yang tertuduh mendustakan hadith, kata Ibn al-Mubarak tentangnya : “mendustakan hadith” (Rujuk: Taqrib al-Tahzib,no. 7210). Berkata Nu'aim bin Hammad; "aku bertanya Ibn al-Mubarak berkenaan Nuh bin Abi Maryam", maka jawab Ibn al-Mubarak: "La ilaha ilAllah (tiada Tuhan selain Allah)" [Rujuk: Tahzib al-Kamal, al-Mizzi, no. 7210]. Berkata Abu Ismail Fathi: "apabila seseorang nuqqad berkata "La ilaha ilAllah" kepada seseorang rawi , maka ketahuilah bahawa ia adalah antara jarh tertinggi, dan Nuh bin Abi Maryam adalah seorang yang matruk, pendusta hadith, tidak ditulis hadithnya, bahkan kata al-Khaliliy : "telah ijma' akan dhaifnya" (Tahzib al-Tahzib, Ibn Hajar, 10/488).

Saya katakan: walaupun isnad hadith ini palsu, namun maknanya matannya adalah sangat baik dan benar, ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Abdil Bar ketika meriwayatkan hadith ini dalam kitabnya Jami’ Bayan al-`Ilm wa Fadhlihi (no. 202): “ianya adalah hadith Hasan Jiddan, akan tetapi tidaklah isnadnya kuat”.

Maksud Ibn Abdil Bar dengan katanya “Hasan Jiddan (Sangat Baik)” bukan dari istilah tetapi ialah dari segi bahasa iaitu makna matan hadith ini sangat baik walaupun isnadnya palsu.

Perlu diketahui bahawa para huffaz Salaf mereka menggunakan istilah “Hasan” dengan pelbagai maksud boleh jadi dengan maksud hadith itu sahih, dha’if, bahkan palsu bahkan munkar, dan boleh jadi ia merujuk kepada makna hadith saja.

Dan Ibn Abdil Bar walaupun beliau adalah terkemudian (mutaakhkhir) dari segi tarikh, namun manhaj beliau adalah seperti para huffaz Salaf sebelum beliau dalam istilah 'Hasan'. Beliau biasa menggunakan istilah “Hasan” samada dengan maksud:

1- Sahih,
2- Hasan (iaitu sebagaimana yang difahami istilah mu'assirin)
3- Dha’if tetapi boleh digunakan untuk fadhail `amal dan bukannya hukum
4- Baik (hasan) dari segi matan (lafaz) hadith sahaja walaupun sanadnya dha’if atau palsu sekalipun

Semuanya ini amat jelas dari segi pengamalan Ibn Abdil Bar bagi mereka yang biasa mengkaji dan menela’ah manhaj Ibn Abdil Bar untuk istilah “Hasan”.

Allah hu'alam
Abu Ismail Muhammad Fathi al-Tabib
Iskandariah / Mesir / 3 Oktober 2011


Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 12:19 PM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan status hadith: kaitan ilmu & amal - Ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign