Penjelasan Status Athar: Umar menolak pelawaan Sophronius untuk bersolat di gereja al-Qiyamah

| |





Penjelasan Status Athar: Umar menolak pelawaan Patriarch Sophronius untuk bersolat di gereja al-Qiyamah
Oleh: Muhammad Fathi Ali al-Tabib al-Sakandary al-Maliziy




Athar yang tersebar:

Ketika peristiwa 'Pembukaan Baitul Maqdis' oleh `Umar al-Khattab, beliau pergi melawat gereja al-Qiyamah di Baitul Maqdis, lalu tiba waktu solat, maka berkata Patriarch Sophronius kepada `Umar: "solat lah - dimana-mana kawasan gereja ini yang kamu mahu-". Jawab `Umar: "tidak, aku tidak akan lakukan solat disini, aku tidak mahu satu hari nanti gereja ini akan ditukar kepada masjid hanya disebabkan aku pernah solat di dalamnya.”

Takhrij:

al-Aaba' al-Franciscan (halaman 9-23).

Status:

Israiliyat, serta tidak dapat dikenalpasti kesahihannya kepada `Umar. Saya mendapati ia tersebar dengan agak meluas dalam internet , sesetengah berhujah dengan athar ini, mereka menjadikan ia sebagai hujah bahawa bolehnya bersolat di gereja, kerana `Umar menolak bersolat di gereja bukan atas sebab gereja itu sendiri sebaliknya hanya sebagai langkah berhati-hati agar kaum muslimin tidak menukar gereja itu kepada masjid pada kemudian hari.

Kata-kata ini sangat popular hingga Dr. Yusuf al-Qaradhawi turut menukilkan athar ini dalam kitabnya Fatwa Mu'asirah, berkata Dr. Yusuf a-Qaradhawi:

وقد كاد عمر رضي الله عنه أن يصلي في كنيسة القيامة حينما قيل له: صل . فقال: لا . لا أصلي هنا حتى لا يأتي المسلمون من بعدي ويقولون: هنا صلى عمر ويتخذون منها مسجدًا للمسلمين 

"dan telah hampir-hampir Umar r.a bersolat dalam gereja al-Qiyamah apabila seorang berkata kepada beliau : solat lah, lantas Umar menjawab: tidak, aku tidak akan lakukan solat disini , aku khuatir nanti datang orang-orang Islam selepas aku dan mereka berkata: disini lah Umar pernah mendirikan solat dan mereka pun menjadikan (gereja ini ) sebagai masjid untuk kaum muslimin" [Rujuk: Fatwa Mu'asirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi. jilid 1, bab Solat dalam gereja, juga boleh dibaca melalui web rasminya di www.qaradawi.net disini: http://www.qaradawi.net/library/50/2282.html].

Namun malangnya Dr. Yusuf al-Qaradhawi tidak mengemukakan sebarang sumber untuk nukilannya itu. Saya telah berusaha melakukan semakan untuk mencari sumber asal athar `Umar ini, setakat kajian saya, saya tidak menjumpai athar ini dalam mana-mana kitab matan yang masyhur, tiada dalam Kutub al-Sittah, tiada baik dalam al-Jami', Musnad, Musannaf, Sunan , tidak juga ia wujud dalam kitab-kitab tarikh atau sirah yang utama dan sebagainya.

Sebaliknya ia hanya berjaya saya temui dalam kitab : al-Aaba' al-Franciscan karya Dr. Khalil Totah, yang merupakan seorang aktivis Palestin yang terkenal. Beliau adalah arab kelahiran Ramallah iaitu kira-kira 10 batu dari Palestin, beragama Kristian Greek Ortodox dan pernah berkali-kali bertugas sebagai guru di sekolah dan universiti-universiti di Palestin, dan kini merupakan warga tetap Amerika. Lanjut biografi Dr. Khalil Totah boleh dibaca disini:http://www.passia.org/images/personalities/totah-khalil/khalil-text.htm.

Dalam kitab beliau: al-Aaba' al-Franciscan ini, Dr. Khalil Totah menceritakan bahawa semasa 'Pembukaan Baitul Maqdis' oleh `Umar al-Khattab, beliau pergi melawat gereja al-Qiyamah di Baitul Maqdis, lalu tiba waktu solat, maka berkata Patriarch Sophronius kepada `Umar: "solat lah". Jawab `Umar kepada Patriarch Sophronius:

أيها الشيخ ! انني لو أقمت الصلاة في كنيسة القيامة لوضع المسلمون عليها ايديهم في حجة اقامتي الصلاة فيها 

"wahai Syaikh ("pakcik tua" , "ketua" iaitu ketua bagi kaum kristian)! sungguh sekiranya aku bersolat disini (gereja al-Qiyamah) , maka - aku khuatir kemudian hari - kaum muslimin akan mengambil atasnya dengan tangan mereka (iaitu menukarkan ia kepada masjid) atas sebab aku pernah bersolat dalamnya" [Rujuk: al-Aaba' al-Franciscan, Dr. Khalil Totah, halaman 9-23, 1890M].

Dan saya mendapati bukan hanya Dr. Yusuf al-Qaradhawi sahaja yang menukilkan athar ini, bahkan Dr. Syafiq Jasar Ahmad Mahmud, yang merupakan Ketua Fakulti Bahagian Tarikh (sejarah) Universiti Islam Madinah al-Munawwarah, `Arab Saudi juga turut menukilkan athar ini dalam bukunya: al-Fath al-`Umariy lil-Quds (Pembukaan al-Quds oleh `Umar), dan Dr. Syafiq turut menyandarkan kata-kata ni kepada Dr. Khalil Totah. [Rujuk: al-Fath al-`Umariy lil-Quds, Dr. Syafiq Jasar Ahmad Mahmud, halaman 192]

Saya cuba mencari sumber athar yang dinukilkan Dr. Khalil Totah ini, dan saya menyemak beberapa kitab tarikh karya beberapa pengkaji Baitul Maqdis moden muslim antaranya ialah: Tarikh al-Quds (Sejarah al-Quds) karya Syaikh `Arif Basya `Arif al-Maqdisiy, seorang pengkaji Palestin, kelahiran Baitul Maqdis al-Quds, merupakan graduan Univ Istanbul Fakulti Adab tahun 1913M.

Dalam kitab beliau Tarikh al-Quds, Syaikh `Arif Basya `Arif al-Maqdisiy menceritakan bahawa `Umar al-Khattab setelah membuka Baitul Maqdis perkara yang awal-awal dilakukan `Umar ialah pergi melawat gereja al-Qiyamah, kemudian ketika beliau berada dalam gereja itu masuk waktu solat. Maka Patriarch Sophronius mengisyaratkan kepada `Umar akan tempat solat dalam gereja al-Qiyamah dan menawarkan `Umar untuk bersolat. Namun Umar menolak dan keluar dari gereja seraya bersolat disuatu tempat yang berdekatan dengannya, kerana khuatir sekiranya beliau solat dalam gereja itu maka kaum muslimin akan menukarkan gereja itu kepada masjid selepas peninggalannya. Maka pihak Kristian bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan `Umar itu. [Rujuk: Tarikh al-Quds, `Arif Basya `Arif al-Maqdisiy, halaman 50, cetakan Dar al-Ma'arif, buku ni boleh didapati di Bibliotheca Alexandria Egypt, code number Bibliotheca: 013481]


Namun Syaikh `Arif Basya `Arif al-Maqdisiy tidak menyebut ungkapan athar `Umar itu tetapi beliau hanya menceritakan secara ringkas, dan beliau juga tidak menyatakan sebarang sumber untuk nukilan beliau ini. Saya syak beliau juga mengambil dari Dr. Khalil Totah disebabkan kitab al-Aaba' al-Franciscan terlebih dahulu ditulis sebelum kitab Tarikh al-Quds.

Saya cuba menyemak lanjut kisah ini, cuba mencarinya dalam kitab-kitab tarikh, sirah para ulama Islam terdahulu namun saya tidak menjumpai kisah ini. Bahkan saya telah turut menyamak kitab : Al-Uns al-Jalil bi-Tarikh al-Quds wa-al-Khalil karya Imam Majir al-Deen al-Ḥanbali al-`Ulaimy al-`Umariy al-Maqdisiy, wafat pada tahun 860H. Al-`Ulaimiy adalah nisbah beliau kepada datuknya `Ali bin `Alil, dan al-`Umariy adalah nisbah beliau kepada Abdullah ibn `Umar al-Khattab, al-Maqdisiy adalah nisbah beliau kepada tempat kelahirannya di Baitul Maqdis.

Dalam kitab Al-Uns al-Jalil bi-Tarikh al-Quds wa-al-Khalil, diceritakan bahawa `Umar sememangnya pernah membuka Baitul Maqdis (al-Quds), tetapi tidak diceritakan langsung bahawa `Umar menolak untuk bersolat dalam gereja al-Qiyamah kerana khuatir sekiranya beliau solat dalam gereja itu maka kaum muslimin akan menukarkan gereja itu kepada masjid selepas peninggalannya, juga tidak diceritakan bahawa `Umar pernah bersolat dikawasan berdekatan gereja al-Qiyamah. [Rujuk: Al-Uns al-Jalil bi-Tarikh al-Quds wa-al-Khalil, Majir al-Deen al-Ḥanbali al-`Ulaimy al-`Umariy al-Maqdisiy, bab Fath al-`Umariy - Pembukaan `Umar, 1/256]

Saya berkata: maka kesimpulannya kata-kata `Umar ni sememangnya tidak dapat dipastikan kesahihannya. Bahkan ia lebih kepada tiada asal kerana sumber primernya pun adalah daripada Dr. Khalil Totah, seorang aktivis Palestin warga Amerika kelahiran al-Quds, beragama Kristian (Greek Ortodox) dan beliau juga tidak mengemukakan sebarang sumbar apatah lagi sanad untuk athar ini. Ditambah pula kisah ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab karya ulama Islam silam hingga ia juga tidak dapat ditemui dalm kitab Al-Uns al-Jalil bi-Tarikh al-Quds wa-al-Khalil, karya Majir al-Deen al-Ḥanbali al-`Ulaimy al-`Umariy al-Maqdisiy yang ditulis seawal kurun 8 Hijrah atau 7 Hijrah. Ringkasnya ungkapan `Umar ini adalah kisah daripada kaum Nasrani, dengan kata lain ia adalah Israiliyat!! Apabila ia Israiliyat maka ia tidak boleh dijadikan sumber hukum, dan telah silap mereka yang berhujah dengan kisah ini sebagai dalil bolehnya bersolat dalam gereja secara mutlak.

Yang thabit dan masyhur dalam kitab-kitab karya para ulama Islam silam ialah athar kata-kata `Umar:

 إنا لا ندخل كنائسكم من أجل التماثيل التي فيها الصور  

"aku tidak memasuki gereja-gereja kamu - untuk bersolat dalamnya - disebabkan patung –patung berhala dalamnya”

Athar masyhur, dikeluarkan antaranya oleh Abdul Razzzaq dalam Musannaf (no. 1610, 1611), Ibn Hajar dalam dalam Fathul Bari (1/531-532), al-Bukhari kitabnya al-Sahih (1/617) secara mu'allaq dengan sighah jazam menunjukkan ia sahih disisi al-Bukhari dan beliau berhujah dengannya.

Dan para ulama Islam telah berbeza pendapat dalam hal solat dalam gereja atau mana-mana rumah ibadah kaum bukan islam kepada sekurang-kurangnya 3 pendapat seperti dibawah :

1 - Terlarang (baik makruh atau haram) secara mutlak dan ini adalah pendapat Ahmad bin Hanbal dalam salah satu pendapatnya, sesetengah Syafieyah dan fuqaha' lainnya.

2- Boleh secara mutlak dan ini adalah pendapat al-Hasan, `Umar `Abdul `Aziz, al-Auzai'i, sesetengah ashab Ahmad dan lain-lain

3 - Dibenci (makruh) bersolat dalam gereja sekiranya terdapat patung-patung berhala, sekiranya tiada patung-petung berhala maka ia harus. Dan ini adalah pendapat `Umar , termasuk muridnya Ibn `Abbas, Malik, al-Bukhari dan lain-lain

Dan pendapat yang rajih ialah pendapat yang ketiga, iaitu dibenci (makruh) bersolat dalam gereja sekiranya terdapat patung-patung berhala dalamnya, manakala harus sekiranya tiada patung-patung berhala. Dan ini adalah sebagaimana tarjih al-Bukhari (difahami dari tabwibnya dalam al-Sahih), dan Ibn Taimiah juga berpendapat sedemikian. [Rujuk: al-Fatawa al-Kubra, Ibn Taimiah (2/59) , al-Mughni, Ibn Qudamah (1/407), Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd (1/291)]

Walaupun telah saya nyatakan bahawa kisah Israiliyat ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun ia mungkin mempunyai asas kebenaran kerana di al-Quds wujud sebuah masjid yang bernama: Masjid `Umar al-Khattab dan dikisahkan bahawa ia dibina atas tapak `Umar bersolat, iaitu berdekatan gereja al-Qiyamah selepas 'Pembukaan al-Quds'. Dan kisah ini diterima oleh ramai manusia dari kalangan Kristian al-Quds sendiri.[Rujuk wikipedia: Masjid `Umar #1 ]


Dan menurut Bishop Arculf yang menetap di al-Quds dari tahun 679M-688M, masjid `Umar ini asalnya hanyalah binaan kayu runtuhan berbentuk empat segi  serta mampu memuatkan kira-kira 30000 orang. Masjid ini dikatakan telah dibentuk semula oleh Sultan al-Afdhal bin Salahuddin pada 1193CE , kemudiannya diubahsuai lagi ketika zaman uthmaniyyah oleh Sultan `AbdulMajid. [Rujuk wikipedia: Masjid `Umar #2 ]

Gambar-gambar masjid `Umar al-Khattab:




File:Mosque of Omar in Jerusalem.jpg

File:Mosque of Omar IMG 0474.jpg

File:Mosque of Omar in Jerusalem2.jpg




Allah hu'alam

~ Fathi Al-Sakandary ~
Alexandria/ Egypt/ 3 Oktober 2011




Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:12 AM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan Status Athar: Umar menolak pelawaan Sophronius untuk bersolat di gereja al-Qiyamah"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign