Penjelasan Status Hadith Larangan Berpuasa Khusus Hari Sabtu

| |








Dikongsikan disini sebahagian daripada petikan isi buku saya "Hadith-Hadith Cacat Puasa", hadith no.8, halaman 45 - 57 . Dalam buku ini saya berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin hadith-hadith cacat berkenaan puasa, dan telah siap jilid pertama sebanyak 142 halaman yang telah selesai disemak oleh guru saya, sekarang saya sedang berusaha menyambung  jilid kedua dan dijangka akan mula disemak pada pertengahan Ramadhan 1432H, secara keseluruhannya setakat ini buku ini (jilid pertama dan jilid kedua) telah mencecah lebih 200 halaman, alhamdulilLah. Saya bercadang untuk mencetaknya atas cadangan para sahabat, moga dimudahkanNya urusan.



Hadith no. 8:

#         Matan Hadith:



لَا تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إِلَّا فِيمَا افْتُرِضَ عَلَيْكُمْ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا عُودَ عِنَبٍ أَوْ لِحَاءَ شَجَرَةٍ فَلْيَمُصَّهُ


Janganlah kalian berpuasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang diwajibkan atas kalian, dan apabila salah seorang antara kalian tidak mendapatkan sesuatu kecuali kulit pohon anggur atau ranting pohon maka hendaklah dia mengunyahnya

#         Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 17686, 27075), Abu Daud (no. 2421), Ibn Majah (no. 1726), Al-Tirmizi (no. 854), Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (no. 8493), Al-Darimi (no. 1749) dan lain-lain.

Kesemuanya daripada jalur Thaur bin Yazid daripada Khalid bin Ma‘dan daripada ‘Abdullah bin Busr, daripada Al-Soma’.

#         Status:

Munkar, cacat pada sanad dan juga matan.

Hadith ini diingkari oleh jumhur huffaz hadith salaf seperti Ibn Syihab Al-Zuhri, Al-Awza‘i, Malik bin Anas, Yahya Ibn Sa’id Al-Qattan, Ahmad bin Hanbal, Abu Bakr Al-Athram, Abu Daud, Al-Nasa’i dan lain-lain.

1-   Imam Ibn Syihab Al-Zuhri:

Kata Imam Al-Tahawi[1]:

أنكر الزهرى حديث الصماء في كراهة صوم يوم السبت ولم يعده من حديث أهل العلم بعد معرفته به

“Mengingkari Al-Zuhri akan hadith Al-Soma’ iaitu hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu, dan dia tidak menganggapnya lagi daripada hadith ahli ilmu selepas dia mengetahuinya dengannya”

Kata beliau lagi:
 حدثني الليث قال: سئل الزهرى عن صوم يوم السبت فقال لا بأس به

“Menceritakan kepda kami Al-Laith katanya: aku bertanya kepada Al-Zuhri berkenaan (boleh atau tidak) berpuasa pada hari Sabtu? jawab Al-Zuhri: Tidak mengapa”

Kata Imam Abu Daud[2]:

حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ قَالَ سَمِعْتُ اللَّيْثَ يُحَدِّثُ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ كَانَ إِذَا ذَكَرَ لَهُ أَنَّهُ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمِ السَّبْتِ يَقُولُ ابْنُ شِهَابٍ هَذَا حَدِيثٌ حِمْصِيٌّ

“Menceritakan kepada kami Ibn Wahab, katanya aku mendengar Al-Laith menceritakan daripada Ibn Syihab Al-Zuhri bahawa jika disebutkan pada Al-Zuhri hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu, maka Ibn Syihab Al-Zuhri akan berkata: Ia hadith Himsi”

2-   Imam Al-Awza‘i:

Kata Imam Abu Daud[3]:

حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ عَنْ الْأَوْزَاعِيِّ قَالَ مَا زِلْتُ لَهُ كَاتِمًا حَتَّى رَأَيْتُهُ انْتَشَرَ يَعْنِي حَدِيثَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ هَذَا فِي صَوْمِ يَوْمِ السَّبْتِ
“Menceritakan kepada kami Al-Walid daripada Al-Awza‘i katanya: Sebelum ini aku melihat hadith ini masih disembunyikan, hinggalah akhirnya ia tersebar” iaitu hadith ‘Abdullah bin Busr ini berkenaan (larangan) berpuasa pada hari Sabtu”

3-   Imam Malik bin Anas:

Kata Abu Daud[4]:

 قَالَ مَالِكٌ هَذَا كَذِبٌ / kata Malik: (hadith) ini dusta”

4-   Imam Yahya bin Sa’id Al-Qattan, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Bakr Al-Athram:

Kata Ibnu Taymiyyah[5]:

قال أبو بكر الأثرم سمعت أبا عبد الله يسأل عن صيام يوم السبت يتفرد به فقال اما صيام يوم السبت ينفرد به فقد جاء في ذلك الحديث حديث الصماء يعني حديث ثور بن يزيد عن خالد بن معدان عن عبد الله بن بسر عن أخته الصماء عن النبي صلى الله عليه وسلم لا تصوموا يوم السبت إلا فيما افترض عليكم قال أبو عبد الله فكان يحيى بن سعيد ينفيه وأبى أن يحدثني به وقد كان سمعه من ثور قال فسمعته من أبي عاصم
قال الأثرم وحجة أبي عبد الله في الرخصة في صوم يوم السبت أن الأحاديث كلها مخالفة لحديث عبد الله بن بسر
ومنها حديث أم سلمة حين سئلت أي الأيام كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أكثر صياما لها فقالت يوم السبت والأحد
منها حديث جويرية أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لها يوم الجمعة أصمت أمس قالت لا قال أتريدين أن تصومي غدا فالغد هو يوم السبت
وحديث أبي هريرة نهى النبي صلى الله عليه وسلم عن صوم يوم الجمعة إلا بيوم قبله أو بيوم بعده فاليوم الذي بعده هو يوم السبت
ومنها أنه كان يصوم شعبان كله وفيه يوم السبت
ومنها أنه أمر بصوم المحرم وفيه يوم السبت وقال من صام رمضان وأتبعه بست من شوال كان كصيام الدهر وقد يكون السبت فيها وأمر بصيام أيام البيض وقد يكون فيها السبت ومثل هذا كثير
فهذا الأثرم فهم من كلام أبي عبد الله أنه توقف عن الأخذ بالحديث وأنه رخص في صومه ...وذكر أن الإمام في علل حديث يحيى بن سعيد كان يتقيه ويأبى أن يحدث به فهذا تضعيف للحديث
واحتج الأثرم بما دل من النصوص المتواترة على صوم يوم السبت

“Berkata Abu Bakr Al-Athram, aku mendengar Abu ‘Abdullah (Ahmad bin Hanbal) ditanya berkenaan berpuasa khusus pada hari Sabtu, jawab beliau: Adapun (larangan) berpuasa pada hari Sabtu secara khusus telah datang sebuah hadith daripada Al-Soma’ iaitu hadith riwayat Thaur daripada Yazid daripada Khalid bin Ma‘dan daripada ‘Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya Al-Soma’ daripada Nabi SAW bersabda {Janganlah berpuasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang diwajibkan atas kalian}, kata Abu ‘Abdullah (Ahmad bin Hanbal): {Yahya bin Said Al-Qattan menghindari daripada hadith ini dan dia enggan menceritakannya kepadaku} Dia mendengar daripada Thaur bahawa dia berkata {Aku mendengarnya daripada ‘Asim}

Selanjutnya Al-Athram mengatakan: Hujah Abu ‘Abdullah (Ahmad bin Hanbal) membolehkan berpuasa khusus pada hari Sabtu adalah bahawa hadith-hadith (sahih) yang ada kesemuanya berbeza dengan hadith ‘Abdullah bin Busr (yang melarang berpuasa pada hari Sabtu ini).

Antaranya ialah: hadith Ummu Salamah bahawa beliau pernah ditanya: “Pada hari apakah Rasul SAW sering berpuasa?” jawab beliau: hari Sabtu dan Ahad. Hadith Juwairiyah bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya pada hari Jumaat. “Adakah kelmarin kamu berpuasa?” Jawabnya “Tidak”, Nabi SAW bertanya lagi. “Adakah kamu akan berpuasa esok?” dan esok adalah hari Sabtu. Hadith Abu Hurairah bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada hari Jumaat kecuali jika seseorang itu turut berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya, dan hari selepasnya adalah hari Sabtu. Hadith di mana Nabi SAW berpuasa pada bulan Sya‘ban selama sebulan penuh dan tentunya termasuk dalamnya hari Sabtu. Rasul SAW juga memerintahkan berpuasa pada bukan Muharram dan dalamnya ada hari Sabtu. Rasul SAW bersabda {barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengikutinya dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal ganjarannya seakan dia berpuasa setahun} dan padanya boleh jadi hari Sabtu. Rasul SAW juga memerintahkan berpuasa pada hari-hari putih dan boleh saja hari Sabtu termasuk dalamnya. Dan contoh-contoh hadith yang sebegini ini sangat banyak (kesemuanya menyalahi hadith ‘Abdullah bin Busr yang melarang berpuasa pada hari Sabtu)

Dan ini menunjukkan Al-Athram memahami ucapan Imam Ahmad bin Hanbal bahawa dia menahan daripada menerima hadith ‘Abdullah bin Busr dan Ahmad membolehkan berpuasa pada hari Sabtu…

Kemudian Al-Athram menyebut bahawa Imam Ahmad menyatakan dalam ‘Ilal Al-Hadith bahawa Yahya bin Sa’id Al-Qattan menjauhi hadith ‘Abdullah bin Busr dan enggan menceritakan kepadanya, ini menunjukkan bahawa Imam Ahmad mendha‘ifkan dan melemahkan hadith ‘Abdullah bin Busr (yang melarang berpuasa pada hari Sabtu) ini. Berdasarkan nas-nas yang mutawatir maka Al-Athram berpendapat bolehnya berpuasa pada hari Sabtu…”

Imam Al-Athram juga menyebutkan hal yang sama dalam kitabnya Nasikh Al-Hadith wa Mansukhihi, beliau menyatakan bahawa hadith ‘Abdullah bin Busr ini menyalahi hadith-hadith sahih lain yang banyak.[6]

5-   Imam Abu Daud:

Kata Abu Daud setelah meriwayatkan hadith ini dalam Sunannya[7]:

وهذا الحديث منسوخ
“Dan hadith ini Mansukh (telah dihapus hukumnya)”

6-   Imam Al-Nasa’i:

Kata Ibn Hajar[8]:
قال النسائي هذا حديث مضطرب
“Berkata Al-Nasa’i: hadith ini Mudhtarib


7-   Imam Abu Nu‘aim Al-Asfahani:

Kata beliau[9]:

غريب من حديث خالد تفرد به عيسى، عن ثور

“Gharib daripada hadith Khalid, bersendirian padanya ‘Isa daripada Thaur”

8-   Imam Al-Tahawi:

Kata beliau setelah menyebutkan hadith-hadith yang berbeza daripada hadith ‘Abdullah bin Busr[10]:

ففي هذه الآثار المروية في هذا إباحة صوم يوم السبت تطوعا وهي أشهر وأظهر في أيدى العلماء من هذا الحديث الشاذ الذي قد خالفها

“Dan dalam athar-athar ini, yang diriwayatkan berkenaan hal ini, dibolehkan berpuasa hari Sabtu dengan sukarela (puasa sunnah) dan ia adalah yang paling masyhur dan nyata pada pegangan ‘ulama’, daripada hadith Syaz ini (iaitu hadith ‘Abdullah bin Busr yang melarang berpuasa pada hari Sabtu) yang bercanggah dengannya”

9-   Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah:

Kata Ibn Taimiyyah setelah menyebutkan kata-kata Al-Athram[11]:

وعلى هذا فيكون الحديث إما شاذا غير محفوظ وإما منسوخا وهذه طريقة قدماء أصحاب أحمد الذين صحبوه كالأثرم وأبي داود

“Maka dengan ini menunjukkan bahawa hadith (larangan berpuasa pada hari Sabtu ini) adalah Syaz, tidak terpelihara, dan mungkin ia telah dihapuskan hukumnya (mansukh), dan inilah jalan yang ditempoh oleh ‘ulama’-’ulama’ terdahulu (Al-Muqaddimin) termasuk murid-murid Ahmad seperti Al-Athram, dan juga Abu Daud…”


10-               Imam Ibn Qayyim:

Ibn Qayyim menyebutkan perkara yang sama seperti gurunya Ibn Taimiyyah, dan berpendapat yang sama dengan Ibn Taimiyyah. Kata Ibn Qayyim: [12]

فدل على أن الحديث غير محفوظ وأنه شاذ

“Ini menunjukkan sesungguhnya hadith (larangan berpuasa pada hari Sabtu ini) adalah tidak terpelihara, atau sesungguhnya ia Syaz”

11-               Al-Hafiz Ibn Hajar:

Kata Ibn Hajar tentang hadith ini[13]:

رَوَاهُ اَلْخَمْسَةُ، وَرِجَالُهُ ثِقَاتٌ، إِلَّا أَنَّهُ مُضْطَرِبٌ وَقَدْ أَنْكَرَهُ مَالِكٌ وَقَالَ أَبُو دَاوُدَ: هُوَ مَنْسُوخٌ

“Diriwayatkan oleh yang Lima, dan rawi-rawinya thiqat, kecuali ia Mudhtarib, sesungguhnya imam Malik mengingkarinya, dan kata Abu Daud: ia mansukh”

Antara Ahli Hadith masa kini (Al-Mu‘asirin) dan para ‘ulama’ yang turut mendha‘ifkan hadith ini ialah:

1-   Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi:

Kata beliau: منكر / Munkar ”[14]

Katanya lagi:

هذا الخبر خبر منكر ومعلول إسنادا ومتنا، هذا الحديث قد وقع في إسناده اضطراب شديد ووهم وغلط... أنكره عامة الحفاظ: أنكره الإمام أحمد وأنكره أبو حاتم والترمذي بل قال الإمام مالك "هذا كذب" وقال أبو داود "هذا خبر منسوخ

“Khabar ini Munkar, cacat isnad dan matan, pada isnadnya idhtirab syadid dan waham dan ghalat (goyah yang parah serta banyak silap)…para huffaz secara umum mengingkarinya: Imam Ahmad, Al-Tirmizi[15], Abu Hatim mengingkarinya, bahkan kata Imam Malik {Ia dusta} dan kata Abu Daud {khabar ini mansukh – dihapuskan hukum}”[16]

2-   Syaikh Sulayman Ibn Nasir Al-‘Ulwan:

Katanya:

هو حديث منكر
“Ia hadith Munkar”[17]

3-   Syaikh Basyar ‘Awwad Ma‘ruf:

Katanya:
وهذا الحديث قد أعله غير واحد من أهل العلم

“Hadith ini dicacatkan oleh tidak seorang (ramai) daripada Ahli Ilmu”[18]

Kemudian beliau membawakan kalam-kalam para huffaz seperti Al-Zuhri, Malik, Abu Daud, Al-Athram, Ahmad, Al-Qattan yang mendha‘ifkan hadith ini.

4-   Syaikh Mahir Yasin Al-Fahl:

Kata beliau:

هذا الحديث قد أعله جماعة من الحفاظ بالمعارضة

“Hadith ini sesungguhnya telah dicacatkan oleh jama‘ah huffaz hadith kerana percanggahan”[19]

Kemudian beliau membawakan kalam-kalam para huffaz seperti Al-Zuhri, Malik, Abu Daud, Al-Athram, Ahmad, Al-Qattan yang mendha‘ifkan hadith ini.

5-   Syaikh Tariq ‘Iwadullah:

Beliau bersetuju dengan Al-Hafiz Ibn Hajar dalam mendha‘ifkan hadith ini dalam tahqiq Bulughu l-Maram[20]

6-   Syaikh Islam bin Mansur:

Kata Islam bin Mansur: مُضْطَرِبٌ /Mudhtarib[21]

7-   Syaikh Usamah ‘Abdul ‘Aziz:

Kata Usamah ‘Abdul ‘Aziz setelah menyebut kalam-kalam para huffaz hadith salaf yang mendha‘ifkan hadith ini:

“Sesiapa yang memperhatikan apa yang telah dipaparkan sebelumnya, dapat dilihat bahawa yang menilai hadith ini mengandungi ‘illat (kecacatan dan dha‘if) ia datang daripada para ‘ulama’ yang menggeluti bidang ini dan merupakan pakar ‘Ilal Al-Hadith, maka pendapat yang layak dipegang adalah pendapat mereka (Al-Mutaqaddimin)”[22]

8-   Syaikh Syu‘aib Al-Arna’ut:

Kata beliau:
 هذا الحديث رجاله ثقات إلا أنه أُعِل بالاضطراب والمعارضة

“Hadith ini rawi-rawinya adalah thiqat, kecuali sesungguhnya ia cacat kerana idhtirab (goyah) dan percanggahan”[23]

9-   Syaikh Soleh Al-‘Uthaimin:

Kata Al-‘Uthaimin[24]:

فهذا الحديث قال أبو داود: إن مالكاً رحمه الله وهو مالك بن أنس الإمام المشهور قال: إن هذا الحديث مكذوب على الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ولا يصح. والحقيقة أن من تأمل هذا الحديث وجد أن فيه اضطراباً في سنده، وفيه شذوذ أو نكارة في متنه

“Pada hadith ini kata Abu Daud: sesungguhnya Malik iaitu Imam Malik bin Anas imam yang masyhur mengatakan: sesungguhnya hadith ini adalah dusta kepada Nabi r dan tidak sahih (daripadanya). Daripada kajianku yang hakiki dan sebenarnya sesungguhnya hadith ini terdapat pada sanadnya Idhtirab dan pada matannya pula terdapat Syaz atau nakarah”

Berkenaan dengan Fiqh Al-Hadith pula, saya cenderung kepada pendapat yang dikemukakan oleh Imam Al-Tahawi di bawah:

وقد يجوز عندنا والله أعلم أن يكون ثابتا أن يكون إنما نهى عن صومه لئلا يعظم بذلك فيمسك عن الطعام والشراب والجماع فيه كما يفعل اليهود فأما من صامه لا لإرادته تعظيمه ولا لما تريد اليهود بتركها السعى فيه فان ذلك غير مكروه

“Dan sesungguhnya di sisi kami berpuasa pada hari Sabtu itu dibolehkan - Allah Maha Mengetahui – jika hadith yang melarang ini thabit sekalipun sesungguhnya tujuan larangan berpuasa itu adalah agar tidak mengagungkan dan membesarkan hari Sabtu, sehingga seseorang itu menahan diri daripada makan, minum dan jima‘ pada hari itu sebagaimana yang dilakukan oleh Yahudi. Namun jika seseorang itu berpuasa pada hari Sabtu bukan untuk mengangungkan dan bukan untuk membesarkan hari Sabtu, jika dia tidak bermaksud meniru Yahudi, maka hal itu tidaklah dilarang”[25]







[1] Dalam Syarh Ma‘ani Al-Athar, 2/80

[2] Dalam Sunannya, hadith no. 2423, rujuk juga Zawa’id Sunan Abi Daud, Al-Tarifi, hadith no. 2423

[3] Dalam Sunannya, hadith no. 2423, rujuk juga Zawa’id Sunan Abi Daud, Al-Tarifi, hadith no. 2423


[4] Dalam Sunannya, hadith no. 2423, rujuk juga Zawa’id Sunan Abi Daud, ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi, hadith no. 2423


[5] Dalam Iqtidha’ Sirat Al-Mustaqim, 1/262-263


[6] Rujuk: Nasikh Al-Hadith Wa Mansukhihi, bab “Berpuasa pada hari Sabtu”, hal. 201


[7] Dalam Sunannya, hadith no. 2421, rujuk juga Zawa’id Sunan Abi Daud, ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi, hadith no. 2421


[8] Dalam Talkhis Al-Habir, no. 938 (2/216)


[9] Dalam Hilyah Al-Auliya’, 5/218


[10] Dalam Syarh Ma‘ani Al-Athar, 2/80


[11] Dalam Iqtidha’ Sirat Al-Mustaqim, 1/263


[12] Rujuk: Hasyiah Ibn Al-Qayyim, 7/48


[13] Rujuk: Bulughu l-Maram, tahqiq Tariq ‘Iwadullah, hadith no. 628


[14] Dalam Zawa’id Sunan Abi Daud ‘Ala Al-Sahihayn, no. 2421


[15] Kata Imam Al-Tirmizi tentang hadith ini: “Hasan”, dan sebenarnya ini kebanyakannya adalah merupakan isyarat pendha‘ifan oleh Al-Tirmizi. Kata Syaikh Al-Tarifi:

ما كان فيه ضعف، ويطلق عليه لفظ: (( حديث حسن )) مجرداً، وقد يغتر البعض بإطلاق هذه اللفظة من الإمام الترمذي، ويظن أنه يريد بها الحسن الاصطلاحي عند أهل الاصطلاح وليس كذلك، بل إن الترمذي - عليه رحمة الله - إذا أطلق هذه العبارة ؛ فإنه يريد أن الخبر ضعيف، وليس بصحيح .

“Apabila hadith itu terdapat padanya kedha‘ifan, maka Al-Tirmizi akan menggunakan lafaz (Hadith Hasan) secara bersendirian. Sesetengah pihak tertipu dengan istilah ini dan menyangka bahawa maksud istilah “Hasan” yang diinginkan oleh Imam Al-Tirmizi adalah sama seperti yang biasa difahami umum dalam Mustolah Hadith di sisi Ahli Istilah, akan tetapi ia tidak begitu. Bahkan, apabila Imam Al-Tirmizi menggunakan ibarat ini (istilah Hasan), yang ingin dimaksudkan oleh beliau ialah hadith itu Dha‘if dan Tidak Sahih” (rujuk: Sifat Hajj Al-Nabi, ‘Abdul ‘Aziz Al-Tarifi, hal. 62)


[16] Dalam kuliahnya أحاديث الصيام المعلة


[17] Dalam Syarh Jami‘ Al-Tirmizi, kitab Puasa, 1/252


[18] Dalam tahqiqnya ke atas Jami‘ Al-Tirmizi, 2/112-113, nota kaki no. 2


[19] Dalam kitab beliau: Athar ‘Ilal Al-Hadith, Fasal Tiga: ‘Ilal Matan, subtopik: ‘Ilal bi Al-Ta‘arudh, hal. 165-167


[20] Kata Al-Hafiz Ibn Hajar tentang hadith ini:
رَوَاهُ اَلْخَمْسَةُ، وَرِجَالُهُ ثِقَاتٌ، إِلَّا أَنَّهُ مُضْطَرِبٌ وَقَدْ أَنْكَرَهُ مَالِكٌ وَقَالَ أَبُو دَاوُدَ: هُوَ مَنْسُوخٌ

“Diriwayatkan oleh yang Lima, dan rawi-rawinya thiqat, kecuali ia adalah Mudhtarib, sesungguhnya imam Malik mengingkarinya, dan kata Abu Daud: Ia mansukh”

Syaikh Tariq ‘Iwadullah tidak membantah kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar ini menunjukkan beliau bersetuju dengan Ibn Hajar, bahkan selanjutnya Syaikh Tariq ‘Iwadullah menyebut beberapa kitab rujukan yang turut mendha‘ifkan hadith ini seperti kitab Al-Nasikh wa Al-Mansukh Li Al-AthramIqtidha’ Sirat Al-Mustaqim li Ibn Taymiyyah, dan lain-lain (rujuk: Bulughu l-Maram, tahqiq Tariq ‘Iwadullah, hal. 251, nota kaki no. 1)


[21] Dalam tahqiq beliau ke atas Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, hadith no. 8493, 4/720-746. Bahkan beliau membantah Syaikh Al-Albani yang mensahihkan hadith ini. Hadith ini yang benar adalah ia dha‘if dan Al-Albani tersilap. Kata beliau: “Kami mencintai Syaikh Al-Albani di hati kami, akan tetapi kebenaran lebih kami cintai!”. Syaikh Islam bin Mansur mengulas hadith ini dengan begitu teperinci sebanyak 27 halaman!


[22] Dalam buku beliau Siyam Al-Tatawwu’ Fadha’il Wa Ahkam, bab puasa hari sabtu, hal. 140


[23] Dalam ta’liq beliau dalam tahqiq Musnad Ahmad, hadith no. 17686, juga dalam ta’liq beliau dalam tahqiq Jami‘ Al-Tirmizi, hadith no. 754 (2/274, nota kaki no. 1)


[24] Dalam Majmu‘ Fatawa beliau, (20/36)


[25] Dalam Syarh Ma‘ani Al-Athar, 2/80

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 1:55 PM. Filed under , .

0 comments for "Penjelasan Status Hadith Larangan Berpuasa Khusus Hari Sabtu"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign