Penjelasan Status Hadith: Barangsiapa Menyerupai Sesuatu Kaum

| |






Penjelasan Status Hadith: Barangsiapa Menyerupai Sesuatu Kaum

Matan Hadith: 

َمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka


Status: 


Mauquf Sahih kepada Huzaifah sebagai kata-katanya dengan hukum rafa’. Hadith ini diriwayatkan dengan jalan marfu’ kepada Nabi SAW dari Huzaifah, Anas dan Ibn `Umar, juga mauquf kepada `Umar dan Huzaifah, juga mursal kepada Thowus. Riwayat yang marfu’ semuanya tidak terlepas dari kecacatan, sedangkan riwayat mursal pula kepada Thowus dan al-Hasan keduanya dhaif. Riwayat yang mauquf  ia dhaif kepada `Umar namun sahih kepada Huzaifah sebagai kata-katanya.

Pertama: jalur Ibn `Umar

Matannya:

 بُعِثْتُ بِالسَّيْفِ حَتَّى يُعْبَدَ اللَّهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَجُعِلَ رِزْقِي تَحْتَ ظِلِّ رُمْحِي وَجُعِلَ الذِّلَّةُ وَالصَّغَارُ عَلَى مَنْ خَالَفَ أَمْرِي وَمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Aku diutus dengan pedang hingga Allah yang diibadahi dan tiada sekutu bagiNya, rezqiku ditempatkan di bawah bayang-bayang tombak dan dijadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menyelisihi perintahku. Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Dikeluarkan Ahmad (5114,5115), Ibn Abi Syaibah (4/212) dan lain-lain dari jalur `Abdulrahman bin Thabit, telah menceritakan kami Hassan bin `Athiyyah dari Abi Munib al-Jurasyi dari Ibn `Umar secara marfu’.

·         Abu Daud dalam Sunannya (4031) dengan ringkas menyebut lafaz akhrinya sahaja “وَمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Juga mengeluarkan al-Bukhari sebahagian lafaznya yang tengah dalam kitabnya ‘al-Sahih’ secara mu`allaq dengan sighah tamridh, kata al-Bukhari: “ويذكر ، عن ابن عمر ، عن النبي صلى الله عليه وسلم جعل رزقي تحت ظل رمحي وجعل الذلة والصغار على من خالف أمري– dan menyebut (yuzkar) dari Ibn `Umar dari Nabi SAW; rezqiku ditempatkan di bawah bayang-bayang tombak dan dijadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menyelisihi perintahku

·         Jalur ini cacat, penyakitnya ialah `Abdulrahman bin Thabit yang diperselisihkan, sebahagian menolaknya, sebahagian menerimanya, dan Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai : “Soduq Yukhti’”.

Yang benar ialah beliau Soduq Hasanul Hadith sekiranya tidak menyendiri, dengan itu berkata Syu’aib al-Arnaut: “isnadnya dhaif atas nakarah (munkar) pada sebahagian lafaznya. Ibn Thauban – iaitu `Abdulrahman bin Thabit bin Thauban – padanya diperselisih dalam hal menjarhnya (menolak) dan menta’dilnya (menerimanya), sebahagian mereka ada yang menguatkannya, sebahagian mereka ada yang melemahkannya, dan dia celaru pada akhir hanyatnya, kesimpulannya ialah dia seorang Hasanul Hadith sekiranya dia tidak menyendiri dengan apa yang diingkar, dan sesungguhnya telah mengisyaratkan Imam Ahmad bahawa sesungguhnya dia mempunyai hadith-hadith munkar dan hadith ini adalah salah satu daripadanya”.

·         Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, al-Bukhari mengeluarkan hadith ini secara mu`allaq dengan sighah tamridh menunjukkan ia dhaif disisi al-Bukhari.

·         Hadith Ibn `Umar ini juga dikeluarkan oleh al-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar (1/88 (231)) dari jalur Abi Umayyah telah menceritakan kami Muhammad bin Wahab bin `Athiyyah telah menceritakan kami al-Walid bin Muslim telah menceritakan kami al-Auzaie dari Hassan bin `Athiyyah dari Abi Munib al-Jurasyi dari Ibn `Umar secara marfu’.

·         Jalur al-Walid bin Muslim yang disebut al-Tahawi ini juga cacat dengan beberapa kelemahan:

1-     Al-Walid bin Muslim seorang yang thiqah namun dikenali sebagai seorang mudallis yang suka melakukan tadlis taswiyah terhadap al-Auzaie secara khusus dan hadith ini adalah salah satu darinya.

2-     Sesetengah mutaakhkhirin menuduh bahawa al-Walid suka melakukan tadlis taswiyah secara umum dan ini tidak benar, yang benar ialah beliau hanya melakukan tadlis taswiyah kepada al-Auzaie secara khusus dan tidak kepada lainnya.  

Apabila kita menyebut al-Walid bin Muslim dan tadlisnya dapatlah kita ringkaskan kepada 3 perkara iaitu: 1- beliau melakukan tadlis hanya khusus kepada al-Auzaie sahaja dan bukan lainnya, 2 – tadlisnya kepada al-Auzaie pula terbahagi kepada 2 jenis, satu ialah dia mengambil dari Yusuf bin Safar yang matruk, dan satu lagi ialah tadlis taswiyah kepada al-Auzaie iaitu apabila al-Auzaie meriwayatkan dari mereka yang dhaif maka al-Walid akan membuang perawi yang dhaif itu antara al-Auzaie dan guru al-Auzaie, 3- dia juga melakukan tadlis syuyukh. Lanjut rujuk penjelasan Syaikh  Nasir bin Hammad al-Fahd dalam bukunya: “Manhaj al-Mutaqaddimin fi al-Tadlis”, halaman 97-103.

3-     Perlu diketahui periwayatan seorang mudallis yang thiqah adalah diterima sebagai bersambung kecuali terdapat indikasi bahawa dia melakukan tadlis secara pasti berdasarkan qarain-qarain kuat dan bukannya melihat kepada sighah tahdis atau `an`anah semata-mata sebagaimana yang dilakukan sesetengah mutaakhkhirin!

Dan menyendirinya al-Walid bin Muslim dalam meriwayatkan hadith ini dari jalur al-Auzaie dari Hassan bin `Athiyyah, sedang yang lain-lain meriwayatkan dari jalur `Abdulrahman bin Thabit dari Hassan bin `Athiyyah adalah qarain yang menunjukkan bahawa al-Walid telah melakukan tadlis taswiyah dalam riwayat ini.

Apatah lagi diketahui bahawa al-Auzaie sememangnya pernah bertemu `Abdulrahman bin Thabit dan mengambil hadith darinya menguatkan lagi qarain bahawa al-Walid telah melakukan tadlis taswiyah untuk riwayat ini, beliau membuang `Abdulrahman bin Thabit antara al-Auzaie dan Hassan bin `Athiyyah! Dan ini adalah seburuk-buruk tadlis.

4-     Selain al-Walid bin Muslim yang telah melakukan tadlis taswiyah untuk jalur ini, Abu Umayyah iaitu guru kepada al-Tahawi pula dikenali melakukan silap apabila meriwayatkan hadith dari ingatannya ketika di Mesir sebagaimana yang disebut Ibn Hibban dan dinukilkan Syu’aib al-Arnaut. Dan hadith ini adalah salah satu darinya, kerana di Mesir lah Abu Umayyah mendengar hadith dari Muhammad bin Wahab bin `Athiyyah.

Maka berkemungkinan besar Abu Umayyah telah tersilap menyebut isnad hadith ini dari al-Walid dari al-Auzaie dari Hassan bin `Athiyyah, sedangkan yang betul ialah dari `Abdulrahman bin Thabit dari Hassan bin `Athiyyah.

5-     Berlakunya kegoncangan pada isnad hadith ini dari jalur al-Auzaie. Iaitu `Isa bin Yunus telah menyelisihi al-Walid dengan meriwayatkan hadith ini dari jalur al-Auzaie dari Sa’id bin Jabalah dari Thowus dari Nabi SAW secara mursal sebagaimana yang dikeluarkan Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (4/216), dan mengikuti `Isa bin Yunus ialah Ibn al-Mubarak yang turut meriwayatkan dari Sa’id bin Jabalah dari Thowus secara mursal sebagaimana yang dikeluarkan al-Qudhaie dalam Musnad al-Shibab (1/244/390). Dan mursal Thowus ini dhaif, padanya Sa’id bin Jabalah yang lemah.  Kata Muhammad bin Khafif al-Syirazi: “ليس هو عندهم بذاك – dia seorang yang lemah disisi mereka (iaitu ahli nuqqad hadith)” [Rujuk: Lisan al-Mizan, no. 87].

Selain itu turut menyelisihi al-Walid ialah Sadaqah yang meriwayatkan dari jalur al-Auzaie dari Yahya bin Abi Kathir dari Abi Salamah dari Abu Hurairah secara marfu’.

Saya katakan: jalur marfu’ ini dhaif kerana padanya Sadaqah yang lemah, dilemahkan oleh al-Bukhari, Ibn Ma’in, Abu Zur’ah dan lain-lain nuqqad bahkan tidaklah ia mahfuz secara marfu’, yang mahfuz ia mursal.

Jalur Sadaqah ini dikeluarkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya (sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar dalam Nasbu al-Rayah, 12/473) dan kata al-Bazzar: “لم يتابع صدقة على روايته هذه ، وغيره يرويه عن الأوزاعي مرسلاً - tiadalah yang  mengikuti akan Sadaqah atas riwayatnya yang ini (iaitu secara marfu’), lain-lain meriwayatkan dari al-Auzaie secara mursal”. Dan ini adalah penjelasan  ma’lulnya lemahnya jalur marfu’ hadith ini oleh Imam al-Bazzar dan yang mahfuz ialah ia mursal, perlu diketahui bahawa nama sebenar bagi kitab Musnad karya Imam al-Bazzar ialah al-Musnad al-Mu'allal al-Kabir atau Musnad Hadith Rasulillah Bi 'Ilalihi atau al-Musnad bil 'Ilal sebagaimana yang tertera dalam manuskrip-manuskrip kitab ini, iaitu ia menghimpunkan hadith-hadith Musnad yang padanya terdapat kecacatan (`ilal).  

Disamping itu hadith ini juga dinyatakan mahfuz sebagai mursal bahkan dilemahkan oleh Imam Abu Hatim dan Imam Duhaim (iaitu Imam `Abdulrahman bin Ibrahim al-Dimasqi) sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abi Hatim dalam al-`Ilal (1/319); katanya: “سألت أبي عن حديث رواه عمرو بن أبي سلمة عن صدقة ابن عبد الله عن الاوزاعي عن يحيى بن أبي كثير عن أبي سلمة عن أبي هريرة عن النبي قال بعثت بالسيف بين يدي الساعة وجعل رزقي تحت ظل رمحي وجعل الذل والصغار على من خالفني ومن تشبه بقوم فهو منهم ، قال أبي : قال أبودحيم : هذا الحديث ليس بشيء ، الحديث حديث الأوزاعي ، عن سعيد بن جبلة ، عن طاوس ، عن النبي صلى الله عليه وسلم  – aku bertanya ayahku berkenaan hadith yang diriwayatkan oleh `Amru bin Abi Salamah dari Sadaqah ibn `Abdullah dari al-Auzaie dari Yahya bin Abi Kathir dari Abi Salamah dari Abi Hurairah dari Nabi SAW – matan hadith - , dan jawab ayahku: telah berkata Abu Duhaim (berlaku kesilapan dalam cetakan, yang benar ialah Duhaim, bukan Abu Duhaim sebagaimana komentar Syu’aib al-Arnaut): “hadith ini laisa bi syaie (iaitu hadith ini lemah), hadith ini ialah hadith al-Auzaie dari Sa’id bin Jabalah dari Thowus dari Nabi SAW (iaitu secara mursal)”.

·         Dengan itu jalur Ibn `Umar ini tidaklah ia sahih.


Kedua: jalur Anas

Matannya :

بعثت بين يدي الساعة ، وجعل رزقي تحت ظل رمحي ، وجعل الذل والصغار على من خالفني ، ومن تشبه لقوم فهو منهم

Aku diutus menjelang hari kiamat, dan rezqiku ditempatkan di bawah bayang-bayang tombak. Kehinaan dan kerendahan dijadikan bagi orang yang menyelisihiku. Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Dikeluarkan antaranya oleh Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan (1/129) dari jalur Bisyr bin al-Husin al-Asbahani menceritakan kami al-Zubair bin `Adiy dari Anas bin Malik secara marfu’.

·         Isnad jalur ini dhaif penyakitnya ialah Bisyr yang sepakat akan lemahnya bahkan dikata sebagai mendustakan hadith dari al-Zubair secara khusus. Kata al-Bukhari tentangnya: “فيه نظر- fihi nazor” (rujuk: al-Tarikh al-Kabir, 1726) yang merupakan antara jarh yang kuat disisi al-Bukhari, berkata al-Daraquthni: “متروك -matruk” (rujuk: Lisan al-Mizan, 74), berkata Ibn `Adiy: “عامة حديثه ليس بمحفوظ- umum hadithnya tidaklah mahfuz” (rujuk: Lisan al-Mizan, 74), dan berkata Abu Hatim: “يكذب على الزبير - mendustakan hadith atas al-Zubair” (rujuk: Lisan al-Mizan, 74).

·         Dengan itu jalur Anas ini tidaklah ia sahih juga, bahkan dhaif jiddan, bahkan mungkin palsu.

Ketiga: jalur al-Hasan al-Basri

Matannya:

إن الله بعثني بسيفي بين يدي الساعة ، وجعل رزقي تحت ظل رمحي ، وجعل الذل والصغار على من خالفني ، ومن تشبه بقوم فهو منهم

Sesungguhnya Allah mengutusku dengan pedang menjelang hari kiamat, dan rezqiku ditempatkan di bawah bayang-bayang tombak. Kehinaan dan kerendahan dijadikan bagi orang yang menyelisihiku. Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Dikeluarkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunannya (2194) dari jalur Ismail bin `Ayyash dari Abi `Umair al-Suri dari al-Hasan al-Basri dari Nabi SAW.

·         Saya katakan: jalur ini putus, ia mursal, al-Hasan al-Basri adalah tabiin dan beliau tidak bertemu Nabi SAW. Dan isnadnya dhaif kerana Ismail bin `Ayyash yang lemah apabila meriwayatkan dari selain ahli negaranya.

·         Dengan itu, jalur al-Hasan ini mursal dhaif, tidaklah ia sahih juga.

Keempat: jalur `Umar

Matannya :


َمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Dikeluarkan `Abdulrazzaq dalam Musannafnya (20986) dari jalur Ma’mar dari Qatadah dari `Umar secara mauquf

·         Saya katakan: isnad ini dhaif, ia putus. Sesungguhnya Qatadah tidak mendengar dari `Umar , kata al-Hakim: “لم يسمع قتادة من صحابى غير أنس –  tidak sama sekali mendengar Qatadah dari seorang Sahabat pun kecuali Anas“ (rujuk: Tahzib al-Tahzib, 8/355). Dan putusnya sanad adalah dhaif kerana telah hilang salah satu syarat utama hadith sahih.

·         Dengan itu, jalur `Umar ini tidaklah ia sahih juga

Kelima: jalur Huzaifah

Matannya :

َمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka

·         Dikeluarkan antaranya oleh al-Bazzar (7/368/2966) dan al-Tabarani dalam al-Awsath (8/179/8327) dari jalur Muhammad bin Marzuq telah mengkhabarkan kami `Abdul`Aziz al-Khtatab telah mengkhabarkan kami `Ali bin `Ghurab telah mengkhabarkan kami Hisyam bin Hassan dari Muhammad bin Sirin dari Abi `Ubaidah bin Huzaifah dari Ayahnya (Huzaifah) dari Nabi SAW secara marfu’.

·         Saya katakan: jalur marfu’ ini tidak mahfuz, yang mahfuz ialah ia mauquf kepada Huzaifah sebagai kata-katanya. Berkata Imam al-Bazzar sejurus mengeluarkan hadith ini: “وهذا الحديث لا نعلمه يروى عن حذيفة مسندا إلا من هذا الوجه ، وقد رواه علي بن غراب ، عن هشام ، عن محمد ، عن أبي عبيدة ، عن أبيه ، موقوفاً – tidak diketahui akan hadith ini akan mereka yang meriwayatkan dari Huzaifah secara musnad (iaitu marfu’) kecuali wajah ini, dan sesungguhnya telah meriwayatkan `Ali bin Ghurab dari Hisyam dari Muhammad dari Abi `Ubaidah dari Ayahnya (Huzaifah) secara mauquf“

·         Mengikuti Ibn Sirin ialah Yahya bin Sa’id yang meriwayatkan dari Abi `Ubaidah dari Huzaifah secara mauquf sebagai kata-katanya. Dikeluarkan Ahmad bin Hanbal dalam al-Wara’ (508) dan isnadnya sahih kepada Huzaifah dan ia mahfuz.

·         Dengan itu jalur yang mauquf kepada Huzaifah ini mahfuz (terpelihara) dan ia sahih kepada Huzaifah sebagai kata-katanya. Dan padanya hukum rafa’ kerana tidak mungkin seorang sahabat menyebut kata-kata ini dari pemikirannya sendiri melainkan padanya apa yang diajarkan Nabi SAW. Ini diperkuatkan lagi dengan beberapa hadith sahih thabit dari Nabi SAW berkenaan perihal larangan memakan dengan tangan kiri, larangan menyimpan misai dan sebagainya yang menunjukkan Islam itu dibezakan dari agama lainnya. 

Allah hu’alam. 
Abu Ismail Muhammad Fathi al-Tabib
Khamis, 10 November 2011 / 14 Zulhijjah 1432H
11.03 pagi / Iskandariah Mesir



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 1:04 AM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan Status Hadith: Barangsiapa Menyerupai Sesuatu Kaum"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign