Penjelasan Status Hadith: `Isa berimamkan al-Mahdi
Penjelasan Status Hadith: `Isa berimamkan al-Mahdi
Matan:
ينزل عيسى بن مريم ، فيقول أميرهم المهدي : تعال صل بنا ، فيقول : لا إن بعضهم أمير بعض ، تكرمة الله لهذه الأمة
Terjemahan:
Akan turunnya `Isa bin Maryam, maka berkata ketua mereka al-Mahdi: "marilah, solat bersama kami (dengan menjadi imam), maka jawab `Isa: "tidak, kerana sebahagian kalian adalah peminpin sebahagiannya, sebagai tanda penghormatan Allah atas umat ini"
Takhrij:
Dikeluarkan antaranya oleh Ibn al-Qayyim dalam al-Manar al-Munif (no. 114) dari Isma'il bin `Abd al-Karim dari Ibrahim bin `Uqail dari Ayahnya dari Wahab bin Munabbih dari Jabir secara marfu'.
Status:
Saya katakan: Hadith ini dengan lafaz dan isnad ini adalah Munkar iaitu Khata' (silap), Ghair Mahfuz (tidak terpelihara). Jika dilihat kepada zahir isnad semata-mata maka kelihatan ianya seolah-olah Sahih, kesemua para perawinya adalah thiqat kecuali sesungguhnya ia putus, dan padanya kesilapan.
1- Rantaian Wahab bin Munabbih dari Jabir adalah putus sebagaimana yang dijazamkan oleh Imam al-Kabir al-Hujjah Yahya ibn Ma'in, katanya : "لم يسمع وهب من جابر شيئا - tidaklah pernah sama sekali mendengarnya Wahab dari Jabir walaupun sedikit" (Tahzib al-Kamal, no. 464). Putusnya isnad adalah Dha'if kerana telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih, dan sesungguhnya syarat yang paling awal ditetapkan untuk hadith Sahih oleh para ahlul hadith ialah al-Ittisol (bersambungnya isnad).
2- Hadith-hadith Jabir yang datang melalui Isma'il bin `Abd al-Karim adalah silap, kerana sahifah (lembaran-lembaran nipis) yang digunakannya terdapat kesilapan demi kesilapan. Kata Imam Yahya ibn Ma'in: "الصحيفة التى يرويها عن وهب عن جابر ليست بشىء إنما هو كتاب وقع إليهم ، و لم يسمع وهب من جابر شيئا - Sahifah yang dia (Isma'il bin `Abd al-Karim) gunakan untuk meriwayat dari Wahab dari Jabir adalah tiada nilai dan tidak berguna (kerana silapnya), kerana sesungguhnya ia adalah kitab yang sampai kepada mereka secara tiba-tiba (iaitu secara tiba-tiba dengan tanpa mereka mendengar sendiri atau bacakan sendiri dari Wahab, dan mereka juga tidak mengetahui siapakah penulis sahifah itu) dan tidaklah pernah sama sekali mendengarnya Wahab dari Jabir walaupun sedikit" (Tahzib al-Kamal, no. 464). Saya katakan: dan hadith ini adalah salah satu daripadanya!
3- Sesetengah membantah kenyataan Imam Ibn Ma'in ini dengan membawa riwayat dari Isma'il bin `Abd al-Karim dari Ibrahim bin `Uqail dari Ayahnya dari Wahab bin Munabbih katanya: "هذا ما سألت عنه جابر بن عبد الله ، و أخبرنى أن النبى صلى الله عليه وسلم كان يقول :أوكوا الأسقية و غلقوا الأبواب - ini adalah apa yang aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah: dan dia mengkhabarkan aku sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Ikatlah bekas minuman kulit anda, dan tutuplah pintu" (Tahzib al-Kamal, no. 464). Mereka membantah, bukankah riwayat diatas secara jelas menunjukkan tasrih sima' nya (jelas mendengarnya) Wahab dari Jabir apabila dia berkata: "هذا ما سألت عنه جابر بن عبد الله - ini adalah apa yang aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah" , sekaligus menunjukkan kenyataan Imam Ibn Ma'in itu silap?
Mereka juga membantah dengan membawa riwayat lain dari Imam Ibn Abi Hatim yang juga dari Isma'il bin `Abd al-Karim dengan isnad yang sama iaitu dari Ibrahim bin `Uqail dari Ayahnya `Uqail bin Ma'qil dari Wahab bin Munabbih katanya: " سألت جابر ابن عبد الله عن الطواغيت - aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah berkenaan thagut-thagut (segala sembahan selain Allah)". Kata mereka, bukankah riwayat diatas secara jelas menunjukkan tasrih sima' nya Wahab dari Jabir apabila dia berkata: "سألت جابر ابن عبد الله - aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah" , sekaligus menunjukkan kenyataan Imam Ibn Ma'in itu silap?
Jawabnya, saya katakan: tidak sama sekali! bahkan kedua riwayat yang dibawa itulah yang sebenarnya silap, kerana silapnya sahifah yang digunakan Isma'il bin `Abd al-Karim. Ketahuilah saudaraku, Imam Yahya Ibn Ma'in telah sedia mengetahui riwayat `Uqail bin Ma'qil yang diriwayatkan oleh Ismail bin `Abd al-Karim yang menyebut bahawa Wahab berkata: "سألت جابر ابن عبد الله - aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah", namun sanad ini silap menurut beliau, itu cuma periwayatan dari sahifah yang padanya terdapat kesilapan demi kesilapan, sahifah yang sering banyak silap tulis.
Lafaz "سألت جابر ابن عبد الله - aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah" tidak pernah diucapkan Wahab, namun lafaz yang betulnya ialah "عن جابر ابن عبد الله - dari Jabir bin `Abdillah". Demikianlah yang kita fahami dari fatwa Imam al-Kabir al-Hujjah Yahya ibn Main itu.
Maka, dengan itu berkata al-Hafiz Ibn Hajar: "ولا يحسن الاعتراض على ابن معين بذلك الإسناد؛ فإن الظاهر أن ابن معين كان يُغَلِّطُ إسماعيل في هذه اللفظة: عن وهب: سألت جابرا، والصواب عنده: :عن جابر: - Dan tidak boleh membantah terhadap Ibn Ma`in dengan isnad itu. Sesungguhnya yang nyata adalah bahawa Ibn Ma`in telah menyalahkan Isma`il dalam lafaz ini: (Daripada Wahab: Saya telah bertanya Jabir) - kerana silapnya sahifah yang digunakan- . Dan yang benar menurut Ibn Ma`in ialah: (Daripada Jabir)" (Tahzib al-Tahzib, 1/316).
Bahkan menurut Syaikh Thariq Iwadullah, tauthiqnya Imam Ibn Ma'in kepada Isma'il bersama-sama pengingkaran beliau kepada sima'nya Wahab dari Jabir menguatkan hujah al-Hafiz Ibn Hajar ini, bahawa sahifah itu silap (al-Irsyadad, 1/404). Saya katakan: apa yang Syaikh Thariq katakan itu benar, bahkan satu lagi hujah kuat yang menyokong hal ini ialah Imam Ibn Abi Hatim yang meriwayatkan dari Isma'il ini, beliau sendiri juga meriwayatkan fatwa Imam Ibn Ma'in ini dalam kitabnya al-Marasil (no. 855) tanpa mengomentari atau membantahnya, menunjukkan bahawa beliau menerima dan bersetuju dengan fatwa Imam Ibn Ma'in tersebut. Nah! sekarang ketahuilah bahawa yang benar adalah Imam Yahya ibn Ma'in dan mereka yang membantahlah yang sebenarnya silap.
4- Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, sahifah yang digunakan Ismai'il padanya banyak kesilapan demi kesilapan. Telah saya jelaskan di atas kes kesilapan yang berlaku pada lafaz isnad yang menyebut "سألت جابر ابن عبد الله - aku telah bertanya Jabir bin `Abdillah" sedangkan yang mahfuz (betul dan terpelihara) ialah lafaz "عن جابر ابن عبد الله - dari Jabir bin `Abdillah". Bahkan ketahuilah saudaraku, bahawa sesungguhnya sahifah yang digunakan itu juga berlaku silap pada lafaz matannya, dan hadith ini adalah satu satu daripadanya!
Ini kerana, hadith yang sama dari Jabir diatas turut diriwayatkan oleh Imam Muslim al-Hajjaj dalam kitabnya al-Sahih (1/137) dengan lafaz: "فينزل عيسى ابن مريم -صلى الله عليه وسلم- فيقول أميرهم تعال صل لنا. فيقول لا. إن بعضكم على بعض أمراء. تكرمة الله هذه الأمة - Akan turunnya `Isa bin Maryam, maka berkata ketua mereka: "marilah, solat bersama kami (dengan menjadi imam), maka jawab `Isa: "tidak, kerana sebahagian kalian adalah peminpin sebahagiannya, sebagai tanda penghormatan Allah atas umat ini", tanpa menyebut lafaz "المهدي - al-Mahdi" langsung.
Dan diketahui bahawa manhaj (metod) al-Imam Muslim ialah beliau akan memilih periwayatan yang mahfuz untuk sesuatu hadith dari segi isnad dan matannya dan meninggalkan yang Ghair Mahfuz (Tidak terpelihara) dan Khata' (silap), atas manhaj yang sama berjalannya guru beliau al-Imam al-Bukhari, sekaligus menunjukkan lafaz matan yang mahfuz untuk hadith ini ialah tanpa kalimah "al-Mahdi", dan sahifah yang digunakan Ismai'il itu telah silap tulis dengan menyebut "al-Mahdi".
Maka ketua yang disebutkan dalam lafaz yang mahfuz itu kembali umum merangkumi mana-mana pemimpin kaum muslimin, dan bukanlah ia khusus kepada Muhammad bin `Abdullah al-Mahdi yang di imani Ahlussunnah wal Jamaah. Dengan itu Imam al-Nawawi ketika memasukkan bab-bab dalam Sahih Muslim telah menamakan bab bagi hadith ini dengan nama: " باب نزول عيسى بن مريم حاكما بشريعة نبينا محمد صلى الله عليه وسلم- bab turunnya `Isa bin Maryam dengan berhukum dengan syariat Nabi kita Muhammad SAW" , dan tidaklah Imam al-Nawawi menyebut perkataan al-Mahdi walau sedikit.
Allahu'alam
Abu Ismail Muhammad Fathi al-Sakandary al-Tabib
6 April 2012 / Iskandariah / Mesir
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 12:03 AM. Filed under
Takhrij
.