Penjelasan Status Hadith: Mustajabnya Doa Apabila Khatam al-Qur'an

| |



Penjelasan Status Hadith: Mustajabnya Doa Apabila Khatam al-Qur'an



Matan:


Hadith yang berbunyi: "عند كل ختمة دعوة مستجابة - pada setiap kali khatam (selesai membaca keseluruhan al-Qur'an) itu doa adalah mustajab (diperkenan)".

Takhrij:

Hadith in dikeluarkan antaranya oleh Ibn Hibban (al-Majruhin (2/478)), al-Baihaqi (Syu'ab al-Iman (2/853)).

Status:

Saya katakan: hadith ini palsu, pada isnadnya terdapat Yahya bin Hasyim, kata al-Nasai'i "متروك الحديث - periwayatan hadithnya ditinggalkan", kata Yahya ibn Ma'in pula: "كذاب - pendusta", dan kata Ibn `Adiy : "كان يضع الحديث ويسرقه- adalah dia memalsukan hadith dan juga mencuri hadith".

Bahkan hadith ini telah ditolak oleh para huffaz semisal Ibn Hibban dalam kitabnya al-Majruhin (2/478) katanya sejurus mengeluarkan hadith ini: " يحيى بن هاشم  يضع الحديث على الثقات  - Yahya bin Hasyim memalsukan hadith dari mereka yang thiqah-thiqah". [Saya katakan: sesetengah cetakan menyebut Hisyam, dan ini silap]


Fiqh al-Hadith:

Doa apabila selesai membaca keseluruhan al-Qur'an (khatam al-Qur'an) secara umumnya terbahagi kepada dua keadaan:


1- Pertamanya ialah dalam solat dan ini adalah bid'ah secara mutlak, para sahabat Nabi SAW biasa mengkhatamkan al-Qur'an dalam solat mereka semisal dalam solat qiam pada malam Ramadhan (yang dinamakan fuqaha' khalaf sebagai tarawih), namun mereka tidak pernah membaca apa-apa doa khatam al-Qur'an.


2- Keduanya ialah diluar solat, para ulama berbeza pendapat padanya dan yang rajih (pendapat yang kuat) bagiku ia dibolehkan bukannya kerana berhujah dengan hadith palsu diatas, tetapi berdasarkan amalan sahabat Nabi SAW. Telah sahih dari Anas bin Malik sebagaimana yang diriwayatkan oleh Thabit katanya: "كان أنس إذا ختم القرآن جمع ولده وأهل بيته فدعا لهم - adalah Anas apabila selesai membaca keseluruhan (khatam) al-Qur'an maka beliau mengumpulkan anak dan keluarganya kemudian berdoa", athar ini isnadnya sahih, dikeluarkan oleh al-Darimi dalam Sunan (3474). Dan doa yang dibaca adalah bebas tanpa sebarang lafaz tertentu yang khusus.


Sesetengah membantah dengan membawa qaul Malik bin Anas sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Hajj dalam al-Madkhal (2/468): "ما سمعت أنه يدعو عند ختم القرآن ، وما هو من عمل الناس - tidaklah aku pernah mendengar ia berdoa apabila selesai membaca keseluruhan (khatam) al-Qur'an, dan tidaklah ia diamalkan manusia (iaitu ahli Madinah)". 


Saya katakan: moga Allah merahmati dan meredhai Imam Malik, ini adalah jawapan Malik berdasarkan pemerhatiannya pada penduduk Madinah sahaja, dan amalan Anas bin Malik seorang sahabat Nabi SAW adalah lebih utama untuk didahulukan. Ataupun dengan kita menggabungkan kedua-dua riwayat Anas dan Malik ini, sekaligus menunjukkan bahawa amalan berdoa apabila khatam al-Qur'an ini dibolehkan namun dilakukan jarang-jarang oleh Salaf, kerana itu Malik tidak pernah menjumpai ahli Madinah yang melakukannya. 

Allahu'alam
Abu Ismail Muhammad Fathi al-Tabib



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:18 PM. Filed under .

1 comments for "Penjelasan Status Hadith: Mustajabnya Doa Apabila Khatam al-Qur'an"

  1. jazaakallah atas ilmu di atas ...

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign