Hadith Maudhu'(Palsu) itulah Dha'if !!

| |





Hadith Maudhu'(Palsu) itulah Dha'if !!

Kebelakangan ini saya melihat satu fenomena menyedihkan tersebar dikalangan awam, ianya merisaukan saya, iaitu fenomena si jahil membela hadith Palsu dengan kejahilannya seterusnya mengelirukan orang awam yang juga jahil. Lebih menyedihkan ialah apabila si jahil itu dinobatkan dengan gelaran ustaz, bahkan muncul pula di kaca TV dan radio, buku-bukunya dicetak dan dijual, kuliah-kuliahnya dirakam dan dijual dalam VCD dan DVD.

Teknik si jahil membela hadith Palsu ini biasanya dia akan berhujah dengan membuktikan seolah-olah status sesuatu hadith itu terdapat perselisihan antara ulama hadith, sesetengah menilainya Palsu dan sesetengah pula menilainya Dha'if sahaja. 

Si jahil ini akan membawa kalam-kalam para ulama yang menyatakan hadith itu sebagai "Tidak Sahih", "Cacat", "Dha'if" atau apa-apa sahaja lafaz lemah bagi hadith asalkan bukan lafaz yang menunjukkan hadith itu palsu seperti "Maudhu'", "Batil", atau "Tiada Asalnya". 

Setelah si jahil membawa kalam-kalam itu, dia pun mula beretorik, katanya: "lihatlah ramai ulama yang menilainya hanya sekadar Dha'if, bukannya Maudhu' (Palsu)!". Tidak cukup sekadar itu, si jahil akan terus beretorik dengan berkata: "hadith ini hanyalah Dha'if bukannya Palsu, ianya masih lagi hadith maka boleh beramal dengannya". 

Melihat kata-kata si jahil ini maka orang awam yang juga jahil kerana tidak mendalami ilmu hadith akan mudah mempercayai dakwaan si jahil itu. Maka berlakulah tindak balas jahil ke atas jahil membentuk jahil kuasa dua, terkadang merebak menjadi jahil kuasa tiga, kuasa empat,  kuasa lima dan seterusnya

Namun hakikat sebenarnya bagi hadith itu tidak wujud sebarang perselisihan pun di kalangan ulama. Hanya di mata si jahil sahaja zahirnya akan kelihatan terdapat perselisihan, namun bagi mereka yang mahir ilmu hadith tidak akan nampak sebarang perselisihan pun yang berlaku. Benarlah kata pepatah Inggeris: " The eyes do not see what the mind does not know " yang bermaksud: "Mata tidak dapat melihat apa yang minda tidak tahu". 

Kenapakah kita katakan sebenarnya tiada sebarang perselisihan? ini kerana hadith Maudhu' (Palsu) itu sebenarnya termasuk dalam ketegori hadith Dha'if (Lemah), iaitu jenis Dha'if yang paling teruk. Dalam ilmu mustolah(istilah) hadith, secara umumnya hadith Dha'if terbahagi kepada 3 jenis iaitu: 

1- Dha'if Khafif (Ringan Lemahnya)

2- Dha'if Syadid (Kuat Lemahnya) 

3- Dan juga Maudhu' (Palsu). 

Kesemua 3 jenis ini terolong dalam ketegori hadith-hadith Dha'if, hanya saja martabatnya berbeza-beza. Hadith Dha'if dari jenis Dha'if Khafif inilah yang dimaksudkan oleh para ulama sebagai Dha'if yang boleh dibuat amal dalam fadhail tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat antaranya: 

1- Tidak menyandarkannya kepada Nabi SAW, tidak menyatakan ia adalah sunnah Nabi

2- Tidak menyebar luas amalan itu hingga mengelirukan awam, hingga orang awam menyangka amalan itu adalah sunnah. 

3- Amalan itu mestilah mempunyai asalnya dari nas-nas Sahih lain, sama ada dari nas hadith Sahih, atau nas al-Qur'an, atau amalan Sahabat Nabi. 

Manakala hadith-hadith Dha'if dari jenis Dha'if Syadid dan juga Maudhu' tidak boleh sama sekali dibuat amalan dalam fadhail. Sesetengah ulama hadith apabila menilai sesuatu hadith yang Tidak Sahih, terkadang mereka akan hanya menyebutnya sebagai Dha'if tanpa memperincikan martabat Dha'ifnya. Maka Dha'if yang mereka sebutkan itu boleh tergolong dalam salah satu daripada 3 jenis di atas, ia boleh bermaksud Dha'if Khafif, Dha'if Syadid dan boleh juga boleh bemaksud Maudhu'. 

Oleh itu apabila kita melihat seseorang ulama menilai sesuatu hadith sebagai Dha'if sedangkan ulama lainnya menilainya sebagai Maudhu', apatah lagi apabila dikaji sanadnya terbukti dalam sanadnya terdapat perawi yang berdusta atau qarain(petunjuk) bahawa dia berdusta, maka sebenarnya Dha'if yang dimaksudkan ulama itu adalah bermaksud Maudhu' bukannya Dha'if Khafif atau Dha'if Syadid. 

Kerana itu ramai ulama menasihatkan, orang awam yang menjumpai satu hadith yang dinyatakan oleh ulama hadith sebagai Dha'if, dia masih tidak boleh beramal dengan hadith Dha'if tersebut secara sendiri-sendiri tanpa merujuk kepada para ulama hadith terlebih dahulu, kerana perkataan Dha'if oleh ulama itu boleh terdiri daripada 3 jenis Dha'if iaitu Dha'if Khafif, Dha'if Syadid atau Maudhu'. Hanya hadith Dha'if Khafif sahaja yang boleh dibuat amal dalam fadhail dan hanya ulama sahaja yang mengetahui sama ada hadith itu adalah Dha'if Khafif atau Dha'if Syadid atau Maudhu' (iaitu jenis Dha'if yang paling teruk). 

Maka berhati-hatilah, usah terpedaya dengan tipu daya si jahil yang membela hadith Palsu ini, usah biarkan kejahilannya mempengaruhi kita. Moga Allah menetapkan kita dalam hidayah sunnah Rasul dan KitabNya. Moga penjelasan ringkas ini bermanfaat untuk dijadikan panduan sesiapa yang membacanya. 


Allahua'lam, 
Fathi Al-Sakandary
24/9/12

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 9:20 PM. Filed under , .

4 comments for "Hadith Maudhu'(Palsu) itulah Dha'if !!"

  1. Syukran Fathi.

  2. syukran.. syukran fathi sang pencerah..

  3. Jazakallahu khairan ya akhuna , nanti ana sebarluaskan tulisan akhuna di blog ana, insyaAllah.

  4. Terima kasih. Mohon ilmu bermanfaat ini saya guna untuk assignment subjek Ulum Hadith saya. Terima kasih

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign