Fadha'il A'mal Yang Bid'ah

| |


Gambar hiasan: kitab Fadha'il A'mal karya Maulana Zakariya rahimahullah

Fadha'il A'mal Yang Bid'ah
Oleh: Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Sakandary

Pendahuluan:

Akhir-akhir ini kelihatan ramai antara kita suka bahkan sering menyebut perkataan "fadha'il a'mal", baik yang menyebutnya adalah ustaz terkenal, para penuntut ilmu agama, orang awam, mahupun di bibir-bibir ahli bid'ah. Gejala ketagihan "fadha'il a'mal" ini lebih mudah dilihat dalam laman sosial internet umpama Facebook dan Twitter

Namun sayang, sedikit yang memahami apakah maksud istilah "fadha'il a'mal" yang mereka ucapkan itu, sekadar bancian atas para pembaca Facebook peribadi saya, saya dapati rata-rata memahaminya sebagai:

1- Satu amalan baik yang berasal dari hadith-hadith Dha'if, asal hadith itu Dha'if yang jika ia diamalkan, maka itu termasuk dalam fadha'il a'mal. Tidak mengira ia Dha'if Ringan (Khafif al-Dha'f) atau Dha'if Berat (Syadid al-Dha'f)

2- Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur'an, mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in, hingga 300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha'if maka ia termasuk fadha'il a'mal

3- Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur'an, mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi' dan Tabi'in, hingga 300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha'if maka ia termasuk fadha'il a'mal, dengan syarat hadith Dha'if itu mestilah bukan terlalu Dha'if (Dha'if Jiddan) atau Palsu (Maudhu')

4- Satu amalan yang berasal dari hadith-hadith Dha'if tanpa mengira darjat ke'Dha'ifan'nya, dengan syarat hadith Dha'if itu isi kandungannya memberi suntikan jiwa, dan membawa rasa ketenangan dalam jiwa, maka ia adalah fadha'il a'mal

5- Satu amalan yang masyhur diamalkan masyarakat awam, yang berasal dari hadith-hadith Dha'if, maka itu adalah fadha'il a'mal.

Sayangnya kesemua pemahaman ini adalah pemahaman yang salah, bahkan ia bercanggah dengan pemahaman para ulama hadith yang membenarkan hadith-hadith Dha'if digunakan untuk fadha'il a'mal itu sendiri semisal Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi, walaupun nama beliau sering dipergunakan oleh mereka-mereka yang ketagihan fadha'il a'mal ini.

Apakah maksud fadha'il a'mal itu sebenarnya? Teruskan membaca...

Hukum beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il:

Sebelum kita pergi lanjut berkenaan maksud fadha'il a'mal dan bagaimanakah ia sering disalah-guna sesetengah pihak terutamanya ahli bid'ah, adalah baik terlebih dahulu kita lihat apakah hukum beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal itu sendiri.

Para ulama berbeza berkenaan boleh atau tidaknya beramal akan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal kepada dua kelompok, iaitu:

1- Kelompok pertama berpendapat bahawa hadith-hadith Dha'if tidak boleh digunakan secara mutlak termasuklah dalam fadha'il a'mal. Pendapat ini popular dikalangan fuqaha dan ahli hadith Mutaakhkhirin semisal Ibn Taimiah, Ibn al-'Arabi, al-Syatibi, al-Syaukani. Ahmad Syakir, al-Albani dan lainnya.

Terdapat juga antara mereka dari kelompok pertama ini menisbahkan pegangan ini kepada huffaz Mutaqaddimin semisal al-Bukhari, Muslim, Yahya ibn Ma'in, namun ia hanyalah dakwaan ampuh tanpa bukti yang jelas, bahkan bukti-bukti yang sampai menunjukkan sebaliknya.

2- Kelompok kedua berpendapat boleh beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal dengan syarat-syarat yang ketat (kita akan sebutkan syarat-syaratnya kemudian). Ini adalah pegangan para huffaz hadith Mutaqaddimin semisal Abu Hatim, Abu Zur'ah, Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Sufyan al-Thauri, 'Abdul Rahman ibn Mahdi, Yahya ibn Ma'in, bahkan ia juga adalah pegangan al-Bukhari dan Muslim (berdasarkan bukti kuat yang sampai kepada kita). Pendapat kedua inilah pendapat yang rajih (lebih tepat).

Syarat-syarat ketat beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal:

Sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini, para huffaz Mutaqaddimin membolehkan beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il dengan syarat-syarat ketat.

Syarat-syarat ini adalah sebagaimana yang telah dinaskan(disebutkan) mereka dan juga yang dapat difahami dari amalan-amalan mereka dalam berinteraksi dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il ini.

Padanya 4 syarat ketat iaitu:

1-  Hadith Dha'if itu mestilah bukan dari jenis Dha'if Syadid (Dha'if Berat)

Yang dimaksudkan dengan Dha'if Syadid atau Dha'if Jiddan ialah pada hadith itu terdapat mereka yang Muttaham, atau Matruk, atau Dha'if Jiddan, atau Mathruh al-Hadith dan semisalnya, Setiap dari jenis-jenis sakit ini tidak dapat menguatkan satu sama lain, bahkan ia lebih melemahkan yang lain, ia umpama tisu "necrosis" dalam badan yang hanya memusnahkan dan membunuh bukan membaiki. Jika satu hadith terdapat mereka yang seperti ini maka ia termasuk dari jenis hadith-hadith Dha'if Syadid dan ia tidak boleh dibuat beramal dalam fadha'il.

Dan untuk mengenal sama ada suatu hadith itu adalah Dha'if Jiddan atau tidak, ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ahli dalam hadith serta ilmunya, ia tidak mungkin diketahui oleh orang awam.

Oleh sebab itu, ramai ulama menegaskan bahawa beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il ini terhad untuk para ulama hadith kerana hanya mereka yang mampu membezakan mana hadith Dha'if Jiddan dan mana yang Dha'if Khafif.

2- Amalan dalam hadith Dha'if itu mestilah mempunyai asal dalam hadith-hadith Sahih, ia tidak membawa amalan baru yang tiada dalam hadith-hadith Sahih, tidak menetapkan sesuatu tatacara khusus atau waktu khusus yang tiada asalnya dalam hadith-hadith Sahih.

3- Pengamal hadith Dha'if itu tidak meyakini bahawa ganjaran atau ancaman dalam hadith Dha'if itu adalah pasti, sebaliknya ia hanya dilakukan atas sebab berhati-hati.

4- Pengamal hadith Dha'if itu tidak mempopularkan amalan dari hadith Dha'if itu, kerana ditakuti ganjaran atau ancaman itu akan disalah fahami orang awam yang jahil sebagai satu yang pasti, seterusnya mereka meyakini ia dari Nabi secara pasti.

Definisi Fadha'il A'mal:

Setelah kita memahami apakah hukum beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal dan juga memahami syarat-syarat ketat yang digariskan ahli hadith, pasti kita tertanya apakah maksud fadha'il a'mal itu sebenarnya?

Yang dimaksudkan dengan fadha'il a'mal ialah suatu amalan yang mana fadhilat(ganjaran)nya terdapat dalam hadith-hadith Dha'if, namun amalan itu sendiri adalah satu amalan yang telah sedia wujud bahkan telah sedia thabit dalam hadith-hadith Sahih atau al-Qur'an.

Dengan kata lain, amalan itu adalah amalan yang telah sedia disyariatkan dalam hadith-hadith Sahih dan al-Qur'an, hanya saja fadhilat(ganjaran) amalan tersebut terdapat dalam hadith Dha'if. Untuk menyatakan bahawa suatu amalan itu adalah disyariatkan ia memerlukan dalil, dan dalil itu mestilah Sahih serta menepati kaedah usul yang tepat.

Fadha'il a'mal bukanlah bermaksud beramal dengan satu amalan baru yang tidak wujud dan pernah tidak disyariatkan dalam hadith-hadith Sahih mahupun al-Qur'an, amalan tersebut bukanlah berdiri dengan sendiri, akan tetapi ia adalah amalan yang hanya boleh berdiri dengan bantuan hadith-hadith Sahih lain, ia adalah amalan yang telah sedia wujud dan thabit dalam hadith-hadith Sahih. Hadith Dha'if itu hanyalah menjadi satu sumber motivasi pembakar semangat untuk seseorang beramal dengan amalan yang telah sedia wujud dalam hadith Sahih tersebut.

Misalnya amalan solat Dhuha adalah satu amal ibadah yang telah sedia thabit dalam hadith-hadith Sahih, solat Dhuha itu sendiri sememangnya disyariatkan. Sekiranya wujud satu hadith Dha'if yang menceritakan ganjaran-ganjaran solat Dhuha, dan hadith Dha'if itu mencukupi syarat-syaratnya (sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini) maka bolehlah mengambil hadith Dha'if tersebut untuk beramal dengannya sebagai pemberi semangat melakukan solat Dhuha.

Contoh lain pula, misalnya jika terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan ganjaran bersedekah secara umum, dan hadith Dha'if itu mencukupi syarat-syaratnya, maka bolehlah beramal dengan hadith Dha'if berkaitan ganjaran bersedekah tersebut, kerana amalan bersedekah sememangnya satu amalan yang telah sedia wujud dalam hadith-hadith Sahih dan ia sememangnya disyariatkan.

Misal lainnya, amalan beristighfar sememangnya satu amalan yang thabit dalam al-Qur'an, namun fadhilat(ganjaran) beristighfar dari hadith-hadith adalah Dha'if kesemuanya, namun hadith-hadith Dha'if berkenaan ganjaran istighfar itu boleh dibuat amal dalam fadha'il apabila ia mencukupi syarat-syaratnya kerana amalan istighfar sememangnya telah sedia wujud dan disyariatkan dalam al-Qur'an. Ia bukanlah amalan baru.

Sekiranya terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan amalan zikir dengan lafaz khusus, pada waktu-waktu tertentu yang khusus, dengan sifat khusus serta tatacara yang khusus, ini tidaklah termasuk dalam ketegori fadha'il a'mal kerana amalan zikir khusus tersebut, dengan waktu dan tatacara khusus tersebut tidak mempunyai sebarang asal dari mana-mana hadith Sahih, sebaliknya ia adalah satu amalan baru yang direka dari hadith-hadith Dha'if, dengan kata lain ia sebenarnya adalah amalan bid'ah, bukan fadha'il a'mal.

Begitu juga sekiranya terdapat satu hadith Dha'if yang menceritakan amalan solat pada waktu yang khusus, dengan sifat, tatacara yang khusus semisal solat Raghaib (solat pada malam Jumaat pertama bulan Rejab), atau solat Tasbih, atau solat Hifzi, atau solat malam Nisfu Sya'ban dan lain-lain semisal, kesemua itu tidak termasuk dalam kategori fadha'il a'mal kerana ia adalah amalan baru yang tidak wujud dalam mana-mana hadith Sahih bahkan tidak pernah disyariatkan, sebaliknya ia adalah amalan bid'ah yang wajib diingkari.

Begitu juga jika datang satu hadith yang menceritakan amalan puasa pada hari sekian sekian yang khusus semisal puasa pada hari Nisfu Sya'ban, maka ia bukanlah termasuk dalam fadha'il a'mal kerana amalan tersebut tidak wujud dalam hadith-hadith Sahih, sebaliknya ia adalah bid'ah yang tercela.

Penutup:

Memahami maksud sebenar fadha'il a'mal ini adalah suatu perkara yang amat penting difahami, agar seseorang tidak mengambil amalan-amalan bid'ah dan melabelnya sebagai fadha'il a'mal. Akibat tidak memahami maksud fadha'il a'mal ini maka muncul golongan-golongan jahil bertopengkan ulama mengajar orang-orang awam di masjid-masjid, mahupun radio dan TV untuk berpuasa atau bersolat pada hari sekian-sekian yang khusus, atau berzikir dengan lafaz yang khusus pada waktu khusus tertentu dan semisalnya, dan mereka mengatasnamakan fadha'il a'mal, walhal hakikat seruan mereka bukanlah fadha'il a'mal, akan tetapi tidak lain hanyalah bid'ah yang sesat bahkan tercela agama.

Moga dengan penjelasan ini dapatlah kita bezakan mana satukah fadha'il a'mal yang benar, dan mana satukah fadha'il a'mal yang sebenarnya bid'ah. Allahua'lam

Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Sakandary
Moaskar, Iskandariah, Mesir
Rabu, 13 Februari 2013







Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:03 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign