Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.

| |




Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.

* Petikan dari buku "Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi", Fathi al-Sakandary, halaman 47-52.


Tanda-tanda malam al-Qadr:

Satu perkara yang perlu diketahui, tiada sebarang riwayat Sahih berkenaan petanda khusus akan sifat sebelum atau semasa malam al-Qadr itu berlaku, riwayat yang datang dalam hal ini umpama malam itu bersih, bulan bersinar, sunyi, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk, tiada bintang, tidak berawan, tiada hujan, tiada angin, langit bewarna merah dan lain-lain semuanya lemah dan tidak terlepas daripada cacat cela!

Antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas secara marfu':


أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر : ليلة سمحة طلقة ، لا حارة ولا باردة ، تصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasul SAW berkata pada malam al-Qadr: "malam al-Qadr adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu sejuk, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (no. 2192), dan diDha’ifkan oleh Ibn Khuzaimah sendiri katanya:

إن صح الخبر فإن في القلب من حفظ زمعة

Maksudnya: “Sekiranya ia sahih, sesungguhnya aku mengesyaki (dalam hatiku) akan (kelemahan) hafalan Zam'ah".

 Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (3/1360) serta Fadha'il al-Awqat (no. 50) dan diDha’ifkannya sendiri, berkata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: "في إسناده ضعف - pada isnadnya kelemahan"), dan katanya lagi: " ضعيف - Dha'if".

Juga ialah sebagaimana yang datang daripada Jabir bin `Abdillah secara marfu', bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:

 و هي لية طلقة بلجة لا حارة و لا باردة

و زاد الزيادي : كأن فيها قمرا يفضح كواكبها و قالا : لا يخرج شيطانها حتى يضيء فجرها

Maksudnya: "...dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak pula sejuk". Dan menambah al-Ziyadi (perawi) akan lafaz "seakan-akan dalamnya ada Bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan tidak keluar sampai terbit fajr"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasarul Mukhtasar (no. 2190), hadith ini Dha'if.

Penyakitnya perawi bernama: Fudhail bin Sulaiman. Berkata Yahya ibn Ma'in tentangnya : "ليس بثقة - Tidak Thiqah".

Berkata Abu Hatim: "ليس بالقوى - Tidak Kuat, Lemah".

Dan berkata Abu Zur'ah tentangnya: "لين - Layyin / Lemah").

Berkata Syaikh Dr. Mustafa al-`Azhami akan hadith ini dalam tahqiqnya atas kitab Ibn Khuzaimah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut): " إسناده ضعيف - Isnadnya Dha'if"

Antaranya juga ialah sebagaimana yang datang daripada `Ubadah bin al-Somit secara marfu' , bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:

إِنَّ أَمَارَةَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ أَنَّهَا صَافِيَةٌ بَلْجَةٌ كَأَنَّ فِيهَا قَمَرًا سَاطِعًا سَاكِنَةٌ سَاجِيَةٌ لَا بَرْدَ فِيهَا، ولَا حَرَّ وَلَا يَحِلُّ 

لِكَوْكَبٍ أَنْ يُرْمَى بِهِ فِيهَا حَتَّى تُصْبِحَ، وَإِنَّ أَمَارَتَهَا أَنَّ الشَّمْسَ صَبِيحَتَهَا تَخْرُجُ مُسْتَوِيَةً لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ مِثْلَ 

الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَحِلُّ لِلشَّيْطَانِ أَنْ يَخْرُجَ مَعَهَا يَوْمَئِذٍ

Maksudnya: "Tanda-tanda malam al-Qadr adalah malam yang terang sepertinya Bulan terang, tenang, sunyi, tidak sejuk, tidak panas, tidak dihalalkan bagi bintang-bintang untuk dilemparkan pada malam itu hingga pagi, dan tanda-tandanya adalah di pagi harinya Matahari terbit sejajar, tidak mempunyai sinar seperti Bulan pada malam purnama, dan tidak halal bagi Syaitan untuk keluar pada saat itu"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 22765), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi’) kerana Khalid bin Ma'dan tidak pernah sama sekali mendengar daripada `Ubadah bin al-Somit, kata Imam Abu Hatim dalam al-Marasil (1/11(183)) :

خالد بن معدان لم يصح سماعه من عبادة بن الصامت

Maksudnya: “Khalid bin Ma'dan tidak sahih mendengarnya daripada `Ubadah bin al-Somit".
Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.

Bahkan matannya juga bermasalah iaitu padanya Gharabah, kata Imam Ibn Kathir:

في المتن غرابة - pada matannya Gharabah (keganjilan)" (Tafsir al-Qur'an al-`Azhim, Ibn Kathir, 8/466, tahqiq Muhammad `Asyur dan rakan-rakan, Dar al-Sya'b, Mesir)

Antaranya lagi ialah sebagaimana yang datang daripada Ibn Mas'ud secara marfu' menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya berkenaan malam al-Qadr seperti dibawah:


عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ: أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَتَى لَيْلَةُ الْقَدْرِ ؟ 

قَالَ: " مَنْ يَذْكُرُ مِنْكُمْ لَيْلَةَ الصَّهْبَاوَاتِ ؟

Maksudnya: "dari Abi `Ubaidah dari ‘Abdullah bin Mas'ud bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata; "bilakah terjadinya malam al-Qadr? maka Nabi SAW bersabda: "Siapakah antara kalian yang ingat akan malam yang berwarna merah-kemerahan itu?"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 3565), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi’) kerana Abi `Ubaidah - iaitu anak kepada Ibn Mas'ud - tidak pernah sama sekali mendengar hadith daripada Ayahnya, kerana ketika Ibn Mas'ud wafat usia Abu `Ubaidah masih sangat kecil.
Berkata Syu'bah dari `Amru bin Murrah katanya:

سألت أبا عبيدة بن عبد الله : هل تذكر من عبد الله شيئا ؟ قال : لا

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu `Ubaidah bin `Abdullah - bin Mas'ud - : "adakah kamu mendengar (balajar hadith, mendengar hadith) dari `Abdullah - bin Mas'ud - walau sedikit? jawab Abu `Ubaidah: Tidak pernah" (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231).

Berkata al-Tirmizi tentangnya:

لا يعرف اسمه ، و لم يسمع من أبيه شيئا

Maksudnya: “Tidak diketahui namanya, dan tidak pernah sama sekali mendengar dari Ayahnya walau sedikit " (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231).

Dan berkata al-Tirmizi lagi:

سألت محمد بن إسماعيل ... : قلت له : أبو عبيدة ما اسمه ؟ فلم يعرف اسمه ، وقال : هو كثير الغلط

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Muhammad bin Ismail (iaitu Imam al-Bukhari), kataku padanya: "Abu `Ubaidah siapakah namanya? Al-Bukhari menjawab tidak diketahui namanya, dan kata al-Bukhari lagi: dia banyak ghalat (silap dalam meriwayatkan hadith)" (`Ilal al-Tirmizi al-Kabir, no. 109).

Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.

Sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, jelaslah bahawa tiada walaupun satu hadith Sahih berkenaan petanda malam al-Qadr sebelum atau semasa ia berlaku, namun sesetengah pencerita-pencerita sama ada dalam ceramah mereka, buku mereka atau blog mereka, menyebut bahawa pada malam samasa berlakunya al-Qadr itu Bulan terbit kelihatan seperti separuh belahan bekas berbentuk bulat.

Mereka menyandarkannya kepada sebuah hadith Sahih daripada Abu Hurairah seperti dibawah:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال تذاكرنا ليلة القدر عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال أيكم يذكر 

حين طلع القمر وهو مثل شق جفنة ؟

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah katanya "kami teringat akan malam al-Qadr disisi Rasulullah SAW, maka Beliau SAW pun bersabda: "Siapakah antara kalian yang teringat ketika Bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah (iaitu separuh belahan bekas berbentuk bulat)?"

Adakah dalam hadith di atas Nabi SAW telah memberitahu akan sifat khusus semasa malam al-Qadr itu berlaku kepada para Sahabat? jawabnya tidak! Hadith ini perlulah difahami dengan melihat huraian para ulama, antaranya kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini:

و ( الجفنة ) ... قال القاضي : فيه إشارة إلى أنها إنما تكون في أواخر الشهر ؛ لأن القمر لا يكون كذلك عند طلوعه إلا في أواخر الشهر

Maksudnya: "Dan (jafnah - iaitu separuh bekas berbentuk bulat) ... kata al-Qaadhi bin Iyadh: padanya isyarat bahawa ianya (iaitu al-Qadr) itu berlaku pada akhir-akhir Bulan, kerana Bulan tidak muncul (tidak terbit) sedemikian rupa (iaitu Bulan tidak terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat) kecuali pada akhir-akhir bulan" [Rujuk: Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi, 8/66]

Berdasarkan penjelasan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh diatas, maksud kenyataan Nabi SAW dengan "Bulan muncul (terbit) seperti separuh bekas berbentuk bulat" itu bukanlah petunjuk khusus akan sifat malam al-Qadr, akan tetapi ia adalah petunjuk umum sahaja.

Iaitu Nabi SAW memberitahu para sahabat bahawa malam al-Qadr itu berlaku pada akhir-akhir bulan Ramadhan, kerana Bulan tidaklah terbit seperti separuh bekas berbentuk bulat melainkan pada malam-malam akhir setiap bulan secara umumnya.

Petunjuk yang Sahih berkenaan tanda malam al-Qadr hanyalah petunjuk selepas malam al-Qadr itu telah berlalu iaitu Matahari terbit pagi esoknya dengan tidak terlalu menyilau sebagaimana yang digambarkan oleh Ubay bin Ka'ab katanya:
وأمارتها أن تطلع الشمس في صبيحة يومها بيضاء لا شعاع لها

.. dan tanda-tandanya adalah matahari terbit di pagi hari dengan cerah namun tidak ada cahaya Matahari menyengat” [HR. Muslim, no: 762]

Maka untuk mendapatkan malam al-Qadr, mahu tidak mahu seseorang itu perlu beribadah pada kesemua 10 malam akhir Ramadhan! terutama pada malam-malam ganjil. Kerana petunjuk yang Sahih hanyalah petunjuk setelah malam al-Qadr itu telah berlalu. Dengan itu berkata guru kami Syaikhuna al-Hafiz al-Muhaddith `Abdul `Aziz Marzuq al-Tharifi:


"Tanda-tanda sebelum dan ketika berlakunya malam al-Qadr itu tidak sahih kesemuanya, adapun selepas ia berlaku maka telah datang dalil sahih iaitu sebagaimana yang diriwayatkan dalam al-Sahih (Sahih Muslim) bahawa pagi keesokan malam al-Qadr itu matahari terbit tanpa menyilau, tetapi petunjuk yang sahih ini berlaku selepas malam al-Qadr itu berlalu" 


Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 4:24 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign