Puasa 'Asyura (10 Muharram), amalan jahiliyyah serta syariat Musa yang dikekalkan Muhammad

| |




 Puasa 'Asyura (10 Muharram), amalan jahiliyyah serta syariat Musa yang dikekalkan Muhammad 

Oleh: Fathi al-Sakandary

Puasa pada 10 Muharram kelendar Hijrah ('Asyura) ialah antara puasa tathawwu' (sunat) yang disyariatkan Islam, bahkan mengandungi fadhilat (ganjaran kelebihan) yang besar, berkata Abu Qatadah al-Ansari:

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ؟ فَقَالَ: «يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ»
Terjemahan: 
“Rasulullah ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Asyura, maka baginda bersabda: “Ia menghapuskan dosa-dosa (iaitu dosa kecil -pent) untuk setahun yang lalu.”[Dikeluarkan Muslim, no. 1162]
Amalan berpuasa pada 10 Muharram ini telah lama dilakukan oleh para penduduk musyrik 'arab jahiliyyah, bahkan Nabi sendiri telah berpuasa 'Asyura sejak sebelum baginda menjadi Nabi lagi, berkata 'Aishah: 

«كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ، فَلَمَّا قَدِمَ المَدِينَةَ صَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ، فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ»

Terjemahan: 

"Kaum musyrik Quraisy telah berpuasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram) sejak zaman jahiliyah, begitu juga Rasulullah SAW telah berpuasa ‘Asyura (iaitu sejak sebelum menjadi Rasul -pent). 

Ketika baginda tiba di Madinah, maka baginda berpuasa ‘Asyura dan memerintahkan para Sahabat untuk berpuasa ( iaitu sebagai puasa wajib -pent). 

Kemudian ketika puasa Ramadhan diwajibkan, beliau meninggalkan kewajipan puasa hari ‘Asyura. Maka sesiapa yang mahu berpuasa dia boleh berpuasa ‘Asyura,sesiapa yang tidak mahu berpuasa maka  dia boleh tidak berpuasa.” [Dikeluarkan al-Bukhari, no. 2002]

10 Muharram juga adalah hari Allah menyelamatkan Nabi Nya Musa dan Harun dari kecaman Fir'aun (pemerintah Mesir) zamannya yang kejam, hingga Musa berpuasa dan diikuti pengikutnya sebagai tanda syukur. 

Berkata Ibn 'Abbas: 


 قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى الله بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ»، فَصَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Terjemahan: 

“Nabi tiba di Madinah, maka baginda melihat penduduk Yahudi berpuasa hari ‘Asyura. Baginda bertanya kepada mereka: “apa ini?”

Mereka menjawab, “Ini adalah hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka. Maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini.”

Maka Nabi pun bersabda, “Saya lebih layak atas Nabi Musa dibandingkan kamu semua.” Maka baginda pun berpuasa ‘Asyura dan memerintahkan para Sahabat untuk berpuasa ‘Asyura (iaitu Nabi menjadikan puasa 'asyura sebagai puasa wajib hinggalah Ramadhan disyariatkan, maka kewajipan 'Asyura dibatalkan - pent) ” [Dikeluarkan al-Bukhari, no. 2204 dan Muslim, no. 1130]

Bahkan Nabi juga mensyariatkan kaum muslimin turut berpuasa pada 9 Muharram, agar tampak berbeza dari kaum musyrik Yahudi. Berkata 'Abdullah ibn 'Abbas:

 حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ» قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ، حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Terjemahan: 

“Ketika Rasulullah melakukan puasa ‘Asyura dan memerintahkan para Sahabat untuk turut berpuasa ‘Asyura, maka para Sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, ia adalah hari yang diagungkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.” 

Maka baginda pun bersabda, “Jika begitu, pada tahun akan datang kita akan berpuasa juga pada hari kesembilan, insyaAllah.” Berkata perawi: namun belum sempat tahun berikutnya datang, Rasulullah telah wafat.” [Dikeluarkan Muslim, no. 1134] 


~ Fathi al-Sakandary ~ 
Kamp Caesar, Iskandariah, Mesir
11 November 2013 / 8 Muharram 1435H

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 12:33 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign