Tidak sunnah memberi nasihat setiap hari

| |



Gambar hiasan: Manuskrip Sahih Muslim yang ditulis pada 261H, 
disimpan di perpustakaan Universiti Raja Sa'ud, Arab Saudi


Tidak sunnah memberi nasihat setiap hari

Telah menjadi 'trend' di sekolah-sekolah atau universiti-universiti, pihak AJK persatuan pelajar mengadakan sesi nasihat agama yang mereka namakan tazkirah di hadapan kelas atau dewan kuliah, sesi ini dilakukan setiap hari dan biasanya pada waktu pagi, setiap hari akan ada pelajar tampil ke hadapan memberi nasihat (tazkirah). 

Saya termasuk antara mereka yang tidak suka akan fenomena memberi tazkirah setiap hari ini, kerana ianya hanya akan membuatkan para hadirin bosan. Islam menyukai sederhana, dan ini termasuklah bersederhana dalam memberi nasihat dan peringatan, memilih hanya 1 hari untuk sesi tazkirah yang berkualiti (yang bebas dari dongengan dan hadith-hadith palsu serta bikin pandai) lebih baik dari memberi tazkirah setiap hari yang akhirnya hanya membawa kepada bosan, lebih parah lagi jika ia sarat dengan hadith-hadith Dha'if dan Palsu serta Tiada Asalnya, serta bercakap menggunakan otak sendiri tanpa merujuk kalam 'ulama muktabar. 

Hal ini pernah diajukan kepada sahabat besar Nabi, 'Abdullah ibn Mas'ud sebagaimana yang direkodkan al-Bukhari dan Muslim dalam kedua Sahih mereka, berkata Syaqiq Abi Wail: 





كَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُذَكِّرُنَا كُلَّ يَوْمِ خَمِيسٍ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ إِنَّا نُحِبُّ حَدِيثَكَ وَنَشْتَهِيهِ وَلَوَدِدْنَا أَنَّكَ حَدَّثْتَنَا كُلَّ يَوْمٍ فَقَالَ مَا يَمْنَعُنِي أَنْ أُحَدِّثَكُمْ إِلَّا كَرَاهِيَةُ أَنْ أُمِلَّكُمْ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَخَوَّلُنَا بِالْمَوْعِظَةِ فِي الْأَيَّامِ كَرَاهِيَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا


Terjemahan: 

"Adalah ‘Abdullah bin Mas’ud memberi tazkirah (nasihat) kepada kami semua pada setiap hari khamis, lalu suatu hari ada seorang berkata kepadanya, “Wahai Aba 'Abd al-Rahman, saya menyukai tazkirah kamu, ingin sekali saya kalau tuan dapat memberikan tazkirah kepada kami setiap hari”. Maka Ibn Mas'ud menjawab, “Sesungguhnya, tiada apa yang menghalang aku dari memberi kamu tazkirah setiap hari kecuali tidak suka kamu semua menjadi jemu dan bosan (akibat mendengar tazkirah setiap hari), sesungguhnya Nabi SAW mengintai-ngintai waktu dalam hari-hari (1 hari dalam seminggu) untuk memberikan nasihat kepada kami kerana bimbangkan kami menjadi jemu dan bosan"

[Hadith dikeluarkan al-Bukhari dan Muslim, dalam kitab Sahih mereka berdua yang merupakan dua kitab yang paling sahih selepas al-Qur'an]




~ Fathi al-Sakandary, Iskandariah, Mesir ~

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 5:32 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign