Maksud Istilah: Hadith Mursal
:بيان مصطلحات المحدثين
الحديث المرسل
Penjelasan Istilah-Istilah Para Ahli Hadith:
Hadith Mursal
oleh: Abu Ismaaeel Muhammad Fathi Ali
Hadith Mursal: ialah hadith yang jalurnya tidak bersambung kepada Nabi, dan terputus pada Tabi’in. Secara istilah umumnya disebut hadith Mursal sebagai: "hadith yang gugur pada akhir sanad setelah Tabi’in" (rujuk: Taisir Mustolah Hadith, Dr. Mahmud Tahhan, bab khabar yang tertolak, subtopik hadith Mursal).
Dan hadis Mursal pada dasarnya termasuk dalam kategori khabar yang Mardud (tertolak) dan pada dasarnya ia Dhaif kerana hilang padanya syarat asas sahihnya hadith iaitu Al-Itisol (bersambungnya sanad).Akan tetapi para ulama hadith dan fiqh berselisih pendapat berkenaan penggunaan hadith Mursal sebagai hujah dalam hukum hakam fiqh dan yang kuat bagi penulis hadith Mursal tidak boleh dibuat hujah dalam hukum hakam fiqh sebagaimana pegangan jumhur (majoriti) huffaz hadith dan fuqaha’. Jumhur Ahli Hadith dan Fuqaha’ tidak berhujah dengan hadith Mursal dalam fiqh. Perlu ditekankan disini bahawa khabar yang Mursal adalah Dhaif, dan kita tidak boleh men-ithbat-kan khabar mursal sebagai kata-kata Nabi.
Saya telah bertanya kepada Syaikh Al-Muhaddith Dr. Basyar Awwad Ma’rouf, adakah hadith mursal (selain mursal sahabi) itu dhaif? Dan adakah ia boleh digunakan sebagai hujah dalam hukum hakam fiqh?
Jawab Syaikh Basyar:
نعم الحديث المرسل من جنس الضعيف عند جميع المحدثين . ولكن الفقهاء يختلفون في الاحتجاج بالمرسل بين مجيز ومانع كما هو مبين في كتب اصول الفقه لكل مذهب
''ya, hadith mursal adalah dhaif disisi semua muhaddithin,akan tetapi para fuqaha' berbeza pendapat dalam menggunakan ia sebagai hujah dlm hukum (bg hadith mursal yg berkaitan hukum) antara membenarkan dan melarang, sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab-kitab usul fiqh bagi semua mazhab''
Saya juga telah bertanya kepada Syaikh Al-Muhaddith Dr. Mahir Al-Fahl soalan yang sama, jawab beliau:
نعم بارك الله فيكم ، المرسل ضعيف لأنه فقد شرطاً من شروط الصحة وهو الاتصال , المرسل ضعيف ، والمرسل أحد أنواع الحديث الضعيف ؛ لأنه فقد شرط الاتصال . لكن إذا جاءت العبارة التي ذكرتها فمعناه : أن السند إلى التابعي المرسل صحيح ، بمعنى أن لا علة في الخبر سوى الإرسال
''ya, moga Allah memberkati kamu semua, Mursal tu dhaif sebab salah satu syarat sahih adalah ittisol. Mursal tu dhaif, Mursal tu salah satu dari jenis hadith dhaif kerana hilang/tertinggal padanya syarat al-Ittisol (bersambungnya sanad), akan tetapi jika datang padanya yang menyebut padanya sesungguhnya sanad yang sampai kepada Tabii itu Sahih (al-Mursal al-Sahih), ia bermaksud hadith itu tiada 'illah (kecacatan) padanya kecuali Irsal”
Saya bertanya lagi kepada Syaikh Mahir, adakah hadith mursal itu hujah dalam hukum hakam fiqh? Jawab beliau:
عند بعضهم, ليس عند الجميع هو حجة عند أبي حنيفة ومالك ورواية عند أحمد ، أما جمهور أهل الحديث فعندهم ليس بحجة
“Ia adalah hujah bagi sesetengah mereka, dan bukanlah bagi semua (ia menjadi hujah), ia hujah pada sisi Abu Hanifah, Malik, dan satu riwayat/pendapat disisi Ahmad, adapun pada sisi Jumhur (majoriti) Ahl Hadith ianya adalah bukan hujah bagi mereka semua''
Demikian juga saya telah bertanya kepada Syaikh Muhammad Ahmad Shihatah Al-Alfy Al-Sakandary, adakah hadith Mursal itu dhaif? Maka jawab syaikh Al-Alfy: "ya , ia adalah dari jenis hadith dhaif..."
· Definisi hadith Mursal:
Berkenaan definisi hadith Mursal dari segi istilah, kata Syaikh Al-Muhaddith Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad para ‘ulama berbeza kepada sekurang-kurangnya 4 pendapat. Saya ringkaskan seperti dibawah:
1. Mursal adalah seorang Kibar Al-Tabi’in yang berkata: bersabda Nabi. Iaitu khusus sebagai kata-kata Kibar Al-Tabi’in sahaja yang berkata : bersabda Nabi , ini adalah pendapat Ibn Abdil Baar dlm Al-Tamhid dan lain-lain. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 116)
2. Mursal adalah kata-kata Al-Tabi’in tidak mengira samada Kibar Al-Tabi’in atau Tabi’in Soghir yang berkata: bersabda Nabi , pendapat ini adalah popular dalam kalangan ahli ilmu daripada ahli hadith, antaranya Al-Hakim dan lain-lain. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 116)
3. Mursal adalah semua yang sanadnya putus, iaitu semua sanad yang putus dinamakan sebagai Mursal. Digunakan istilah mursal untuk Al-Muallaq, Al-Munqathi’, Al-Mu’dhal. Kesemua sanad yang tidak bersambung dinamakan sebagai mursal, Ini adalah popular dalam kalangan ramai Huffaz Hadith kurun yang awal seperti Ahmad, Abu Daud, Ibn Abi Hatim,dan lain-lain Ahli ilmu dari Ahli Hadith. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 117, Syarhu Lughotul Muhaddith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 213)
4. Mursal adalah apabila seseorang (selain sahabi) yang berkata: Nabi bersabda, tidak mengira samada dia adalah Al-Tabi’in atau Atba’ Al-Tabi’in, atau yang selepas mereka, pendapat ini adalah popular dikalangan Usuliyyin. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 117)
Dan kata syaikh Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, antara kesemua pendapat ini, pendapat kedua adalah yang paling masyhur.
Mursal Al-Sahabi: iaitu hadith itu diriwayatkan oleh Sahabat pertama dari Sahabat kedua dari Nabi kemudian sanadnya putus pada Sahabat kedua (bukan putus pada Al-Tabi’in), perlu diketahui bahawa penamaan Mursal Sahabi ini asalnya adalah ta’rif daripada Fuqaha’ dan Usuliyyin bukan dari Ahli Hadith Salaf, kerana Salaf tidak menganggap ia sebagai Mursal, kata Ibn Al-Solah (Muqaddimah Ibn Al-Solah, m/s 26): “apa yang dinamakan oleh Usul Fiqh dengan Mursal Sahabi contohnya apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan lain-lain dari hadith-hadith para sahabat dari Rasul…”, dan Ibn Al-Mulaqqin menyebut dalam kitabnya Al-Muqni’, m/s 95: “sesungguhnya penamaan Mursal Sahabi ini ialah penamaan Usuliyyah”. (lanjut rujuk: Al-Hadith Al-Mursal Baina Qabul wa Al-Radd, m/s 261). Saya pernah bertanya kepada syaikh Muhammad Ahmad Shihatah Al-Alfy Al-Sakandary berkenaan Mursal Sahabi, dan beliau menyatakan bahawa penamaan sebegini adalah tidak tepat.
Tentang hujah dengan Mursal Sahabi, telah sepakat jumhur para ulama’ berhujah dengannya secara mutlaq dalam fiqh dan padanya hukum Al-Muttasil, ini kerana sanadnya putus pada Sahabat kedua (bukan putus pada Al-Tabi’in), dan semua Sahabat adalah ‘Adil, maka sebenarnya untuk Mursal Sahabi sanadnya tidaklah putus. Dalam buku ini apabila disebut ‘’Mursal’’, ia bermaksud ‘’Mursal Al-Tabi’in’’.
· Hujah hadith Mursal dalam hukum hakam fiqh:
Berkenaan dengan berhujah dengan hadith Mursal dalam bab fiqh, para ‘ulama juga khilaf kepada banyak pendapat. Saya ringkaskan seperti dibawah:
1. Mursal tidak digunakan sebagai hujah fiqh secara mutlaq,samada ia adalah mursal sahabi atau lain-lainnya, semuanya tidak digunakan sebagai hujah, ini adalah pendapat Abi Ishaq Al-Isfaraiini, Abu Bakr Al-Baqilani dan lain-lain. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119)
2. Mursal adalah hujah secara mutlaq, ini adalah popular dikalangan Hanafiah. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119)
3. Mursal itu dibezakan antara Mursal Sahabi dan selainnya, mursal sahabi adalah hujah sedang selainnya tidak. Iaitu hadith Mursal selain sahabi adalah dhaif dan tidak digunakan sebagai hujah, ini adalah pendapat jumhur ahli hadith. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119, Athar I’lal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, m/s 84)
4. Mursal itu hujah jika ia adalah mursal Al-Tabi’in dan Al-Sahabi, selainnya tidak digunakan sebagai hujah. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119)
5. Mursal itu adalah hujah jika si Mursil itu meriwayatkan dari orang yang thiqah, sedang jika selainnya ia bukan hujah. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119, Athar I’lal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, m/s 86 )
6. Mursal itu adalah hujah jika daripada Kibar Al-Tabi’in dengan beberapa syarat pada hadith mursal itu sendiri dan juga kepada si Mursil itu sendiri, iaitu hadith itu ada diriwayatkan dari jalan lain secara musnad, atau diriwayatkan dari jalan lain yang mursal tetapi dari syuyukh yang berbeza dari mursal yang pertama tadi yang menunjukkan banyaknya jalan hadith ni keluar (sumber), atau hadith mursal itu bertepatan dengan qaul dan fatwa Sahabah, bagi si Mursil itu pula dia mesti seorang yang thiqah,tidak ada khilaf padanya, tak diketahui dari si mursil itu meriwayatkan dari mereka yg bermasalah, majhul, majruh dan sebagainya,juga sanad adalah sahih sehingga kpd si mursil itu. Pendapat sebegini adalah popular dari Al-Syafie dan beliau menjelaskan hal ini dalam kitabnya Al-Risalah. (rujuk: Athar I’lal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, m/s 86 , Syarhu Lughotul Muhaddith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 215, Taqrib Ilm Al-Hadith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 152)
Dan pendapat yang terpelihara ialah pendapat ketiga, Iaitu hadith Mursal selain sahabi adalah dhaif dan tidak digunakan sebagai hujah, ini adalah pendapat jumhur ahli hadith.
"aku telah mendengar ayahku (iaitu Abu Hatim) dan Abu Zur'ah, mereka berdua berkata: "tidaklah berhujah dengan hadith-hadith mursal, dan tidaklah dijadikan ia sebagai hujah, kecuali (iaitu yang dijadikan hujah ialah hanya) dengan sanad-sanad yang sahih dan bersambung", aku berkata: "begitu jugalah pegangan aku" (rujuk: Al-Marasil, m/s 7)
"hadith-hadith mursal menurut pendapat dan pegangan kami yag asli dan juga pendapat dan pegangan ahli hadith ialah ianya bukanlah hujah" (rujuk: Muqaddimah dalam Sahih Muslim, m/s 30)
Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal mendahulukan fatwa sahabat daripada hadith mursal dalam fiqh, ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Rajab Al-Hanbali, kata beliau:
"zahirnya kata-kata Ahmad ialah sesungguhnya hadith mursal disisi beliau ialah sebahagaian daripada jenis hadith dhaif...dan telah menyatakan Ahmad (pendapatnya) atas mendahulukan qaul sahabat daripada hadith mursal" (rujuk: Syarah 'Ilal Al-Tirmizi, Ibn Rajab Al-Hanbali, m/s 312-313,317)
Berkenaan dengan pembahagian hadith Mursal, atau lebih tepat dikatakan sebagai tingkatan hadith-hadith Mursal. Maklum bahawa kesemua hadith mursal (kecuali mursal sahabi) itu dhaif (tidak thabit sebagai kata-kata Nabi) , akan tetapi ia mempunyai tingkatan-tingkatanya dan martabat-martabat dhaifnya, sebahagian nya adalah kurang dhaif daripada yang lain.
Kata Imam Ibn Solah:
وما ذكرناه من سقوط الاحتجاج بالمرسل والحكم بضعفه هو المذهب الذي استقر عليه آراء جماهير حفاظ الحديث ونقال الآثر: وقد تداولوه في تصانيفهم
"dan apa yang telah kami sebutkan berupa gugurnya penghujahan dengan hadith mursal dan hukumnya adalah dhaif, ia adalah mazhab yang ditetapkan oleh jumhur para huffaz hadith dan ahli athar, dan sesungguhnya hal ini telah sering mereka nyatakan dalam karya-karya mereka" (rujuk: Muqaddimah Ibn Solah, 1/9)
Kata Imam Ibn Abi Hatim:
وسمعت أبي وأبازرعة، يقولان :" لا يحتج بالمراسيل، ولا تقوم الحجة إلا بالأسانيد الصحاح المتصلة "، قال : وكذلك أقول أنا
"aku telah mendengar ayahku (iaitu Abu Hatim) dan Abu Zur'ah, mereka berdua berkata: "tidaklah berhujah dengan hadith-hadith mursal, dan tidaklah dijadikan ia sebagai hujah, kecuali (iaitu yang dijadikan hujah ialah hanya) dengan sanad-sanad yang sahih dan bersambung", aku berkata: "begitu jugalah pegangan aku" (rujuk: Al-Marasil, m/s 7)
Bahkan kata Imam Muslim:
" المرسل في أصل قولنا ، وقول أهل العلم بالأخبار ليس بحجة "
"hadith-hadith mursal menurut pendapat dan pegangan kami yag asli dan juga pendapat dan pegangan ahli hadith ialah ianya bukanlah hujah" (rujuk: Muqaddimah dalam Sahih Muslim, m/s 30)
Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal mendahulukan fatwa sahabat daripada hadith mursal dalam fiqh, ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Rajab Al-Hanbali, kata beliau:
وظاهر كلام أحمد أن المرسل عنده من نوع الضعيف...وفقد نص أحمد على تقديم قول الصحابي على الحديث المرسل
"zahirnya kata-kata Ahmad ialah sesungguhnya hadith mursal disisi beliau ialah sebahagaian daripada jenis hadith dhaif...dan telah menyatakan Ahmad (pendapatnya) atas mendahulukan qaul sahabat daripada hadith mursal" (rujuk: Syarah 'Ilal Al-Tirmizi, Ibn Rajab Al-Hanbali, m/s 312-313,317)
Berkenaan dengan pembahagian hadith Mursal, atau lebih tepat dikatakan sebagai tingkatan hadith-hadith Mursal. Maklum bahawa kesemua hadith mursal (kecuali mursal sahabi) itu dhaif (tidak thabit sebagai kata-kata Nabi) , akan tetapi ia mempunyai tingkatan-tingkatanya dan martabat-martabat dhaifnya, sebahagian nya adalah kurang dhaif daripada yang lain.
Saya ringkaskan tingkatan-tingkatan hadith mursal seperti dibawah, bermula daripada mursal sahabi yang sahih kepada mursal lainnya yang dhaif:
1. Mursal Sahabi: Mursal Sahabi adalah sahih. Ia adalah mursal yang paling kuat, dan pendapat yang terpelihara adalah Mursal Sahabi itu adalah hujah bahkan ramai ahli ilmu menyatakan ia merupakan kesepakatan ahli hadith bahawa Mursal Sahabi itu padanya hukum Al-Muttasil, ianya Maqbul dan digunakan sebagai hujah dalam fiqh. Perlu diberi perhatian bahawa Mursal selain Mursal Sahabi bukanlah diterima sebagai hujah secara Mutlaq, termasuklah Mursal Kibar Al-Tabi’in, Mursal Kibar Al-Tabi’in ianya bukanlah hujah secara mutlaq. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119-120 , Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 88)
2. Dibawah mursal Sahabi adalah jenis mursal yang mana seseorang itu bertemu Nabi tetapi tidak thabit dia mendengar dari Nabi, contohnya Abi Umamah bin Sahl dan lain-lain (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 120)
3. Di bawahnya adalah Mursal Kibar Al-Tabi’in: contoh seperti Said Ibn Musayyab, Masruq, Qais ibn Abi Hazim dan lain-lain, dan telah sepakat Ahli Ilmu bahawa Mursal Said Ibn Musayyab adalah Mursal yang paling atas dan kuat selepas Mursal Sahabi. Perlu diberi perhatian bahawa bukan semua Mursal Kibar Al-Tabi’in itu adalah diterima secara mutlaq. Bahkan Mursal Kibar Al-Tabi’in ianya bukanlah hujah secara mutlaq, contohnya Mursal Said ibn Musayyab yang disepakati dan dikatakan sebagai jenis Mursal yang paling kuat pun terdapat mursal daripadanya yang diingkari ulama, contohnya ialah Mursal Sahih dari Said Ibn Musayyab, berkata Said ibn Musayyab bahawa Rasullullah bersabda (maksudnya): “Barang siapa yang memukul ayahnya maka bunuhlah ia” , hadith Mursal dari Said Ibn Musayyab ini adalah Mursal Sahih dari beliau, akan tetapi telah sepakat dan ijma Ahli Ilmu menolak dan tidak berhujah dengannya, tidaklah wajib ia dibunuh, tetapi dikenakan ta’zir. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 119-120 , Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 88)
4. Dibawahnya pula ialah Mursal dari Tabiin Al-Wustho iaitu Tabi’in Pertengahan: yang tidak diketahui dari mereka meriwayatkan melainkan daripada yang thiqah, contohnya ialah Mursal ‘Atha bin Abi Rabah, Abi Al-‘Aliah, Hasan Al-Basri dan lain-lain. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 121 , Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 89)
5. Dibawahnya pula ialah Mursal Sighar Al-Tabi’in iaitu Mursal Tabi’in Kecil seperti Mursal Al-’Amash, Al-Zuhri, Qatadah dan lain-lain, dan jenis mursal ini adalah jenis yang paling bawah dan yang paling dhaif. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Abdullah bin AbdulRahman Al-Sa’ad, m/s 121)
Kata Imam Al-Zahabi bahawa Mursal itu terdapat 5 jenis, yang dimaksudkan disini adalah Mursal Sahih, Mursal Hasan, Mursal Dhaif, Mursal Al-Matruh, dan Mursal Maudhu’. Seperti mana hadith Sahih mempunyai darjat dan tingkatan, begitu juga dengan hadith-hadith Mursal, pada Mursal itu ada beberapa darjat, walau pun kesemua Mursal (selain Mursal Sahabi) adalah dhaif disisi Ahli Hadith, akan tetapi ia mempunyai tingkatan-tingkatanya dan martabat-martabat dhaifnya, sebahagian nya adalah kurang dhaif daripada yang lain. Apabila dikatakan sesuatu hadith itu ‘’Mursal Sahih’’ ia bermaksud sanad hadith itu adalah sahih sehingga si mursil (tabi’in) yang meriwayatkan hadith itu, bukan bermaksud sahih kepada Nabi. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 87)
Kata-kata Al-Zahabi dengan ‘’Sihah Al-Marasil’’ (hadith-hadith mursal sahih) bukanlah bermaksud hadith itu sahih thabit sebagai kata Nabi, bukan bermaksud ia sahih dan hujah dengan sendirinya , bukan bermaksud ia sama martabatnya dengan hadith Musnad yang Sahih, akan tetapi yg di maksudkan dengan ‘’Sihah alMarasil’’ adalah hadith dhaif yang kuat atau dhaif yang paling atas (ringan), kerana sanad hadith itu adalah sahih sehingga si mursil (tabi’in) yang meriwayatkan hadith itu, adapun antara si mursil dan Nabi ia kekal putus, ia bukan bermaksud sahih kepada Nabi.
Kata Syaikh Al-Muhaddith Dr. Hatim Syarif Al-Awni (Syarah Al-Mugizoh, m/s 87):
صحاح المراسيل : فهو لا يقصد أنها صحاح و حجة بذاتها بل يقصد أنها أقوى الأحاديث الضعيفة
'' Sihaah Al-Marasil (contohnya: Mursal Said bin Musayyab - tambahan pent),ia tidak lah bermaksud ia sahih dan hujah dengan sendirinya,bahkan tetapi yang dimaksudkan (dengan Sihaah Al-Marasil) itu ianya adalah hadith dhaif yang paling kuat (dhaif yang atas iaitu dhaif yang paling hampir kepda darjat sahih)''
· Syarat Penguatan Hadith Mursal:
Hadith-hadith Mursal adalah dhaif pada asalnya, namun ia boleh dikuatkan dengan beberapa syarat. Syarat-syarat itu dapat dikelaskan kepda dua iaitu 1) syarat kepasa si mursil (Al-Tabi’in) itu sendiri , 2) syarat kepada hadith mursal itu.
Saya ringkaskan dibawah (rujuk: Taqrib Ilm Al-Hadith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 152-155)
1) syarat kepada si mursil (Al-Tabi’in) itu sendiri:
- si mursil itu adalah thiqah dengan sendirinya, tidak ada khilaf padanya
- si mursil itu tidak diketahui meriwayatkan hadith daripada rawi yang bermasalah, seperti majhul, majruh dan sebagainya
- si mursil itu adalah dari Kibar Al-Tabi’in
- sanad hadith adalah sahih sehingga kepada si mursil
2) syarat kepada hadith Mursal itu:
- itu ada diriwayatkan dari jalan lain secara musnad
- atau diriwayatkan dari jalan lain yang mursal tetapi dari syuyukh yang berbeza dari mursal yang pertama tadi yang menunjukkan banyaknya jalan hadith ni keluar (sumber)
- hadith mursal itu bertepatan dengan qaul dan fatwa Sahabah
- hadith mursal itu bertepatan dengan qaul dan fatwa Ahli Ilmu (Al-Tabi’in, Kibar Al-Tabi’in)
Secara ringkasnya, berkenaan hadith Mursal ini dapat di simpulkan beberapa isi penting:
1. Kesemua Hadith Mursal adalah hadith dhaif pada Jumhur Muhaddithin, dan tidak berhujah dengannya (kecuali Mursal Sahabi yang mana padanya hukum Al-Muttasil)
2. Hadith Mursal adalah hadith dhaif, kecuali sesungguhnya ia adalah dhaif yang ringan. Dan hadith Mursal mempunyai beberapa martabat dan tigkatan-tingkatannya yang sendiri, sebahagiannya adalah kurang dhaif daripada yang lain. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 87)
3. Hadith Mursal adalah hadith yang dhaif ringan, dan sesetengahnya boleh dikuatkan dengan beberapa syarat, setelah dikuatkan ia boleh digunakan sebagai hujah dlm fiqh. Bahkan sesetengah mutaakhirin menyatakan bahawa hadith Mursal yang dikuatkan dengan syarat itu bertukar nama kepada ‘’Hasan Li Ghairih’’, walau bagaimanapun penamaan hadith Mursal yang telah dikuatkan sebagai ‘’Hasan Li Ghairih’’ tidak disepakati, kata Ibn Hajar terdapat Ahli Hadith yang tawaqquf menamakan ia sebagai ‘’Hasan Li Ghairih’’ namun mereka namakan ia sebagai ‘’Soleh’’ atau ‘’La Ba’sa Bih’’ (rujuk: Al-Hadith Al-Mursal Baina Al-Qabul wa Al-Rad, m/s 421,nota kaki no.1)
4. Hadith Mursal (selain Mursal Sahabi) adalah dari jenis hadith yang tertolak (mardud), kerana tidak wujud Ahli Hadith daripada kalangan Salaf yang menerima ia secara mutlaq sebagaimana mereka menerima hadith musnad yang muttasil, bahkan bagi sesetengah mereka yang menerima hadith mursal ini mereka menerimanya dengan syarat-syarat bukan secara mutlaq. Bahkan jumhur Ahli Hadith dan Fuqaha’ menolak berhujah dengan hadith Mursal. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 87)
sekian dikongsi, moga bermanfaat.
Al-Akh / Abu Ismaaeel
Muhammad Fathi `Ali Al-Malizy Al-Sakandariy
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 10:04 PM. Filed under
Mustolah
.
terima kasih dengan penerangan yang jelas :)
assalam..
apa beza mursal sahabi dengan mauquf ??
mohon pencerahan..
:)