Ringkasan Fiqh Puasa [siri #1 - #10]

| |




Ringkasan Fiqh Puasa [siri #1 - #10]
Oleh: Fathi al-Sakandary

#1 - Hukum Puasa:

Puasa Ramadhan adalah rukun Islam ke-4 yang disyariatkan Allah dan RasulNya. Semua kaum muslimin yang telah baligh wajib berpuasa. Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur maka dia telah melakukan dosa besar

#2 - Puasa sebelum Ramadhan:

Dilarang seseorang mendahului sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan berpuasa sebagaimana yang telah thabit dalam hadith yang Sahih, kecuali seseorang yang berpuasa pada hari yang lazimnya dia berpuasa seperti isnin dan khamis, atau puasa kaffarah atau puasa qadha maka ia dibolehkan

#3 - Hukum puasa bagi yang tidak solat:

Sesetengah bertanya, apakah hukum bagi mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat? adakah puasanya masih sah? Jawabnya: puasa orang yang tidak bersolat tidak sah, antara syarat utama sahnya puasa ialah seseorang itu adalah muslim, sedangkan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dia telah kafir, inilah yang rajih

#4 - Penentuan masuk Ramadhan:

Bulan Ramadhan itu ditentukan mula masuknya dan juga akhir keluarnya dengan melihat hilal (anak bulan). Jika hilal tidak kelihatan maka dicukupkan Sya'ban kepada 30 hari sebagaimana yang thabit dalam hadith Sahih. Melihat hilal dengan mata kasar, dan tidak wajib menggunakan alatan teleskop.

Dan telah sepakat akan fuqaha' bahawa penemuan hilal itu tidak dapat tidak mestilah dibuat oleh orang-orang yang `adil. Pemerintah akan menentukan tarikh masuk Ramadhan berpandukan laporan wakil-wakil `adil yang telah ditetapkan negara masing-masing, dan menjadi kewajipan rakyat untuk patuh keputusan pemerintah akan tarikh masuknya Ramadhan negara masing-masing

#5 - Doa & zikir melihat hilal (anak bulan): 

Tidak thabit akan sebarang doa atau zikir ketika melihat hilal, baik hilal Ramadhan atau hilal bulan lainnya. Kesemua riwayat dalam hal ini adalah Dha'if dan tiada satupun yang Sahih. 

Adapun hadith popular yang berbunyi: "أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رأى الهلال قال اللهم أهله علينا باليمن والإيمان والسلامة والإسلام ربي وربك الله - Sesungguhnya Nabi SAW apabila melihat hilal maka Baginda membaca (Allahumma ahillahu ‘alayna bilyumni wal iimaani was salaamati wal islaami. Rabbii wa Rabbukallah - Ya Allah, tampakkan bulan itu kepada kami dengan membawa keberkatan dan keimanan, keselamatan dan Islam. Rabbku dan Rabbmu wahai bulan sabit adalah Allah)", 

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad, al-Tirmizi , al-Darimi dan lainnya dan ia adalah hadith terbaik dalam perihal doa dan zikir melihat hilal, namun ia juga Dha'if bahkan Munkar. Di'Dha'if'kan oleh Imam al-Tirmizi sendiri dengan katanya "Hasan Gharib", dan berkata Imam al-`Uqaili: "وفي الدعاء لرؤية الهلال أحاديث كان هذا عندي من أصلحها إسنادا ، وكلها لينة الأسانيد - dalam perihal doa melihat hilal padanya hadith-hadith, dan ini disisiku adalah yang terbaik isnadnya, dan kesemuanya hadith dalam hal ini isnad-isnadnya adalah lemah". 

Walaubagaimanapun, doa ini boleh diamalkan tanpa ithbat (iaitu tidak menyatakan ia sunnah atau dari Nabi) kerana ia hanyalah doa, manhaj huffaz Salaf mereka membolehkan amal tanpa ithbat akan hadith-hadith doa walaupun ia tidak sahih - baik Dha'if ringan atau berat - asalkan maknanya baik. Berbeza dengan hadith fadhail `amal selain doa disyaratkan hadithnya tidak terlalu lemah. 

Imam al-Tirmizi memasukkan hadith ini dalam kitabnya Jami' al-Mukhtasar dalam keadaan beliau sendiri men'Dha'if'kannya menunjukkan sememangnya sebahagian Salaf beramal dengan doa ini. Allahu'alam

#6 - Kepada siapa puasa Ramadhan diwajibkan?: 

Puasa Ramadhan adalah wajib kepada setiap muslim dan muslimah yang baligh, waras, sihat, serta tidak bermusafir. Juga bagi muslimah mestilah suci daripada darah haid (umum menyebut darah bulanan, menstrual cycle bleed) dan nifas (iaitu darah yang keluar selepas melahirkan anak, medical term = post-partum hemorrhage). 

Pengecualian wajib bagi yang sakit dan bermusafir adalah berdasarkan firman Allah Jalla wa `Ala dalam surah al-Baqarah, ayat 184, kata Allah SWT: "فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ - sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir, maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia tidak berpuasa) itu pada hari-hari yang lain". 

Timbul persoalan dari firman Allah SWT di atas, adakah sah puasa orang yang bermusafir? kerana zahir ayat menunjukkan bahawa mereka yang bermusafir wajib berbuka dan tidak boleh berpuasa. 

Dalam masalah ini para fuqaha' berbeza pendapat, sesetengah berpendapat puasa si musafir tetap sah, manakala sesetengah berpendapat puasa si musafir adalah tidak sah bahkan dia wajib berbuka. Pendapat yang kuat ialah pendapat pertama, itu lah pendapat jumhur Salaf dari kalangan Sahabat dan Tabi'in. 

Sesetengah pula mensyaratkan musafir itu mestilah musafir yang memenatkan serta menyusahkan diri untuk berpuasa. Pendapat ini sangat lemah kerana firman Allah SWT diatas adalah umum untuk semua jenis musafir, tidak mengira samada musafir dengan merangkak, berjalan kaki, atau basikal, atau motosikal, atau kereta, atau bas, atau glider, atau belon udara, atau helikopter, atau kapal terbang, atau jet pesawat kelajuan tinggi, kesemuanya dibenarkan memilih untuk berbuka. 

Kaedah fqih menyebut sesuatu yang umum kekal umum hinggalah ada petunjuk yang mengalihkan keumuman itu kepada yang specifik. Jika seseorang berkata bahawa musafir itu mestilah begini dan begini kerana jika begitu dan begitu tiada masalahpun untuk berpuasa, maka dia perlu bertanya diri: "adakah aku lebih mengetahui perihal hamba berbanding Pencipta hamba sendiri??" sudah tentu tidak!. Insaf dan tawadhu' lah si hamda akan kemurahan rahmat dan ketinggian ilmu sang Pencipta. 

Bagi orang yang sakit pula, timbul persoalan adakah semua jenis sakit dibenarkan berbuka? sebagaimana musafir, firman Allah SWT diatas juga adalah umum untuk semua sakit, tidak dinyatakan secara specifik jenis sakit itu samada berat atau tidak, maka yang rajih (pendapat yang tepat) ialah seseorang yang sakit baik ringan atau berat dibenarkan memilih untuk berbuka puasanya. 

Cuma bagi mereka yang sakit terlalu berat hingga dengan sebab puasa itu pula akan lebih menerukkan kesihatan diri (diketahui dengan nasihat doktor perubatan moden yang diiktiraf dan bukannya bomoh! atau alternatif medicine!), maka dia wajib berbuka puasa. Ini kerana menjaga nyawa adalah lebih utama. Allahu'alam

#7 - Mengucapkan tahniah sempena masuknya Ramadhan: 

Sesetengah manusia berlumba-lumba mengucapkan tahniah sempena masuknya bulan Ramadhan terutamanya 3 hari pertama, dan mereka menyangka ia sebahagian daripada syariat. Namun, amalan ini tidak thabit dari hadith-hadith Nabi SAW, kesemua hadith yang menceritakan perihal mengucap tahniah masuknya Ramadhan adalah Dha'if serta cacat. Tidaklah disyariatkan bagi seorang muslim mengucapkan tahniah sempena masuknya Ramadhan, yang disyariatkan ialah berpuasa dalamnya

#8 - Penepatan niat puasa Ramadhan, bilakah ia?: 

Para fuqaha' berbeza pendapat dalam perihal penetapan waktu niat puasa Ramadhan, sesetengah mewajibkan niat dilakukan pada waktu malam sebelum terbit fajr subuh, sesetengah tidak mewajibkan sedemikian.

Pendapat yang rajih ialah niat tidak wajib dilakukan pada waktu malam, kerana hadith Hafsah berkenaan wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini Tidak Sahih kepada Nabi SAW. Ia dicacatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i, Al-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadith. 

Yang terpelihara dan rajih ialah niat boleh dilakukan pada siang hari dan adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu siang.

Bagi masalah mereka yang tidak tahu pada malamnya bahawa esok adalah Ramadhan maka dia boleh mula berniat pada siang hari setelah mengetahui ia Ramadhan, dan bagi sesiapa yang makan maka wajiblah berhenti (menahan daripada makan) dan berpuasa setelah mengetahui dan tidak perlu qadha’ sebagaimana dalam hadith ketika puasa ‘Asyura diwajibkan dalam Sahihayn.

Ini menguatkan qaul Imam Malik yang mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Imam Abu Hanifah yang membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari

Sesetengah Fuqaha’ berpendapat niat adalah wajib pada setiap malam berhujahkan hadith Hafsah ini, namun sebagaimana yang telah dijelaskan ia adalah tidak sahih kepada Nabi SAW. Fuqaha’ Salaf seperti ‘Atha’, Zufar, Al-Zuhri tidak mengharuskan niat untuk berpuasa, mereka seperti berpendapat bahawa puasa Ramadhan cukup dengan semata-mata menahan diri, bererti ia berpuasa.

#9 - Bilakah perlu mula berhenti dari segala perkara yang membatalkan puasa?: 

Wajib untuk meninggalkan segala perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, jima' sebaik saja terbit fajar masuknya waktu solat subuh hinggalah terbenamnya matahari masuknya waktu solat maghrib. 

Sesetengah fuqaha' berpendapat dibolehkan terus makan walaupun telah azan yang menandakan telah terbitnya fajar waktu subuh. Pendapat ini amat lemah kerana kesemua riwayat yang membolehkan hal tersebut tidak terlepas dari cacat, dan kesemuanya Dha'if. Namun sekiranya muazzin itu melakukan azan awal daripada waktunya sedangkan waktu subuh belum masuk, maka tiada kewajipan berhenti makan dengan azan yang sedemikian. 

Amalan tetap menjamah makanan ketika azan subuh adalah jelas bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk menyegerakan menahan diri apabila azan berkumandang. Sekiranya telah terbit fajar dan masuknya waktu subuh, dan terdapat makanan dalam mulut maka wajib meluahkannya termampu, jika tertelan tidak mengapa kerana tidak sengaja, jika sengaja telan maka batal puasanya. 

#10 - Waktu suhur, bilakah ia?: 

Telah datang hadith yang menyebut "لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الفطر وأخروا السحور - Umatku tidak henti-hentinya berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa dan mengakhirkan suhur", secara zahirnya menunjukkan bahawa sunnah dianjurkan mengakhirkan waktu suhur. 

Namun lafaz "وأخروا السحور - mengakhirkan suhur" ini tidak terpelihara dan ia adalah tambahan yang Munkar. Lafaz yang terpelihara hanyalah ayat pertama berbunyi "لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الفطر - Umatku tidak henti-hentinya berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa", inilah matan (lafaz hadith) yang mahfuz (terpelihara) sebagaimana yang dipilih al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) dalam kitab mereka al-Sahih. 

Sesetengah fuqaha' mensahihkan tambahan lafaz akhir hadith ini, dan secara tidak langsung telah menyebabkan kaum muslimin salah faham akan hadith ini. Mereka menyangka disebabkan lafaz zahir hadith ini menyebut "وأخروا السحور - mengakhirkan suhur" maka waktu suhur itu boleh dilakukan pada awal malam selepas isya', atau pertengahan malam, atau di akhir malam, ataupun di awal pagi mendekati waktu fajar subuh. Kesemua waktu itu adalah suhur bagi mereka, hanya saja lebih utama dan afdhal di lewatkan sekadar mampu. 

Pemahaman ini nyata salah, ia berpunca dari hadith yang Munkar. Yang benar ialah perkataan al-Suhur (السحور) itu sendiri berasal daripada perkataan Sahara (سَحَر) atau Ashar (أَسْحَار) yang membawa erti "awal subuh" atau "early dawn" dalam bahasa inggeris. Dari segi bahasa ia telah jelas menunjukkan bahawa waktu suhur itu adalah awal pagi sebelum subuh, bukannya awal malam atau pertengahan malam, atau akhir malam. 

Ini diperincikan lagi dalam hadith Sahih yang dikeluarkan al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersuhur bersama Nabi SAW, kemudian bangun pergi mendirikan solat Subuh. Anas bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara mula suhur dan solat Subuh)?” Zaid menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.”. 

50 atau 60 ayat al-Qur'an adalah kira-kira 20 minit atau 15 minit, maka hadith ini jelas menunjukkan bahawa waktu suhur itu adalah awal pagi mendekati waktu subuh, sesuai dengan maksud bahasa istilah al-Suhur itu sendiri. Secara mudahnya, tiada istilah melewatkan suhur, kerana suhur itu sendiri waktunya adalah lewat! Sekitar 15 hingga 20 minit sebelum fajar subuh itulah waktu suhur, sebelum dari waktu itu tidak dinamakan suhur tapi ia adalah supper! Allahu'alam

========== // ============ 

Bersambung insyaAllah...



==========UPDATE: 

Siri ini telah selesai saya tulis dan saya telah bukukan sambungannya hingga akhir dalam satu buku yang khas bertajuk: "Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi SAW", boleh mendownload secara percuma di BAWAH 

http://ansarul-hadis.blogspot.com/2012/08/ringkasan-sifat-puasa-qiam-iktikaf-raya.html

Moga bermanfaat

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 2:54 AM. Filed under .

5 comments for "Ringkasan Fiqh Puasa [siri #1 - #10]"

  1. syukran ustaz atas pencerahan.harap dpt ikuti sambungan seterusnya..

  2. Terima kasih saudara fathi.sy kesian pd diri sendiri krn selama ini berpegang pd ilmu yg x sahih

  3. Assalammualaikum ya akhi, saya azizul. saya tidak tahu bagaimana saya utarakan soalan di blogspot kita. dan email pun tidak saya tahu. saya ingin bertanyakan darjat hadis ini:

    Rasulullah saw bersabda: Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan". HR Tirmizi.

    Adakah hadith ini shahih?
    Boleh saudara jawapnya melalui email saya di ibn.abdullah.2006@gmail.com.

    Jazakka'allah hu kairan kashirah.

  4. Hadith yang berbunyi: "Afdhal al-Sadaqah Sadaqah Fi Ramadhan / sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan". Hadith ini adalah Dha'if, penyakitnya adalah perawi bernama Sadaqah bin Musa dan hadith ini madarnya berlegar sekitar beliau.

    Hadith ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitabnya Jami' al-Mukhtasar (masyhur dengan nama Sunan) [4/52] dan ia di'Dha'if'kan oleh Imam al-Tirmizi sendri, kata al-Tirmizi selepas menyebut hadith ini: "Hadith ini Gharib, dan Sadaqah bin Musa tidaklah kuat disisi mereka (iaitu nuqqad hadith)". Seperti yang telah biasa saya jelaskan dahulu, istilah Gharib disisi al-Tirmizi bermaksud Dha'if.

    Hadith ini juga di'Dha'if'kan oleh jamaah huffaz Salaf lain semisal al-Nasaie, Yahya ibn Ma'in, Abu Hatim, Abu Daud dan lain-lain kerana Sadaqah bin Musa. Allahua'lam

  5. Siri ini telah selesai saya tulis dan saya telah bukukan sambungannya hingga akhir dalam satu buku yang khas bertajuk: "Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi SAW", boleh mendownload secara percuma disini:

    http://ansarul-hadis.blogspot.com/2012/08/ringkasan-sifat-puasa-qiam-iktikaf-raya.html

    Moga bermanfaat.

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign