Penjelasan Status Hadith Muntahnya Puasawan

| |






[Takhrij & Tahqiq] Penjelasan Status Hadith Muntahnya Puasawan

Oleh: Muhammad Fathi bin Ali Al-Malizy Al-Sakandariy



Matan Hadith:

مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَمَنْ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ

Barangsiapa muntah tanpa disengaja tiada qadha baginya, dan barangsiapa sengaja muntah maka hendaklah qadha

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 10463), Al-Darimi (no. 1729), Abu Daud (no. 23800), Al-Tirmizi (no. 720), Ibn Majah (no. 1676) dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza. Kesemuanya dari Hisyaam bin Hassaan dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah secara marfu’[1].

Status:

Tak sahih, di-I’lal-kan (dicacatkan) oleh jamaah huffaz Salaf semisal Al-Bukhari, Ahmad, Al-Tirmizi, Abu Daud, Al-Darimi, Al-Baihaqi, Al-Nasaie, Ishaq bin Rahawayh dan lain-lain.

1-Imam Al-Bukhari:

Kata Imam Al-Bukhari tentang hadith ini:

لَا أُرَاهُ مَحْفُوظًا ، وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ وَلَا يَصِحُّ إسْنَادُهُ


“tidaklah ia terpelihara (iaitu tidak sahih), sesungguhnya ia ada diriwayatkan dari jalur lain yang sanadnya juga tidak sahih”[2]

Katanya lagi: 

لم يصح - tidak sahih”[3]

Kata Al-Bukhari lagi:

ما أراه محفوظا . وقد روى يحيى بن أبي كثير عن عمر بن الحكم : أن أبا هريرة كان لا يرى القيء يفطر الصائم

“tidaklah ia terpelihara (iaitu tidak sahih), sesungguhnya telah meriwayatkan Yahya bin Abi Kathir dari Umar bin Al-Hakam, sesungguhnya Abu Hurairah tidak berpegang bahawa muntah membatalkan puasa”[4]

Katanya lagi:

حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُمَرَ بْنِ الْحَكَمِ بْنِ ثَوْبَانَ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِذَا قَاءَ فَلَا يُفْطِرُ إِنَّمَا يُخْرِجُ وَلَا يُولِجُ وَيُذْكَرُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ يُفْطِرُ وَالْأَوَّلُ أَصَحُّ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَعِكْرِمَةُ الصَّوْمُ مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ

“telah menceritakan kami Yahya dari Umar bin Al-Hakam bin Thauban, bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata: {tidaklah batal puasa apabila muntah, kerana mengeluarkan bukan memasukkan, dan disebut bahawa dari Abu Hurairah dia berkata {seseungguhnya ia batal puasa}, riwayat yang awal yang menyatakan tidak batal adalah lebih benar dan tepat. Dan berkata Ibn Abbas dan Ikrimah bahawa (yang membatalkan) puasa adalah daripada hal-hal yang masuk bukan hal-hal yang keluar }”[5]

Daripada semua kata-kata Imam Al-Bukhari diatas, dapat difahami bahawa beliau mengingkari hadith Abu Hurairah yang menyatakan bahawa muntah membatalkan puasa, Al-Bukhari memandang ia dhaif, tidak terpelihara. Bahkan Al-Bukhari membawakan athar sahih dari Abu Hurairah sendiri yang menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan puasa, juga Al-Bukhari membawakan athar sahih dari Ibn Abbas dan Ikrimah yang menyatakan muntah tidak membatalkan puasa.

2-Imam Al-Tirmizi:

Kata beliau:

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ هِشَامٍ عَنْ ابْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ عِيسَى بْنِ يُونُسَ و قَالَ مُحَمَّدٌ لَا أُرَاهُ مَحْفُوظًا قَالَ أَبُو عِيسَى وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا يَصِحُّ إِسْنَادُهُ

“hadith Abi Hurairah adalah hadith Hasan Gharib[6], tidak diketahui dari hadith Hisyam dari Ibn Sirin dari Abi Hurairah dari Nabi kecuali hadith `Isa bin Yunus dan kata Muhammad (iaitu Al-Bukhari) {tidaklah ia terpelihara}, dan kata Abu Isa (iaitu Al-Tirmizi) sesungguhnya hadith ini ada diriwayatkan dari jalur lain dari Abu hurairah dari Nabi dan sanad tidak sahih juga”[7]

Imam Al-Tirmizi mendhaifkan hadith ini dengan katanya “Hasan Gharib”, kemudian beliau membawakan kalam gurunya Imam Al-Bukhari yang turut mendhaifkan hadith ini, seterusnya Al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini ada diriwayatkan dengan jalur lain tetapi ianya juga tidak sahih.

3-Imam Abu Daud:

نخاف ألا يكون محفوظا...سمعت أحمد يقول ليس من ذا شىء... رواه أيضا حفص بن غياث عن هشام مثله

“aku takuti dan syak ianya tidak terpelihara…aku mendengar Ahmad berkata tentang hadith ini {tiada apa-apa padanya}…hadith ini diriwayatkan juga dari jalur Hasf bin Ghiyath dari Hisyam sepertinya”[8]

Imam Abu Daud mendhaifkan hadith ini dengan menyatakan ianya tidak terpelihara,dan beliau membawakan kalam gurunya Imam Ahmad. Imam Abu Daud mengetahui bahawa hadith ini mempunyai jalur lain dari Hasf bin Ghiyath, akan tetapi beliau tetap mendhaifkan hadith ini menunjukkan jalur Hasf bin Ghiyath itu tiada nilainya disisi para huffaz.

4-Imam Ahmad:

Imam Abu Daud bertanya tentang hadith ini kepada Imam Ahmad, jawab Imam Ahmad:

ليس من هذا شيء

“tiada apa-apa”[9]

Kata Imam Al-Son’ani:

وَأَنْكَرَهُ أَحْمَدُ وَقَالَ : لَيْسَ مِنْ ذَا بِشَيْءٍ ، قَالَ الْخَطَّابِيُّ : يُرِيدُ أَنَّهُ غَيْرُ مَحْفُوظٍ

“dan mengingkari Ahmad akan hadith ini, katanya {tiada apa-apa}, kata Al-Khattabi {yang diinginkan oleh Ahmad dengan 
kata-katanya itu ialah hadith itu tidak terpelihara}”[10].

Kata Imam Al-Baihaqi:

قال أحمد : تفرد به هشام بن حسان

“kata Ahmad: {menyendirinya akan hadith ini Hisyaam bin Hassaan}”[11]


Difahami daripada kata-kata Imam Ahmad bahawa beliau meng-I’lal-kan hadith ini kerana tafarrudnya (menyendirinya) Hisyaam bin Hassaan. Imam Ahmad mengingkari hadith ini, katanya “tiada apa-apa” iaitu tidak terpelihara, dengan kata lain sesungguhnya hadith ini tidak sahih.[12]

5-Imam Al-Baihaqi:

Kata beliau:

تفرد به هشام بن حسان...وبعض الحفاظ لا يراه محفوظا قال أبو داود سمعت احمد بن حنبل يقول ليس من ذا شئ قلت وقد روى من وجه آخر ضعيف عن ابي هريرة مرفوعا وروى عن ابي هريرة انه قال في القئ لا يفطر

“tafarrudnya (menyendirinya) Hisyaam bin Hasaan pada hadith ini…dan beberapa huffaz tidak memandangnya sebagai terpelihara, berkata Abu Daud: {aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata tentang hadith ini: “tiada apa-apa”}, aku katakan: sesungguhnya ia (iaitu hadith yang mentakan batal puasa apabila muntah ini) ada diriwayatkan dari jalur lain yang juga dhaif dari Abu Hurairah secara marfu’, dan diriwayatkan dari Abu Hurairah sesungguhnya beliau berkata: {muntah tak membatalkan puasa}”[13]

Difahami daripada kata-kata Imam Al-Baihaqi ini, bahawa beliau mendhaifkan hadith ini dengan tafarrudnya (menyendirinya) Hisyaam, dan menyatakan bahawa para huffaz memandangnya tidak terpelihara, Al-Baihaqi kemudian membawakan kalam Abu Daud dan Ahmad yang mendhaifkan hadith ini. Kemudian beliau menyatakan bahawa terdapat jalur lain dalam hal ini akan tetapi ianya dhaif juga. Bahkan terdapat athar dari Abu Hurairah sendiri yang menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan puasa.

6-Imam Al-Darimi:

Kata beliau:

قَالَ عِيسَى : زَعَمَ أَهْلُ الْبَصْرَةِ أَنَّ هِشَاماً أَوْهَمَ فِيهِ ، فَمَوْضِعُ الْخِلاَفِ هَا هُنَا

“berkata `Isa (bin Yunus): telah mendakwa Ahli Basrah bahawa sesungguhnya Hisyaam (bin Hassaan) telah silap pada hadith ini, dan disini lah padanya tempat perselisihan”[14]

Daripada kata-kata Imam Al-Darimi ini, dapat difahami bahawa beliau mendhaifkan hadith ini kerana Hisyaam, iaitu Hisyaam telah tersilap pada hadith ini sebagaimana yang dinyatakan Ahli Basrah. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa para huffaz meng-I’lal-kan hadith ini kerana tafarrudnya Hisyaam, dan disini Al-Darimi menjelaskan bahawa Hisyaam telah tersilap dalam meriwayatkan hadith ini.

7- Imam Ishaq bin Rahawayh:

Kata Imam Al-Zailaie:

وَرَوَاهُ أَحْمَدُ ، وَإِسْحَاقُ بْنُ رَاهْوَيْهِ فِي " مُسْنَدَيْهِمَا " ، وَزَادَ إِسْحَاقُ : قَالَ عِيسَى بْنُ يُونُسَ : زَعَمَ أَهْلُ الْبَصْرَةِ أَنَّ هِشَامًا وَهِمَ فِي هَذَا الْحَدِيثِ

“meriwayatkan hadith ini oleh Ahmad dan Ishaq bin Rahawayh dalam “Musnad mereka berdua masing-masing”, dan dalam Musnad Ishaq bin Rahawayh beliau menambah (iaitu Ishaq menyatakan dalam Musnadnya) {berkata `Isa bin Yunus: telah mendakwa Ahli Basrah bahawa sesungguhnya Hisyaam telah silap pada hadith ini}”[15]

Daripada kata-kata Imam Ishaq bin Rahawayh ini, dapat difahami bahawa beliau mendhaifkan hadith ini kerana Hisyaam, iaitu Hisyaam telah tersilap pada hadith ini sebagaimana yang dinyatakan Ahli Basrah. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa para huffaz meng-I’lal-kan hadith ini kerana tafarrudnya Hisyaam, dan disini Al-Darimi menjelaskan bahawa Hisyaam telah tersilap dalam meriwayatkan hadith ini.

8- Imam Al-Nasaie:

Beliau membawakan hadith marfu’ dari Abu Hurairah yang menyatakan bahawa muntah membatalkan puasa, kemudian meng-I’lal-kannya (mencacatkannya) dengan waqaf (mauquf) kepada Abu Hurairah.

Kata Al-Nasaie: “وقفه عطاء- me-waqaf-kannya `Athaa”[16]

Kemudian beliau membawakan riwayat yang mauquf kepada Abu Hurairah iaitu dari Abdullah bin Al-Awzaie dari `Athaa bin Abi Rabah dari Abu Hurairah.[17]

Bentuk sebegini adalah isyarat pendhaifan Al-Nasaie terhadap hadith ini, kerana sebagaimana yang telah disebut oleh para huffaz yang lain semisal Al-Bukhari, Al-Tirmizi dan lain-lain riwayat yang sahih dan terpelihara dari Abu Hurairah ialah beliau menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan puasa.

Daripada semua kata-kata para huffaz semisal Al-Bukhari, Ahmad, Al-Tirmizi, Al-Baihaqi, Al-Darimi, Ishaq bin Rahawayh, Abu Daud, Al-Nasaie yang telah disebut diatas, maka jelaslah bahawa mereka mengingkari hadith ini, mereka menganggapnya tidak terpelihara, tidak sahih. Puncanya ialah Hisyaam bin Hassaan yang telah tersilap dalam hadith ini.


Bantahan kepada mereka yang mensahihkan hadith ini kerana mutaba’ah Hasf bin Ghiyath:

Sesetengah Ahli Hadith Al-Mutaakhirin mensahihkan hadith ini dengan alasan hadith ini ada diriwayatkan dari jalur selain `Isa bin Yunus dari Hisyaam, iaitu jalur Hasf bin Ghiyath dari Hisyam (mutaba’ah Hasf bin Ghiyath).

Kita katakan bahawa pendapat ini adalah sangat lemah kerana para huffaz Salaf telah jazam akan dhaif nya hadith ini, puncanya adalah Hisyaam bin Hassaan yang telah silap dalam hadith ini, Hisyaam bin Hassaan adalah seorang yang thiqah tetapi beliau telah tersilap dalam hadith ini dan para huffaz dapat mengesannya. Para huffaz Salaf dapat mengesan kecacatan yang tersembunyi pada sesuatu hadith, walaupun zahir sanadnya kelihatan tiada masalah.

Tambahan pula para huffaz Salaf telah sedia maklum akan wujudnya mutaba’ah Hasf bin Ghiyath ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para huffaz semisal Al-Bukhari, Al-Tirmizi dan lain-lain bahawa “hadith ini ada diriwayatkan dari jalur lain yang juga dhaif”. Juga Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadith ini dalam Al-Kubra dari jalur Hasf bin Ghiyath dan kemudian Al-Baihaqi sendiri mendhaifkan hadith ini, bagitu juga Imam Abu Daud ketika mana beliau bertanya kepada Imam Ahmad beliau telah mengisyaratkan jalur Hasf bin Ghiyath ini namun Abu Daud tetap mendhaifkan hadith ini. Kesemua ini menunjukkan bahawa para huffaz Salaf yang telah manghafaz beratus-ratus ribu hadith dalam dada mereka, mereka mengetahui akan mutaba’ah Hasf bin Ghiyath ini akan tetapi bagi mereka mutaba’ah ini tiada nilai.

Mutaba’ah Hasf bin Ghiyath ini tiada nilai dan tidak dapat menampung jalur `Isa bin Yunus, kerana hadith ini mempunyai kecacatan yang banyak I’llah antaranya[18]:

1- Fatwa dari Abu Hurairah sendiri yang merupakan perawi hadith ini menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan puasa. Fatwa ini bertentangan dengan hadith yang dinisbahkan kepada Abu Hurairah bahawa muntah membatalkan puasa, ini menunjukkan bahawa hadith itu tidak sahih.

Imam Al-Bukhari menyatakan bahawa yang benar adalah fatwa Abu Hurairah yang menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan puasa. Terdapat banyak contoh para Imam Salaf meng-I’lal-kan sesuatu hadith apabila ia bertentangan dari fatwa sahabat itu sendiri.

2- Fatwa daripada beberapa sahabat lain semisal Ibn Abbas, Ikrimah, Ibn Mas’ud dan lain-lain para Aimmah bahawa muntah tidak membatatalkan puasa.

3- Hadith ini cacat adalah kerana waham dan silap nya Hisyaam bin Hassaan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ahli Basrah, disamping itu ditambah pula beliau tafarrud (menyendiri) pada hadith ini. Para Huffaz meng-I’lal-kan hadith ini kerana waham nya Hisyaam dan tafarrudnya Hisyaam bukannya kerana tafarrud `Isa bin Yunus.

4- Para huffaz Salaf sedia maklum akan mutaba’ah Hasf bin Ghiyath akan tetapi mereka tidak memandangnya mempunyai nilai dan tetap mendhaifkan hadith ini.

Antara yang mensahihkan hadith ini dengan alasan mutaba’ah Hasf bin Ghiyath ialah syaikh Al-Albani. Bahkan kata Al-Albani[19]:

قلت : وإنما قال البخاري وغيره بانه غير محفوظ لظنهم أنه تفرد به عيسى ابن يونس عن هشام...

“aku katakan: adapun kata Al-Bukhari dan lain-lain bahawa sesungguhnya hadith ini tidak terpelihara adalah kerana sangkaan mereka bahawa hadith ini tafarrudnya (menyendirinya) `Isa bin Yunus dari Hisyaam…”

Dakwaan syaikh Al-Albani ini telah dijawab oleh syaikh Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, kata beliau:


قلت : و هذا بعيد جدا لأنه يستبعد عن الأئمة الحفاظ السابقين الذين حفظوا مئات الآلاف من الأسانيد أنهم لم يطلعوا على هذه المتابعة ، فأصدروا هذا الحكم . بل ان العلة عندهم وهم هشام لا تفرد عيسى بن يونس كما صرح به البخاري في تأريخه فانه قال :((ان حديث هشام عنده وهم لا يلتفت اليه)). و قد تقدم قول عيسى بن يونس في توهيم هشام و نقله عن أهل البصرة ذلك و اقرار الدارمي ذلك ،و مما يدل على أن المتابعة التي ذكرها الشيخ الألباني معروفة لديهم أن أبا داود الذي سأل أحمد بن حنبل عن حديث هشام قد أشار الى متابعة حفص لعيسى ، اذ قال :((و رواه أيضا حفص بن غياث عن هشام مثله))


“aku katakan: kata-kata (Al-Albani) ini adalah sangat jauh (menyimpang) kerana ia memperkecilkan para Al-Aimmah Al-Huffaz Al-Saabiqiin (Al-Mutaqaddimin) yang telah menghafaz beratus-ratus ribu sanad, tetapi mereka tidak menyedari mutaba`ah ini, kemudian mereka mengeluarkan hukum (dhaif atas hadith) ini. Bahkan, sesungguhnya I’llah (kecacatan) hadith ini di sisi mereka ialah waham (keraguan dan kesilapan) Hisyaam, bukan tafarrud (menyendirinya) `Isa bin Yunus (seperti yang didakwa Al-Albani), hal ini telah dijelaskan oleh Al-Bukhari dalam Tarikhnya, kata Al-Bukhari: {Sesungguhnya hadith Hisyam di sisinya adalah waham (ragu-ragu dan silap), tidak mempedulikannya}.Dan telah disebut sebelum ini kenyataan `Isa bin Yunus bahawa Hisyaam telah waham (silap) pada hadith ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahli Basrah padanya, begitu juga dengan pengakuan Al-Darimi padanya bahawa Hisyaam telah silap, ini semua menunjukkan bahawa mutaba’ah yang disebut oleh syaikh Al-Albani telah sedia diketahui oleh mereka (Huffaz Al-Mutaqaddimun), dan juga sesungguhnya Abu Daud yang telah bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang hadith Hisyaam ini beliau telah mengisyarat akan mutaba’ah Hasf kepada `Isa dengan katanya {hadith ini diriwayatkan juga dari jalur Hasf bin Ghiyath dari Hisyam sepertinya}”[20] 

Bantahan kepada mereka yang mendakwa ijma’ dalam masalah ini:

Sesetengah Ahi Ilmu menyatakan bahawa masalah batalnya puasa disebabkan muntah dengan sengaja adalah merupakan ijma’.

Antara yang mendakwa masalah ini sebagai ijma’ ialah Imam Ibn Munzir, kata beliau:

وأجمعوا على إبطال صوم من استقاء عامدا

“telah ber-ijma’ akan mereka atas batalnya puasa bagi mereka yang muntah dengan sengaja”[21]

Dakwaan Imam Ibn Munzir ini fihi nazor (padanya keraguan) bahkan tidak benar, kerana telah datang riwayat yang sahih dari para sahabat semisal Ibn `Abbas, Ibn Mas’ud, Ikrimah, Abu Hurairah dan lain-lain bahawa muntah tidak membatalkan puasa. Maka bagaimana boleh dikatakan ijma’?

Dakwaan oleh Imam Ibn Munzir ini telah dibantah oleh Imam Al-Syaukani, Imam Al-Son’ani dan lain-lain.

Kata Imam Al-Son’ani:

ونقل ابن المنذر الإجماع على أن تعمد القيء يفطر . قلت : ولكنه روي عن ابن عباس ومالك وربيعة والهادي أن القيء لا يفطر مطلقاً ...

“telah menaqalkan Ibn Munzir bahawa muntah dengan sengaja membatalkan puasa adalah ijma’. Aku katakan: akan tetapi telah diriwayatkan dari Ibn`Abbas, Malik, Rabi’ah, dan Al-Haadi sesungguhnya muntah dengan sengaja tidak membatalkan puasa secara mutlak…”[22]

Kata Imam Al-Syaukani pula:

وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّ تَعَمُّدَ الْقَيْءِ يُفْسِدُ الصِّيَامَ .
وَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ وَعِكْرِمَةُ وَرَبِيعَةُ وَالْهَادِي وَالْقَاسِمُ : إنَّهُ لَا يُفْسِدُ الصَّوْمَ ...



“telah menyatakan oleh Ibn Munzir bahawa muntah dengan sengaja merosakkan (iaitu membatalkan) puasa adalah ijma’, dan berkata Ibn Mas’ud, Ikrimah, Rabi’ah, Al-Haadi, dan Al-Qaasim: sesungguhnya ianya tidaklah merosakkan (iaitu ianya tidaklah membatalkan) puasa…”[23] 

Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam Al-Bukhari, kata beliau:

عُمَرَ بْنِ الْحَكَمِ بْنِ ثَوْبَانَ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِذَا قَاءَ فَلَا يُفْطِرُ إِنَّمَا يُخْرِجُ وَلَا يُولِجُ وَيُذْكَرُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ يُفْطِرُ وَالْأَوَّلُ أَصَحُّ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَعِكْرِمَةُ الصَّوْمُ مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ

“Umar bin Al-Hakam bin Thauban, bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata: {tidaklah batal puasa apabila muntah, kerana mengeluarkan bukan memasukkan, dan disebut bahawa dari Abu Hurairah dia berkata {seseungguhnya ia batal puasa}, riwayat yang awal yang menyatakan tidak batal adalah lebih benar dan tepat. Dan berkata Ibn Abbas dan Ikrimah bahawa (yang membatalkan) puasa adalah daripada hal-hal yang masuk bukan hal-hal yang keluar}”[24] 

Perhatikan bahawa Imam Al-Bukhari menggunakan Sighah Jazam[25] untuk athar diatas dan bukannya Sighah Tamridh[26], maka ini menunjukkan bahawa athar daripada Abu Hurairah, Ibn`Abbas, Ikrimah diatas adalah sahih disisi beliau. Bahkan kenyataan Imam Al-Bukhari diatas menunjukkan bahawa mazhab beliau ialah muntah tidak membatalkan puasa.

Kata Syaikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi:

ونقل ابن بطال عن ابن عباس و ابن مسعود عدم الإفطار بالقيء مطلقا ذرعه او تعتمده, وعلق البخاري عن ابن عباس وعكرمة قالا: الصوم مما دخل, وليس مما خرج, وإيراد البخاري لهذه الاثار يدل على أن مذهبه عدم الفطر بالقيء مطلقاً 

“Ibn Batthal telah menaqalkan dari Ibn `Abbas dan Ibn Mas’ud bahawa mereka menyatakan bahawa muntah adalah tidak membatalkan puasa, tidak mengira samada sengaja atau tidak. Dan Al-Bukhari telah meriwayatkan secara mu’allaq[27] dari Ibn `Abbas dan Ikrimah, bahawa mereka berkata: (yang membatalkan) puasa ialah dari hal-hal yang masuk, bukan hal-hal yang keluar, apa yang diinginkan oleh Al-Bukhari dengan athar ini menunjukkan bahawa sesungguhnya mazhab (iaitu pegangan) Al-Bukhari ialah muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak (tidak mengira samada sengaja atau tidak)”[28] 

Kata Syaikh Sulaiman ibn Nasir Al-Ulwaan pula:

حكى بن المنذر الإجماع على بطلان الصوم بتعمد القيء وهذا فيه نظر ، وقد ذهب أبو هريرة وبن عباس ومالك في رواية إلى أن القيء لا يفطر لأنه لم يثبت حديث في الباب يعتمد عليه فبقي الأمر على الأصل وأن الفطر مما دخل لا مما خرج

“telah menyatakan Ibn Munzir bahawa muntah dengan sengaja membatalkan puasa adalah ijma’, dan ini fihi nazor (padanya keraguan dan tidak benar), dan sesungguhnya telah bermazhab akan Abu Hurairah dan Ibn `Abbas dan Malik pada riwayatnya bahawa (mereka semua) berpegang muntah tidak membatalkan puasa, kerana tidak thabit (walau satu) hadith dalam bab ini yang dapat dipegang sebagai hujah, maka hal ini kembali kepada asal iaitu perkara yang membatalkan puasa adalah daripada hal-hal yang masuk dan bukan daripada hal-hal yang keluar”[29]

Maka dengan ini, dapatlah kita menyimpulkan bahawa yang benar ialah tiadanya ijma’ dalam masalah muntah membatalkan puasa. Telah thabit daripada kalangan Sahabat sendiri seperti Ibn`Abbas, Ibn Mas’ud, Ikrimah dna lain-lain bahawa muntah tidak membatalkan puasa samada sengaja ataupun tidak, malah pendapat ini juga dipegang oleh Imam Al-Bukhari, Imam Malik dan lain-lain.

Riwayat yang paling benar dalam masalah muntah membatalkan puasa:

Dalam masalah muntah membatalkan puasa ini, yang paling benarnya ia adalah kata-kata dan pendapat Ibn Umar sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ahmad.

Kata Imam Abu Daud:

سمعت أحمد سئل ما أصح ما فيه? -يعني فيمن ذرعه القيء صائم- قال نافع عن ابن عمر

“aku mendengar Ahmad ditanya berkenaan apa yang paling benar padanya? – iaitu dalam bab muntah (membatalkan) puasa - , maka jawab Ahmad: Nafi’ dari Ibn Umar”[30]

Riwayat yang dimaksudkan oleh Imam Ahmad ialah sebagaimana yang telah dikeluarkan oleh Imam Malik:

وحدثني عن مالك عن نافع عن عبد الله بن عمر :أنه كان يقول من استقاء وهو صائم فعليه القضاء ومن ذرعه القيء فليس عليه القضاء

“telah menceritakan kepadaku[31] dari Malik dari Nafi’ dari `Abdullah ibn Umar: sesungguhnya dia berkata {barangsiapa sengaja muntah dengan sengaja maka hendaklah qadha, dan barangsiapa muntah tanpa disengaja tiada qadha baginya}”[32]

Riwayat diatas adalah sahih sebagai kata-kata Ibn Umar, iaitu ia Mauquf kepada Ibn Umar sebagai kata-katanya.[33]

Maka dapat kita simpulkan disini bahawa, dalam masalah ini tiada satupun riwayat yang thabit daripada Nabi bahawa muntah dengan sengaja membatalkan puasa. Yang ada ialah pendapat Ibn Umar. Maka dalam masalah ini terdapat khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Sahabat sendiri, iaitu Ibn Umar berpendapat muntah dengan sengaja membatalkan puasa, manakala Ibn `Abbas, Ibn Mas’ud, Ikrimah, Abu Hurairah dan lain-lain berpendapat muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak, tidak mengira samada sengaja atau tidak. Bahkan Imam Malik yang meriwayatkan athar Ibn Umar tersebut juga berpendapat muntah tidak membatalkan puasa.[34]


Fiqh Al-Hadith, pendapat yang terpilih dalam masalah ini:

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, dalam masalah ini tiada satupun riwayat yang thabit daripada Nabi bahawa muntah dengan sengaja membatalkan puasa. Yang ada ialah pendapat Ibn Umar.

Maka dalam masalah ini terdapat khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Sahabat sendiri, iaitu Ibn Umar berpendapat muntah dengan sengaja membatalkan puasa, manakala Ibn `Abbas, Ibn Mas’ud, Ikrimah, Abu Hurairah dan lain-lain berpendapat muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak, tidak mengira samada sengaja atau tidak. Bahkan Imam Malik yang meriwayatkan athar Ibn Umar tersebut juga berpendapat muntah tidak membatalkan puasa.[35]

Saya lebih cenderung kepada pendapat yang dipegang oleh jamaah para sahabat seperti Ibn `Abbas, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, Ikrimah, yang juga merupakan pendapat Imam Al-Bukhari, Imam Malik dan lain-lain bahawa muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak, tidak mengira samada dengan sengaja ataupun tidak.

Syaikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Al-Siyam juga turut menguatkan pendapat bahawa muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak, tidak mengira samada sengaja atau tidak, bahkan kata beliau:

والحقيقة أن التفطير بالقيء لا يتفق مع مقاصد الصيام

“secara hakikatnya, sesungguhnya pendapat bahawa muntah membatalkan puasa adalah tidak bertepatan dengan maqasid (maksud dan tujuan) puasa (itu sendiri)”[36]

Saya katakan, inilah pendapat yang lebih dekat kepada kebenaran –insyaAllah- kerana dalam masalah ini tiada riwayat yang thabit dari Nabi yang boleh dijadikan pegangan, maka ia kembali kepada asal iaitu yang membatalkan puasa adalah daripada hal-hal yang masuk, bukan daripada hal-hal yang keluar, dan muntah adalah daripada hal-hal yang keluar bukan daripada hal-hal yang masuk.

Ia juga merupakan pendapat yang lebih ringan dan mudah antara dua pendapat, bersesuaian dengan hadith yang thabit dari Nabi SAW dibawah:

عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : ما خير رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أمرين قط إلا أخذ أيسرهما ما لم يكن إثما فإن كان إثما كان أبعد الناس منه وما انتقم رسول الله صلى الله عليه وسلم لنفسه في شيء قط إلا أن تنتهك حرمة الله فينتقم بها لله

“dari Aishah radliallahu 'anha bahwa dia berkata: {Tidaklah apabila Rasulullah SAW diberi pilih antara dua pilihan melainkan beliau akan memilih perkara yang lebih mudah (ringan) antara keduanya, selama hal itu tidak mengandung dosa. Jika hal itu mengandung dosa, maka beliau adalah orang yang paling menjauhkan diri daripadanya. Dan tidaklah Rasulullah SAW marah terhadap sesuatu perkara, melainkan apabila beliau melihat larangan Allah SWT dilanggar, maka beliau akan marah kerana Allah SWT”[37]




----------- Nota Kaki: 

[1] Al-Marfu’: ialah sanad hadith itu terhenti kepada Nabi, samada dari segi perkataan Nabi, atau perbuatan Nabi, atau taqrir (persetujuan/ketetapan) Nabi, atau sifat Nabi atau sirah Nabi. Dengan kata lain hadith Marfu’ ialah hadith yang dinisbahkan kepada Nabi, ia boleh jadi Sahih, Dhaif, Maudhu’ dan sebagainya. (rujuk: Syarah Al-Mugizoh, Dr. Hatim Syarif Al-Awni, m/s 101, 103, Syarhu Lughotul Muhaddith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 76)

[2] Dinukilkan oleh Al-Syaukani dalam Nail Al-Authar, 4/280
[3] Al-Tarikh Al-Kabir, 1/91
[4] I’lal Al-Tirmizi Al-Kabir, hadith no. 126
[5] Dalam Sahihnya, pada muqaddimah bab “berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa”, 2/68
[6] Hasan Gharib disini adalah bermaksud Dhaif bagi imam Al-Tirmizi, rujuk nota kaki no. 85, rujuk juga artikel saya yang bertajuk “Pengenalan kepada Sunan Al-Tirmizi dan Manhajnya” 
[7] Komentar Al-Tirmizi dalam Sunannya, selepas hadith. no. 720
[8] Komentar beliau dalam Sunan, selepas hadith no. 2380
[9] Dalam Masaail Al-Imam Ahmad ‘an Abi Daud, m/s 292
[10] Subul Al-Salaam, 1/84
[11] Ma’rifat Al-Sunan wa Al-Aaathar, hadith no. 2609
[12] Kata syaikh Al-Muhaddith Sulaiman bin Nasiir Al-Ulwaan, maksud kata-kata Imam Ahmad dengan “ليس من ذا شيء - tiada apa-apa” ialah “أن الحديث غير صحيح –sesungguhnya hadith ini tidak sahih”, rujuk Syarah Al-Siyam min Sunan Al-Tirmizi, Sulaiman Al-Ulwaan, 1/271
[13] Sunan Al-Kubra, hadith no. 8028, dari Jalan Hasf bin Ghiyath dari Hisyaam
[14] Sunan Al-Darimi, hadith no. 1729
[15] Nasb Al-Raayah, 2/327
[16] Sunan Al-Kubra, selepas hadith no. 3130
[17] Sunan Al-Kubra, hadith no. 3131
[18] Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Syaikh Sulaiman bin Nasiir Al-Ulwaan dalam Syarah Al-Siyam min Sunan AL-Tirmizi, 1/271 , dan Syaikh Mahir Yasin dalam Athar I’lal Al-Hadith, m/s 327-328
[19] Dalam Irwa’ Al-Ghalil, 4/52
[20] Athar I’lal Al-Hadith fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, ms 328
[21] Dalam kitabnya Al-Ijma’, no.l 126
[22] Subul Al-Salaam, 1/84
[23] Nail Al-Authar, 4/280
[24] Dalam Sahihnya, pada muqaddimah bab “berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa”, 2/68
[25] Sighah Jazam : iaitu lafaz yang menunjukkan kepastian
[26] Sighah Tamridh: iaitu lafaz yang menunjukkan ketidakpastian, isyarat lemahnya riwayat

[27] Al-Mu’allaq: iaitu hadith yang putus (dihilangkan rawi ) pada awal sanadnya, samada seorang rawi atau lebih. Hadith Mua’llaq hukumnya adalah dhaif, ia termasuk daripada jenis Al-Munqathi’ (putus) kerana telah hilangnya syarat asas hadith sahih iaitu: bersambungnya sanad. Kecuali hadith-hadith Mu’allaq dalam Kitab Al-Sahihain (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim) mempunyai perbincangan yang khusus disisi Ahli Hadith. (rujuk: Mu’jam Ishthilahat Al-Hadith, Abdul Mannan Al-Rasikh, m/s 193, Taqrib Ilm Al-Hadith, Thariq ‘Iwadullah, m/s 144)

Hadith-hadith Mua’llaq dalam Kitab Al-Sahihain:

Hadith-hadith Mu’allaq dalam Kitab Al-Sahihain (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim) mempunyai perbincangan yang khusus disisi Ahli Hadith, iaitu secara umumnya ia terbahagi kepada dua:

1- Hadith-hadith Mua’llaq yang disebut dengan Sighah Jazam seperti: “qala – قال“, “zakara - ذكر“, “haka – حكى“ dan lain-lain, maka hukumnya adalah Sahih. (rujuk: Mu’jam Ishthilahat Al-Hadith, Abdul Mannan Al-Rasikh, m/s 193)

2- Hadith-hadith Mua’llaq yang disebut dengan Sighah Tamridh seperti: “qiila – قيل“ , yuzkaru – يذكر“ , “yuhka – يحكى“, “yurwa – يروى“ dan lain-lain, maka ianya Dhaif, iaitu tidak dihukumi dengan Sahih (rujuk: Mu’jam Ishthilahat Al-Hadith, Abdul Mannan Al-Rasikh, m/s 193)


[28] Taisir Al-Fiqh fi Dhaw’ Al-Qur’an wa Al-Sunnah: Fiqh Al-Siyam, m/s 91-92
[29] Syarah Al-Siyam min Sunan Al-Tirmizi, 1/273
[30] Dalam Masaail Al-Imam Ahmad ‘an Abi Daud, m/s 292
[31] Yang dimaksudkan ialah Yahya Al-Laithi, salah seorang perawi kitab Al-Muwattha’
[32] Al-Muwattha’, no. 840, 1/408
[33] Saya katakan: Silsilah Malik dari Nafi’ dari Ibn Umar adalah sahih tidak syak lagi, ia bagaikan Emas!
[34] Sebagaimana yang dinyatakn oleh Al-Son’ani, rujuk nota kaki no. 22
[35] Sebagaimana yang dinyatakn oleh Al-Son’ani, rujuk nota kaki no. 22
[36] Taisir Al-Fiqh fi Dhaw’ Al-Qur’an wa Al-Sunnah: Fiqh Al-Siyam, m/s 92
[37] Hadith Riwayat Al-Bukhari (no. 3367, 5775,), dan Muslim (no. 77)



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 11:49 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign