[Siri 2] Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah

| |






:مختصر
الصحيح المسند من الأحاديث القدسية 
لفضيلة الشيخ مصطفى بن العدوى


Ringkasan: 
Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah 
karya Fadhilatu Al-Syaikh Mustafa Al-`Adawiy



[Bahagian 2]


Oleh:
Al-Akh / Abu Ismaaeel 
Muhammad Fathi `Ali Al-Malizy Al-Sakandariy


  


Pendahuluan


Berkenaan Penulis Kitab

insyaAllah sebelum masuk kepada ringkasan kitab, saya akan memberi sedikit pengenalan kepada penyusun kitab - Syaikh Al-Muhaddith Mustafa Al-`Adawiy , dan sedikit pengenalan berkenaan kitab yang akan diringkaskan ini - Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah

Syaikh Al-Muhaddith Mustafa Al-`Adawiy adalah antara Ahli Hadith moden (Al-Mu'assirin) yang terkenal di Mesir, beliau dilahirkan pada 1945H di Miniet Samanoud, daerah Al-Daqahliyah , Mesir. Beliau melanjutkan pelajaran ke Fakulti Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 1977H di Mesir. Tidak cukup dengan ilmu Kejuruteraan, beliau melakukan rehlah untuk menuntut ilmu agama ke Yaman, di mana beliau berguru dengan seorang ahli hadith yang terkenal di sana iaitu Syaikh Al-Muhaddith Muqbil Hadi Al-Wadie'e (rahimahullah) selama lebih kurang 4 tahun (1400-1404H).

Setelah banyak mengutip ilmu yang banyak daripada Syaikh Al-Muhaddith Muqbil Hadi Al-Wadie'e , beliau kemudiannya kembali ke Mesir dan menyebarkan da'wah Salafiah di Mesir, dan sehingga kini beliau masih giat memberi kelas-kelas pengajian di Mansoura, Mesir. Beliau memberi kuliah Tafsir, dan kuliah Hadith di masjid-masjid sekitar Mesir dan kebanyakannya di tempat kediaman beliau sendiri iaitu Al-Daqahliyah,Mesir. 

Kelas beliau yang masih berjalan sekarang di Al-Daqahliyah antaranya ialah kuliah Tafsir di Masjid `Umar bin Al-Khattab - iaitu di daerah Balqaas, Al-Daqahliyah (kuliah Maghrib setiap Isnin), Masjid Al-Tauhid iaitu di daerah Mansoura, Al-Daqahliyah (kuliah Maghrib setiap Selasa), dan kelas Hadith di Masjid Ahl Sunnah - iaitu di daerah Miniet Samanoud, Al-Daqahliyah (kuliah Maghrib setiap Ahad) dan lain-lain, bahkan terdapat kuliah beliau yang disiarkan secara live ke seluruh dunia menerusi laman web www.liveislam.net , moga Allah memelihara beliau dan memudahkan usaha-usaha da'wah beliau.






  




Berkenaan Kitab

Kitab Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah yang akan saya ringkaskan ini ialah antara kitab susunan syaikh Al-Muhaddith Mustafa Al-`Adawiy, di namakan "Al-Sahih" kerana beliau berusaha untuk menghimpunkan hadith-hadith Qudsi yang Thabit (Sahih/Hasan) dalam satu kitab, kata syaikh Mustafa Al-`Adawiy pada muqaddimah kitab ini:

فهذا كتاب "الصحيح المسند من الأحاديث القدسية" جمع ما صح لديَّ من الأحاديث القدسية

"ini adalah kitab "Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah", menghimpunkan apa yang benar (Sah, Thabit iaitu hadith Sahih atau Hasan -pent) daripada hadith-hadith Qudsi"

Di namakan "Al-Musnad" adalah kerana ia menghimpunkan hadith-hadith yang marfu' kepada Nabi SAW, perkataan "Al-Musnad" dalam nama kitab ini ialah seperti yang di maksudkan dengan istilah "Al-Musnad" di sisi Ahli Hadith iaitu: 

"ialah apa yang di marfu' kan oleh seorang Sahabi (kepada Nabi SAW) dengan sanad yang secara zahirnya bersambung" (rujuk: Syarhu Lughotul Muhaddith, Thariq I'wadullah, m/s 88)

Saya beranggapan antara sebab lain kenapa syaikh Mustafa Al-`Adawiy membuat kitab dengan nama "Al-Sahih Al-Musnad" adalah kerana beliau mengikut jejak langkah gurunya iaitu syaikh Muqbil Hadi Al-Wadie'e yang telah menyusun kitab "Al-Sahih Al-Musnad mimma Laisa fi Al-Sahihain" dan "Al-Sahih Al-Musnad min Asbab Al-Nuzul", maka syaikh Mustafa' Al-`Adawiy membuat kitab dengan nama "Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah"

Syaikh Al-Muhaddith Mustafa Al-`Adawiy mengumpulkan sebanyak 185 hadith-hadith Qudsi yang thabit dalam kitab ini, ada yang beliau nilai sebagai Sahih, ada yang Sahih Li Ghairih, dan ada yang beliau nilai Hasan. Kebanyakannya adalah daripada kitab Sahihain, dan ada juga beberapa hadith daripada kitab-kitab lain.

Akhukum, 

Abu Ismaaeel Muhammad Fathi `Ali Al-Malizy Al-Sakandariy
1 Zul Qa'edah 1431H / 8 Oct 2010
7.30 malam, Al-Iskandariah, Mesir

  

bersambung...

  






Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:38 AM. Filed under .

0 comments for "[Siri 2] Al-Sahih Al-Musnad min Al-Ahadith Al-Qudsiah"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign