Penjelasan Status Hadith : Doa "berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan"

| |






Penjelasan Status Hadith[1] : 
Doa "berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan"

Oleh: Abu Ismaeel Muhammad Fathi Ali 
al-Malizy al-Sakandary


#         Matan[2] Hadith:





اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان


Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan


#         Takhrij[3]:

Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 2346)[4], Al-Baihaqi dalam Syu‘ab Al-Iman (no. 3654), Al-Tabarani dalam Al-Awsat (no. 4086) dan lain-lain daripada Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas daripada Nabi SAW secara marfu‘[5].

#         Status:

Hadith Munkar, bahkan sanadnya[6] dha‘if jiddan[7]. Hadith ini didha‘ifkan oleh ramai ahli hadith seperti Al-Tabarani[8], Al-Baihaqi, Ibn Rajab[9], Al-Nawawi[10] dan lain-lain.

Bahkan kata Imam Al-Baihaqi sebelum menyebutkan hadith ini dalam kitabnya Fadha’il Al-Awqat[11]: “Diriwayatkan berkenaan doa masuknya bulan Rejab, hadith yang tidak kuat (lemah)”.

Hadith ini mempunyai beberapa kecacatan:


1- Za’idah bin Abi Ruqqad dikritik oleh jama‘ah nuqqad:

Kata Imam Al-Bukhari: “Munkar Al-Hadith”, kata Imam Al-Nasa’i: “Tidak diketahui siapakah dia”, kata Al-Nasa’i lagi: “Munkar Al-Hadith”, kata Imam Abu Daud: “Tidak diketahui khabarnya”, kata Imam Al-Hakim: “Hadith-hadithnya tidaklah kuat”[12]

2- Ziyad bin ‘Abdullah Al-Numairi yang juga dikritik nuqqad:

Kata Imam Yahya Ibn Ma‘in: “Dha‘if Al-Hadith”, kata Imam Abu Hatim: “…Tidak berhujah dengannya”, kata Imam Ibn Hibban: “Munkar Al-Hadith”, juga didha‘ifkan oleh Imam Abu Daud, dan lain-lain.


3- Bersama-sama dha‘ifnya Za’idah, dia turut bersendirian (tafarrud):

Kata Imam Al-Tabarani selepas meriwayatkan hadith ini: “Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Rasul melainkan dengan isnad ini, bersendirian Za’idah bin Abi Ruqqad”


4- Bahkan silsilah jalur sanad ini (Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas) hadith Munkar :-

Kata Imam Abu Hatim: “menyebutkan (meriwayatkan) Za’idah daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas hadith-hadith marfu‘ yang Munkar”[13]

Kata Imam Al-Bukhari: “Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad, Munkar Al-Hadith”[14]


#         Fiqh al-Hadith:

Hadith ini walaupun ia Munkar dan isnadnya dhai`f jiddan, namun ia hanyalah doa, dan tidak bersangkut hal hukum-hakam dan lafaz doa itu tidak bercanggah dengan mana-mana asas umum dalam syariat Islam, maka beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan) dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. 

Perlu diketahui bahawa manhaj para huffaz salaf dalam berinteraksi dengan hadith-hadith doa secara khusus ialah: hadith-hadith doa walaupun ia tidak thabit dari segi naqal, iaitu samada ia dha`if khafif, atau dha`if jiddan, atau maudhu' (palsu) sekalipun, hukum beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan), selagimana isi kandungan doa itu tidak bertentangan dengan asas-asas umum agama, dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.


Imam Ibn Khuzaimah (311H) dalam kitab beliau Mukhtasarul Mukhtasar, dalam bab al-Manasik, telah menerangkan kecacatan ('illah) satu hadith yang mengandungi doa. Namun , sejurus selepas itu beliau berkata hadith doa ini sekalipun tidak 'thabit' dari segi naqal (iaitu rantaian periwayatan samada dhaif khafif, atau dhaif jiddan, atau maudhu' (palsu) sekalipun) namun ia mubah (boleh) diamalkan. Isyarat yang sama dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi, Imam `Abdulrahman ibn Mahdi dan lain-lain.


Antara sebab bolehnya beramal dengan hadith-hadith doa yang dha`if ini ialah kerana lafaz doa adalah bersifat bebas dan tidak terikat sepertimana lafaz zikir yang ma'thur dari Nabi SAW. Maka berdoa dengan menggunakan lafaz hadith-hadith doa yang dha`if adalah lebih utama daripada menggunakan lafaz doa yang bersifat bebas, bahkan tanpa sanad langsung.


Walaubagaimanapun, sekiranya dalam sesuatu perkara itu telah mempunyai hadith doa yang sahih, maka beramal dengan hadith doa yang sahih itu sudah tentu lebih utama daripada beramal dengan hadith doa yang dha`if atau palsu.


Hal ini berbeza dengan hadith-hadith dalam fadha`il `amal yang lain (selain daripada jenis doa) dimana syaratnya agak ketat sedikit berbandiang hadith-hadith doa, iaitu ia boleh diamalkan dengan beberapa syarat antaranya ia bukan hadith yang dha`if jiddan, tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.




[1] Al-Hadith: iaitu perkataan, perbuatan, ketetapan atau sifat yang disandarkan kepada Nabi. Apabila disebut “hadith qauli” ia merujuk kepada perkataan Nabi, “hadith fi‘li” merujuk kepada perbuatan Nabi, “hadith taqriri” merujuk kepada ketetapan (persetujuan) Nabi, “hadith wasfi” merujuk kepada sifat Nabi. Terdapat ‘ibarat (istilah) lain yang digunakan oleh Ahli Hadith seperti “Al-Athar” dan “Al-Khabar”. Sesetengah Ahli Hadith kadangkala membezakan antara “Al-Hadith”, “Al-Athar” dan “Al-Khabar”. Iaitu “Al-Hadith” digunakan kepada Nabi, “Al-Athar” digunakan kepada selain Nabi iaitu kepada Sahabat, Tabi‘in, dan “Al-Khabar” pula adalah umum dan digunakan untuk kesemuanya. (rujuk: Taqrib ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 50-51, Mu‘jam Istilahat, ‘Abdul Mannan Al-Rasikh, hal. 86). Walau bagaimanapun, menurut Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni, para Ahli Hadith Al-Mutaqaddimin tidak membezakan antara ketiga-tiga istilah ini. Bagi mereka, ia adalah sama (rujuk: rakaman kuliah Syarh Nukhbah Al-Fikar, Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni)

[2] Al-Matan: iaitu kata-kata yang mengakhiri sesuatu sanad (tujuan sanad), dengan kata lain “Matan” adalah “lafaz” hadith itu sendiri (lanjut rujuk: Al-Dibajah Fi ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 18)

[3] Al-Takhrij: masdar daripada “kharraja / خرّج” (mengeluarkan), iaitu mengeluarkan sumber atau dengan kata lain menyebutkan sumber hadith di mana ia dijumpai, tidak semestinya menyatakan darjat hukum (status) hadith itu

[4] Yang sebetulnya hadith ini adalah tambahan ‘Abdullah bin Ahmad (anak imam Ahmad) ke dalam Musnad Ahmad. Pada asalnya imam Ahmad tidak memasukkan hadith ini dalam Musnadnya.

[5] Marfu‘: ialah sanad hadith itu terhenti kepada Nabi, sama ada dari segi perkataan Nabi, perbuatan Nabi, taqrir (persetujuan/ ketetapan) Nabi, atau sifat Nabi. Dengan kata lain hadith Marfu‘ ialah hadith yang dinisbahkan kepada Nabi, ia boleh jadi Sahih, Dha‘if, Maudhu‘ dan sebagainya. (rujuk: Syarh Al-Muqizoh, Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni, hal. 101; Syarh Lughah Al-Muhaddith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 76)

[6] Sanad: adalah hikayat akan jalan Matan atau khabar akan jalan Matan, dengan kata lain menyandarkan hadith kepada pengucapnya. Bagi Ahli Hadith perkataan “Sanad” atau “Isnad” atau “Tariq” adalah sama seerti. Kata Imam Ibn Jama‘ah: “Para Ahli Hadith menggunakan perkataan “sanad” dan “isnad” untuk perkara yang satu (iaitu sama)”. Bagi mereka yang membezakan antara “sanad” dan “isnad”, ia adalah pembahagian secara lughawi (bahasa) bukan istilah (rujuk: Athar ‘Ilal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, hal. 57-58; Al-Dibajah Fi ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 13)

[7] Dha‘if Jiddan: sangat lemah. Munkar: lihat nota kaki no. 15. Syaikh Al-Muhaddith ‘Abdullah Al-Sa‘d menyimpulkan hadith ni: Munkar, dan isnadnya dha‘if jiddan (dalam kitabnya Al-Badru Al-Tamam Fi Bayani Hukmi Ba‘dhi Ma Warada Fi Fadhli Ramadhan البدر التمام في بيان حكم بعض ما ورد في فضل رمضان, fasal hadith-hadith dha‘if fadhilat Ramadhan, hadith no. 4)

[8] Dalam Mu‘jam Al-Awsat (no. 4086), kata Al-Tabarani: “tidak diriwayatkan hadith ini daripada Rasul melainkan dengan isnad ini, bersendirian Za’idah bin Abi Ruqqad”

[9] Dalam Lata’if Al-Ma‘arif, 234

[10] Dalam Al-Azkar: hal. 314

[11] Fadha’il Al-Awqat, Al-Baihaqi, komentar sebelum hadith no. 14

[12] Rujuk: Tahzib Al-Kamal, Tahzib Al-Tahzib (Maktabah Shamela)

[13] Rujuk: Tahzib Al-Kamal, tarjamah Za’idah (Maktabah Shamela)

[14] Al-Dhu‘afa’, Al-Bukhari

[15] Hadith Munkar: maksud hadith Munkar di sisi ahli hadith terkemudian (Al-Muta’akhkhirin) ialah: “apa yang diriwayatkan rawi yang dha‘if yang menyanggahi dan menyalahi yang thiqat”, ini adalah definisi hadith Munkar di sisi Al-Muta’akhkhirin. Bagi para imam dan ahli hadith yang awal (Al-Mutaqaddimin) pula mereka tidak mengehadkan maksud hadith Munkar seperti Al-Muta’akhkhirin, akan tetapi bagi Al-Mutaqaddimin ia adalah lebih luas, iaitu setiap hadith yang tidak diketahui akan sumbernya, tidak kira sama ada rawi yang tafarrud (bersendirian) itu thiqah atau soduq atau dha‘if, sama ada tafarrudnya rawi itu bersama-sama mukhalafah atau tidak, iaitu dengan kata lain maksudnya sesungguhnya padanya berlaku kesilapan atau tidak terpelihara atau tidak diikuti (khata’, waham, ghayr mahfuz, gharib, la yutaba’ahu ‘alayhi ahad), seperti kata Imam Ahmad “yuhdath bi ahadith manakir laysa lahu asl”, kata Imam Al-Bukhari “hadith laysa bi ma‘ruf Munkar al-hadith”, dan antara ibarat-ibarat lain yang digunakan oleh Al-Mutaqaddimin untuk Munkar adalah seperti “haza khata’”, “haza waham”, “haza ghayr mahfuz”, “haza ghayr sahih”, “gharib”, “wa la yasybih”, “la yathbut”, “la yasih”, dengan itu Munkar pada Al-Mutaqaddimin adalah lebih umum daripada Al-Muta’akhkhirin, dan ia lebih dekat kepada makna al-lughawi iaitu “ghayr ma‘ruf/ tidak di ketahui”, iaitu padanya adanya berlaku kesilapan.

Contohnya kata Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kamil (1/292): “Dan hadith ini bersendirian padanya Isma‘il bin ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, dan ia hadith Munkar daripada hadith Al-Zubaidi, Ibn ‘Ayyasy telah mengambil hadith Al-Zubaidi ke atas hadith Ibn Sam‘an dan dia telah tersilap. Al-Zubaidi thiqah dan Ibn Sam‘an pula dha‘if”. Jika dilihat pada kata-kata Ibn ‘Adi ini dapat diketahui bahawa beliau menggunakan istilah “Munkar” ke atas apa yang telah bersendirian padanya Ibn ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, kerana tidak diketahui hadith ini daripada hadith-hadith Al-Zubaidi, rawi yang meriwayatkannya daripadanya telah silap kerana telah memasukkannya hadith Ibn Sam‘an.

Contoh lain pula ialah kata Imam Al-Nasa’i (8/319): “Hadith ini Munkar, telah silap padanya Abu Al-Ahwas Salam bin Sulaym, sesungguhnya tidak diketahui seorang pun yang mengikutinya padanya Al-Ahwas daripada kalangan ashab Simak bin Harb… dan kata Ahmad bin Hanbal: “Abu Al-Ahwas telah silap pada hadith ini”. Jika kita lihat di sini Abu Al-Ahwas adalah seorang yang thiqah mutqin! Akan tetapi Imam Al-Nasa’i tetap menggunakan istilah “Munkar” ke atas hadithnya yang ada silap padanya. Dan contoh-contoh lain semisal ini sangat banyak.

Munkar adalah sebahagian daripada ‘Illah (kecacatan) pada hadith dan hadith itu tidak sahih.  (lanjut rujuk: 1- Mu'jam Musthalahatil Hadithi wa 'Ulumihi, Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi, hal. 57, cetakan Dar al-Nafaes, 'Amman, Jordan, 2009M , 2- Nazarat Jadidah Fi ‘Ulum Al-Hadith, Dr. Hamzah Al-Malibari, hal. 32, 200-210, Dar Ibn Hazm, 2003M, 3-  Al-Buhuth Al-Mukhtasarah, Dr. Hamzah Al-Malibari, cetakan Multaqa' Ahl Hadith (Al-Buhuth Al-Mukhtasarah ini merupakan himpunan kertas kerja pembentangan syaikh Al-Malibari di Algeria, besempena Multaqa' Al-Dauliy lil-Sunnah Al-Nabawiyyah pada 13,14,15 Mac 2010 di bandar Qistantinah (Konstantin/Constantine), Algeria) 4- Athar Ikhtilaf Al-Asanid wa Al-Mutun Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, hal. 465,Dar al-Muhaddithin, Qaherah, 2008M, 5- Syarh Lughotul Muhaddith, Thariq 'Iwadullah, hal.406 &  410,Maktabah Ibn Taimiah, Giza, 2009M, 6- Al-Syadz wa Al-Munkar wa Ziyadah Al-Thiqah, Dr. Mustafa Al-Muhammadi, di bawah seliaan Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf, hal. 80, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut,2005M)

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 11:35 AM. Filed under .

14 comments for "Penjelasan Status Hadith : Doa "berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan""

  1. Salam akhi,

    boleh tak syarah hadis ni?

    “Telah menceritakan pada kami Abubakar bin Abi Syaibah, telah menceritakan pada kami AbduLLAAH bin Numairih, telah menceritakan pada kami Ibnu Numair, telah menceritakan pada kami ayah kami, telah menceritakan pada kami Utsman bin Hakim Al-Anshari berkata: Aku bertanya pada Sa’id bin Jubair tentang puasa Rajab dan kami saat itu sedang berada di bulan Rajab, maka ia menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas -semoga ALLAAH meridhoi mereka berdua- berkata: Adalah Nabi -semoga shalawaat dan salaam senantiasa tercurah pada diri beliau- berpuasa (di bulan Rajab) sampai kami berkata nampaknya beliau akan mempuasai (bulan Rajab) seluruhnya, lalu beliau tidak berpuasa sampai kami berkata: Nampaknya beliau tidak akan mempuasai (bulan Rajab) seluruhnya.”

    Khabarnya riwayat Imam Muslim. Ayat dia susah nak faham sikit. Sebab ada yg kata sunnah dan ada yg kata bukan sunnah puasa bulan Rejab.

  2. Wa'alaikumussalam,

    1- terjemahan hadith yg dibawa diatas adalah tidak tepat, si penterjemah telah melakukan tambahan dan tokok tambah kepada lafaz hadith yg asal, kerana dlm matan hadith yg asal perkataan dalam kurungan (bulkan rejab) tidak ada.

    2- hadith diatas yg sebenarnya adalah berbunyi:


    حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة. حدثنا عبدالله بن نمير. ح وحدثنا ابن نمير. حدثنا أبي. حدثنا عثمان بن حكيم الأنصاري. قال: سألت سعيد بن جبير عن صوم رجب ؟ ونحن يومئذ في رجب. فقال: سمعت ابن عباس رضي الله عنها يقول: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول: لا يفطر. ويفطر حتى نقول: لا يصوم.

    Terjemahah yg betul dan tepat:

    Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah : Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Numair. Dan telah menceritakan kepada kami Ibnu Numair : Telah menceritakan kepadaku ayahku : Telah menceritakan kepada kami ‘Utsmaan bin Hakiim Al-Anshaariy, ia berkata : Aku pernah bertanya kepada Sa’iid bin Jubair tentang puasa Rajab dimana kami waktu itu berada di bulan Rajab. Ia (Sa’iid) menjawab : Aku mendengar Ibnu ‘Abbaas radliyallaahu ‘anhumaa berkata : “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam senantiasa berpuasa hingga kami berkata : ‘beliau tidak pernah berbuka’. Dan beliau pun pernah berbuka hingga kami berkata : ‘beliau tidak pernah berpuasa” [Diriwayatkan oleh Muslim no. 1157].

    3- perhatikan lafaz nya yg sebenar: ‘beliau tidak pernah berbuka’. Dan beliau pun pernah berbuka hingga kami berkata : ‘beliau tidak pernah berpuasa” , tiada perkataan rejab disini. Hadith ini adalah hadith yg menceritakan sifat puasa Nabi SAW secara umum, bukannya khusus kpd bulan rejab sahaja.

    4- perlu dikehaui bahawa bulan rejab tiada apa-apa amalan sunat yg khusus berkaitan dgnnya, puasa khusus bulan rejab tiada dlm syariat islam, begitu juga solat rejab dll.

    5- cuma bulan rejab termasuk dlm bulan-bulan haram, bulan haram dlm islam ada 4 iaitu Zulhijjah, Muharam, Rejab dan Zulqaedah, keempat-empat bulan ini adalah bulan haram dan ia adalah bulan yg mulia,fadhilat kempat-empat bulan ini adalah sama dan setara iaitu ia adalah bulan-bulan haram, tiada kelebihan rejab keatas Zulhijjah, Muharam, dan Zulqaedah,

    6- dlm bulan2 haram kita di anjurkan utk byk beribadat seperti berpuasa dll

    Wallah hu'alam

  3. penjelasan lanjut berkenaan hadith ini telah dihuraikan dengan sgt baik oleh sahabat kami- al-Fadhil ustaz Abul Jauzaa, kata beliau:

    Jika ada pertanyaan : Apakah terlarang berpuasa di bulan Rajab ?.

    Jawabannya : Tidak. Tidak ada dalil yang melarang seseorang berpuasa di bulan Rajab[1], sebagaimana juga tidak ada dalil untuk melarang berpuasa di bulan lainnya. Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam sangat senang berpuasa pada bulan-bulan hijriyah, tidak terkecuali di bulan Rajab.

    حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة. حدثنا عبدالله بن نمير. ح وحدثنا ابن نمير. حدثنا أبي. حدثنا عثمان بن حكيم الأنصاري. قال: سألت سعيد بن جبير عن صوم رجب ؟ ونحن يومئذ في رجب. فقال: سمعت ابن عباس رضي الله عنها يقول: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول: لا يفطر. ويفطر حتى نقول: لا يصوم.

    Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah : Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Numair. Dan telah menceritakan kepada kami Ibnu Numair : Telah menceritakan kepadaku ayahku : Telah menceritakan kepada kami ‘Utsmaan bin Hakiim Al-Anshaariy, ia berkata : Aku pernah bertanya kepada Sa’iid bin Jubair tentang puasa Rajab dimana kami waktu itu berada di bulan Rajab. Ia (Sa’iid) menjawab : Aku mendengar Ibnu ‘Abbaas radliyallaahu ‘anhumaa berkata : “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam senantiasa berpuasa hingga kami berkata : ‘beliau tidak pernah berbuka’. Dan beliau pun pernah berbuka hingga kami berkata : ‘beliau tidak pernah berpuasa” [Diriwayatkan oleh Muslim no. 1157].[2]

    Apakah hadits di atas menunjukkan pengkhususan puasa di bulan Rajab dengan keutamaannya ?.

    Jawabannya : Tidak. Sifat puasa yang diceritakan oleh Ibnu ‘Abbaas radliyallaahu ‘anhu bukanlah sifat puasa yang ia lihat khusus di bulan Rajab saja, namun juga sifat puasa yang ia secara umum pada diri beliau di luar bulan Ramadlan. Maksudnya, beliau shallallaahu ‘alaihi wa sallam terkadang banyak berpuasa pada satu bulan, terkadang pula meninggalkannya.

    baca penjelasan ustaz Abul Jauza scr penuh disini: http://abul-jauzaa.blogspot.com/2010/07/puasa-rajab.html

    moga salah faham dpt dileraikan.

  4. Ya akhi itu soundtrack siapa ya? Boleh bagi tahu.

    Bagus banged

  5. soundtrack bacaan hadith itu tidak diketahui suara siapa yang membacanya, moga Allah memberkati si fulan yang membaca hadith dlm soundtrack itu.

  6. Syukran syeikh..mohon izin share kan blog akhi dan manfaatnya.. jazakallah wa barakallah

  7. salam ...syukur ..ada tempat sebegini yang membincangkan dan menjelaskan secara terperinci tentang status hadis dengan cara yang sepatutnya. mohon saya mengambil manafaat dan ilmu dari sini, semoga Allah memberkati kalian semua

  8. assalamualaikum ustz Fathi, minta izin utk d kongsi kan link2 blog utz di sini ye.. Mudah2 han Allah memberkati usaha ustz. amin.

  9. Syukron ustadz atas penjelasannya semoga Allah menjadikan amal kebajikan
    baarakallohufiikum

  10. Syukron ustadz atas penjelasannya semoga Allah menjadikan amal kebajikan
    baarakallohufiikum

  11. As'salam.
    Terimakasih ustaz atas perkongsian ilmu ini..akak mohon share ya ustaz..mohon dihalalkan.

  12. Kalau boleh soal adakah dalil melarang seseorang berpuasa dibulan rajab. Maka bolehlah juga tanya adakah dalil yg melarang seseorang solat subuh 3 rakaat ?

  13. dalil larangan takda tuk puasa bulan rejab seperti telah dinukilkan oleh imam nawawi. so boleh puasa xde masalah...silakan puasa


    untuk soalan ke dua....saya mmg pasti mmg xde dalil larangan solat subuh 3 rakaat?.....tp kenapa nak solat subuh 3 rakaat....telah masyhur petunjuk dari nabi....dgn dalil qatie sorih bahawa nabi melakukan subuh 2 rakaat. mengapa kita nak menyanggahi nabi?

    cuma dalam isu ni.....kita x bole menyandarkan sesuatu perkara kepada nabi apabila tidak ada sebarang nas atau pentunjuk pun nabi suh wat sekian sekian....


    ibadat diterima bila

    -ada arahan/petunjuk dari allah/rasul
    -mesti ada ilmu
    -ikhlas


Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign