Antara bukti Imam al-Bukhari beramal dengan hadith Dha'if

| |

Gambar Hiasan




Antara bukti Imam al-Bukhari beramal
dengan hadith Dha'if



Antara bukti kuat bahawa Imam al-Bukhari beramal dengan hadith Dha'if ialah fatwa beliau kepada anak muridnya Imam al-Tirmizi dalam `Ilal al-Kabir, kata al-Tirmizi (`Ilal al-Kabir: 401):

حدثنا قتيبة ، حدثنا أبو عوانة ، عن قتادة ، عن الحسن ، عن سمرة ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من قتل عبده قتلناه ، ومن جدع  عبده جدعناه . سألت محمدا عن هذا الحديث فقال : كان علي بن المديني يقول بهذا الحديث. قال محمد : وأنا أذهب إليه

Terjemahan:

"Telah menceritakan kami Qutaibah, telah menceritakan kami Abu `Awanah, dari Qatadah, dari al-Hasan, dari Samurah, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "sesiapa yang membunuh hambanya maka dia akan kami bunuh, dan sesiapa yang memotong anggota (tangan atau kaki) hambanya maka dia akan kami potong anggotanya", Aku (iaitu Imam al-Tirmizi) bertanya hadith ini kepada Muhammad (iaitu Imam al-Bukhari) maka jawab beliau: "adalah `Ali bin al-Madini berfatwa (iaitu beramal) dengan hadith ini (iaitu dalam fiqh), dan berkata Muhammad (iaitu Imam al-Bukhari) lagi: "dan aku juga berfatwa sedemikian (mengikut `Ali ibn al-Madini)".

Takhrij:

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad bin Hanbal dalam Musnad (5/10-12, 18, 19), al-Tirmizi dalam Jami’nya al-Mukhtasar (no. 1414), dan juga dalam `Ilalnya al-Kabir (no. 401), Ibn Majah dalam Sunan (no. 2663), juga oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf (9/3030), Ibn `Adiy dalam al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ (2/729, 7/2572) dari Abu `Awanah, dari Qatadah, dari al-Hasan, dari Samurah secara Marfu’.

Status:

Saya katakan: Hadith ini Dha’if kerana putusnya isnad, telah sepakat para huffaz bahawa al-Hasan tidak pernah sama sekali mendengar dari Samurah.  Dan putus isnad adalah Dha’if kerana telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih.

Hadith ini telah diDha’ifkan oleh jamaah ahli hadith dari kalangan al-Mutaqaddimin, al-Mutaakhkhirin dan juga al-Mu’asirin. Ia diDha’ifkan antaranya oleh: 


1- Imam Yahya ibn Ma’in katanya “ الحسن لم يسمع من سمرة - al-Hasan tidak pernah sama sekali mendengar dari Samurah” (Sunan al-Kubra al-Baihaqi, 8/35)


2- Juga oleh Imam Ahmad bin Hanbal sendiri katanya : “أخشى أن لا يكون يثبت – aku khuatir ianya tidak thabit” (Masail Ahmad , 3/1227)


3- Juga Imam al-Tirmizi sendiri dengan katanya “حسن غريب- Hasan Gharib” (al-Jami’, 1414), dan istilah Hasan Gharib bermaksud Dha'if disisi al-Tirmizi [lanjut berkenaan manhaj Imam al-Tirmizi dan Jami'nya dianjurkan merujuk buku saya "Pengenalan kepada Sunan Al-Tirmizi & Manhajnya" ]


4- Juga diDha’ifkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya al-Kubra (8/35) katanya “ ضعيف  - Dha’if”


5- Juga oleh Imam Ibn Hazm dalam al-Muhalla (2/13) katanya “لا يصح للحسن سماع من سمرة – Tidaklah sahih mendengarnya al-Hasan dari Samurah”


6- Juga oleh al-Son’ani dalam Subul al-Salam (3/363) katanya “ضعيف - Dha’if”


7- Juga oleh Ibn Qudamah dalam al-Mughni (11/474) katanya “لم يثبت– Tidak thabit”


8- Juga oleh al-Albani dalam tahqiqnya atas Jami’ al-Tirmizi (no. 1414) katanya “ضعيف - Dha’if”


9- Juga oleh Syu’aib al-Arnaut dalam tahqiq Jami’ al-Tirmizi (3/242) dan lain-lain.

Imam al-Bukhari berhujah dengan hadith ini dalam fiqh sedangkan ianya adalah hadith Dha’if, bahkan ianya juga adalah Dha’if disisi al-Bukhari. Qarain yang menunjukkan ia juga Dha'if disisi al-Bukhari ialah:


1- Hadith ini tiada dalam Sahih al-Bukhari, sedangkan ianya adalah satu-satunya hadith dalam babnya. Sekiranya ia Sahih maka Imam al-Bukhari akan memasukkanya, dan telah diketahui bahawa Imam al-Bukhari menghimpunkan hadith-hadith yang utama dalam sesuatu bab dalam kitabnya al-Sahih.

2- Hadith ini disebut oleh anak muridnya Imam al-Tirmizi dalam al-`Ilal menunjukkan ianya adalah hadith yang bermasalah. Diketahui bahawa kitab al-`Ilal adalah kitab yang menghimpunkan hadith-hadith yang padanya kecacatan.

3- Sekiranya hadith ini Sahih disisi Imam al-Bukhari, beliau tidak perlu bersandar kepada Imam `Ali ibn al-Madini untuk berhujah dengannya, sebaliknya beliau sudah mestinya akan terus berhujah dengannya tanpa perlu bersandar kepada Imam `Ali ibn al-Madini, kerana hadith Sahih itu berdiri dengan sendiri tanpa memerlukan apa-apa sokongan untuk diamalkan.

4- Kecacatan hadith ini adalah zahir bagi para huffaz dan ianya bukanlah kecacatan yang tersembunyi bagi mereka, kerana semua para huffaz sepakat bahawa al-Hasan tidak mendengar dari Samurah.


5- Imam al-Bukhari beramal akan fiqh hadith ini sedangkan hadith ini adalah dalam masalah hukum dan bukannya Fadhail `Amal, dan telah diketahui bahawa hadith Dha'if terkadang diamalkan Salaf dalam hukum sekiranya tiada satupun hadith Sahih dalam bab itu dengan syarat-syarat, dan hadith ini adalah salah satu darinya. 

 Fiqh al-Hadith:

Kata Imam al-Tirmizi sejurus mengeluarkan hadith ini:

هذا حديث حسن غريب وقد ذهب بعض أهل العلم من التابعين منهم إبراهيم النخعي إلى هذا وقال بعض أهل العلم منهم الحسن البصري و عطاء بن أبي رباح ليس بين الحر والعبد قصاص في النفس ولا فيما دون النفس وهو قول أحمد و إسحق وقال بعضهم إذا قتل عبده لا يقتل به وإذا قتل عبد غيره قتل به وهو قول سفيان الثوري وأهل الكوفة

Terjemahan:

“Hadith ini Hasan Gharib (iaitu ia Dha’if – pent), dan sesungguhnya telah berfatwa (iaitu berhujah dalam fiqh walaupun ia Dha’if) akan hadith ini oleh sebahagian ahli ilmu dari kalangan al-Tabi’in antara mereka ialah Ibrahim al-Nakhai’e, dan telah berpendapat sebahagian mereka semisal al-Hasan al-Basri dan 'Atha` bin Abi Rabah bahawa tiada qisas terhadap nyawa antara orang merdeka dan hamba, dan tidak juga pada selain nyawa mereka dan ianya adalah pendapat Ahmad dan Ishaq, sedangkan sebahagian dari mereka berpendapat jika dia membunuh hambanya maka dia tidak dibunuh, namun jika dia membunuh hamba orang lain maka dia dibunuh dan ini adalah pendapat Sufyan al-Thauri dan Ahli Kufah”

Allahu ‘alam
Abu Ismail Muhammad Fathi al-Tabib



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 12:21 AM. Filed under .

0 comments for "Antara bukti Imam al-Bukhari beramal dengan hadith Dha'if"

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign