Penjelasan Status Hadith: Redha Allah Atas Redha Ibu Bapa
Penjelasan Status Hadith: Redha Allah Atas Redha Ibu Bapa
Matan Hadith:
رضى الله في رضى الوالدين ، وسخط الله في سخط الوالدين
Terjemahan: Redha Allah adalah pada redha kedua ibu bapa, dan murka Allah adalah pada murka ibu bapa
Takhrij:
Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh al-Tirmizi dalam al-Jami' al-Mukhtasar (no. 1899), Ibn Hibban dalam al-Taqasim wa al-Anwa' (no. 429), al-Hakim dalam al-Mustadrak (no. 4/151-152), kesemuanya dari jalur Khalid bin al-Harith dari Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru dari Nabi SAW secara marfu'.
Juga dikeluarkan al-Tirmizi (dalam komentar no. 1899) dari jalur Muhammad bin Basyar dari Muhammad bin Ja'far dari Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru secara Mauquf sebagai kata-kata `Abdullah ibn `Amru.
Sesetengah lafaz menyebut (الرَّبِّ - Tuhan) menggantikan perkataan (الله - Allah).
Status Hadith:
Saya katakan: Hadith ini tidak sahih sebagai kata-kata Nabi SAW, tetapi yang benar ialah ia adalah kata-kata sahabi : `Abdullah ibn `Amru sahaja.
Hadith ini datang dalam dua jalur satu Marfu' (bersambung kepada Nabi SAW) dan satu Mauquf (terhenti kepada Sahabat - `Abdullah ibn `Amru - sebagai kata-katanya sahaja), dan riwayat yang mahfuz (terpelihara , yang sebetulnya dan tidak silap) ialah riwayat yang Mauquf.
Dan berkata Imam al-Tirmizi sejurus saja beliau mengeluarkan (meriwayatkan) hadith ini dalam kitabnya al-Jami' al-Mukhtasar :
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ يَعْلَى بْنِ عَطَاءٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو نَحْوَهُ وَلَمْ يَرْفَعْهُ وَهَذَا أَصَحُّ ... وَهَكَذَا رَوَى أَصْحَابُ شُعْبَةَ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ يَعْلَى بْنِ عَطَاءٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو مَوْقُوفًا وَلَا نَعْلَمُ أَحَدًا رَفَعَهُ غَيْرَ خَالِدِ بْنِ الْحَارِثِ
Terjemahan: "telah menceritakan kami Muhammad bin Basyar dari Muhammad bin Ja'far dari Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru semisalnya (iaitu hadith yang sama seperti yang diriwayatkan Khalid bin al-Harith) dan beliau (iaitu Muhammad bin Basyar) tidak meriwayatkannya secara Marfu' (tetapi Mauquf sahaja) dan riwayat yang Mauquf inilah yang tepat, ...dan hadith ini diriwayatkan oleh anak-anak murid Syu'bah yang lainnya dari Syu'bah dari Ya'la dari `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah bin `Amru secara Mauquf sebagai kata-kata `Abdullah bin `Amru sahaja, dan tidaklah diketahui seorangpun dari kalangan murid-murid Syu'bah yang meriwayatkan hadith ini daripada Syu'bah secara Marfu' selain Khalid bin al-Harith sahaja" (al-Jami' al-Mukhtasar, komentar hadith no. 1899).
Juga berkata Imam al-Tirmizi lagi dalam kitabnya al-`Ilal al-Kabir:
أصحاب شعبة لا يرفعون هذا الحديث ، ورفعه خالد بن الحارث
Terjamahan: "- Semua - Murid-murid Syu'bah tidak meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah secara Marfu', Khalid bin al-Harith - sahaja - yang meriwayatkannya secara Marfu'" (al-`Ilal al-Kabir, no. 365)
Berdasarkan penjelasan Imam al-Hafiz Abu `Isa al-Tirmizi diatas, dapatlah diketahui bahawa Khalid bin al-Harith meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah secara Marfu' , sedangkan Muhammad bin Basyar serta lain-lain murid Syu'bah meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah juga tetapi secara Mauquf sahaja, dan yang betul ialah ia adalah Mauquf sebagai kata-kata `Abdullah bin `Amru sahaja sebagaimana periwayatan majoriti murid-murid Syu'bah. Manakala Khalid bin al-Harith beliau telah tersilap meriwayatkan hadith ini secara Marfu'.
Kesimpulannya, ungkapan ini adalah kata-kata `Abdullah bin `Amru dan bukannya kata-kata Nabi SAW. Adapun makna intipati kata-kata `Abdullah ibn `Amru ini benar dan diamalkan fiqhnya.
Allah hu'alam
~ Fathi Al-Sakandary / 11 Jan 2012 /
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 11:47 AM. Filed under
Takhrij
.