Penjelasan Status Hadith-Hadith Gugurnya Kewajipan Solat Jumaat bagi yang telah bersolat 'Eid pada pagi Jumaat





|| Penjelasan Status Hadith-Hadith Gugurnya Kewajipan Solat Jumaat bagi yang telah bersolat 'Eid pada pagi Jumaat || 

Pertama: Hadith Abu Hurairah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) 

Dari Abu Hurairah dari Nabi saw bahawa baginda berkata: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat

Takhrij: 

Dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (1073), Ibn Majjah (1311), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa (302) dan lainnya, kesemuanya dari jalur Baqiyyah bin al-Walid telah mengkhabarkan kami Syu'bah dari al-Mughirah al-Dhabbiyyi dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Abi Hurairah. 

Status: 

Saya katakan hadith ini Munkar. Telah tafarrud (menyendirinya) Baqiyyah meriwayatkannya dari Syu'bah, sedangkan tiada satupun ashab Syu'bah lain membawa riwayat ini. 

Sesungguhnya telah tersilap Baqiyyah dalam menyatakannya ia dari Syu'bah, dan sesungguhnya hadith ini bukanlah dari Syu'bah pun! 

Hadith ini diingkari oleh jamaah huffaz hadith Salaf semisal al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Hatim, al-Imam al-Daraquthni. 

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanad yang Sahih dalam al-Tarikh bahawa berkata al-Imam Ahmad: 

"Telah diberitakan kepadaku bahawa Baqiyyah meriwayatkan dari Syu'bah dari Mughirah dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Abi Hurairah berkenaan dua 'eid (solat 'eid dan solat jumaat) yang berlaku dalam hari yang sama, dari mana Baqiyyah mengambil perkara ini!!!". Al-Imam Ahmad mengingkari riwayat ini dengan seingkar-ingkarnya. 

Berkata al-Imam al-Daraquthni "hadith ini Gharib dari hadith Mughirah, tiada yang meriwayatkannya selain Syu'bah bahkan ianya juga Gharib dari Syu'bah! Tiada yang meriwayatkannya dari Syu'bah selain Baqiyyah.." 

Bahkan berkata al-Imam Ibn 'Abdil Barr dalam al-Tamhid (272/10): 

"Hadith ini tidak diriwayatkan dari Syu'bah walaupun dari seorang yang thiqah dari kalangan ashabnya (muridnya) yang huffaz, sebaliknya ia diriwayatkan oleh Baqiyyah bin al-Walid, dan ia bukanlah hadith Syu'bah pun asalnya! Baqiyyah meriwayatkan hadith ini dari ahli negerinya iaitu Syam dan baginya kelemahan, kebanyakan ahli ilmu (ahli hadith) menDhaifkan riwayat Baqiyyah yang beliau riwayat dari orang-orang Syam dan selainnya, dan baginya hadith-hadith Munkar! Dan beliau Dhaif tidak dibuat hujah"

Kedua: Hadith Abdullah bin Abbas

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)).

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. 

Takhrij: 

Dikeluarkan oleh Ibn Majjah (1311), telah menceritakan kami Muhammad bin al-Musoffa al-Himsi telah menceritakan kami Baqiyyah telah menceritakan kami Syu'bah telah menceritakanku Mughirah al-Dhabbiyyi dari 'Abdul 'Aziz bin Rafi' dari Abi Soleh dari Ibn 'Abbas secara marfu'. 

Status: 

Saya katakan hadith ini Munkar! Telah tersilap Ibn Majjah dalam meriwayatkan hadith ini sebagai hadith Ibn 'Abbas, yang benar ia adalah hadith Abi Hurairah dan statusnya adalah Munkar sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. 

Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary: 

"Demikian membawanya Ibn Majjah dengan sanad ini dari Ibn 'Abbas, dan ia silap! Sanad yang betulnya ialah sebagaimana yang dikeluarkan Abu Daud dengan sanad dari Abi Hurairah, dan ia adalah sebagaimana yang telah dijelaskan secara rinci sebelum ini bahawa ia adalah muttarib munkar matan"

Ketiga: Hadith Zaid bin Arqam 

مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: (مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ) 

Mu’awiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam: Pernahkah kamu meyaksikan dua hari ‘eid yang bertepatan pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid kemudian Baginda memberikan rukhshah (kelonggaran) bagi solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), maka solatlah.”

Takhrij: 

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (372/4), al-Darimi (1612), al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (438/1), Ibn Majjah (1310), al-Bazzar dalam Musnad al-Mua’ll (4337), Abu Daud (1070), al-Nasaie (194/3), Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (1474), kesemuanya dari jalur Israil telah menceritakan kami Uthman bin al-Mughirah dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii katanya “daku melihat Mu’awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam…- seperti di atas - ” 

Status: 

Saya katakan hadith ini Dha’if Munkar! Baginya beberapa kecacatan:

1- Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii adalah Majhul. 

Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary: “walaupun Iyas merupakan kalangan majhul dari tabi’in yang memungkinkan riwayatnya diterima dengan qarain dan husn zhan, namun bagi hadith ini ia tidak menepati syarat untuk menerimanya kerana matannya munkar, menyalahi usul serta bertentangan dengan hadith yang thabit dari al-Nu’man bin Basyir yang menyatakan Nabi SAW tetap melaksanakan Jumaat walaupun ‘eid pada hari Jumaat”

2- Bersama-sama dengan Majhulnya Iyas, beliau juga tefarrud (menyendiri) membawa riwayat ini dari Mua’wiyah bin Abi Sufyan. 

Hadith ini telah diDha’ifkan oleh para huffaz Salaf, antaranya oleh Ibn Khuzaimah sendiri dengan katanya “In Sahha l-Khabar / إن صح الخبر (jika benarlah khabar ini sahih / Jika benar khabarnya). 

Perlu diketahui bahawa bentuk lafaz syak “In Sahha l-Khabar” ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Ini adalah manhaj/ metod yang digunakan oleh Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya, iaitu apabila beliau menyebut "In Sahha l-Khabar" dalam Kitab Sahihnya ia menunjukkan bahawa hadith itu Dha‘if di sisinya. 

Juga diDhaifkan oleh al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (1052) dengan membawa kata Ibn al-Munzir katanya: “ini tidaklah thabit, sesungguhnya Iyas adalah Majhul”.

Keempat: Hadith 'Abdullah bin 'Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) 

Dari Ibn 'Umar katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” 

Takhrij: 

Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majjah (1302), Ibn 'Adiy dalam al-Kamil (456/6), Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq Fi Ahadith al-Khalaf (797), dari jalur Jubarah bin al-Mughallas telah menceritakan kami Mindal bin 'Ali bin 'Abdul 'Aziz bin 'Umar dari Nafi' dari Ibn 'Umar secara marfu'

Juga dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir (435/12591/12) dari jalur Said bin Rasyid al-Simak telah menceritakan kami 'Atha bin Abi Rabah dari Ibn 'Umar secara marfu' dengan sediiit beza lafaz.

Status: 

Saya katakan hadith ini Dhaif, bahkan Maudhu' Batil! Baginya beberapa penyakit:

1- Kedua-dua Jubarah dan Mindal adalah Dhaif. Jubarah lebih parah dhaifnya antara keduanya.

Bahkan Jubarah banyak mendustakan hadith sebagaimana yang dijelaskan al-Imam Yahya Ibn Ma'in, al-Imam Ahmad bin Hanbal  serta al-Imam Abu Zur'ah. 

2- Said bin Rasyid adalah muttaham, berkata al-Imam Ibn Ma'in tentangnya "tiada nilainya", berkata pula al-Imam al-Bukhari serta al-Imam Abu Hatim "Munkarul hadith", bahkan berkata al-Nasaie "Matruk al-Hadith". 

Hadith ini diDhaifkan oleh para huffaz semisal al-Imam Ajmad bin Hanbal, al-Imam Ibn 'Adiy, Ibn Majjah dan lainnya. Bahkan berkata guru saya Syaikhul hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary "batil". 

Fiqh al-Hadith: 

Bagaimana dengan hukum solat Jumaat pada hari `Eid? sesetengah fuqaha' berpendapat bahawa bagi mereka yang telah pergi menunaikan solat `Eid tidak wajib lagi untuk pergi melaksanakan solat Jumaat.

Pendapat ini amat lemah, kerana tiada satupun dalil Sahih yang menyatakan bolehnya meninggalkan solat Jumaat sekiranya telah melakukan solat `Eid, semua hadith dalam hal ini kesemuanya cacat diingkari oleh para huffaz hadith Salaf. Bahkan berkata Imam Ibn ‘Abdil Barr:

 “Tidaklah  boleh  bagi  seorang  muslim  berpendapat  gugurnya  kefardhuan (kewajipan)  solat  Jumat  –  apabila  jatuh  ‘Eid  pada  hari  Jumaat  -  ,  sedang  Allah  ‘Azza Wa  Jalla  telah  wajibkan  kepadanya  dengan  kataNya:  {bermaksud- Wahai  orang-orang  yang  beriman! Apabila  diserukan  azan  untuk  mengerjakan  solat  pada  hari  Jumaat,  maka  segeralah kamu  pergi  (ke  masjid)  untuk  mengingati  Allah  (dengan  mengerjakan  solat  Jumaat)}, tidaklah  Allah  dan  RasulNya  bezakan  hari  ‘Eid  atau  selainnya  dari  segi  hujah kewajipannya,  maka  bagaimana  mungkin  seseorang  berpendapat  gugurnya  solat Jumaat...tiadalah  baginya  sebarang  hadith  –  yang  menggugurkan  kewajipan  solat Jumaat  apabila  jatuh  pada  hari  ‘Eid  –  melainkan  ia  dikritik  dengan  kecacatan  disisi para  ahli  ilmu  dalam  hadith  (iaitu  para  ahli  hadith)”  [Rujuk:  al-Tamhid,  10/277] 

Dengan  itu  berkata  Imam  Ibn  Hazm:   

“Apabila  berhimpunnya  hari  ‘Eid  pada  hari  Jumaat,  tidak  dapat  tidak mestilah  solat  untuk  ‘Eid,  kemudian  solat  untuk  Jumaat  pula,  tidaklah  sahih  akan athar-athar  yang  menyalahi  hal  ini”  [Rujuk:  al-Muhalla,  3/303] 

Dalam  hal  ini  terdapat  4 hadith  marfu’  dan  beberapa  athar  yang  mauquf, kesemuanya  adalah  Dha’if  dan  cacat,  bahkan  Munkar.  Hal  ini  sebagaimana  yang telah  dijelaskan  secara  terperinci  oleh  guru  kami  Syaikhuna  al-Muhaddith  Abu Muhammad  Ahmad  Shihatah  al-Alfy  al-Sakandary  dalam  kitabnya  "al-Lum'ah  Bi Bayan  Anna  Solat  al-`Eid  La  Tujzi  `An  Solah  al-Jumu'ah",  dan  juga  oleh  guru  kami Syaikhuna  al-Muhaddith  ‘Amru  ‘Abdul  Mun’im  Salim  al-Misri  dalam  kitabnya  “Tahsil Maa  Faat  al-Tahdis  Bimaa  Qila  La  Yasih  Fihi  Hadith”.  Yang  rajih  ialah  solat  `Eid  itu wajib  dan  solat  Jumaat  juga  kekal  wajib.   

~ Dr. Fathi al-Sakandary ~

| | Read More »

Penjelasan Status Hadith Kelebihan Puasa 'Arafah






|| Penjelasan Status Hadith Kelebihan Puasa 'Arafah ||

Hadith popular berkenaan kelebihan (fadhilat) puasa pada hari 'arafah, datang dengan jalur dari sekelompok (jamaah) sahabat antaranya Abi Qatadah (dan ini tidak tepat), Qatadah bin al-Nu'man, 'Umar al-Khattab, 'Aishah, Sahl bin Sa'ad, Ibn 'Abbas, Zaid bin al-Arqam, 'Abdullah bin 'Umar. Namun kesemua jalur ini tidak terlepas daripada cacat cela, Dha'if serta tidak dapat dinaikkan darjatnya. 

A) Kritikan Sanad:

1) Jalur yang paling kuat ialah jalur yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Jami'nya al-Sahih, iaitu daripada 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah secara marfu', hadith ini Dha'if, baginya banyak kecacatan antaranya:

  1- Putus (inqitha') antara 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani dan Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi) sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (5/198). Bahkan kata al-Tirmizi "Hasan" iaitu Dha'if (al-Jami' al-Mukhtasar, 749) begitu juga Ibn 'Adiy dengan mengutip kalam al-Bukhari (al-Kamil Fi Dhu'afa' al-Rijal, 5/347).

  2- Mutaba'ah daripada Harmalah bin Iyaas (atau Iyaas bin Harmalah) tidak dapat menampung kelemahan jalur ini, baginya ittirab (goncang) serta ikhtilaf (percanggahan ) yang amat berat sehingga tidak dapat ditarjih dan ditinggalkan, berkata al-Bukhari selepas menyebut ikhtilaf bagi jalur ini "Tidaklah Sahih isnadnya" (al-Tarikh al-Kabir, 3/68), serta berkata al-Daraquthni selepas menjelaskan jalur-jalurnya "Ianya Muttarib, tidaklah dihukum baginya dengan apapun" (al-'Ilal, 6/151).

  3- Sekiranya seseorang berkata 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani mendengar daripada Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi), maka jalur ini tetap Dha'if kerana putusnya juga! Disebabkan Abu Qatadah dalam jalur ini bukanlah Abu Qatadah al-Ansari yang merupakan seorang Sahabi, namun ia sebenarnya adalah Abu Qatadah al-'Adawi yang merupakan daripada kalangan Tabi'in. 

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Ma'in katanya "semua riwayat daripada Ibn Sirin, dan juga riwayat para Basrah daripada Abi Qatadah, maka ianya adalah Abu Qatadah al-'Adawi", sungguh Ibn Ma'in merupakan sang pencerah!! Maka jalur ini Dha'if kerana kedua-dua 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani serta Harmalah yang meriwayatkan hadith ini adalah orang Basrah, maka Abi Qatadah adalah al-'Adawi bukannya al-Ansari. 

2) Jalur 'Umar al-Khattab, dikeluarkan antaranya oleh Abu Ya'la dalam Musnadnya (144), iaitu daripada 'Abdullah bin Ma'bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah, jalur ini juga Dha'if baginya putus (inqitha') kerana 'Abdullah bin Ma'bad tidak pernah mendengar daripada 'Umar sebagaimana yang dijazamkan Abu Zur'ah dalam al-Marasil (524).

3) Jalur Qatadah bin al-Nu'man juga Dha'if kerana dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha'if. 

4) Jalur 'Aishah juga Dha'if kerana putus antara 'Atha al-Khurasani dan 'Aishah, ianya juga datang dengan riwayat yang bersambung (mausul) namun Dha'if tidak terlepas daripada para rawi Munkarul Hadith serta Majhul. 

5) Jalur Sahl bin Sa'd juga Dha'if, baginya dua rawi yang Dha'if

6) Jalur Ibn 'Abbas juga Dha'if dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha'if. 

7) Jalur Zaid bin al-Arqam juga Dha'if bahkan musalsal (bersamsung-sambung) dengan para rawi yang Dha'if dan Matruk. 

8) Akhirnya jalur Ibn 'Umar juga Dha'if, baginya perawi Munkarul Hadith. 

B) Kritikan Teks (Matan): 

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, isnad setiap jalur hadith ini tidak terlepas daripada cacat cela, dan ianya Dha'if tidak dapat dikuatkan. Selain masalah sanad, hadith ini juga bermasalah pada teksnya iaitu lafaz "diampunkan dosa-dosa setahun sebelum serta setahun selepasnya".

Lafaz ini secara zahir seolah menetapkan keampunan dosa-dosa yang bakal dilakukan pada tahun akan datang, ini ajaib!! Perkara sebegini hanya benar bagi Nabi yang ma'sum, manakala manusia lain yang berbuat dosa maka tidaklah ditetapkan keampunan, tidak diampun melainkan setelah bertaubat memohon keampunan. 

Lihatlah kita kepada hadith kelebihan bulan paling mulia Ramadhan, yang baginya malam umpama 1000 bulan, disebut dalam hadith Sahih dengan kesepakatan huffaz "sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu", dalam lafaz lain menyebut "sesiapa yang mendirikan malam al-Qadr dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu". 

Bagaimana mungkin puasa 1 hari pada hari 'arafah ini kelebihannya melebihi puasa Ramadhan yang difardhukan selama 30 atau 29 hari, serta disebutkan baginya bulan maghfirah (keampunan)??! Serta bagaimana mungkin puasa 'arafah ini kelebihannya melebihi bersolat malam dalam malam al-Qadr, yang Nabi serta isteri-isterinya berjaga malam di masjid dalam tempoh-tempoh 10 hari akhir??! 

C) Fiqh al-Hadith: 

Telah jelas kepada kita bahawa tiada hadith Sahih berkenaan kelebihan (fadhilat) berpuasa pada hari 'arafah, hadithnya Dha'if serta Munkar matan (teks)nya. Namun tidaklah menjadi kesalahan serta tidaklah dihukumi bid'ah mereka yang berpuasa pada hari 'arafah, kerana telah thabit Sahih dianjurkan memperbanyak amalan pada 10 hari awal Zulhijjah dan ia termasuklah berpuasa, disamping bertakbir, serta bertahmid, dan hari 'arafah termasuk 1 hari dalam hari-hari 10 awal Zulhijjah. 

Dengan itu dianjurkan membanyak amal termasuklah salah-satunya dengan berpuasa pada hari 'arafah, hanya saja kelebihan yang disebutkan dalam hadith yang popular "diampunkan dosa-dosa satu tahun lalu serta mendatang" tidaklah Sahih. Suka saya mengulang ungkapan para guru-guru saya, "fiqh bagi sesuatu hadith itu lebih luas daripada tashih (penilaian Sahih) serta tad'if (penilaian Dha'if)", dan kaedah umum ini adalah perkara yang perlu jelas difahami. 

Fathi al-Sakandary 
8 Zulhijjah 1435H / 3 Oktober 2014M
Iskandariah, Mesir.

| | Read More »

Penjelasan Status Hadith: Doa Khusus Malam al-Qadr





|| Penjelasan Status Hadith: Doa Khusus Malam al-Qadr || 

Tiada hadith Sahih berkenaan doa khusus pada malam al-qadr, adapun hadith 'Aishah yang masyhur berbunyi (Allahumma innaka 'afuwwun, tuhibbul-'afwa, fa'fu 'anni) maka ia Dha'if, cacat isnad dan matan.

Baginya sekurang-kurang 2 penyakit:

1- Pertama cacat isnad: putusnya isnad antara 'Abdullah bin Buraidah dan 'Aishah, demikian sebagaimana fatwa para huffaz semisal al-Nasaie, al-Daraquthni, al-Baihaqi dan lainnya. Hadith yang putus isnad adalah Dha'if kerana telah hilang satu syarat utama hadith Sahih.

2- Kedua cacat matan hadith: ia menyebut apabila seseorang mengetahui atau mendapati malam al-qadr, maka apakah yang perlu dibaca? Ini tidak mungkin, kerana tiada tanda-tanda malam al-qadr yang sahih sebelum atau ketika ia berlaku, yang sahih hanya tanda selepas ia telah berlalu, maka mana mungkin seseorang tahu dia sedang berada dalam malam al-qadr untuk membaca doa ini? [Nota: telah saya jelaskan secara rinci hadith-hadith berkait tanda malam al-qadr dalam risalah saya bertajuk: Tanda malam al-qadr dari hadith yang sahih - http://ansarul-hadis.blogspot.com/2013/07/tanda-malam-al-qadr-dari-hadith-yang.html]

Selain huffaz Salaf semisal al-Nasaei, al-Daraquthni, al-Baihaqi, antara ulama hadith masa kini yang turut menDha'ifkan hadith ini ialah guru-guru kami Syaikhuna Thariq 'Iwadullah, Syaikhuna Maher Yasin al-Fahl kedua mereka dalam tahqiq mereka atas Bulughul Maaram, Syaikhuna al-Tharifi dalam kuliahnya berkenaan hadith-hadith cacat berkait puasa, serta Syaikhuna Basyar 'Awwad Ma'ruf dalam al-Musnad al-Musannaf al-Mua'allal, begitu juga al-Syaikh Muqbil Hadi al-Wadie.

Saya Abu Ismail berkata: walaupun hadith ini Dha'if, ia boleh diamalkan kerana ia hanya doa, dan tidak bersangkut hukum, serta intipati doanya tidak bercanggah dengan usul agama, kerana itu dalam sebahagian naskah al-Jami' al-Mukhtasar, al-Tirmizi menyebut hadith ini "Hasan Sahih" iaitu eloknya matan doa ini dan boleh diamalkan. Bahkan doa ini boleh dibaca pada bila-bila waktu, baik dalam bulan Ramadhan atau luar Ramadhan, dalam solat atau luar solat.

~ Fathi al-Sakandary ~

| | Read More »

Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.




Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.

* Petikan dari buku "Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi", Fathi al-Sakandary, halaman 47-52.


Tanda-tanda malam al-Qadr:

Satu perkara yang perlu diketahui, tiada sebarang riwayat Sahih berkenaan petanda khusus akan sifat sebelum atau semasa malam al-Qadr itu berlaku, riwayat yang datang dalam hal ini umpama malam itu bersih, bulan bersinar, sunyi, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk, tiada bintang, tidak berawan, tiada hujan, tiada angin, langit bewarna merah dan lain-lain semuanya lemah dan tidak terlepas daripada cacat cela!

Antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas secara marfu':


أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر : ليلة سمحة طلقة ، لا حارة ولا باردة ، تصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasul SAW berkata pada malam al-Qadr: "malam al-Qadr adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu sejuk, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (no. 2192), dan diDha’ifkan oleh Ibn Khuzaimah sendiri katanya:

إن صح الخبر فإن في القلب من حفظ زمعة

Maksudnya: “Sekiranya ia sahih, sesungguhnya aku mengesyaki (dalam hatiku) akan (kelemahan) hafalan Zam'ah".

 Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (3/1360) serta Fadha'il al-Awqat (no. 50) dan diDha’ifkannya sendiri, berkata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: "في إسناده ضعف - pada isnadnya kelemahan"), dan katanya lagi: " ضعيف - Dha'if".

Juga ialah sebagaimana yang datang daripada Jabir bin `Abdillah secara marfu', bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:

 و هي لية طلقة بلجة لا حارة و لا باردة

و زاد الزيادي : كأن فيها قمرا يفضح كواكبها و قالا : لا يخرج شيطانها حتى يضيء فجرها

Maksudnya: "...dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak pula sejuk". Dan menambah al-Ziyadi (perawi) akan lafaz "seakan-akan dalamnya ada Bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan tidak keluar sampai terbit fajr"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasarul Mukhtasar (no. 2190), hadith ini Dha'if.

Penyakitnya perawi bernama: Fudhail bin Sulaiman. Berkata Yahya ibn Ma'in tentangnya : "ليس بثقة - Tidak Thiqah".

Berkata Abu Hatim: "ليس بالقوى - Tidak Kuat, Lemah".

Dan berkata Abu Zur'ah tentangnya: "لين - Layyin / Lemah").

Berkata Syaikh Dr. Mustafa al-`Azhami akan hadith ini dalam tahqiqnya atas kitab Ibn Khuzaimah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut): " إسناده ضعيف - Isnadnya Dha'if"

Antaranya juga ialah sebagaimana yang datang daripada `Ubadah bin al-Somit secara marfu' , bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:

إِنَّ أَمَارَةَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ أَنَّهَا صَافِيَةٌ بَلْجَةٌ كَأَنَّ فِيهَا قَمَرًا سَاطِعًا سَاكِنَةٌ سَاجِيَةٌ لَا بَرْدَ فِيهَا، ولَا حَرَّ وَلَا يَحِلُّ 

لِكَوْكَبٍ أَنْ يُرْمَى بِهِ فِيهَا حَتَّى تُصْبِحَ، وَإِنَّ أَمَارَتَهَا أَنَّ الشَّمْسَ صَبِيحَتَهَا تَخْرُجُ مُسْتَوِيَةً لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ مِثْلَ 

الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَحِلُّ لِلشَّيْطَانِ أَنْ يَخْرُجَ مَعَهَا يَوْمَئِذٍ

Maksudnya: "Tanda-tanda malam al-Qadr adalah malam yang terang sepertinya Bulan terang, tenang, sunyi, tidak sejuk, tidak panas, tidak dihalalkan bagi bintang-bintang untuk dilemparkan pada malam itu hingga pagi, dan tanda-tandanya adalah di pagi harinya Matahari terbit sejajar, tidak mempunyai sinar seperti Bulan pada malam purnama, dan tidak halal bagi Syaitan untuk keluar pada saat itu"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 22765), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi’) kerana Khalid bin Ma'dan tidak pernah sama sekali mendengar daripada `Ubadah bin al-Somit, kata Imam Abu Hatim dalam al-Marasil (1/11(183)) :

خالد بن معدان لم يصح سماعه من عبادة بن الصامت

Maksudnya: “Khalid bin Ma'dan tidak sahih mendengarnya daripada `Ubadah bin al-Somit".
Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.

Bahkan matannya juga bermasalah iaitu padanya Gharabah, kata Imam Ibn Kathir:

في المتن غرابة - pada matannya Gharabah (keganjilan)" (Tafsir al-Qur'an al-`Azhim, Ibn Kathir, 8/466, tahqiq Muhammad `Asyur dan rakan-rakan, Dar al-Sya'b, Mesir)

Antaranya lagi ialah sebagaimana yang datang daripada Ibn Mas'ud secara marfu' menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya berkenaan malam al-Qadr seperti dibawah:


عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ: أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَتَى لَيْلَةُ الْقَدْرِ ؟ 

قَالَ: " مَنْ يَذْكُرُ مِنْكُمْ لَيْلَةَ الصَّهْبَاوَاتِ ؟

Maksudnya: "dari Abi `Ubaidah dari ‘Abdullah bin Mas'ud bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata; "bilakah terjadinya malam al-Qadr? maka Nabi SAW bersabda: "Siapakah antara kalian yang ingat akan malam yang berwarna merah-kemerahan itu?"

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 3565), hadith ini Dha'if, isnadnya putus (munqathi’) kerana Abi `Ubaidah - iaitu anak kepada Ibn Mas'ud - tidak pernah sama sekali mendengar hadith daripada Ayahnya, kerana ketika Ibn Mas'ud wafat usia Abu `Ubaidah masih sangat kecil.
Berkata Syu'bah dari `Amru bin Murrah katanya:

سألت أبا عبيدة بن عبد الله : هل تذكر من عبد الله شيئا ؟ قال : لا

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu `Ubaidah bin `Abdullah - bin Mas'ud - : "adakah kamu mendengar (balajar hadith, mendengar hadith) dari `Abdullah - bin Mas'ud - walau sedikit? jawab Abu `Ubaidah: Tidak pernah" (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231).

Berkata al-Tirmizi tentangnya:

لا يعرف اسمه ، و لم يسمع من أبيه شيئا

Maksudnya: “Tidak diketahui namanya, dan tidak pernah sama sekali mendengar dari Ayahnya walau sedikit " (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231).

Dan berkata al-Tirmizi lagi:

سألت محمد بن إسماعيل ... : قلت له : أبو عبيدة ما اسمه ؟ فلم يعرف اسمه ، وقال : هو كثير الغلط

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Muhammad bin Ismail (iaitu Imam al-Bukhari), kataku padanya: "Abu `Ubaidah siapakah namanya? Al-Bukhari menjawab tidak diketahui namanya, dan kata al-Bukhari lagi: dia banyak ghalat (silap dalam meriwayatkan hadith)" (`Ilal al-Tirmizi al-Kabir, no. 109).

Dan putusnya isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.

Sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, jelaslah bahawa tiada walaupun satu hadith Sahih berkenaan petanda malam al-Qadr sebelum atau semasa ia berlaku, namun sesetengah pencerita-pencerita sama ada dalam ceramah mereka, buku mereka atau blog mereka, menyebut bahawa pada malam samasa berlakunya al-Qadr itu Bulan terbit kelihatan seperti separuh belahan bekas berbentuk bulat.

Mereka menyandarkannya kepada sebuah hadith Sahih daripada Abu Hurairah seperti dibawah:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال تذاكرنا ليلة القدر عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال أيكم يذكر 

حين طلع القمر وهو مثل شق جفنة ؟

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah katanya "kami teringat akan malam al-Qadr disisi Rasulullah SAW, maka Beliau SAW pun bersabda: "Siapakah antara kalian yang teringat ketika Bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah (iaitu separuh belahan bekas berbentuk bulat)?"

Adakah dalam hadith di atas Nabi SAW telah memberitahu akan sifat khusus semasa malam al-Qadr itu berlaku kepada para Sahabat? jawabnya tidak! Hadith ini perlulah difahami dengan melihat huraian para ulama, antaranya kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini:

و ( الجفنة ) ... قال القاضي : فيه إشارة إلى أنها إنما تكون في أواخر الشهر ؛ لأن القمر لا يكون كذلك عند طلوعه إلا في أواخر الشهر

Maksudnya: "Dan (jafnah - iaitu separuh bekas berbentuk bulat) ... kata al-Qaadhi bin Iyadh: padanya isyarat bahawa ianya (iaitu al-Qadr) itu berlaku pada akhir-akhir Bulan, kerana Bulan tidak muncul (tidak terbit) sedemikian rupa (iaitu Bulan tidak terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk bulat) kecuali pada akhir-akhir bulan" [Rujuk: Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi, 8/66]

Berdasarkan penjelasan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh diatas, maksud kenyataan Nabi SAW dengan "Bulan muncul (terbit) seperti separuh bekas berbentuk bulat" itu bukanlah petunjuk khusus akan sifat malam al-Qadr, akan tetapi ia adalah petunjuk umum sahaja.

Iaitu Nabi SAW memberitahu para sahabat bahawa malam al-Qadr itu berlaku pada akhir-akhir bulan Ramadhan, kerana Bulan tidaklah terbit seperti separuh bekas berbentuk bulat melainkan pada malam-malam akhir setiap bulan secara umumnya.

Petunjuk yang Sahih berkenaan tanda malam al-Qadr hanyalah petunjuk selepas malam al-Qadr itu telah berlalu iaitu Matahari terbit pagi esoknya dengan tidak terlalu menyilau sebagaimana yang digambarkan oleh Ubay bin Ka'ab katanya:
وأمارتها أن تطلع الشمس في صبيحة يومها بيضاء لا شعاع لها

.. dan tanda-tandanya adalah matahari terbit di pagi hari dengan cerah namun tidak ada cahaya Matahari menyengat” [HR. Muslim, no: 762]

Maka untuk mendapatkan malam al-Qadr, mahu tidak mahu seseorang itu perlu beribadah pada kesemua 10 malam akhir Ramadhan! terutama pada malam-malam ganjil. Kerana petunjuk yang Sahih hanyalah petunjuk setelah malam al-Qadr itu telah berlalu. Dengan itu berkata guru kami Syaikhuna al-Hafiz al-Muhaddith `Abdul `Aziz Marzuq al-Tharifi:


"Tanda-tanda sebelum dan ketika berlakunya malam al-Qadr itu tidak sahih kesemuanya, adapun selepas ia berlaku maka telah datang dalil sahih iaitu sebagaimana yang diriwayatkan dalam al-Sahih (Sahih Muslim) bahawa pagi keesokan malam al-Qadr itu matahari terbit tanpa menyilau, tetapi petunjuk yang sahih ini berlaku selepas malam al-Qadr itu berlalu" 


| | Read More »

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign