Penjelasan Status Hadith: Anjuran menuntut ilmu ke negara Cina

| |





Penjelasan Status Hadith:
Anjuran menuntut ilmu ke negara Cina



Matan(Teks) Hadith: 


اطلبوا العلم ولو بالصين


Terjemahan: "Tuntutlah ilmu walau ke negara Cina" 

Status:

Tiada hadith yang Sahih dalam bab ini walaupun satu, bahkan semuanya adalah Palsu, Batil, Tiada Asalnya sebagaimana yang telah dijazamkan oleh para huffaz hadith Salaf al-Mutaqaddimin. 

Kata Imam al-Khallal: 

أخبرني المروذي، أن أبا عبدالله ذكر له هذا الحديث، فأنكره إنكار شديداً

Terjemahan: "Telah mengkhabarkanku al-Marwazi sesungguhnya Abu `Abdullah (iaitu Imam Ahmad) ditanya akan hadith ini, maka dia (Imam Ahmad) mengingkarinya dengan sekeras-kerasnya" [al-Muntakhab Min `Ilal al-Khallal, 1/15]

Kata Imam al-Bazzar: 


فليس لهذا الحديث أصل

Terjemahan: "Tiada bagi hadith ini akan asal" [Musnad, 1/175]

Bahkan kata Imam Ibn Hibban: 

باطل لا أصل له


Terjemahan: "Batil, tiada asalnya" [al-Maqasid, 63, al-Fawaid al-Majmu'ah, 1/124]

Hadith ini datang dengan 4 jalur dan kesemuanya adalah Palsu, Batil. Saya akan menjelaskannya satu persatu di bawah: 

#1: Jalur Abi `Atikah dari Anas

Jalur ini dikeluarkan antaranya oleh al-Khallal dalam al-`Ilal (63), Ibn `Adiy dalam al-Kamil Fi al-Dhua'fa' (4/118), Abu Nu'aim dalam Akhbar al-Asbahan (2/156) dan lain-lain kesemuanya dari jalur al-Hasan bin `Athiyyah bin Najih dari Abi `Atikah dari Anas secara Marfu'.

Jalur ini adalah Munkar bahkan Maudhu' (Palsu), padanya beberapa penyakit: 

1- Tafarrud (menyendirinya) al-Hasan bin `Athiyyah dari Abi `Atikah dari Anas. Kata Ibn `Adiy :

 ما أعلم يرويه غير الحسن بن عطية عن أبي عاتكة عن أنس


Terjemahan: "Tidaklah diketahui ia melainkan dari jalur al-Hasan bin `Athiyyah dari Abi `Atikah dari Anas" [al-Kamil Fi al-Dhua'fa', 1/178]

2- Bersama-sama dengan tafarrudnya Abi `Atikah, dia juga adalah seorang yang mendustai hadith, mencipta hadith Palsu. 

Kata Abu Hatim tentangnya: 


ذاهب الحديث

Terjemahan: "mencuri dan mendustai hadith" [Tahzib al-Kamal, 8193]

Kata al-Bukhari pula: 


منكر الحديث


Terjemahan: "Munkar al-Hadith (iaitu hadith-hadithnya Munkar, terlalu banyak silap)". [al-Tarikh al-Kabir, 4/357]

Bahkan kata Ibn `Abdil Baar al-Qurthubi: 

ذكره السليمانى فيمن عرف بوضع الحديث


Terjemahan: "al-Sulaimani menyebutnya sebagai salah seorang yang dikenali memalsukan hadith" [Tahzib al-Tahzib, 12/142]

Kata Ibn Hibban pula:


أبو عاتكة منكر الحديث جدا،
 يروى عن أنس مالا يشبه حديثه وربما روى عنه ما ليس من حديثه

روى أبو عاتكة عن أنس عن صلى الله عليه وسلم قال: اطلبوا العلم ولو بالصين


Terjemahan: "Abu Atikah adalah Munkarul Hadith Jiddan, dia meriwayatkan dari Anas apa yang tidak menyerupai (iaitu bukan milik) hadith Anas, kemungkinan dia meriwayatkan dari Anas apa yang bukan dari hadith Anas, iaitu dia Abu Atikah meriwayatkan dari Anas dari Nabi sabdanya: tuntutlah ilmu walau ke negara Cina" [al-Majruhin, 1/382]. 

Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkan hadith ini dengan jalur ini dalam kitabnya al-Maudhu'at yang merupakan kitab himpunan hadith-hadith Palsu.

#2: Jalur Ya'qub al-`Asqalani dari Anas

Jalur ini dikeluarkan oleh Ibn `Abdil Baar dalam Jami' Bayan al-`Ilm Wa Fadhlih (1/9) dari jalur Ya'qub bin Ishaq bin Ibrahim bin al-`Asqalani dari `Ubaid bin Muhammad al-Firyabi dari Ibn `Uyainah dari al-Zuhri dari Anas secara Marfu'. 

Jalur ini adalah Munkar bahkan Maudhu' (Palsu), padanya beberapa penyakit: 

1- Ya'qub bin Ishaq bin Ibrahim bin al-`Asqalani adalah seorang yang mendustai hadith sebagaimana yang disebutkan dalam al-Laali al-Masnu'ah Fi Ahadith al-Maudhu'ah (1/175) karya al-Suyuthi.

2- Tidak diketahui akan hadith ini dari Ibn `Uyainah dan al-Zuhri melainkan jalur ini, sedangkan mereka berdua adalah huffaz besar yang mempunyai ramai murid, dan ini menunjukkan bahawa jalur ini adalah Munkar. Tidak lain tidak bukan hanyalah satu kesilapan dan pendustaan.

#3: Jalur Jabir bin Zaid dari Anas

Jalur ini ditemui dalam kitab Tartib al-Musnad yang kononnya karya al-Rabi' bin Habib (18), katanya dari Abu `Ubaidah dari Jabir bin Zaid dari Anas secara Marfu'. 

Jalur ini adalah Palsu kerana kitab Tartib al-Musnad adalah kitab palsu ciptaan Ibadiyah terkemudian, bahkan al-Rabi' dan gurunya adalah rekaan serta tidak pernah wujud pun sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ahli ilmu semisal Syaikh al-Musnid Ziyad al-Tuklah, Syaikh Sa'd al-Humaid, al-Albani dan lainnya. 


#4: Jalur Abi Salamah dari Abi Hurairah

Jalur ini dikeluarkan Ibn `Adiy (1/177) dari Muhammad bin Karam dari Ahmad al-Juwaibari dari al-Fadhl bin Musa dari Muhammad bin `Amru dari Abi Salamah dari Abi Hurairah secara Marfu'. 

Jalur ini adalah Palsu, penyakitnya ialah al-Juwaibari yang memalsukan hadith ini. Bahkan kata Imam Ibn `Adiy sendiri: 


وهذا بهذا الإسناد باطل


Terjemahan: "Ini dengan isnad ini adalah Batil (Palsu)" [al-Kamil Fi al-Dhua'fa',1/177]

Bantahan kepada mereka yang cuba menguatkan hadith ini:

Sesetengah manusia zaman moden kini bersemangat membela hadith Palsu ini, mereka berhujah dengan kata Imam al-Mizzi. Dalam tulisan mereka, mereka membuat persepsi kepada awam bahawa Imam al-Mizzi menyatakan hadith ini walaupun Dha'if setiap jalurnya namun disebabkan banyak jalurnya maka ia automatis naik taraf menjadi Hasan (mengikut istilah Mutaakhkhirin). Persoalannya adakah benar dakwaan mereka ini? 

Untuk mengetahui hal yang sebenar, maka eloklah kita merujuk kepada kata Imam al-Mizzi sendiri, iaitu kata beliau: 


إن له طرقاً ربما يصل بمجموعها إلى الحسن


Terjemahan: "Sesungguhnya padanya ada beberapa jalur, kemungkinan dengan himpunan jalur-jalur itu ia boleh mencapai ke darjat Hasan". 

Perhatikan dalam ayat Imam al-Mizzi itu, jelas bahawa al-Mizzi tidak pernah memastikan bahawa hadith ini semestinya mencapai Hasan (tepatnya disebut Hasan Li Ghairihi) dengan sebab bayaknya jalurnya, akan tetapi al-Mizzi hanyalah menyebut kemungkinan ia boleh dinaikkan ke tahap Hasan kerana ia mempunyai banyak jalur. 

Bagi mereka yang mendalami, mahir serta masak ilmu hadith, sudah pasti berjaya menangkap bahawa al-Mizzi tidak menaikkan hadith itu kepada Hasan, sebaliknya hanya menyatakan kemungkinan ia boleh dinaikkan kepada Hasan kerana banyaknya jalur, bagaimana hendak memastikan kemungkinan itu wujud atau tidak mestilah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam disiplin ilmu hadith. 

Hadith Dha'if yang bagaimanakah boleh dinaikkan kepada Hasan? 

Bagi para ahli hadith, umumnya sesuatu hadith Dha'if itu boleh dinaik taraf menjadi Hasan iaitu Hasan Li Ghairihi (istilah Mutaakhkhirin) kerana banyaknya jalur dengan beberapa syarat iaitu: 

1- Jalur-jalur itu mestilah mempunyai lafaz matan hadith yang sama secara penuh untuk hadith yang hendak diperkuatkan itu, atau pun kebanyakan lafaz matan, atau pun ia membawa makna matan hadith itu secara penuh. 

2- Jalur hadith itu mestilah bukan jalur yang Syadid al-Dha'f / Dha'if Jiddan(Tersangat Lemah). Iaitu jalur itu Dha'if kerana kritikan pada kekuatan Dhabit perawinya dan bukan pada `Adalah perawinya, jika sesuatu jalur itu Dha'if kerana kelemahan `Adalahnya misalnya perawi itu dikriitk sebagai fasiq atau pendusta atau pemalsu hadith maka hadith itu tidak boleh sama sekali diperkuatkan. Jika jalur itu Syadid al-Dha'f kemudian datang pula jalur lain yang juga Syadid al-Dha'f maka ini hanya akan menguatkan Syadid Dha'ifnya dan tidak akan sama sekali menaikkannya kepada Hasan. 

3- Hadith yang hendak dinaikkan taraf itu mestilah isinya tidak bercanggah dengan hadith-hadith Sahih yang sedia ada.

4- Hadith yang hendak dinaikkan taraf itu mestilah bukan hadith yang Syaz dan Munkar, sekiranya sesuatu hadith itu Dha'if kerana Syaz, Munkar atau Mukhalafah maka ia sama sekali tidak boleh diperkuatkan. Kata Imam Ahmad: 

المنكر أبداً منكر


Terjemahan: "Hadith Munkar kekal Munkar selama-lamanya" [al-`Ilal al-Marwazi, 87]

Ini kerana hadith Syaz dan Munkar adalah hadith yang silap disebabkan kesilapan perawi yang meriwayatkannya, sesuatu yang silap akan kekal silap. 

Satu perkara penting yang perlu diketahui, ulama hadith Salaf al-Muqaddimin semisal Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari, Muslim, Abu Hatim, Abu Zur'ah, `Ali ibn al-Madini dan lainnya, disisi mereka tiada satu kaedah tetap yang digunakan untuk menaikkan taraf hadith Dhaif kepada Sahih. Kaedah menaikkan hadith Dha'if kepada Sahih dengan hanya melihat banyaknya jalur tidak pernah wujud disisi mereka, sebaliknya mereka melihat kepada qarain-qarain serta murajjihat-murajjihat (petunjuk-petunjuk kuat) tertentu bukan sekadar jumlah jalurnya. 

Qarain-qarain serta murajjihat-murajjihat ini berbeza-beza mengikut sesuatu hadith dan tidaklah tetap. Bahkan banyak hadith-hadith yang mempunyai banyak jalur tetap dinilai Dha'if serta Tiada Asalnya oleh para huffaz hadith Salaf Mutaqaddimin, bahkan terlalu banyak jalur untuk sesuatu hadith itu boleh menjadi qarain (petunjuk) bahawa hadith itu Palsu! 

Dalam apa jua keadaan, jumlah qarain yang boleh menaikkan darjat hadith ataupun mempengaruhi darjat akhir sesuatu hadith itu tidak boleh diringkaskan dalam senarai umum pendek atau formula tertentu, kerana itu kata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Syarah `Ilal al-Tirmizi: 


لهم في كل حديث نقد خاص ، وليس عندهم لذلك ضابط يضبطه


Terjemahan: "Disisi mereka (para huffaz Salaf Mutaqaddimin) kritikan (penilaian) bagi setiap hadith itu adalah unik, tiada disisi mereka akannya kaedah-kaedah atau formula-formula yang diikuti secara tetap" [Syarah `Ilal al-Tirmizi, 2/27], 

Maksudnya satu-satu hadith itu mempunyai qarain dan murajjihatnya tersendiri dalam menentukan Sahih dan Dha'ifnya, tiada satu formula atau kaedah yang boleh diringkaskan untuk mencakupi kesemua hadith-hadith.

Amalan menaikkan taraf hadith dengan melihat banyaknya jalur-jalur ini sebenarnya lebih banyak dipelopori oleh golongan fuqaha' serta sekelompok ahli hadith Mutaakhkhirin yang terpengaruh dengan kaedah-kaedah fuqaha' dalam menilai hadith, dan al-Mizzi termasuk dalam kelompok ini. Bahkan sesetengah mereka semisa al-Suyuthi amat tasahul (bermudah-mudah) menaikkan taraf hadith, ini bercanggah dengan manhaj para huffaz hadith Salaf al-Mutaqaddimin yang mana mereka amat jarang menaikkan taraf sesuatu hadith. 

Walaubagaimanapun, kesemua ahli hadith baik Mutaqaddimin atau Mutaakhkhirin mereka hanya akan menaikkan taraf sesuatu hadith itu apabila ia telah mencukupi syarat-syarat yang telah kita sebutkan sebelum ini. Bezanya Mutaakhkhirin melihat syarat-syarat itu secara mutlak, kerana itu mereka amat bermudah menaikkan taraf sesuatu hadith asal saja menepati syarat-syarat itu, manakala Mutaqaddimin akan melihat syarat-syarat itu bersama lain-lain qarain dan murajjihat kerana itu kita dapati mereka amat susah hendak menaikkan taraf sesuatu hadith bahkan banyak hadith-hadith yang telah mencukupi syarat-syarat untuk dinaikkan taraf masih tetap dinilai Dha'if secara konsisten. 

Baik, berbalik kepada 4 syarat yang telah disebutkan sebelum ini, adakah hadith "اطلبوا العلم ولو بالصين - Tuntutlah ilmu walau ke negara Cina" ini menepati dan mencukupi syarat-syarat yang disebutkan? Jawabnya sudah tentu tidak! kerana setiap jalur-jalur hadith ini Syadid al-Dha'f bahkan berlegar sekitar pendusta dan pemalsu hadith. 


Perhatikan, jalur #1 adalah Munkar dan padanya pendusta, jalur #2 pula juga Munkar dan padanya pendusta, jalur #3 pula adalah palsu secara asalnya, manakala jalur #4 pula padanya pendusta. Jelaslah bahawa walaupun hadith ini mempunyai jalur-jalur yang banyak namun kesemua jalur itu tidak menepati syarat-syarat untuk dinaikkan taraf menjadi Hasan (iaitu Hasan Li Ghairih). Maka jawapan untuk kenyataan al-Mizzi sebelum ini, mungkin atau tidak ia dinaiikkan taraf? sudah tentu jawabnya tidak sama sekali! Dengan itu kesimpulannya hadith ini adalah Palsu bahkan tiada satupun riwayat yang Sahih dalam bab ini.



Sekian, Moga brmanfaat
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Sakandary

Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 11:10 AM. Filed under , .

3 comments for "Penjelasan Status Hadith: Anjuran menuntut ilmu ke negara Cina"

  1. Jazakallahu khairan ya akhuna.. ana pernah menulis berkaitan ini...ramai yang semacam tak percaya..bahkan ramai juga yang mengkritik.. ana cuma menyatakan kedhaifannya hadith, bukan menyatakan menuntut ilmu itu dhaif atau tidak perlu... Allahulmusta'an.. semoga Allah sentiasa menjaga akhuna Fathi, atas usaha dan kecintaan terhadap al-hadith wa al-athar

  2. Terima kasih Ustaz Fathi. Cuma, ana mendapati ada yang tidak kena pada nukilan yang ustaz ambil daripada al-Mizzi yang berbunyi: إنه له طرقاً ربما يصل بمجموعها إلى الحسن; kerana yang sepatutnya adalah: إن له طرقًا... bukan sebagaimana yang dikemukakan kerana إن tidak menasabkan dua ism sekali gus: dhamir al-sya'n ه dan طرق.

    Jika ana salah minta betulkan. Wassalam.

  3. Saya telah semak dan ternyata ada kesilapan cetakan, dan saya bersetuju yg benar ialah إن له dari segi tatabahasa arab, terima kasih dan saya telah betulkannya. Barakallahufikum

New comments are not allowed.
Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign