Kisah Imam al-Bukhari bersama Penghutang yang melarikan diri

| |






Imam al-Bukhari seorang Pemiutang budiman, 
kisah beliau bersama  Penghutang yang melarikan diri:


Oleh: Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary


Imam al-Zahabi meriwayatkan dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/446), dan juga Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Subki (2/227) dengan sanad mereka bahawa Imam Muhammad ibn Abi Hatim berkata ketika beliau berada di kota Firabr bersama Imam al-Bukhari, beliau mendengar khabar berita bahawa seorang lelaki fulan baru sahaja tiba di kota Aamul. Lelaki itu seorang yang 'penting' kerana dia telah berhutang dengan Imam al-Bukhari dengan sejumlah hutang yang besar (iaitu sebanyak 25,000 Dirham). 

Imam Muhammad ibn Abu Hatim dan lain-lain yang bersama-sama Imam al-Bukhari pun berkata kepada Imam al-Bukhari: "kamu mesti kesana (iaitu ke Aamul) dan tuntut wang kamu daripadanya", jawab Imam al-Bukhari: "bukanlah hak kita untuk kesana dan menakut-nakutkan dia". Namun, telah terlambat kerana sebaik sahaja  si lelaki Penghutang itu mendapat tahu bahawa Imam al-Bukhari berada di  kota Fibrabr (yang dekat dengan kota Aamul), maka dia pun meninggalkan Aamul dan pergi melarikan diri ke kota Khawaarizm. 

Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakannya kemudian berkata kepada Imam al-Bukhari: "kita perlu beritahu hal ini kepada gebenor kota Aamul iatu Abu Salamah al-Kashshaanee meminta agar beliau menulis surat kepada gabenor Khawaarizm, memerintahkan supaya lelaki Penghutang itu ditangkap, dan memerintah agar apa yang berhak kepada kamu dikembalikan kepada kamu (iaitu dibayar hutang)". Apabila mendengarkan cadangan ini Imam al-Bukhari membantah seraya berkata: "sekiranya aku meminta pihak pemerintah agar menulis surat arahan itu, nescaya mereka  - pemerintah - akan meminta sesuatu daripadaku sebagai balasan (iaitu mempergunakan Imam al-Bukhari untuk kuasa politik) dan aku tidak sama sekali akan menjual agamaku kerana suatu hal yang tidak penting daripada bahagian keduniaanku". 

Akhirnya Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakanya gagal meyakinkan Imam al-Bukhari agar mengejar si lelaki Penghutang itu, maka mereka membuat keputusan untuk bertindak sendiri-sendiri. Tanpa memberitahu Imam al-Bukhari, mereka pergi bertemu gabenor yang kemudiannya menulis surat yang ditujukan kepada gabenor Khawaarizm kepada mereka. Apabila Imam al-Bukhari mengetahui akan hal yang telah mereka lakukan, beliau berkata kepada mereka: "jangan lah kamu tunjukkan belas kasihan kepadaku atas perkara-perkara yang aku sendiri tidak tunjukkan belas kasihan kepada diriku sendiri". Kemudian Imam al-Bukhari menulis banyak surat-surat mengarahkan rakan-rakan beliau yang berada di kota Khawaarizm untuk tidak menangkap atau mengganggu si lelaki Penghutang itu, sebaliknya melayan dia dengan baik. 

Kemudian si lelaki Penghutang itu melarikan diri ke kota Marwu. Ketika itu gabenor di kota Marwu telah masuk campur dan ingin menghukum si lelaki yang berhutang dengan Imam al-Bukhari itu dengan hukuman undang-undang, dan ini sangat mendukacitakan Imam al-Bukhari. Maka Imam al-Bukhari pun keluar pergi mencari si lelaki Penghutang itu sendiri, dan apabila Imam al-Bukhari bertemu lelaki tersebut beliau sangat berlembut dengan dia. Lelaki itu berhutang sebanyak 25,000 Dirham daripada Imam al-Bukhari, pun begitu Imam al-Bukhari bersetuju untuk mengambil sebanyak 10 Dirham sahaja setiap bulan daripadanya (iaitu Imam al-Bukhari bersetuju agar si lelaki itu membayar hutang secara ansuran dengan 10 Dirham sebulan). Imam al-Bukhari telah menyelamatkan si lelaki Penghutang itu daripada hukuman undang-undang pihak Pemerintah, dan Imam al-Bukhari tidak meminta wang lebih walaupun 1 Dirham daripada lelaki itu (iaitu tiada sebarang riba dikenakan)" [Rujuk: al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/ 446), al-Subki, Tabaqat al-Subki (2/227)]



Sekian dikongsi, moga bermanfaat
Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary
Iskandariah, Mesir
5 September 2011


Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 6:03 AM. Filed under .

1 comments for "Kisah Imam al-Bukhari bersama Penghutang yang melarikan diri"

  1. kisah ini juga menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari bukanlah seorang yg miskin papa kedana sebagaimana sangkaan sstgh pihak, kerana orang yang miskin mana boleh beri hutang sebanyak 25,000 driham, hanya yang berduit saja yg boleh beri hutang.

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign