Siapakah Antara Ahli Madinah itu?


Gambar: bandar Madinah


Siapakah Antara Ahli Madinah itu?


Berkata al-Hafiz al-Nasa'i dalam risalahnya; Tasmiyyah Fuqaha' al-Amsar min al-Sahabah famin Ba'dahum: 


"Sahabat dari kalangan Ahli Madinah itu adalah `Umar bin al-Khattab, dan Zaid bin Thabit, dan `Abdullah bin `Umar dan `Aishah, 


Dan daripada kalangan Tabi'in pula ialah Sa'id bin Musayyib dan `Urwah bin al-Zubair, dan Abu Salamah bin `Abd al-Rahman, dan `Ubaidillah bin `Abd al-Allah bin `Utbah, dan Sulaiman bin Yasar, dan Kharijah bin Zaid bin Thabit dan Abu Bakr bin `Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam dan `Ali bin al-Husain, dan al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr al-Siddiq, dan Salim bin `Abd al-Allah bin `Umar, dan Abu Ja'far bin Muhammad bin `Ali dan `Umar bin `Abd al-`Aziz, 


Manakala yang selepas mereka pula ialah `Abd al-Allah bin Zaid bin Hurmuz, dan Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri, dan Rabi'ah bin Abi `Abd al-Rahman, dan Abu al-Zinad `Abd al-Allah bin Zakwan, dan Yahya bin Sa'id al-Ansari, 


Manakala yang selepas mereka pula ialah Malik bin Anas, dan `Abd al-`Aziz bin Abi Salamah al-Majishun,


Manakala dari kalangan Ashab Malik yang merupakan Ahli Madinah pula ialah, `Abd al-Malik bin `Abd al-Aziz al-Majishun" 


Sekian dikongsi, 
Abu Ismail Muhammad Fathi `Ali al-Tabib



| | Read More »

Pencerahan Hadith-Hadith Dhaif dalam kitab-kitab Muhammad Abdul Wahhab (SMAW)




Pencerahan Hadith-Hadith Dhaif dalam kitab-kitab Muhammad Abdul Wahhab (SMAW)

Seseorang yang mulia telah bertanya saya dalam laman ilmu al-Fikrah.net (AFN) berkenaan kewujudan hadith-hadith dhaif dalam Kitab al-Tauhid iaitu sebuah kitab aqidah karya Muhammad Abdul Wahhab (SMAW), persoalan kenapakah wujud hadith-hadith dhaif dalamnya sedangkan umum mengetahui bahawa hadith-hadith dhaif tidak dibuat hujah dalam aqidah? (Soalan asal rujuk disini: http://www.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&p=800700#800700 )



Saya katakan: dalam Kitab al-Tauhid, sebenarnya tiada hadith dhaif bagi Syaikh Muhammad Abdul Wahhab (SMAW), bahkan beliau sendiri dalam kebanyakan tempat dalam kitab tersebut telah menyatakan darjat hadith yang dinukilkannya berdasarkan ijtihad beliau sendiri, kerana beliau juga seorang muhaddith pada zamannya. Apa yang sahih bagi SMAW mungkin saja dhaif bagi ulama lain, begitu juga sebaliknya.

Perlu diketahui bahawa SMAW adalah seorang imam, ulama yang mahir bukan sahaja dalam aqidah tetapi juga dalam tafsir, fiqh dan hadith. Cuma beliau lebih terkenal sebagai mujaddid aqidah pada zamannya. Selain kitab-kitab aqidah, beliau ada menulis beberapa kitab fiqh dan hadith misalnya "Adab al-Mashi Ila al-Solah" yang merupakan sebuah kitab fiqh tatacara solat (sifat solat Nabi), "Mukhtasar Fathul-Bari" yang merupakan ringkasan kepada kitab Fathul-Bari iaitu syarahan Sahih al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar yang sudah pasti dalamnya terkandung perbahasan fiqh dan hadith, bahkan kepakaran SMAW dalam hadith lebih terserlah dengan kitab beliau "Majmu’ al-Hadith ‘Ala Abwab al-Fiqh" yang merupakan himpunan hadith-hadith Nabi SAW berdasarkan bab-bab fiqh yang turut memasukkan athar-athar Salaf yang berkaitan.

Ketokohan SMAW dalam hadith diakui tidak sedikit para ulama, antaranya berkata Syaikh Uthman bin Basyir al-Najdi (wafat 1215) katanya: "وَكَانَ -رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى- فِي صِغَرِهِ كَثِيْرَ الْمُطَالَعَةِ فِي التَّفْسِيْرِ وَالْحَدِيْثِ وَكَلامِ العُلَمَاءِ فِي أَصْلِ الإسْلامِ، ... - Adalah SMAW - rhm - pada usi kecilnya banyak menela'ah dalam tafsir, hadith, dan kata-kata ulama dalam cabang-cabang asas (utama) islam...".

SMAW belajar hadith dan mengambil ijazah hadith dari beberapa ulama hadith zamannya, antaranya ialah al-Syaikh al-`Allamah al-Faqih al-Muhaddith `Abdullah bin Ibrahim al-Saif, juga beliau mengambil ijazah hadith dari al-Muhaddith al-Kabir al-`Allamah Muhammad Hayah al-Sindi al-Madani, juga beliau belajar dan mengambil ijazah hadith dari al-Syaikh al-`Allamah al-Muhaddith Ismail al-`Ajluni iaitu pengarang kitab hadith yang terkenal "Kashful Khafa' " dan lain-lain ulama hadith.

Allah hu'alam
~ Fathi Al-Sakandary / 9 Dis 2011 / Iskandariah~



| | Read More »

Syaikh al-Albani & doa pengantin baru




Syaikh al-Albani & doa pengantin baru



Bismillah, Alhamdulillah.. wa ba'd. Seorang muslimah yang mulia telah bertanya saya persoalan dibawah: 


----------- Jawapan: 


Wa'alaikumussalam. Saya akan cuba menjawab persoalan saudari sekadar kemampuan saya insyaAllah. 

Jawapan soalan no. 1) 

Berkenaan hadith doa yang diucapkan kepada para pengantin baru tersebut, adakah ia sebenar-benarnya sahih? jawabnya, ya  ia adalah hadith Sahih.

Hadith itu dikeluarkan antaranya oleh al-Tirmizi (no. 1091), Abu Daud (no. 2130), Ibn Majah (no. 1559) dari Abu Hurairah secara marfu' kepada Nabi SAW. Ia adalah hadith Sahih, disahihkan oleh jamaah ulama hadith terdahulu dari kalangan huffaz mutaqaddimin dan mutaakhkhirin antaranya oleh al-Tirmizi katanya 'Hasan Sahih', Ibn Hibban (sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar dalam Bulugh al-Maaram, 289), al-Nawawi (al-Azkar, 356) , Ibn Daqiq al-`Eid (al-Ilmam bi-Aḥadīth al-Aḥkam, 2/622), al-Suyuti (al-Jami' al-Saghir, 6704) dan lain-lain.

Manakala antara ulama hadith moden yang turut menerima maqbul (samada sahih/hasan) hadith ini ialah Muqbil Hadi al-Wadi'i katanya 'Hasan' (al-Sahih al-Musnad mimma Laisa fi al-Sahihain, 1295), Syu'aib al-Arnaut katanya 'Sanadnya kuat, perawinya perawi al-Sahih' (tahqiq Musnad Ahmad, 2/381), Husin Salim Asad (tahqiq Sunan al-Darimi, 2/180), al-Albani dalam tahqiq Sunan al-Tirmizi (1091) menyatakan 'Sahih', begitu juga dalam Adab al-Zifaf (102) katanya 'Sahih atas syarat Muslim'. 

Kesimpulannya hadith ini Sahih zaman berzaman dan saya tidak menjumpai para ulama hadith yang menolaknya. Dan penilaian Syaikh al-Albani untuk hadith ini adalah tepat, bahkan bertepatan dengan penilaian para ulama hadith besar Salaf semisal Imam al-Tirmizi dan lain-lain yang menilainya Sahih. 

Jawapan soalan no. 2) 

Adakah kita boleh menggunakan apa-apa yang dinyatakan oleh al-Albani? Jawabnya ialah; kita melihat Syaikh al-Albani sebagaimana kita melihat para ulama hadith moden lainnya tanpa sebarang bias dan prejudis. Kita mengiktiraf keilmuan beliau dalam lautan ilmu hadith dan beliau adalah salah seorang kapal dalam lautan yang luas tersebut. Kita menerima apa yang dinyatakan al-Albani berdasarkan hujah yang beliau kemukakan, dan kita juga boleh menolak apa yang yang beliau katakan dengan hujah ilmiah juga. Kerana penilaian hadith adalah ijtihad , dan ijtihad seseorang boleh tersilap, dan tiadalah manusia itu yang terlepas daripada kesilapan melainkan Nabi SAW yang maksum.  

Syaikh al-Albani adalah seorang ulama' yang telah menghabiskan masa hidupnya untuk membela Sunnah Nabi SAW hingga ke akhir hayat beliau, bahkan al-Albani pernah berkata dalam satu ungkapan beliau yang sangat masyhur: 

"Dengan senantiasa berharap agar Allah Subhanahu wa Taala menambahkan kurnianya kepadaku dan menjadikan nikmat ini tidak dicabut hingga kematian tiba, serta mewafatkanku sebagai muslim diatas sunnah yang aku telah bernazar untuk itu kehidupanku adalah dakwah dan menulis." (Syaikh Al-Albani)


Ketokohan dan kredibiliti syaikh al-Albani adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan oleh semua penuntut ilmu, dapat kita lihat pujian para ulama sezaman terhadap beliau.

Antaranya Syaikh Ibn Baaz pernah berkata,

“Syaikh Muhammad Nashiruddin al Albani adalah mujaddid zaman ini dalam dugaanku, wallahu a’lam” (Majalah As-Solah, Jordan,  Edisi 23/Sya’ban/1420 H., hal. 76)

Begitu juga kata Syaikh al-Uthaimin: 

“Ahli hadits negeri Syam, pemilik ilmu yang sangat luas tentang hadits secara riwayah dan dirayah. Allah Ta’ala menganugerahkan manfaat yang banyak kepada manusia melalui karya-karya ilmiahnya berupa ilmu dan semangat mempelajari ilmu hadits” (Hayatul Albani 2/543 oleh Muhammad bin Ibrahim ays Syaibani)


Maka prinsip kita terhadap Syaikh al-Albani ialah kita menerima dengan hujah, dan sekiranya kita tolak maka kita menolak dengan hujah juga. Tidaklah kita taksub kepadanya, dan tidaklah juga kita prejudis dan menolaknya mentah-mentah. Tidaklah benar sikap mereka yang menolak beliau mentah-mentah, dan tidak benar juga sikap mereka yang menerima ijtihad beliau bulat-bulat sebagai sesuatu yang qath'e.

Jawapan soalan no. 3) 

Ada yang menyatakan bahawa Syaikh al-Albani sesat dan banyak melakukan penyelewangan hadith? adakah benar? Jawabnya; demi Allah yang jiwaku berada dalam tanganNya, saya katakan bahawa Syaikh al-Albani tidak sesat dan beliau tidak melakukan penyelewengan dalam hadith. Hanya mulut-mulut jahat dan dengki kepadanya saja yang mencipta tuduhan-tuduhan palsu kepada beliau. Sebaliknya apa yang berlaku ialah beliau terkadang tersilap dalam ijtihad beliau dalam menilai hadith, dan hal ini biasa lumrah bagi semua pengkaji hadith. 

Syaikh al-Albani adalah seperti manusia lainnya yang tidak terlepas daripada melakukan silap, dan silapnya beliau sudah tentu sedikit berbanding jasa beliau yang sangat banyak. Tidak dinafikan, ssememangnya terdapat beberapa penilaian hadith beliau yang didapati oleh para ulama' dan pengkaji lainnya sebagai tidak tepat dan tersilap, kerana beliau didapati agak tasahul (bermudah-mudah) untuk hadith itu, kesilapan itu hal biasa, dan silapnya al-Albani pun beliau telah mendapat satu pahala atas ijtihad beliau, dan ia tidak sedikit pun menjatuhkan kredibiliti beliau dalam lapangan dunia ilmiah.

Pernah syaikh Ibn Baaz sendiri di tanya berkenaan tashih (pensahihan) dan tadh'if (pendhaifan) hadith oleh syaikh Al-Albani:

السؤال : ما هو رأي سماحتكم في الاعتماد على ما صححه الألباني؟.

الشيخ محمد ناصر الدين الألباني من خيرة الناس , وهو من العلماء المعروفين بالاستقامة , والعقيدة الطيبة والجد في تصحيح الأحاديث وبيان حالها وهو عمدة في هذا الباب ؛ ولكن ليس بمعصوم ، قد يقع منه خطأ في تصحيح بعض الأحاديث أو تضعيفها ، مثل غيره من العلماء 

solan: 

apakah pendapat samahah (Ibn Baaz , mufti ketika itu) dalam bab berpegang atas hadith-hadith yg di sahihkan oleh Al-Albani?

jawab Syaikh Ibn Baaz:

Al-Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani adalah dari manusia yg baik (mulia), beliau adalah daripada kalangan ulama-ulama yang dikenal dengan sifat istiqamahnya, aqidahnya bagus (iaitu aqidah beliau adalah aqidah salaf dan beliau berpegang teguh dgnnya), dan dia bagus (jayyid) dalam tashih hadith-hadith dan menjelaskan hal yang berkaitan dengannya, dan beliau adalah (antara -pent) tiang dalam bab ini, namun beliau bukannya ma'sum, sesungguhnya memang terdapat padanya beberapa kesilapan-kesilapan dalam mensahihkan atau mendhaifkan beberapa hadith, sama seperti ulama-ulama yg lainnya...

[rujuk: salinan dari fatwa Nur 'ala Darb (من فتاوى نور على الدرب ) dalam Multaqa' Ahl Hadeeth]


Begitu juga Syaikh`Abdul Karim bin `Abdullah Al-Khudheir (ahli lajnah hai'ah kibaru ulama Arab Saudi) pernah di tanya berkenaan tashih dan tad'if hadith oleh syaikh Al-Albani:


...ما رأيكم تصحيح وتضعيف الشيخ الألباني؟ 

الشيخ الألباني -رحمة الله عليه- من الأئمة العلماء المجددين، لا سيما لهذا الفن، فهو من حملة العلم وأوعيته، فقوله معتبر، وتصحيحه يعتمد عليه ويوثق به، وهو كغيره ليس بمعصوم يوجد عند ضعف، ما يلاحظ سواء في التصحيح أو في التضعيف، هو كغيره من العلماء فيستفاد من تصحيحاته وأحكامه، لكن ليس بمعصوم

solan:

apa pandangan syaikh tentang tashih dan tad'if hadith oleh syaikh Al-Albani?...

jawapan:

Al-Syaikh Al-Albani - rahimahullah- adalah daripada kalangan imam-imam ulama' pembaharu (mujaddid), terutama pada bab ini (iaitu tajdid dlm ilmu hadith -pent), dan beliau adalah pembawa ilmu dan (umpama -pent) bekasnya (iaitu bekas dan tempatnya ilmu tersimpan -pent), dan pendapat beliau adalah (dikira dan dianggap -pent) muktabar, dan boleh berpegang kpd tashih hadith olehnya, namun beliau seperti (para ulama' -pent) lainnya adalah tidak ma'sum, padanya terdapat kelemahan (iaitu kesilapan -pent) yang dapat diperhatikan padanya samada dalam hal tashih atau tad'if hadith, beliau adalah seperti ulama-ulama lainnya, diambil istifadah (faedah, manfaat) daripada tashih dan hukuman hadith olehnya, akan tetapi beliau bukannya ma'sum

[Rujuk: jkawapan syaikh Al-Khudheir dlm salah satu sesi soal-jawab kuliahnya (syarah Al-Lu' Lu' Al-Maknun fi Ahwal Al-Asanid wa Al-Mutun), www.khudheir.com/]

Saya sendiri pernah mengkritik penilaian Syaikh al-Albani atas dasar hujah ilmiah, rujuk tulisan saya disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/06/siri-2-kritikan-ilmiah-fathi-al.html , kritikan ilmiah dan jauh dari prejudis dan menyesatkan. Dan saya sendiri pernah membela beliau atas syubhat-syubhat yang tidak benar sebagaimana yang saya lakukan sekarang ketika menjawab soalan saudari. 


Allah hu'alam
Abu Ismail Muhammad Fathi Ali al-Sakandary
2 Muharram 1433H / 27 Nov. 2011
Gam'ah / Iskandariah / Mesir





| | Read More »

Wafatnya Imam al-Bukhari pada malam `Eid al-Fitr



Gambar: perkuburan Baqi', Arab Saudi, 
dimana ramai keluarga Nabi SAW dikebumikan disini

Wafatnya Imam al-Bukhari pada malam `Eid al-Fitr


Mood rakyat Malaysia masih dalam mood `Eid al-Fitr, kerana Melayu merayakan `Eid al-Fitr itu sebulan penuh Syawal. Tahukah kita bahawa seorang tokoh besar yang ramai kita kenali wafat pada malam `Eid al-Fitr? beliaulah Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari penyusun al-Sahih, Amirulmu'minin fil Hadith. 
Dengan sanadnya Imam al-Zahabi meriwayatkan dalam Siyar `Alam al-Nubala' (12/468) , bahawa Ibn `Adiy meriwayatkan daripada al-Bazzaz katanya: 


توفي البخاري ليلة السبت ليلة الفطر عند صلاة العشاء، ودفن يوم الفطر بعد صلاة الظهر سنة ست وخمسين ومئتين.
وعاش اثنتين وستين سنة


"al-Bukhari wafat pada Sabtu, malam `Eid al-Fitr, sekitar waktu Isyak, dan beliau dikebumikan pada hari`Eid al-Fitr selepas solat Zuhur. Kesemuanya ini berlaku pada tahun 256H, maksudnya beliau hidup selama 62 tahun.."
 

Moga Allah SWT merahmati al-Imam, meluaskan kuburnya, dan menempatkan al-Imam dalam SyurgaNya. Beliau pergi meninggalkan jasa yang amat besar kepada umat Islam seluruhnya. 




Sekian dikongsi, 
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Tabib
8 Syawal 1432 H / Iskandariah, Mesir




| | Read More »

Projek bangunan oleh Imam al-Bukhari



Gambar: Kota Bukhara, Uzbekistan

Projek bangunan oleh Imam al-Bukhari
oleh: Muhammad Fathi Ali al-Tabib 


Imam al-Zahabi dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/450) dan Imam Ibn Hajar dalam Muqaddimah al-Fath (505) meriwayatkan dengan sanad mereka bahawa Imam al-Bukhari pernah memulakan satu projek membina bangunan berdekatan Bukhara - tempat tinggal asalnya al-Bukhari - . 


Ramai manusia datang membantu untuk projek binaan itu dan Imam al-Bukhari sendiri turun membantu dengan membawa batu-bata binaan bersama-sama para pekerja lain. Dan sememangnya telah cukup ramai tenaga para pekerja untuk projek tersebut, memandangkan  Imam al-Bukhari yang menaja projek binaan itu, maka Imam Muhammad ibn Abu Hatim merasakan Imam al-Bukhari tidak perlu bersusah-payah turun padang mengangkat batu-bata bersama, kata Imam Muhammad ibn Abu Hatim kepada Imam al-Bukhari: "wahai Abu Abdullah (iaitu kunyah kepada Imam al-Bukhari), kamu tidak perlu berkerja - mengangkat batu-bata bersama - kerana telah amat cukup tenaga pekerja yang menguruskan apa yang perlu diuruskan". Maka jawab Imam al-Bukhari : "kerja-kerja kebajikan sebeginilah yang menguntungkan kita - di hari Akhirat kelak, maka biarkan aku berkerja - ". 


Imam al-Bukhari menjemput kesemua manusia - para pekerja projek itu dan lain-lainnya - untuk makan (jamuan). Seramai - kira-kira -  100 manusia memenuhi jemputan jamuan tersebut, walaupun Imam al-Bukhari tidak menyangka manusia yang datang begitu ramai, mereka semua diberkati dengan makanan yang diberikan mereka, dan mereka makan hingga kenyang" 


[Rujuk: al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/450), Ibn Hajar, Muqaddimah al-Fath (505), Salahuddin Ali Abdul Maujud, Sirah al-Imam al-Bukhari (114)]


Sekian dikongsi, moga bermanfaat
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi al-Sakandary
Iskandariah, Mesir
6 September 2011



| | Read More »

Kisah Imam al-Bukhari bersama Penghutang yang melarikan diri






Imam al-Bukhari seorang Pemiutang budiman, 
kisah beliau bersama  Penghutang yang melarikan diri:


Oleh: Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary


Imam al-Zahabi meriwayatkan dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/446), dan juga Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Subki (2/227) dengan sanad mereka bahawa Imam Muhammad ibn Abi Hatim berkata ketika beliau berada di kota Firabr bersama Imam al-Bukhari, beliau mendengar khabar berita bahawa seorang lelaki fulan baru sahaja tiba di kota Aamul. Lelaki itu seorang yang 'penting' kerana dia telah berhutang dengan Imam al-Bukhari dengan sejumlah hutang yang besar (iaitu sebanyak 25,000 Dirham). 

Imam Muhammad ibn Abu Hatim dan lain-lain yang bersama-sama Imam al-Bukhari pun berkata kepada Imam al-Bukhari: "kamu mesti kesana (iaitu ke Aamul) dan tuntut wang kamu daripadanya", jawab Imam al-Bukhari: "bukanlah hak kita untuk kesana dan menakut-nakutkan dia". Namun, telah terlambat kerana sebaik sahaja  si lelaki Penghutang itu mendapat tahu bahawa Imam al-Bukhari berada di  kota Fibrabr (yang dekat dengan kota Aamul), maka dia pun meninggalkan Aamul dan pergi melarikan diri ke kota Khawaarizm. 

Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakannya kemudian berkata kepada Imam al-Bukhari: "kita perlu beritahu hal ini kepada gebenor kota Aamul iatu Abu Salamah al-Kashshaanee meminta agar beliau menulis surat kepada gabenor Khawaarizm, memerintahkan supaya lelaki Penghutang itu ditangkap, dan memerintah agar apa yang berhak kepada kamu dikembalikan kepada kamu (iaitu dibayar hutang)". Apabila mendengarkan cadangan ini Imam al-Bukhari membantah seraya berkata: "sekiranya aku meminta pihak pemerintah agar menulis surat arahan itu, nescaya mereka  - pemerintah - akan meminta sesuatu daripadaku sebagai balasan (iaitu mempergunakan Imam al-Bukhari untuk kuasa politik) dan aku tidak sama sekali akan menjual agamaku kerana suatu hal yang tidak penting daripada bahagian keduniaanku". 

Akhirnya Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakanya gagal meyakinkan Imam al-Bukhari agar mengejar si lelaki Penghutang itu, maka mereka membuat keputusan untuk bertindak sendiri-sendiri. Tanpa memberitahu Imam al-Bukhari, mereka pergi bertemu gabenor yang kemudiannya menulis surat yang ditujukan kepada gabenor Khawaarizm kepada mereka. Apabila Imam al-Bukhari mengetahui akan hal yang telah mereka lakukan, beliau berkata kepada mereka: "jangan lah kamu tunjukkan belas kasihan kepadaku atas perkara-perkara yang aku sendiri tidak tunjukkan belas kasihan kepada diriku sendiri". Kemudian Imam al-Bukhari menulis banyak surat-surat mengarahkan rakan-rakan beliau yang berada di kota Khawaarizm untuk tidak menangkap atau mengganggu si lelaki Penghutang itu, sebaliknya melayan dia dengan baik. 

Kemudian si lelaki Penghutang itu melarikan diri ke kota Marwu. Ketika itu gabenor di kota Marwu telah masuk campur dan ingin menghukum si lelaki yang berhutang dengan Imam al-Bukhari itu dengan hukuman undang-undang, dan ini sangat mendukacitakan Imam al-Bukhari. Maka Imam al-Bukhari pun keluar pergi mencari si lelaki Penghutang itu sendiri, dan apabila Imam al-Bukhari bertemu lelaki tersebut beliau sangat berlembut dengan dia. Lelaki itu berhutang sebanyak 25,000 Dirham daripada Imam al-Bukhari, pun begitu Imam al-Bukhari bersetuju untuk mengambil sebanyak 10 Dirham sahaja setiap bulan daripadanya (iaitu Imam al-Bukhari bersetuju agar si lelaki itu membayar hutang secara ansuran dengan 10 Dirham sebulan). Imam al-Bukhari telah menyelamatkan si lelaki Penghutang itu daripada hukuman undang-undang pihak Pemerintah, dan Imam al-Bukhari tidak meminta wang lebih walaupun 1 Dirham daripada lelaki itu (iaitu tiada sebarang riba dikenakan)" [Rujuk: al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/ 446), al-Subki, Tabaqat al-Subki (2/227)]



Sekian dikongsi, moga bermanfaat
Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary
Iskandariah, Mesir
5 September 2011


| | Read More »

Kenali dua tokoh (siri 2): Ibn 'Adiy










Jika dalam siri pertama yang lalu kita telah kenal secara ringkas dua tokoh ahli hadith yang mempunyai nama julukan yang sama iaitu:  Ibn Abi Syaibah [ lihat siri pertama disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/04/kenali-dua-tokoh-ibn-abi-syaibah.html ]


InsyaAllah, pada siri kedua kali ini kita akan berkenalan secara ringkas dengan dua lagi tokoh ahli hadith yang turut mempunyai nama julukan yang sama iaitu: Ibn 'Adiy.


Bagi mereka yang sering melazimi membaca kitab-kitab hadith, maka pasti akan bertemu dengan nama : Imam Ibn 'Adiy. Tahukah kita bahawa terdapat dua tokoh huffaz yang berbeza dengan nama Ibn 'Adiy? Kedua-duanya adalah merupakan ahli hadith pada akhir kurun ke-3 (awal dan pertengahan kurun ke-4) yang hebat, bahkan kedua-duanya adalah berasal dari Jurjan, dengan itu digelar: al-Jurjani.


1- Ibn 'Adiy : Abu Ahmad 'Abdullah bin 'Adiy bin Muhammad bin Mubarak al-Jurjani. Antara kitab beliau yang terkenal ialah (al-Kamil fi Dhu'afa' al-Rijal) iaitu sebuah kitab dalam al-jarh wa  al-ta'dil yang penting, kitab ini secara khusus menghimpunkan biografi perawi-perawi yang lemah (dhaif). Beliau lahir pada tahun 277H dan wafat pada tahun 365H.


al-Kamil fi Dhu'afa' al-Rijal 
karya Abu Ahmad Ibn 'Adiy

-------------------------------------------------------------------------------------------


2- Ibn 'Adiy: Abu Nu'aim 'Abd al-Malik bin Muhammad bin 'Adiy bin Zaid al-Jurjani al-Astarabadi. Antara kitab beliau yang terkenal ialah (Kitab al-Dhu'afa'), iaitu sebuah kitab yang penting dalam ilmu al-jarh wa al-ta'dil, menghimpunkan biografi perawi-perawi yang lemah (dhaif). Beliau wafat pada tahun 323H.








Sekian dikongsi, moga bermanfaat. 
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi bin Ali al-Malizy al-Sakandary




| | Read More »

Kenali dua tokoh (siri 1) : Ibn Abi Syaibah









Nama Ibn Abi Syaibah adalah satu nama yang tidak asing lagi bagi para penuntut ilmu, terutamanya para penuntut ilmu hadith. Tahukah anda bahawa terdapat dua tokoh dengan nama Ibn Abi Syaibah? Kedua-duanya adalah merupakan huffaz hadith salaf.

Membezakan antara kedua tokoh ini adalah sangat penting agar kita tidak tersilap menukilkan fakta dan tidak tersilap dalam melakukan kajian dalam hadith. 

Mari kita kenali dua tokoh Ibn Abi Syaibah: 

1- Ibn Abi Syaibah : Abu Bakr 'Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah al-Kufi. Merupakan penyusun kitab (al-Musannaf). Lahir pada tahun 159H dan wafat pada tahun 235H. 



Kitab (al-Musannaf)

===================================

2- Ibn Abi Syaibah: Abu Ja'far Muhammad bin Uthman bin Abi Syaibah al-'Abbasi al-Kufi. Merupakan penyusun kitab (al-'Arays wa maa ruwiya fihi) dan kitab (Sualat li-'Ali ibn al-Madini). Lahir pada tahun 210H dan wafat pada tahun 297H.


Kitab  (al-'Arays wa maa ruwiya fihi)


===================================





sekian dikongsi, moga bermanfaat. 
Abu Ismaaeel Muhammad Fathi bin Ali al-Malizy al-Sakandary


| | Read More »

Imam Hamzah bin Muhammad bin Ali Al-Kinani (275-357H).






Sebentar tadi, ketika aku menela'ah kitab Zawaid Sunan Abu Daud karya Syaikh Dr. 'Abdul 'Aziz Al-Tharifi, bab "Bagaimana meletakkan lutut sebelum tangan?",  beliau - Al-Tharifi - ada menukilkan kalam Imam Hamzah Al-Kinani bahawa hadith turunnya sujud dengan tangan dahulu sebelum lutut dari Abu Hurairah itu Munkar. Hadith yang sama turut di'ilalkan oleh Al-Bukhari, Al-Daraquthni, Al-Tirmizi, Ibn 'Adiy, Al-Baihaqi [rujuk: Zawaid Abu Daud, Dr. Al-Tharifi, hal. 256].

Alhamdulillah, hari ini aku mengenal seorang lagi huffaz Salaf yang aku tidak pernah menjumpai namanya sebelum ini, beliau ialah Imam Hamzah bin Muhammad bin Ali Al-Kinani (275-357H).

Berkata Al-Zahabi tentangnya : Beliau adalah orang yang soleh, berpegang teguh pada ajaran agamanya, ahli dalam Ilmu Hadith serta 'illatnya , dan beliau adalah Imam dalam bidang ini. [rujuk: komentar (ta'liq) Syaikh Dr. Abdur Razzaq bin Muhsin Al-'Abbad, tahqiq terhadap terhadap kitab Juzul Bi Thaqah hal. 9, 1412 H, Dar Al-Salam, Riyadh]

Fathi Ali Al-Sakandary
23 April , 8:08 pagi


| | Read More »

Al-Syaikh Al-Muhaddith `Abdul `Aziz bin Marzuq Al-Tharifi (hafizahullah)


Biografi Ringkas:
Al-Syaikh Al-Muhaddith 
 `Abdul `Aziz bin Marzuq Al-Tharifi (hafizahullah)




Nama: Syaikh Al-Muhaddith Abdul Aziz Marzuq Al-Tharifi

Lahir pada 1396 hijrah di bumi Madinah.

Berguru dengan ramai para ulama iaitu :

1- Sahibus Samahah Abdul Aziz bin Baz (rahimahullah)– berdamping dengannya bertahun – tahun dan banyak mengambil ilmu darinya

2-Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Uqail

3- Syeikh Mohd Hasan asSyanqiti

4-Syeikh Soleh Ali Syeikh

5- Syeikh Abdul Rahman bin Nasir Baraak

6- Syeikh Muhaddith Abdul Karim alKhudair

7- Syeikh Mohd Abdullah asSomal

8- Syeikh Mohd Hasan alAthyubi

9- dan lain-lain dari masyaikh-masyaikh..

Rehlah dalam menuntut ilmu:

Pelbagai negara demi untuk menuntut ilmu seperti Maghribi, Mesir, India dan selainnya.

Maktabah (Perpustakaan peribadi):

Memiliki maktabah yang luas dengan memuatkan 12 ribu kitab.

Tumpuan kepada ilmu sunnah dan mempunyai rangkaian kuliah yang pelbagai di Riyadh seperti:

1-Hadith-hadith ahkam asSughra - alIsybili

2- Hadith 40 – anNawawi

3- Nukhbatul Fikar

4- alMuharrir fil hadith

5- Lam’atul I’tiqad

6- Kitabut Tauhid

dan lain-lain

Antara karangan beliau yang telah tercetak ialah :

1- التحجيل في تخريج ما لم يخرج من الأحاديث والآثار في إرواء الغليل 

- dua jilid, Maktabah arRusyd, Riyadh. Ini merupakan antara karya syeikh Al-Tharifi yang terbaik iaitu menyiapkan karangan alBaani didalam kitab irwak algahil. Dikeluarkan pada 1422 hijrah, kemudian dimasukkan ke dalam majalah Dakwah bilagan 1856 untuk dipertandingkan untk tahun tersbut.

2- الأربعين النووية المسندة والتعليق على المعلول منها -مذكرة

- sebagaimana yang dapat dilihat dalam website beliau.

3- زوائد سنن أبي داوود على الصحيحين

- dicetak oleh Dar Maultaqa' Ahl Hadith & Ibn Rusyd

4- المراجعة لطبعة الكتب الستة

- dicetak oleh Pustaka Darussallam

5- العلماء والميثاق

- Diletakkan didalam web beliau untuk dibaca dan download hasil ceramah beliau pada 1426 hijrah

6- الإعلام بتوضيح نواقض الإسلام

- Pustaka Al-Rusyd, mempunyai 1 Jilid

7- اضطراب الزمان

- berasal dari ceramah beliau yang lengkap pada tahun 1426

8- صفة حجة النبي صلى الله عليه وسلم  

- dicetak iaitu 1 Jilid oleh Dar Al-Manhaj, Riyadh

9- توحيد الكلمة على كلمة التوحيد

10- زوائد سنن أبي داود على الصحيحين والكلام على علل بعض حديثه

- Maktabah Al-Ruysd, Riyadh & Dar Multaqa' Ahl Hadith

11- المسائل المهمة في الأذان والإقامة

- Dicetak di Maktabah Al-Rusyd, Riyadh

12- صفة صلاة النبي 

- dicetak oleh Dar al-Manhaj, Riyadh


13- dan banyak lagi lain-lain kitab beliau yang telah tercetak di pasaran.



Dialog bersama syeikh [Dialog dengan Soleh bin Abdul Aziz alThuwaini] : 

2- Bilakah syeikh memulakan pengajian ilmu? Bagaimanakah cara-cara mendapatkannya (memperolehi ilmu)?

Syeikh `Abdul `Aziz Al-Tharifi : “Sebenarnya aku tidak ingat secara tepat kerana ianya bermula berkembang sehinggalah bertambah banyak. Aku mula menghafaz matan-matan pada usia 13 tahun. Matan yang terawal ku hafal ialah Matan Baiquniah pada ilmu mustolah hadith. Pada mula ianya susah untuk mengingatinya, tetapi aku terus menghafal, membaca dengan terlalu banyak pada usia 15 tahun. Pada waktu usia tersebut, aku ingat aku telah membaca 10 Jilid seperti tafsir Ibn Kathir, Zaadul Ma’ad, Sirah Ibn Hisyam, Fatawa Ibn Taymiyah (untuk kali pertama). Kemudian aku menghadiri kuliah-kuliah ditempat berasingan, dan kemudian (pembacaanku) berkurang. Tetapi seorang insan akan terus belajar, kerana ianya dituntut dari buaian hingga ke liang lahad, ilmu itu lautan.. lautan…

Cara mendapatkan ilmu:

Pada waktu itu, aku hadir kuliah ilmu hanya 3 kali seminggu, tetapi ku habiskan masa pada membaca dan membuat rumusan/ringkasan tanpa takhassus didalam bidang-bidang tertentu. Bahkan, termasuk subjek tauhid, hadith, feqah, sirah, sejarah, bahasa, syair dan sastera. Aku mendapat faedah yang sangat besar apabila meringkaskan karangan-karangan yang panjang. Pada usia aku mencecah 16 dan 17, aku telah ringkaskan Tafsir Ibn Kathir secara lengkap, Zaadul Ma’ad, sebahagian dari kitab alMughni, sebahagian dari Fatwa-fatwa Ibn Taimiyah dan ianya masih didalam simpananku di maktabah dan kadang-kadang aku mentelaahnya (ringkasan-ringkasan tersebut).

Begitu juga, aku meringkaskan sebahagian dari alIstizkar karya ibn abdil Bar, dan aku tumpukan kepada selesaikan masalah, menghafal syiir-syiir arab didalamnya, aku juga letak glosari/index bagi kitab Fatawa Ibn Taimiyyah berdasarkan kaedah-kaedah fiqhiyah dan lain-lain seperti index rijal, negeri dan mazhab-mazhab.

Lumrahnya, manusia kadangkala tersilap, oleh itu dia hendaklah memperbetulkan sedikit demi sedikit, dan paling utama berterusan mentelaah dan membaca di sepanjang masa”.

Antara perkara menarik juga;

4-Bagaimana cara kamu menghafal hadith? Terutama sekali isnad-isnad?

Syeikh `Abdul `Aziz Al-Tharifi : “Aku menghafal hadith melalui cara yang biasa iaitu mengulang-ngulang – sudah tentu (cara mengulang untuk menghafal hadith -pent) – tetapi yang menjadi masalahnya adalah untuk berterusan (mengulang-ngulang), apabila kita berhenti sahaja dari proses mengulang hafalan, keadaan semakin sukar untuk menghafal. Kadar hafalan aku sekitar 30 hingga 50 hadith sehari, kadangkala boleh bertambah, kadang-kadang berkurang. Adapun isnad-isnad, jika ia merupakan hadith sahih, aku akan menghafal isnadnya disekitar itu sahaja. Tetapi, jika ia sebuah hadith yang ma’lul (ada illat/sakit) dan bermasalah, aku akan hafal semua jalan-jalan periwayatan hadith tersebut”

Wallahua’lam..

[1] untuk mengatahui biografi beliau dengan lebih detail, boleh membacanya dalam bahasa `Arab di sini: [ http://attarefe.islamlight.net/index.php?option=content&task=view&id=2224&Itemid=51 ] , yang tertera adalah terjemahan dari link tersebut secara ringkas. Terima kasih kepada syaikh Ibn Hazam (panel hadith AAN) atas usaha terjemahan ini.




| | Read More »

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign