Penjelasan Status Hadith: 70,000 Malaikat Meminta Ampun dan Berselawat Kepada Sesiapa Yang Melawat Orang Sakit
Gambar Hiasan: Pelajar Perubatan Melawat Pesakit Dalam "Round"
Penjelasan Status Hadith: 70,000 Malaikat Meminta Ampun dan Berselawat Kepada Sesiapa Yang Melawat Orang Sakit
Matan Hadith:
ما من رجل يعود مريضا ممسيا إلا خرج معه سبعون ألف ملك يستغفرون له حتى يصبح وكان له خريف في الجنة ومن أتاه مصبحا خرج معه سبعون ألف ملك يستغفرون له حتى يمسي وكان له خريف في الجنة
Terjemahan: "Tidaklah seorang lelaki (termasuk perempuan) melawat orang yang sakit pada petang (iaitu malam) hari melainkan akan ikut keluar bersamanya 70,000 Malaikat yang meminta ampunan untuknya hingga ke pagi hari, dan baginya kebun di Syurga. Dan barangsiapa yang melawat orang sakit pada pagi hari, maka akan ikut keluar bersamanya 70,000 Malaikat yang memohon ampunan baginya hingga petang (iaitu malam) hari, dan baginya kebun di Syurga"
Sesetengah lafaz menyebut ( وكل به سبعون ألف ملك يصلون له - dan (akan) diwakilkan (dihantar kepadanya) 70,000 Malaikat berselawat untuknya ) menggantikan (خرج معه سبعون ألف ملك يستغفرون له - akan ikut keluar bersamanya 70,000 Malaikat yang meminta ampunan untuknya).
Takhrij Hadith:
Hadith ini dikeluarkan dengan sedikit perbezaan lafaz antaranya oleh Ahmad (no. 948 & 612, 955) dan lain-lain dari `Ali secara Marfu' (bersambung kepada Baginda Nabi SAW), Abu Daud (no. 3098, 3099) dan lain-lain dari `Ali secara Mauquf (terhenti kepada Sahabat) sebagai kata-katanya.
Status Hadith:
Saya katakan: Hadith ini Mauquf Sahih kepada `Ali sebagai kata-kata beliau dengan hukum rafa'. Dengan kata lain ungkapan ini adalah kata-kata dari mulut `Ali dan bukannya ungkapan dari mulut Nabi SAW, tetapi hukumnya hukum rafa' kerana ini berkaitan hal ghaib dan `Ali mustahil berkata sebegini melainkan ia mempunyai asal daripada Baginda SAW jua.
Hadith ini diriwayatkan secara Marfu' dan Mauquf, dan yang terpelihara (yang betul dan tidak silap) ialah ia Mauquf sebagai kata-kata sahabi `Ali RA sebagaimana yang telah dijazamkan oleh para huffaz hadith semisal al-Daraquthni dan lain-lain.
Berkata al-Daraquthi dalam kitabnya al-`Ilal (no. 398):
هو حديث رواه الحكم بن عتيبة واختلف عنه فرواه الاعمش عن الحكم عن عبد الرحمن بن أبي ليلى عن علي حدث به عن الاعمش كذلك أبو شهاب الحناط وأبو معاوية الضرير وأبو بكر بن عياش فأما أبو شهاب فوقفه على علي ورفعه الآخران عن الاعمش ورواه شعبة عن الحكم فخالف رواية الاعمش رواه عن الحكم عن عبد الله بن نافع عن علي واختلف عن شعبة في رفعه فرفعه محمد بن أبي عدي وأبو عبد الرحمن المقرئ عن شعبة ووقفه غيرهما من أصحاب شعبة ورواه أبو مريم عبد الغفار بن القاسم عن الحكم عن عبد الله بن نافع عن علي موقوفا ورواه يعلى بن عطاء عن عبد الله بن نافع عن علي موقوفا أيضا وقيل عن يعلى بن عطاء عن عبد الله بن يسار وله عن علي طرقات كثيرة نذكرها في مواضعها ويشبه أن يكون القول قول شعبة عن الحكم عن عبد الله بن نافع عن علي موقوفا لكثرة من رواه عن شعبة كذلك ولمتابعة أبي مريم عن الحكم ولمتابعة يعلى بن عطاء عن عبد الله بن نافع عن علي
Terjemahan: "Ianya adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakam bin `Utaibah, dan berlaku percanggahan pada al-Hakam iaitu: pertama -; al-`Amash meriwayatkan dari al-Hakam dari `Abd al-Rahman bin Abi Laila dari `Ali menyebutnya dari al-`Amash, begitu juga Abu Shihaab al-Hannaath dan Abu Mu'awiyah al-Darir dan Abu Bakr bin `Ayyash, adapun Abu Shihaab meriwayatkan secara Mauquf kepada `Ali sedangkan yang lainnya meriwayatkan secara Marfu' dari al-`Amash. Kemudian kedua-; Syu'bah pula meriwayatkan hadith ini dari al-Hakam dan beliau menyelisihi riwayat al-`Amash dimana beliau (Syu'bah) meriwayatkan dari al-Hakam dari `Abdullah bin Nafi' dari `Ali. Manakala berlaku percanggahan pula untuk Syu'bah dimana sesetengah meriwayatkan dari Syu'bah secara Marfu' dan sesetengah meriwayatkan secara Mauquf. Yang meriwayatkan secara Marfu' dari Syu'bah ialah Muhammad bin Abu `Adi dan Abu Abd al-Rahman al-Muqri' dari Syu'bah, manakala yang selainnya dari kalangan murid-murid Syu'bah meriwayatkan secara Mauquf sahaja melalui Syu'bah dengan jalur Nafi' dari `Ali, dan meriwayatkan Ya'la bin `Atha' dari `Abdullah bin Nafi' dari `Ali secara Mauquf juga, dan dikatakan ada riwayat dari Ya'la bin `Atha' dari `Abdullah bin Yasaar. Riwayat yang secara Mauquf kepada `Ali jalurnya banyak telah kami sebutkan pada tempatnya, dan sesungguhnya jalur yang lebih tepat dan terpelihara ialah jalur Syu'bah dari al-Hakam dari `Abdullah bin Nafi' dari `Ali secara Mauquf sebagai kata-kata `Ali kerana banyaknya jalur dari Syu'bah yang secara Mauquf, dan juga diperkuatkan dengan mutaba'ah Abi Maryam dari al-Hakam dan juga mutaba'ah Ya'la bin `Atha' dari `Abdullah bin Nafi dari `Ali secara Mauquf"
Saya katakan: secara mudahnya dapat kita fahami daripada pejelasan Imam al-Hafiz al-Daraquthni diatas ialah, riwayat yang Mauquf (yang terhenti kepada `Ali) adalah lebih kuat dan terpelihara kerana yang meriwayatkan secara Mauquf ini lebih banyak daripada mereka yang riwayatkan secara Marfu' (bersambung kepada Nabi SAW). Maka kesimpulannya ungkapan bahawa 70,000 Malaikat akan meminta ampun dan berselawat kepada sesiapa yang melawat orang sakit ini adalah kata-kata dari mulut `Ali RA dan bukannya daripada Nabi SAW.
Namun, disebabkan ungkapan ini bersangkutan dengan hal-hal ghaib seperti Malaikat, maka kita katakan ia adalah dengan hukum Marfu' (hukum rafa'). Marfu' secara hukum ini maksudnya ialah isi hadith itu tidak terang dan tegas menunjukkan Marfu' (kata- kata Nabi SAW), namun dihukumkan Marfu' kerana ia bersandar pada beberapa indikasi yang menunjukkan bawaha Sahabat itu mustahil mengatahui hal tersebut (misalnya hal ghaib seperti Malaikat) malainkan dia mengetahuinya daripada Nabi SAW juga, iaitu ia mempunyai asal kepada Nabi SAW jua.
Allah hu'alam
~ Fathi Al-Sakandary / Iskandariah, Gam'ah
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 6:13 PM. Filed under
Takhrij
.
Assalamualaikum,adakah, boleh jadi juga bhw, mauquf pd sahabat tapi bukan hukum rafa'..Bolehkah begitu? Ada?
ya, ada, jika kata2 sahabat itu bukan berkaitan hal2 yg ghaib. Jika ia sahih mauquf kpd sahabi tanpa hukum rafa', kita katakan ia adalah kata-kata hikmah dari sahabi. W/A
Maksudnya ia bukan hadis kerana dari kata2 Ali R.A?
Maka bolehkah beramal dgn kata-katanya?