Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.
Tanda Malam al-Qadr Dari Hadith Yang Sahih.
* Petikan dari buku "Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi", Fathi al-Sakandary, halaman 47-52.
Tanda-tanda
malam al-Qadr:
Antaranya
ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas secara marfu':
أن رسول الله صلى
الله عليه وسلم قال في ليلة القدر : ليلة سمحة طلقة ، لا حارة ولا باردة ، تصبح شمسها
صبيحتها ضعيفة حمراء
Maksudnya:
"Sesungguhnya Rasul SAW berkata pada malam al-Qadr: "malam al-Qadr
adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak
begitu sejuk, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak
kemerah-merahan"
Hadith ini
dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (no.
2192), dan diDha’ifkan oleh Ibn Khuzaimah sendiri katanya:
إن صح الخبر فإن
في القلب من حفظ زمعة
Maksudnya: “Sekiranya
ia sahih, sesungguhnya aku mengesyaki (dalam hatiku) akan (kelemahan) hafalan
Zam'ah".
Juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab
al-Iman (3/1360) serta Fadha'il al-Awqat (no. 50) dan diDha’ifkannya sendiri,
berkata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: "في إسناده ضعف - pada
isnadnya kelemahan"), dan katanya lagi: " ضعيف - Dha'if".
Juga ialah
sebagaimana yang datang daripada Jabir bin `Abdillah secara marfu', bahawa Nabi
SAW bersabda seperti dibawah:
و هي لية طلقة بلجة
لا حارة و لا باردة
و زاد الزيادي
: كأن فيها قمرا يفضح كواكبها و قالا : لا يخرج شيطانها حتى يضيء فجرها
Maksudnya:
"...dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak pula
sejuk". Dan menambah al-Ziyadi (perawi) akan lafaz "seakan-akan
dalamnya ada Bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan
tidak keluar sampai terbit fajr"
Hadith ini
dikeluarkan antaranya oleh Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasarul Mukhtasar (no.
2190), hadith ini Dha'if.
Penyakitnya
perawi bernama: Fudhail bin Sulaiman. Berkata Yahya ibn Ma'in tentangnya :
"ليس بثقة -
Tidak Thiqah".
Berkata Abu
Hatim: "ليس بالقوى - Tidak Kuat, Lemah".
Dan berkata
Abu Zur'ah tentangnya: "لين - Layyin / Lemah").
Berkata Syaikh
Dr. Mustafa al-`Azhami akan hadith ini dalam tahqiqnya atas kitab Ibn Khuzaimah
(cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut): " إسناده ضعيف - Isnadnya Dha'if"
Antaranya juga
ialah sebagaimana yang datang daripada `Ubadah bin al-Somit secara marfu' ,
bahawa Nabi SAW bersabda seperti dibawah:
إِنَّ أَمَارَةَ
لَيْلَةِ الْقَدْرِ أَنَّهَا صَافِيَةٌ بَلْجَةٌ كَأَنَّ فِيهَا قَمَرًا سَاطِعًا سَاكِنَةٌ
سَاجِيَةٌ لَا بَرْدَ فِيهَا، ولَا حَرَّ وَلَا يَحِلُّ
لِكَوْكَبٍ أَنْ يُرْمَى بِهِ
فِيهَا حَتَّى تُصْبِحَ، وَإِنَّ أَمَارَتَهَا أَنَّ الشَّمْسَ صَبِيحَتَهَا تَخْرُجُ
مُسْتَوِيَةً لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ مِثْلَ
الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَحِلُّ
لِلشَّيْطَانِ أَنْ يَخْرُجَ مَعَهَا يَوْمَئِذٍ
Maksudnya:
"Tanda-tanda malam al-Qadr adalah malam yang terang sepertinya Bulan
terang, tenang, sunyi, tidak sejuk, tidak panas, tidak dihalalkan bagi
bintang-bintang untuk dilemparkan pada malam itu hingga pagi, dan
tanda-tandanya adalah di pagi harinya Matahari terbit sejajar, tidak mempunyai
sinar seperti Bulan pada malam purnama, dan tidak halal bagi Syaitan untuk
keluar pada saat itu"
Hadith ini
dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 22765), hadith ini Dha'if, isnadnya putus
(munqathi’) kerana Khalid bin Ma'dan tidak pernah sama sekali mendengar
daripada `Ubadah bin al-Somit, kata Imam Abu Hatim dalam al-Marasil (1/11(183))
:
خالد بن معدان لم
يصح سماعه من عبادة بن الصامت
Maksudnya: “Khalid
bin Ma'dan tidak sahih mendengarnya daripada `Ubadah bin al-Somit".
Dan putusnya
isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu
syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.
Bahkan
matannya juga bermasalah iaitu padanya Gharabah, kata Imam Ibn Kathir:
“في المتن غرابة - pada matannya Gharabah (keganjilan)" (Tafsir al-Qur'an
al-`Azhim, Ibn Kathir, 8/466, tahqiq Muhammad `Asyur dan rakan-rakan, Dar
al-Sya'b, Mesir)
Antaranya lagi
ialah sebagaimana yang datang daripada Ibn Mas'ud secara marfu' menceritakan
bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya berkenaan malam
al-Qadr seperti dibawah:
عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ،
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ: أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَتَى لَيْلَةُ الْقَدْرِ ؟
قَالَ: " مَنْ يَذْكُرُ مِنْكُمْ
لَيْلَةَ الصَّهْبَاوَاتِ ؟
Maksudnya:
"dari Abi `Ubaidah dari ‘Abdullah bin Mas'ud bahawa seorang lelaki datang
kepada Nabi SAW lalu berkata; "bilakah terjadinya malam al-Qadr? maka Nabi
SAW bersabda: "Siapakah antara kalian yang ingat akan malam yang berwarna
merah-kemerahan itu?"
Hadith ini
dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (no. 3565), hadith ini Dha'if, isnadnya putus
(munqathi’) kerana Abi `Ubaidah - iaitu anak kepada Ibn Mas'ud - tidak pernah
sama sekali mendengar hadith daripada Ayahnya, kerana ketika Ibn Mas'ud wafat
usia Abu `Ubaidah masih sangat kecil.
Berkata
Syu'bah dari `Amru bin Murrah katanya:
سألت أبا عبيدة
بن عبد الله : هل تذكر من عبد الله شيئا ؟ قال : لا
Maksudnya: “Aku
bertanya kepada Abu `Ubaidah bin `Abdullah - bin Mas'ud - : "adakah kamu
mendengar (balajar hadith, mendengar hadith) dari `Abdullah - bin Mas'ud -
walau sedikit? jawab Abu `Ubaidah: Tidak pernah" (Tahzib al-Kamal, rawi
no. 8231).
Berkata
al-Tirmizi tentangnya:
لا يعرف اسمه ،
و لم يسمع من أبيه شيئا
Maksudnya: “Tidak
diketahui namanya, dan tidak pernah sama sekali mendengar dari Ayahnya walau
sedikit " (Tahzib al-Kamal, rawi no. 8231).
Dan berkata
al-Tirmizi lagi:
سألت محمد بن إسماعيل
... : قلت له : أبو عبيدة ما اسمه ؟ فلم يعرف اسمه ، وقال : هو كثير الغلط
Maksudnya: “Aku
bertanya kepada Muhammad bin Ismail (iaitu Imam al-Bukhari), kataku padanya:
"Abu `Ubaidah siapakah namanya? Al-Bukhari menjawab tidak diketahui
namanya, dan kata al-Bukhari lagi: dia banyak ghalat (silap dalam meriwayatkan
hadith)" (`Ilal al-Tirmizi al-Kabir, no. 109).
Dan putusnya
isnad adalah secara usulnya hadith itu ma'lul kerana ia telah hilang salah satu
syarat utama hadith Sahih, maka ia Dha’if.
Sebagaimana
yang telah dihuraikan di atas, jelaslah bahawa tiada walaupun satu hadith Sahih
berkenaan petanda malam al-Qadr sebelum atau semasa ia berlaku, namun
sesetengah pencerita-pencerita sama ada dalam ceramah mereka, buku mereka atau
blog mereka, menyebut bahawa pada malam samasa berlakunya al-Qadr itu Bulan
terbit kelihatan seperti separuh belahan bekas berbentuk bulat.
Mereka
menyandarkannya kepada sebuah hadith Sahih daripada Abu Hurairah seperti
dibawah:
عن أبي هريرة رضي
الله عنه قال تذاكرنا ليلة القدر عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال أيكم يذكر
حين طلع القمر وهو مثل شق جفنة ؟
Maksudnya: “Dari
Abu Hurairah katanya "kami teringat akan malam al-Qadr disisi Rasulullah
SAW, maka Beliau SAW pun bersabda: "Siapakah antara kalian yang teringat
ketika Bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah (iaitu separuh belahan bekas
berbentuk bulat)?"
Adakah dalam
hadith di atas Nabi SAW telah memberitahu akan sifat khusus semasa malam
al-Qadr itu berlaku kepada para Sahabat? jawabnya tidak! Hadith ini perlulah
difahami dengan melihat huraian para ulama, antaranya kata Imam al-Nawawi
ketika mensyarahkan hadith ini:
و ( الجفنة )
... قال القاضي : فيه إشارة إلى أنها إنما تكون في أواخر الشهر ؛ لأن القمر لا يكون
كذلك عند طلوعه إلا في أواخر الشهر
Maksudnya:
"Dan (jafnah - iaitu separuh bekas berbentuk bulat) ... kata al-Qaadhi bin
Iyadh: padanya isyarat bahawa ianya (iaitu al-Qadr) itu berlaku pada
akhir-akhir Bulan, kerana Bulan tidak muncul (tidak terbit) sedemikian rupa
(iaitu Bulan tidak terbit seperti belahan mangkuk (atau separuh bekas berbentuk
bulat) kecuali pada akhir-akhir bulan" [Rujuk: Syarah Sahih Muslim,
al-Nawawi, 8/66]
Berdasarkan
penjelasan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh
diatas, maksud kenyataan Nabi SAW dengan "Bulan muncul (terbit) seperti
separuh bekas berbentuk bulat" itu bukanlah petunjuk khusus akan sifat
malam al-Qadr, akan tetapi ia adalah petunjuk umum sahaja.
Iaitu Nabi SAW
memberitahu para sahabat bahawa malam al-Qadr itu berlaku pada akhir-akhir
bulan Ramadhan, kerana Bulan tidaklah terbit seperti separuh bekas berbentuk
bulat melainkan pada malam-malam akhir setiap bulan secara umumnya.
Petunjuk yang
Sahih berkenaan tanda malam al-Qadr hanyalah petunjuk selepas malam al-Qadr itu
telah berlalu iaitu Matahari terbit pagi esoknya dengan tidak terlalu menyilau
sebagaimana yang digambarkan oleh Ubay bin Ka'ab katanya:
وأمارتها أن تطلع
الشمس في صبيحة يومها بيضاء لا شعاع لها
“.. dan
tanda-tandanya adalah matahari terbit di pagi hari dengan cerah namun tidak ada
cahaya Matahari menyengat” [HR. Muslim, no: 762]
Maka untuk
mendapatkan malam al-Qadr, mahu tidak mahu seseorang itu perlu beribadah pada
kesemua 10 malam akhir Ramadhan! terutama pada malam-malam ganjil. Kerana
petunjuk yang Sahih hanyalah petunjuk setelah malam al-Qadr itu telah berlalu.
Dengan itu berkata guru kami Syaikhuna al-Hafiz al-Muhaddith `Abdul `Aziz
Marzuq al-Tharifi:
"Tanda-tanda
sebelum dan ketika berlakunya malam al-Qadr itu tidak sahih kesemuanya, adapun
selepas ia berlaku maka telah datang dalil sahih iaitu sebagaimana yang diriwayatkan
dalam al-Sahih (Sahih Muslim) bahawa pagi keesokan malam al-Qadr itu matahari
terbit tanpa menyilau, tetapi petunjuk yang sahih ini berlaku selepas malam
al-Qadr itu berlalu"
Posted by Abu Ismaaeel Fathi
on 4:24 PM. Filed under
Takhrij
.