Syaikh al-Albani & doa pengantin baru

| |




Syaikh al-Albani & doa pengantin baru



Bismillah, Alhamdulillah.. wa ba'd. Seorang muslimah yang mulia telah bertanya saya persoalan dibawah: 


----------- Jawapan: 


Wa'alaikumussalam. Saya akan cuba menjawab persoalan saudari sekadar kemampuan saya insyaAllah. 

Jawapan soalan no. 1) 

Berkenaan hadith doa yang diucapkan kepada para pengantin baru tersebut, adakah ia sebenar-benarnya sahih? jawabnya, ya  ia adalah hadith Sahih.

Hadith itu dikeluarkan antaranya oleh al-Tirmizi (no. 1091), Abu Daud (no. 2130), Ibn Majah (no. 1559) dari Abu Hurairah secara marfu' kepada Nabi SAW. Ia adalah hadith Sahih, disahihkan oleh jamaah ulama hadith terdahulu dari kalangan huffaz mutaqaddimin dan mutaakhkhirin antaranya oleh al-Tirmizi katanya 'Hasan Sahih', Ibn Hibban (sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar dalam Bulugh al-Maaram, 289), al-Nawawi (al-Azkar, 356) , Ibn Daqiq al-`Eid (al-Ilmam bi-Aḥadīth al-Aḥkam, 2/622), al-Suyuti (al-Jami' al-Saghir, 6704) dan lain-lain.

Manakala antara ulama hadith moden yang turut menerima maqbul (samada sahih/hasan) hadith ini ialah Muqbil Hadi al-Wadi'i katanya 'Hasan' (al-Sahih al-Musnad mimma Laisa fi al-Sahihain, 1295), Syu'aib al-Arnaut katanya 'Sanadnya kuat, perawinya perawi al-Sahih' (tahqiq Musnad Ahmad, 2/381), Husin Salim Asad (tahqiq Sunan al-Darimi, 2/180), al-Albani dalam tahqiq Sunan al-Tirmizi (1091) menyatakan 'Sahih', begitu juga dalam Adab al-Zifaf (102) katanya 'Sahih atas syarat Muslim'. 

Kesimpulannya hadith ini Sahih zaman berzaman dan saya tidak menjumpai para ulama hadith yang menolaknya. Dan penilaian Syaikh al-Albani untuk hadith ini adalah tepat, bahkan bertepatan dengan penilaian para ulama hadith besar Salaf semisal Imam al-Tirmizi dan lain-lain yang menilainya Sahih. 

Jawapan soalan no. 2) 

Adakah kita boleh menggunakan apa-apa yang dinyatakan oleh al-Albani? Jawabnya ialah; kita melihat Syaikh al-Albani sebagaimana kita melihat para ulama hadith moden lainnya tanpa sebarang bias dan prejudis. Kita mengiktiraf keilmuan beliau dalam lautan ilmu hadith dan beliau adalah salah seorang kapal dalam lautan yang luas tersebut. Kita menerima apa yang dinyatakan al-Albani berdasarkan hujah yang beliau kemukakan, dan kita juga boleh menolak apa yang yang beliau katakan dengan hujah ilmiah juga. Kerana penilaian hadith adalah ijtihad , dan ijtihad seseorang boleh tersilap, dan tiadalah manusia itu yang terlepas daripada kesilapan melainkan Nabi SAW yang maksum.  

Syaikh al-Albani adalah seorang ulama' yang telah menghabiskan masa hidupnya untuk membela Sunnah Nabi SAW hingga ke akhir hayat beliau, bahkan al-Albani pernah berkata dalam satu ungkapan beliau yang sangat masyhur: 

"Dengan senantiasa berharap agar Allah Subhanahu wa Taala menambahkan kurnianya kepadaku dan menjadikan nikmat ini tidak dicabut hingga kematian tiba, serta mewafatkanku sebagai muslim diatas sunnah yang aku telah bernazar untuk itu kehidupanku adalah dakwah dan menulis." (Syaikh Al-Albani)


Ketokohan dan kredibiliti syaikh al-Albani adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan oleh semua penuntut ilmu, dapat kita lihat pujian para ulama sezaman terhadap beliau.

Antaranya Syaikh Ibn Baaz pernah berkata,

“Syaikh Muhammad Nashiruddin al Albani adalah mujaddid zaman ini dalam dugaanku, wallahu a’lam” (Majalah As-Solah, Jordan,  Edisi 23/Sya’ban/1420 H., hal. 76)

Begitu juga kata Syaikh al-Uthaimin: 

“Ahli hadits negeri Syam, pemilik ilmu yang sangat luas tentang hadits secara riwayah dan dirayah. Allah Ta’ala menganugerahkan manfaat yang banyak kepada manusia melalui karya-karya ilmiahnya berupa ilmu dan semangat mempelajari ilmu hadits” (Hayatul Albani 2/543 oleh Muhammad bin Ibrahim ays Syaibani)


Maka prinsip kita terhadap Syaikh al-Albani ialah kita menerima dengan hujah, dan sekiranya kita tolak maka kita menolak dengan hujah juga. Tidaklah kita taksub kepadanya, dan tidaklah juga kita prejudis dan menolaknya mentah-mentah. Tidaklah benar sikap mereka yang menolak beliau mentah-mentah, dan tidak benar juga sikap mereka yang menerima ijtihad beliau bulat-bulat sebagai sesuatu yang qath'e.

Jawapan soalan no. 3) 

Ada yang menyatakan bahawa Syaikh al-Albani sesat dan banyak melakukan penyelewangan hadith? adakah benar? Jawabnya; demi Allah yang jiwaku berada dalam tanganNya, saya katakan bahawa Syaikh al-Albani tidak sesat dan beliau tidak melakukan penyelewengan dalam hadith. Hanya mulut-mulut jahat dan dengki kepadanya saja yang mencipta tuduhan-tuduhan palsu kepada beliau. Sebaliknya apa yang berlaku ialah beliau terkadang tersilap dalam ijtihad beliau dalam menilai hadith, dan hal ini biasa lumrah bagi semua pengkaji hadith. 

Syaikh al-Albani adalah seperti manusia lainnya yang tidak terlepas daripada melakukan silap, dan silapnya beliau sudah tentu sedikit berbanding jasa beliau yang sangat banyak. Tidak dinafikan, ssememangnya terdapat beberapa penilaian hadith beliau yang didapati oleh para ulama' dan pengkaji lainnya sebagai tidak tepat dan tersilap, kerana beliau didapati agak tasahul (bermudah-mudah) untuk hadith itu, kesilapan itu hal biasa, dan silapnya al-Albani pun beliau telah mendapat satu pahala atas ijtihad beliau, dan ia tidak sedikit pun menjatuhkan kredibiliti beliau dalam lapangan dunia ilmiah.

Pernah syaikh Ibn Baaz sendiri di tanya berkenaan tashih (pensahihan) dan tadh'if (pendhaifan) hadith oleh syaikh Al-Albani:

السؤال : ما هو رأي سماحتكم في الاعتماد على ما صححه الألباني؟.

الشيخ محمد ناصر الدين الألباني من خيرة الناس , وهو من العلماء المعروفين بالاستقامة , والعقيدة الطيبة والجد في تصحيح الأحاديث وبيان حالها وهو عمدة في هذا الباب ؛ ولكن ليس بمعصوم ، قد يقع منه خطأ في تصحيح بعض الأحاديث أو تضعيفها ، مثل غيره من العلماء 

solan: 

apakah pendapat samahah (Ibn Baaz , mufti ketika itu) dalam bab berpegang atas hadith-hadith yg di sahihkan oleh Al-Albani?

jawab Syaikh Ibn Baaz:

Al-Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani adalah dari manusia yg baik (mulia), beliau adalah daripada kalangan ulama-ulama yang dikenal dengan sifat istiqamahnya, aqidahnya bagus (iaitu aqidah beliau adalah aqidah salaf dan beliau berpegang teguh dgnnya), dan dia bagus (jayyid) dalam tashih hadith-hadith dan menjelaskan hal yang berkaitan dengannya, dan beliau adalah (antara -pent) tiang dalam bab ini, namun beliau bukannya ma'sum, sesungguhnya memang terdapat padanya beberapa kesilapan-kesilapan dalam mensahihkan atau mendhaifkan beberapa hadith, sama seperti ulama-ulama yg lainnya...

[rujuk: salinan dari fatwa Nur 'ala Darb (من فتاوى نور على الدرب ) dalam Multaqa' Ahl Hadeeth]


Begitu juga Syaikh`Abdul Karim bin `Abdullah Al-Khudheir (ahli lajnah hai'ah kibaru ulama Arab Saudi) pernah di tanya berkenaan tashih dan tad'if hadith oleh syaikh Al-Albani:


...ما رأيكم تصحيح وتضعيف الشيخ الألباني؟ 

الشيخ الألباني -رحمة الله عليه- من الأئمة العلماء المجددين، لا سيما لهذا الفن، فهو من حملة العلم وأوعيته، فقوله معتبر، وتصحيحه يعتمد عليه ويوثق به، وهو كغيره ليس بمعصوم يوجد عند ضعف، ما يلاحظ سواء في التصحيح أو في التضعيف، هو كغيره من العلماء فيستفاد من تصحيحاته وأحكامه، لكن ليس بمعصوم

solan:

apa pandangan syaikh tentang tashih dan tad'if hadith oleh syaikh Al-Albani?...

jawapan:

Al-Syaikh Al-Albani - rahimahullah- adalah daripada kalangan imam-imam ulama' pembaharu (mujaddid), terutama pada bab ini (iaitu tajdid dlm ilmu hadith -pent), dan beliau adalah pembawa ilmu dan (umpama -pent) bekasnya (iaitu bekas dan tempatnya ilmu tersimpan -pent), dan pendapat beliau adalah (dikira dan dianggap -pent) muktabar, dan boleh berpegang kpd tashih hadith olehnya, namun beliau seperti (para ulama' -pent) lainnya adalah tidak ma'sum, padanya terdapat kelemahan (iaitu kesilapan -pent) yang dapat diperhatikan padanya samada dalam hal tashih atau tad'if hadith, beliau adalah seperti ulama-ulama lainnya, diambil istifadah (faedah, manfaat) daripada tashih dan hukuman hadith olehnya, akan tetapi beliau bukannya ma'sum

[Rujuk: jkawapan syaikh Al-Khudheir dlm salah satu sesi soal-jawab kuliahnya (syarah Al-Lu' Lu' Al-Maknun fi Ahwal Al-Asanid wa Al-Mutun), www.khudheir.com/]

Saya sendiri pernah mengkritik penilaian Syaikh al-Albani atas dasar hujah ilmiah, rujuk tulisan saya disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/06/siri-2-kritikan-ilmiah-fathi-al.html , kritikan ilmiah dan jauh dari prejudis dan menyesatkan. Dan saya sendiri pernah membela beliau atas syubhat-syubhat yang tidak benar sebagaimana yang saya lakukan sekarang ketika menjawab soalan saudari. 


Allah hu'alam
Abu Ismail Muhammad Fathi Ali al-Sakandary
2 Muharram 1433H / 27 Nov. 2011
Gam'ah / Iskandariah / Mesir





Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 12:52 PM. Filed under .

1 comments for "Syaikh al-Albani & doa pengantin baru"

  1. Al-Syaikh Al-Albani - rahimahullah- adalah daripada kalangan imam-imam ulama' pembaharu (mujaddid), terutama pada bab ini (iaitu tajdid dlm ilmu hadith -pent), dan beliau adalah pembawa ilmu dan (umpama -pent) bekasnya (iaitu bekas dan tempatnya ilmu tersimpan -pent), dan pendapat beliau adalah (dikira dan dianggap -pent) muktabar, dan boleh berpegang kpd tashih hadith olehnya, - saya kurang bersetuju dengan pendapat Saudara.....saudara boleh rujuk kitab
    At- Taarif : Syeikh Mahmud Said Mamduh
    Tanbih Muslim ila Taadi Muslim 3la Sohih Muslim : Syeikh Mahmud Said Mamduh
    Auham Al - Bani : As3d Salim Tayyim(Daru Razi)

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign