Penjelasan Status Hadith: Wajib Taat Pemerintah Walau Punggung (iaitu belakang) Dipukul & Harta Dirampas

| |





Penjelasan Status Hadith: Wajib Taat Pemerintah Walau Punggung (iaitu belakang) Dipukul & Harta Dirampas


Terdapat sebuah hadith dalam Sahih Muslim yang sering dijadikan hujah sesetengah golongan untuk merelakan sahaja apa-apa perbuatan pemerintah yang zalim, iaitu yang berbunyi:


Matan Hadith: 


تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

Terjemahan: Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang)mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" (sebahagian hadith yang panjang, dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, no. 1847)


Status Hadith:

Ketahuilah bahawa ia adalah hadith Dha'if. Didhaifkan oleh Imam al-Daraquthni, Imam Muslim sendiri, bahkan juga didhaifkan oleh ulama hadith salafi Syaikh Muqbil Hadi al-Wadi'i.

Sanadnya putus dan ianya adalah tambahan lafaz (ziyadah) yang Munkar iaitu Khata' (silap).Menurut Imam al-Daraqutni sanad hadith ini Mursal (iaitu putus) kerana Abu Salam tidak pernah sama sekali mendengar dari Huzaifah.

Kata Imam al-Daraquthni dalam kitabnya al-Ilzamat wa al-Tatabbu' (hal. 181):

وهذا عندي مرسل، أبو سلام لم يسمع من حذيفة ولا من نظرائه الذين نزلوا العراق لأن حذيفة توفي بعد قتل عثمان (رضي الله عنه)

Terjemahan: Hadith ini disisiku adalah Mursal (iaitu putus), Abu Salam tidak pernah sama sekali mendengar dari Huzaifah dan tidak pula dari yang seangkatan dengannya yang menetap di Iraq kerana Huzaifah wafat beberapa hari selepas pembunuhan 'Uthmaan (ra)".

Perlu diketahui bahawa istilah Mursal yang digunakan Imam al-Daraquthni disini bukanlah bermaksud Mursal seperti yang difahami ramai penuntut ilmu hadith masa kini yang memahami definisi Mursal dari buku-buku hadith moden karya ulama Khalaf al-Mutaakhkhirin. Ia bukanlah bermaksud isnad yang terputus pada tabi'in tetapi ia bermaksud isnad itu Munqathi (putus) tanpa mengira dimana ia putus.

Para ulama hadith Salaf al-Mutaqaddimin biasa menggunakan istilah Mursal untuk apa-apa saja isnad yang putus, baik putus itu pada tabii'n atau tabi' al-tabiin atau dibawahnya lagi. Saya katakan: hadith ini adalah salah satu daripadanya, dan putusnya isnad adalah Dha'if kerana telah hilang salah satu syarat utama hadith Sahih.

Bahkan selain putusnya isnad, lafaz ini juga adalah Munkar, ia adalah ziyadah (tambahan lafaz) yang menyalahi hadith lain yang disepakati Sahih, dengan kata lain lafaz tambahan ini adalah Khata' (silap). 

Kata Syaikh al-Muhaddith al-Yaman, Muqbil Hadi al-Wadi'i dalam tahqiqnya atas kitab al-Ilzamat wa al-Tatabbu' (hal. 181):

وفي حديث حذيفة هذا زيادة ليست في حديث حذيفة المتفق عليه وهي قوله (وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك)! فهذه الزيادة ضعيفة لأنها من هذه الطريق المنقطعة

Terjemahan: Dan pada hadith Huzaifah ini terdapat ziyadah (tambahan lafaz) yang tidak terdapat pada hadith Huzaifah yang muttafaq 'alaih (disepakati al-Bukhari dan Muslim) iaitu kata-kata "walaupun punggung(iaitu belakang) mu dipukul dan hartamu dirampas"! Maka ini adalah ziyadah (tambahan lafaz) yang lemah kerana ia dari jalan yang terputus ini". 


Hadith mahfuz (terpelihara) yang muttafaq 'alaih (disepakati al-Bukhari dan Muslim) yang dimaksudkan ialah satu hadith panjang yang lafaznya menyebut:

...فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

Terjemahan: Maka tinggalkanlah semua puak-puak tersebut yang ada walaupun kamu terpaksa menggigit akar kayu sehingga mati dalam keadaan itu" (Dikeluarkan oleh al-Bukhari (no. 3338) dan Muslim (no. 3434)).

Perlu diketahui metod Imam Muslim dalam menyusun kitab Sahihnya, iaitu pada awal setiap bab beliau akan masukkan himpunan hadith-hadith yang mutunya sangat tinggi dan hadith-hadith ini dikenali sebagai hadith-hadith usul dalam sesuatu bab, kemudian beliau akan mengiringi pula dengan hadith-hadith yang isinya hampir sama dengan hadith-hadith usul tadi dengan isnad yang berbeza, hadith-hadith yang mengiringi hadith-hadith usul ini dikenali sebagai mutabaat dan syawahid. 


Jaminan Sahih hanyalah untuk hadith-hadith usul, manakala hadith-hadith yang dijadikan mutabaat dan syawahid ini statusnya pelbagai, sebahagiannya Sahih dan sebahagiannya Dha'if. Dan hadith yang sedang kita bincangkan ini bukanlah termasuk hadith-hadith usul dalam Sahih Muslim, namun Imam Muslim hanya memasukkanya sebagai mutabaat dan syawahid sahaja. 


Saya katakan: hadith dengan lafaz " تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ - Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang) mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" adalah salah satu contoh dari segelintir hadith-hadith mutabaat dan syawahid yang Dha'if terkandung dalam Sahih Muslim dan ia telahpun diDha'ifkan oleh Imam Muslim sendiri. Mereka yang membaca Sahih Muslim dengan kaca mata ahli hadith sahaja yang akan dapat mengecam bahawa hadith ini telah diDha'ifkan oleh Imam Muslim dengan isyarat dalam kitab Sahihnya sendiri.


Imam Muslim memasukkan hadith ini bersama-sama hadith semakna yang tiada ziyadah (tambahan lafaz) dalam satu bab, dan hadith tanpa ziyadah disebut dahulu sebelum hadith dengan ziyadah, tujuan beliau lakukan sedemikian rupa ialah sebagai isyarat untuk menjelaskan bahawa ziyadah itu lemah, dan ini adalah antara metod Imam Muslim menDhaifkan sesebuah hadith dalam kitab Sahihnya, demikian juga para huffaz hadith lain semisal al-Bukhari, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.


Bantahan Kepada Mereka Yang Cuba Menguatkan:


Sesetengah cuba menguatkan hadith ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan dan al-Hakim dalam al-Mustadrak  iaitu hadith yang berbunyi:

إِنْ كَانَ لِلَّهِ خَلِيفَةٌ فِي الْأَرْضِ فَضَرَبَ ظَهْرَكَ، وَأَخَذَ مَالَكَ، فَأَطِعْهُ

Terjemahan:  Jika Allah mempunyai Khalifah di muka bumi, lalu dia memukul punggung(iaitu belakang)  dan merampas hartamu, maka taatilah dia (dikeluarkan Abu Daud dalam Sunan, no. 4244)

Manakala lafaz al-Hakim pula berbunyi:

فَإِنْ كَانَ لِلَّهِ يَوْمَئِذٍ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةٌ جَلَدَ ظَهْرَكَ، وَأَخَذَ مَالَكَ فَالْزَمْهُ

Terjemahan: Jika Allah mempunyai Khalifah di bumi dan dia memukul belakangmu dan merampas hartamu, maka lazimilah dia (dikeluarkan al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 8322)

Saya katakan: usaha penguatan itu adalah sia-sia, kerana hadith yang dibawa itu adalah Dha’if bahkan Munkar (iaitu silap) juga! pada isnadnya terdapat Subai’ bin Khalid dan dia adalah Majhul (tidak dikenal). Bahkan selain Dha’ifnya isnad hadith itu juga adalah Munkar kerana menyalahi hadith usul yang disepakati al-Bukhari dan Muslim yang telah saya sebutkan sebelum ini.  

Berkenaan hadith Abu Daud, berkata al-Hafiz al-Muhaddith `Abdul `Aziz al-Tharifi dalam tahqiqnya atas Sunan Abu Daud:

أصله في الصحيحين بغير هذه الألفاظ ...وقوله (فَضَرَبَ ظَهْرَكَ، وَأَخَذَ مَالَكَ) منكر

Terjemahan:  Asalnya – hadith ini – adalah dalam al-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) tanpa lafaz ini..dan kata-kata (dia memukul belakangmu dan merampas hartamu) adalah Munkar (Zawaid Sunan Abu Daud, 2/938)

Manakala berkenaan hadith al-Mustadrak pula, berkata Syaikh al-Muhaddith al-Yaman, Muqbil Hadi al-Wadi’i dalam tahqiqnya atas al-Mustadrak:

سبيع بن خالد روى عنه جماعة ولم يوثقه معتبر فهو مجهول الحال

Terjemahan:  Beberapa kelompok telah meriwayatkan dari Subai’ bin Khalid ini, namun dia tidaklah dinilai thiqah secara muktabar (oleh mereka-mereka yang muktabar) dan dia adalah Majhul al-Hal (tidak dikenali).  (al-Mustadrak, tahqiq Muqbil al-Wadi’i, 4/597)

Maka jelaslah bahawa kedua-dua hadith samada yang terdapat dalam Sahih Muslim atau hadith yang cuba dibawa sebagai penguat dari Sunan Abu Daud adalah Munkar iaitu Khata’ (silap). Dan hadith-hadith sebegini tidaklah boleh saling kuat-menguatkan. Berkata Imam Ahmad bin Hanbal: " والمنكر أبدًا منكر - hadith munkar itu kekal munkar selama-lamanya!" (al-‘Ilal lil-Marwazi (287), Masa’il Ahmad oleh Ibn Hani' (no. 1925, 1926)). Telah salahlah mereka yang cuba menggunakan hadith Subai’ ini sebagai penguat!


Kesimpulan Serta Fiqh al-Hadith:

Dengan itu berkata Syaikh al-Muhaddith Muhammad al-Amiin (murid Syaikh `Abdul Qadir al-Arnaout) dalam Multaqa' Ahl Hadith:

وهذا ليس فيه تلك الزيادة المنكرة ( وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك) التي تفرد بها أبو سلام. وأبو سلام هذا اسمه ممطور الحبشي وهو دمشقي من مواليهم. بينما حذيفة بن اليمان رضي الله عنه مدني ثم كوفي عراقي. وقد أجمعوا على أنه لم يسمع منه. ويبدو أن أبا سلام قد سمع الحديث من شامي ضعيف عن حذيفة. وهذا اللفظ الذي ذكره مدرج في الحديث. ويجب أن يعلم طالب العلم أن مثل هذه الزيادات المنكرة: وإن ضرب ظهرك، وأخذ مالك، ...، كلها أقوال منكرة يجب أن ينزه الحديث الشريف عنها. بل على المسلم أن يدافع عن ماله وعرضه، فإن قتلوه فهو شهيد

Terjemahan: Dan (hadith sahih yang mahfuz) ini tidaklah terdapat ziyadah (tambahan lafaz) yang Munkar berbunyi ( وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك - walaupun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas) yang menyendirinya Abu Salam. Dan Abu Salam ini namanya Mamtur al-Habashi dari Dimashq dan dia dari kalangan hamba-hamba yang dibebaskan di sana. Sedangkan Huzaifah bin al-Yaman pula menetap di Madinah kemudian Kufah, Iraq.

Para Ulama telah sepakat bahawa Abu Salam tidak pernah sama sekali mendengar hadith dari Huzaifah. Berkemungkinan Abu Salam telah mendengar hadith ini dari seseorang dari Syam (iaitu Dimashq, kini Syria) yang lemah dari Huzaifah, dan lafaz yang disebutkannya adalah Mudraj (tambahan lemah) dalam hadith.

Maka wajiblah bagi para penuntut ilmu mengetahui bahawa lafaz tambahan (وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك - walaupun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas) yang munkar seperti ini semuanya adalah kata-kata yang Munkar yang perlu hadith yang mulia disucikan daripadanya. Malah wajib ke atas seseorang Muslim untuk mempertahankan harta dan kehormatan serta maruahnya, dan sekiranya dia dibunuh (ketika mempertahankan harta dan kehormatan serta maruahnya) maka dia mati syahid".

Allahu'alam
Fathi Al-Sakandary
30 April 2012M / 9 Jamadil Akhir 1433H
Camp Caesar, Iskandariah, Mesir



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 10:43 PM. Filed under .

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign