Penjelasan status hadith: “letakkan ayat ini selepas ayat ini di surah ini"

| |


Gambar: manuskrip al-Qur'an pada kurun ke-7 Hijrah 
tulisan Yaqut al-Musta'simi (wafat 697H), dari Baghdad. 
Tersimpan di muzium Tariq Rajab, Kuwait




Maksud Hadith: 

Setiap kali wahyu diturunkan, Rasulullah akan memerintahkan ia disusun mengikut turutan, dengan berkata “Letakkan ayat ini selepas ayat ini di surah ini"

Takhrij Hadith: 

Ahmad (no. 399, 499), Abu Daud (no. 786, 787), al-Tirmizi (no. 3086), al-Nasaie dalam al-Kubra (8007). 

Status Hadith:

Dhaif isnad, namun makna dan fiqhnya telah sedia diamalkan. Hadith ini diriwayatkan oleh jamaah huffaz antaranya Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan al-Tirmizi kesemuanya dari jalur Yazid al-Farisi dari Ibn `Abbas, iaitu kata Ibn `Abbas: 

قلت لعثمان بن عفان ما حملكم أ ن عمدتم إلى الأنفال وهي من المثاني وإلى براءة وهي من المئين فقرنتم بينهما ولم تكتبوا بينهما سطر بسم الله الرحمن الرحيم ووضعتموها في السبع الطول ما حملكم على ذلك ؟ فقال عثمان كان رسول الله صلى الله عليه و سلم مما يأتي عليه الزمان وهو تنزل عليه السور ذوات العدد فكان إذا نزل عليه الشيء دعا بعض من كان يكتب فيقول ضعوا هؤلاء الآيات في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا وإذا نزلت عليه الآية فيقول ضعوا هذه الآية في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا وكانت الأنفال من أوائل ما أنزلت بالمدينة وكانت براءة من آخر القرآن وكانت قصتها شبيهة بقصتها فظننت أنها منها فقبض رسول الله صلى الله عليه و سلم ولم يبين لنا أنها منها فمن أجل ذلك قرنت بينهما ولم أكتب بينهما سطر بسم الله الرحمن الرحيم فوضعتها في السبع الطول  

Terjemahan – Aku pernah bertanya kepada `Uthman bin `Affan: Apa yang menyebabkan engkau cenderung (menggolongkan) al-Anfaal dalam al-Mathani (iaitu surah yang berjumlah lebih dari seratus), memasukkan al-Baraah ke dalam al-Mi`in (iaitu surah yang kurang dari seratus), engkau meletakan keduanya berdekatan tanpa ditulis basmalah sebagai pemisah, serta memasukannya kedalam al-Sab'uth Thiwaal (tujuh surah terpanjang) apa sebabnya engkau berbuat -iaitu berijtihad- begitu? `Uthman menjawab: Rasulullah SAW terkadang dalam satu waktu diturunkan kepadanya surah yang memiliki banyak ayat, kerana itu jika turun sesuatu padanya Baginda SAW memanggil sebahagian juru tulis Baginda lalu bersabda: "Tulis semua ayat ini pada surah yang terdapat dalamnya begini dan begitu, " sedang jika turun padanya satu ayat Baginda katakan: "Tulis ayat ini di surah yang disebut dalamnya begini dan begitu, " sedangkan al-Anfaal adalah salah satu surah yang pertama kali diturunkan di Madinah sedangkan al-Baraah adalah sebagian surah al-Qur`an yang terakhir tetapi isinya mirip dengan isi surah al-Anfaal sehingga saya menganggapnya sebagai sebahagian darinya. Setelah itu Rasulullah wafat tetapi Baginda SAW tidak menjelaskan kepada kami bahwa ia bahagian darinya, kerana itulah aku letakkan keduanya secara berdekatan dan tidak menulis basmalah sebagai pemisah serta menggolongkannya ke dalam al-Sab'uth Thiwaal

Imam al-Tirmizi menilai dhaif hadith ini dengan katanya :" هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ–  hadith ini hasan“ dan istilah hasan disisi al-Tirmizi dalam kitabnya al-Jami’ secara khusus bermaksud dhaif, ini jelas bagi mereka yang biasa menela’ah kitab al-Tirmizi [lanjut dianjurkan merujuk kitab saya: Pengenalan Kepada Sunan al-Tirmizi dan Manhajnya].

Penilaian hasan oleh al-Tirmizi ini ialah sebagaimana yang tertera dalam naskhah manuskrip al-Karukhi, iaitu naskhah yang paling tepat untuk Jami’ al-Tirmizi. Adapun dalam naskhah yang lemah seperti naskhah Ahmad Syakir menyebut ‘Hasan Sahih’ dan ia merupakan kesilapan pada naskhah manuskrip. Tidak syak lagi yang diterima ialah naskhah terkuat iaitu naskhah al-Karukhi yang menyebut ‘Hasan’ sahaja.

Selanjutnya  al-Timizi juga menyebutkan tafarrud (menyandiri) nya `Auf dari Yazid dari Ibn `Abbas dalam meriwayatkan hadith  ini, kata al-Tirmizi: “لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ عَوْفٍ عَنْ يَزِيدَ الْفَارِسِيِّ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ وَيَزِيدُ الْفَارِسِيُّ هُوَ مِنْ التَّابِعِينَ قَدْ رَوَى عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ غَيْرَ حَدِيثٍ – tidak diketahui ia selain dari hadith `Auf dari Yazid al-Farisi dari Ibn `Abbas dan Yazid al-Farisi adalah dari kalangan tabiin yang meriwayatkan dari Ibn `Abbas hadith-hadith“

Tafarrud ini adalah  petunjuk kepada sebab mengapa hadith ini dhaif di sisi al-Tirmizi. Ditambah pula Yazid al-Farisi ini disebutkan oleh gurunya iaitu Imam al-Bukhari dalam kitabnya al-Du'afa al-Saghir. Sekiranya seorang perawi yang lemah meriwayatkan hadith secara tafarrud maka tiada kemungkinan hadith itu menjadi sahih atau maqbul.

Selain itu Imam al-Bazzar dalam kitabnya al-Musnad (no: 344) menyebutkan tafarrud hadith ini, kata al-Bazzar:
هذا الحديث لا نعلمه يُروَى عن رسول الله صلى الله عليه وسلم إلا من هذا الوجه – hadith ini tidak diketahui ia diriwayatkan dari Rasul SAW kecuali dengan wajah ini“ . Kenyataan ini adalah isyarat dhaif oleh Imam al-Bazzar untuk hadith ini. Perlu diketahui bahawa nama sebenar bagi kitab Musnad karya Imam al-Bazzar ialah al-Musnad al-Mu'allal al-Kabir atau Musnad Hadith Rasulillah Bi 'Ilalihi atau al-Musnad bil 'Ilal sebagaimana yang tertera dalam manuskrip-manuskrip kitab ini, iaitu ia menghimpunkan hadith-hadith Musnad yang padanya terdapat kecacatan (`ilal). 

Hadith ini juga didhaifkan oleh Syu’aib al-Arnaut dalam tahqiq Musnad Ahmad dan Jami’ al-Tirmizi, juga oleh Ahmad Syakir dalam tahqiq Jami’ al-Tirmizi, juga oleh al-Albani dalam Dhaif al-Tirmizi.

Syaikh Ahmad Syakir menyatakan hadith ini dhaif isnad bahkan munkar matan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa susunan al-Qur’an itu adalah ijtihad Uthman dan bukannya tauqifi, iaitu ijtihad Uthman dalam masalah basmalah di awal surah al-Baraah, dan juga ijtihad Uthman dalam susunan al-Qur’an.

Saya katakan: kenyataan Ahmad Syakir itu tidak tepat, ini kerana walaupun hadith ini dhaif dari segi sanad, namun fiqhnya benar dan ia diamalkan serta padanya fiqh. Imam al-Tirmizi yang sendiri mendhaifkan hadith ini memasukkan ia dalam kitabnya al-Jami’ menunjukkan fiqhnya diamalkan Salaf, beliau menyebutkan hadith ini dalam kitabnya al-Jami' adalah untuk menyebutkan kecacatan yang terdapat pada isnadnya memandangkan antara tujuan kitabnya ditulis adalah untuk mengumpul hadith-hadith cacat yang padanya terdapat fiqh.

Juga Imam Abu Daud (no: 786-787) meriwayatkan hadith ini dalam kitabnya al-Sunan pada "Bab Menguatkan Bacaan Basmalah- باب من جهر بها “. Nyata sekali beliau menyebutkan hadith ini sebagai dalil menguatkan bacaan basmalah.

Diperkuatkan lagi hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam kitabnya al-Taqasim wal Anwa (no: 43) pada "Bab Nabi SAW Memerintahkan Menulis al-Qur'an Ketika Ia Diturunkan Ayat Demi Ayat- ذكر ما كان يأمر النبي صلى الله عليه وسلم بكتبة القرآن عند نزول الآية بعد الآية “.  Jelas di sini bahawa hadith ini digunakan sebagai dalil fiqh proses penulisan al-Qura'an ayat demi ayat.

Abu Daud dan Ibn Hibban tidak menjadikan hadith ini sebagai dalil kepada kebenaran fakta bahawa `Uthman telah berijtihad tidak meletakkan basmalah dipermulaan Surah al-Baraah.

Perlu diketahui tertib penyusunan ayat-ayat dalam setiap surah al-Qur'an adalah tauqifi secara ijma', iaitu para Sahabat menyusunnya berdasarkan apa yang telah diperintah Nabi SAW. Tiadalah walaupun seorang daripada para Sahabat itu menyusun ayat-ayat dalam setiap surah dengan akal fikiran mereka sendiri melainkan mereka mendengarnya dari Baginda SAW.

Adapun tertib susunan surah dalam mushaf, syaikh Ahmad Syakir mendakwa ia adalah tauqifi semata, dan ini tidak tepat!! Yang benar ialah para `ulama telah berbeza kepada 2 pendapat iaitu pertama ia  tauqifi , dan kedua ia ijtihadi, bukannya tauqifi semata-mata seperti dakwaan Syaikh Ahmad Syakir!!. Dan yang rajih ialah susunan surah dalam mushaf adalah ijtihadi, dan para Sahabat menyusun surah-surah dalam mushaf itu berdasarkan ijtihad mereka masing-masing. Pendapat kedua ini dalilnya kuat, telah thabit dalam riwayat-riwayat yang sahih dalam Sahihain bahawa susunan surah dalam mushaf para Sahabat itu berbeza, seperti mushaf `Aishah, mushaf `Uthman, mushaf Ibn Mas'ud dan lainnya. Sehinggalah `Uthman menghapuskan cara susunan lainnya dan menjadikan satu susunan sahaja.

Manakala perihal basmalah pada setiap permulaan surah dalam mushaf adalah berdasarkan qiraat tujuh. Terdapat antara qiraat yang dibaca bermula dengan basmalah pada pemulaan surah seperti qiraat `Asim bin Abi al-Najud (riwayat Hafas), qiraat al-Kisa'ie dan qiraat `Abdullah bin Kathir.

Terdapat pula qiraat yang tidak memulakan bacaan sesuatu surah dengan basmalah seperti qiraat Nafi' (qiraat penduduk Madinah). Nafi' adalah guru kepada Imam Malik bin Anas. Dan mazhab Imam Malik beliau tidak membaca basmalah pada permulaan mana-mana surah al-Qur'an.

Sebagai contoh untuk masalah bacaan basmalah pada permulaan surah al-Taubah atau al-Baraah ini, qiraat mushaf Madinah zaman moden yang kita gunakan hari ini adalah qiraat Hafas dari 'Asim dari Ibn Habib al-Sulami. Al-Sulami meriwayatkan dari 4 orang sahabat Nabi SAW iaitu: `Uthman bin Affan (r.a), `Ali bin Abu Talib (r.a), Zayd bin Thabit (r.a) dan Ubai bin Ka'ab (r.a).

Dan kempat-empat Sahabat (r.hum) meriwayatkan surah al-Taubah tanpa basmalah dipermulaan. Ini tidak termasuk qiraat-qiraat selain Hafas dari 'Asim. Lanjut dianjurkan merujuk kitab: Fathul Bari karya Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Kitab Fadhail al-Quran: Bab Ta'lif al-Qur'an. Juga kitab al-Muqaddimat al-Asasiah fi `Ulum al-Qur'an, karya `Abdullah bin Yusuf al-Juday'.

Dengan ini dakwaan syaikh Ahmad Syakir bahawa matan hadith ini munkar adalah tertolak! Yang benar ialah isnadnya dhaif tetapi matannya baik serta diamalkan fiqhnya. Perihal ketiadaan basmalah diawal surah al-Baraah ini walaupun dhaif dari segi sanad hadithnya, namun ia sahih dari segi periwayatan sanad qurra untuk sanad-sanad al-Qur’an. 

Allah hu'alam
Abu Ismail Fathi al-Tabib



Posted by Abu Ismaaeel Fathi on 3:57 PM. Filed under .

0 comments for "Penjelasan status hadith: “letakkan ayat ini selepas ayat ini di surah ini""

Leave a reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign